SEMALAMAN Ainul Mardhiah tidak dapat melelapkan mata. Ini
semua gara-gara usikan panas Syed Badiuzzaman. Dia memang hendak tidur, namun
rasa bimbang pula yang bertamu di mata dan hati. Mudah-mudahan Syed Badiuzzaman
hanya berjenaka. Perlahan-lahan Ainul Mardhiah bangkit dari katil yang menjadi
peraduannya. Dia berjalan menuju ke arah jendela. Pagi di Kota Paris yang tak pernah
mati. Kotaraya ini bermandikan cahaya, malah masih tertangkap dek bebola
matanya kenderaan yang bertali arus di atas jalan walaupun jam sudah melewati
angka empat pagi.
Aku di Paris? Tanya Ainul Mardhiah sendirian.
“Terima kasih kepada Syed Badiuzzaman kerana membawa aku ke sini. Jika
bukan kerana kerja, aku tak akan sampai ke mari.”
“Tidurlah Ain, tidurlah! Kau perlukan tenaga untuk bergerak pagi nanti
selepas perjalanan yang sangat panjang.”
“Tidur Ain, tidur.” Ainul Mardhiah memujuk lagi mata yang degil.
Dia duduk di atas sofa, cuba untuk memejam mata yang degil. Perlahan-lahan
dia mengatup kelopak mata sehingga terdengar sayup-sayup bunyi pintu bilik
diketuk.
“Ain..oh Ain! Bukak pintu ni.”
Suara itu makin jelas kedengaran. Ainul Mardhiah berusaha membuka kelopak
mata. Mengantuk dan malas adalah acuan paling sempurna untuk menyambung lena.
Tatkala bunyi pintu kedengaran diketuk, Ainul Mardhiah pantas bertanya pada
diri sendiri.
“Aku di mana?” Dia cuba mengingat. Matanya hanya menangkap gambar sebuah
katil kosong. Wajah Haji Karim dan Hajah Sareema melambai-lambai dari jauh.
“Ain, kau dengar tak aku panggil ni? Bukak pintu ni!”
“Alamak, Tuan Syed!” Ain bingkas bangun. Dia menerpa ke pintu, cuba untuk
berbincang dengan Syed Badiuzzaman tanpa membuka pintu.
“Tuan Muda Syed Badi, Ain baru bangun. Maaf. Malam tadi tak dapat tidur.
Boleh tak Tuan Muda Syed Badi bagi Ain setengah jam lagi?” Jelas Ain dengan
suara kuat. Mudah-mudahan Syed Badiuzzaman mendengar suaranya, tak perlulah dia
mengulang siaran sekali lagi.
“Kalau setengah jam lagi kau tak siap, jaga ya!”
“Ya, Ain janji!” Jawab Ainul Mardhiah penuh yakin. Sebaik suara itu tidak
kedengaran lagi, Ainul Mardhiah bergegas ke bilik mandi. Dia cuba untuk bersiap
pantas.
JANGAN tak percaya! Syed
Badiuzzaman kuat berleter. Teruk juga Ainul Mardhiah dibambu Syed Badiuzzaman
selepas sarapan pagi tadi. Ainul Mardhiah ingatkan dia terlepas daripada marah
lelaki itu, rupanya Syed Badiuzzaman ingat sangat. Sengaja disimpan marahnya
selepas makan. Kalau marah sebelum makan, hilang selera hendak makan pagi. Itu
kata Syed Badiuzzaman sendiri kepadanya selepas Ain dibambu lelaki itu.
Mereka kini berada di
Paris 18th, tempat menjual segala macam fabrik, daripada pakaian hinggalah
kepada sapu tangan!
“Sini banyak pencopet, hati-hati!” Sempat Syed Badiuzzaman berpesan
kepadanya.
“Mari sini, rapat sikit dengan aku.” Dia menambah pesanan. Ainul Mardhiah
tidak banyak bicara, sedar yang dirinya di tempat orang, dia merapati Syed
Badiuzzaman di sebelah. Beberapa kedai di sepanjang jalan itu telah mereka
lepasi, namun masih tiada satu pun yang hendak dijelajahi Syed Badiuzzaman.
Akhirnya, Ainul
Mardhiah membuat keputusan sendiri. Tatkala Syed Badiuzzaman terus melangkah ke
hadapan, dia melangkah ke kiri lalu masuk ke dalam sebuah kedai. Entah
bagaimana sebutan kedai tersebut Marche
Saint Pierre. Kedai itu besar, setinggi lima tingkat.
