AINUL Mardhiah melihat
duit Euro yang masih kemas tersimpan di dalam dompetnya. Mereka bakal berlepas
pulang petang nanti sedangkan dia masih belum membelikan sesuatu buat
keluarganya di kampung. Sedihnya!
Apa yang boleh dibeli dengan nilai duit sekecil itu di
kota Paris ini? Baju? Jauh sekali. Makanan? Takut basi. Barangkali ada
cenderamata yang boleh dibawa pulang dari lapangan terbang nanti. Ainul
Mardhiah masih ingat pelbagai kedai yang menjual pelbagai barangan, terutama
daripada jenama terkenal dunia. Aduhai! Mengapa aku yang miskin ini dibawa ke
sini?
“Sedarlah diri, Ain. Kau datang ke sini kerana kerja, bukan kerana hendak
membeli belah.” Keluh Ain sendiri. Dia menjatuhkan badan ke atas tilam,
berkira-kira hendak menyambung tidur kerana petang nanti mereka bakal menempuh
perjalanan jauh, kembali ke Kuala Lumpur.
Dan tiap kali dia hendak
memejam mata, pintu bilik pasti diketuk seseorang. Apa lagi Syed Badiuzzaman?
Tak boleh beri peluang orang lain rehatkah? Dengan malas Ainul Mardhiah
menyarung tudung. Dia melangkah juga menuju ke arah pintu.
“Aku dah cakap kan? Aku ke sini nak honeymoon
dengan kau.” Kata Syed Badiuzzaman, memandang tepat ke arahnya. Ainul Mardhiah
menggeleng kepala. Tak habis dengan ayat honeymoon
dia tu. Ingat aku bini dia ke? Hilang juga sabar di hati Ainul Mardhiah.
“Tuan Muda Syed Badi...nak ke mana lagi? Kain semua dh angkut naik flight, kan?”
“Ikut saja. Tukar baju cepat. Aku tunggu di luar.”
Terus Ainul Mardhiah hempas pintu. Sakit hati betul dengan mamat ni. Suka
paksa oranglah. Dia tak apalah, lelaki. Aku ini seorang wanita. Sebesar manalah
kudrat aku nak mengharung kota Paris tanpa tenaga yang cukup? Sudahlah petang
nanti hendak mengharung perjalanan jauh. Bukan dekat! Hampir empat belas jam di
atas awan. Apa Syed Badiuzzaman ingat aku robot? Jeritan itu hanya mampu
kedengaran di dalam hati sedangkan tangannya pantas sahaja membutang baju.
Dengan secalit lipstik nipis, dia keluar juga dari bilik itu.
“Muka masam.” Tegur Syed Badiuzzaman ketika Ainul Mardhiah berdiri di depannya.
“Masamlah, tak cukup rehat!” Dia membalas kasar. Terus Syed Badiuzzaman
menoleh ke arahnya.
“Kau dah pandai meninggi suara dengan aku, ya?”
“Kau ingat kau datang sini untuk tidur?” sambung Syed Badiuzzaman lagi,
kasar di telinganya.
Bila disergah begitu, baharu Ainul Mardhiah ingat, Syed Badiuzzaman itu
majikannya. Dia yang membayar gaji, dan aku sebagai pekerja harus akur akan
arahannya. Syed Badiuzzaman bukan kawan, apatah lagi keluarganya. Agaknya aku
sudah pijak kepala diakah?
“Maaf, Tuan Muda Syed Badi.”
“Aku ingat nak bawa kau bersiar-siar, tapi kau buat mengada-ngada pulak
dengan aku. Sekarang, program cancelled.
Aku jumpa kau kat bawah petang nanti. Pukul empat!”
Putus Syed Badiuzzaman sebelum berpatah balik ke biliknya. Melihat langkah
itu laju sahaja menapak, timbul penyesalan di hati Ainul Mardhiah. Barangkali
Syed Badiuzzaman marah betul dengan aku. Selalunya dia kasar sahaja, tetapi
reaksinya kali ini lain pula.