“AINUL Mardhiah.” Dia memperkenalkan diri sebelum dipelawa duduk.
Siapakah lelaki tua persis Syed
Badiuzzaman ini? Sudahlah aku dibawa ke sini secara paksa, sekarang, aku
terpaksa duduk semeja dengan orang yang tidak aku kenali. Sekurang-kurangnya,
aku diberi penerangan tentang apa yang berlaku, tetapi sayangnya aku berurusan
dengan Syed Badiuzzaman. Seorang majikan yang hanya tahu orang bawahannya
mengikut arahan, jika tidak mahu dipaksa. Selebihnya, Syed Badiuzzaman tak
mengerti.
“Ainul Mardhiah orang mana?”
“Ain orang Perak. Kampung Gunung Semanggol.” Jawab Ainul Mardhiah, cuba
melorek senyuman.
“Oh, jauh jugak! Ayahanda ingat Ain orang KL juga.” Kata Syed Abu Dzar,
cuba memanjangkan cerita sementara menunggu kelibat Syed Badiuzzaman. Ayahanda?
Pakcik ini kerabat diraja mana? Kenapa Syed Badiuzzaman tak beritahu awal-awal?
Kalau aku tahu nak berurusan dengan kerabat diraja, tentu aku lebih protokol.
“Ayahanda Syed Abu Dzar ini ayahanda aku.” Jelas Syed Badiuzzaman sebelum
menarik kerusi. Dia duduk di antara Ainul Mardhiah dan juga Syed Abu Dzar.
Ainul Mardhiah melepas nafas lega, Nasiblah bukan kerabat diraja. Ayahanda
bagai!
“Ainul Mardhiah ni designer
peribadi Badi, ayahanda.”
“Oh, Syed Badi dah jumpa orangnya? Patutlah ayahanda tak dengar
bising-bising lagi di pejabat, dah jumpa orangnya rupanya. Cantik pulak tu!”
Puji Syed Abu Dzar selepas mendengar penjelasan itu. Ainul Mardhiah mengangguk.
Leganya rasa hati bila dia tahu tujuan perjumpaan itu.
“Tapi ayahanda, Badi dah buat keputusan.”
“Badi nak kahwin dengan Ain, boleh?”
“Huk...huk...huk.” Ainul Mardhiah tersedak.
Dia baru hendak minum ketika Syed Badiuzzaman membuat pengakuan itu.
Mukanya merah menahan sebal. Tiada angin, tiada ribut. Syed Badiuzzaman mengaku
hendak berkahwin dengan aku. Jadi isteri nombor berapa? Tak tahan dengan lagak
selamba lelaki itu, Ainul Mardhiah menyepak kakinya. Barangkali rasa kakinya
disepak, Syed Badiuzzaman menyorot mata ke arahnya, kemudian baru mempamer senyuman
nakalnya.
“Ayahanda tak ada masalah, kau pun dah tua Badi. Elok sangat tu.”
“Selamat datang ke dalam keluarga Syed Al Hadad, Ainul Mardhiah. Ayahanda
gembira, akhirnya Syed Badi bertemu dengan pilihan hatinya.”
“Err...saya...saya.” Tidak sempat menjawab, terasa kakinya pula yang
disepak. Syed Badiuzzaman melirik mata lagi, kemudian menyorot pandangan ke
arah Ayahanda Syed Abu Dzar. Dia memberi isyarat supaya mengangguk sahaja.
“Saya...”
“Dia malu ayahanda. Katanya status keluarga kita yang berbeza.”
Ainul Mardhiah menoleh ke arah Syed Badiuzzaman. Bila masa aku kata begitu?
Aku tak tahu pun kau nak bawa aku jumpa ayahanda kau? Aduhai Syed Badiuzzaman,
apa yang sedang kau rencanakan sehingga membabitkan aku sebagai pelakon bidang
terjun pula?
“Ayahanda tak ada masalah tentang status keluarga. Bonda sahaja begitu.
Nanti ayahanda akan berbincang dengan bonda. Syed Badi, jangan lupa bawa Ain
berkenalan dengan bonda.”
“Orangnya cantik dan manis, mana tahu sejuk hati bonda melihat.” Tambah
ayahanda Syed Abu Dzar lagi. Ainul Mardhiah tidak mampu berkata-kata. Dia
menunggu masa yang sesuai untuk meminta penjelasan Syed Badiuzzaman.
“Badi dah tua, ayahanda. Kalau bonda menolak, tak kahwinlah Badi jawabnya.”
“Takkan sampai ke situ pulak.”Jawab Ayahanda Syed Abu Dzar dengan
senyumannya.
“Mari makan, Ain. Sambil-sambil makan, boleh kita bercerita tentang
keluarga masing-masing.” Pelawa Syed Abu Dzar lagi. Dia membantu Ainul Mardhiah
yang nampak malu-malu itu memotong daging. Kerana menghormati dua lelaki itu,
Ainul Mardhiah memaksa dirinya untuk menjamu selera walaupun tekaknya tidak
sudi berbuat begitu. Kurang asam punya Syed Badiuzzaman! Jaga dia!