“Bukan kat sini. Jalan lagi.” Tegur Syed Badiuzzaman. Terkejut Ainul disapa
suara lelaki Melayu. Ingatkan siapa? Syed Badiuzzaman rupanya.
“Kau nak hilang jejak, ya? Berani buat keputusan sendiri.” Tanya Syed
Badiuzzaman kembali.
Tadi, dia tercari-cari Ainul Mardhiah yang terpisah darinya. Beberapa kali
juga berpusing mencari Ainul Mardhiah, nasib baiklah bayangnya dapat dilihat
dari pintu utama kedai. Panik Syed Badiuzzaman sekejap! Hilang anak dara orang,
mana aku nak cari di Kota Paris nan besar ni?
“Jom!” Kali ini Syed Badiuzzaman menarik tangan Ainul Mardhiah.
Tersentak dan meronta-ronta Ainul
Mardhiah dibuatnya. Syed Badiuzzaman tak peduli jika Ainul Mardhiah marah
sekalipun. Siapa suruh pandai-pandai buat keputusan? Aku ikut dia, atau dia
ikut aku?
“Tuan Muda Syed Badi, lepas tangan saya boleh tak?”
“Boleh, asal kau ikut cakap aku. Boleh?”
“Saya masuk ke dalam, kan nak cari fabrik yang sesuai dengan Tuan Muda Syed
Badi jugak?” Jawab Ainul Mardhiah, masih lagi berusaha melepaskan tangannya
dari genggaman lelaki itu. Banyak dosa Syed Badiuzzaman dengan aku. Dia nak
merangkak cari aku kat akhirat ke ni?
“Tak payah! Aku tahu mana nak tuju, kau jangan nak memandai. Dah sampai
kedai tu, baru aku izinkan kau pilih.” Kata Syed Badiuzzaman, terus membawa
Ainul Mardhiah berjalan di sisinya. Ainul Mardhiah menoleh majikannya di sisi.
Geramnya! Rasa nak sekeh aje kepala dia! Apa dia ingat dia bos, dan boleh
pegang tangan aku sesuka hati? Kali ini Ainul Mardhiah menyentak tangannya dari
genggaman Syed Badiuzzaman. Berjaya! Yeay! Syed Badiuzzaman menoleh ke arahnya,
sambil tersenyum.
“Mesti kau tak pernah pegang tangan lelaki?”
“Buat apa? Tambah dosa?” Soalnya sinis. Tiada jawapan daripada majikannya
melainkan senyuman nakalnya. Ainul Mardhiah menggeleng. Hairan dengan keletah
Syed Badiuzzaman. Kadang-kadang cengeh, kadang-kadang nakal, dan kadang-kadang
menyakitkan hati.
Jalan sesak dipenuhi manusia
pelbagai ragam itu terus mereka tempuhi sehingga tiba di sebuah kedai dengan
papan tanda berwarna hijau. Maupiou. Henri Maupiou.
“Fabrik yang dijual kat sini baru suit
dengan aku.” Kata Syed Badiuzzaman lalu menolak pintu cermin tersebut. Ainul
Mardhiah masih berdiri di belakang. Ketika cuaca dingin menyapa tubuh, dia
masih setia berdiri di hadapan cermin yang mendindingi kedai itu. Dia tekap
kedua-dua jarinya, membentuk hati lalu meniup beberapa kali ke arah acuan
tersebut. Dia tersenyum melihat bentuk hati pada dinding kaca tersebut. Namun,
senyumannya mati tatkala wajah Syed Badiuzzaman berada di sebalik kaca
tersebut, tepat memandangnya. Dia nampak lelaki itu tulis sesuatu di dinding
kaca tersebut.
“I”
“N”
“In?” Baca Ain dengan dahi yang keruh. Dalam? Kemudian, baru dia mengerti. Syed
Badiuzzaman mengarahkannya masuk ke dalam kedai tersebut.
“Degil!” Sergah Syed Badiuzzaman dengan muka cengehnya. Ainul Mardhiah
tidak menjawab tetapi deras melangkah mengikut rentak majikannya. Bila dia
melihat fabrik di kedai itu, baru dia sedar, Syed Badiuzzaman membawanya masuk
ke sebuah kedai kain ekslusif, yang menjual “haute couture” daripada pelbagai
jenama mewah. Chanel, Dior, Valentino!