AINUL Mardhiah memperlahankan langkahnya bila melihat seorang lelaki sedang
tidur lena di dalam galeri tersebut. Tidurnya mudah sahaja, beralaskan tangan
di atas sofa. Dia melihat jam digital pada telefon bimbit, lima minit sebelum
pukul lapan dan Syed Badiuzzaman sudah berada di sini. Sejak bila agaknya?
Setelah meletakkan beg
sandangnya, Ainul Mardhiah bergerak ke hadapan galeri. Dia menolak langsir di
sebelah kiri dan kanan.
“Kau buat apa, Ain?”
Suara serak seorang lelaki menyapa telinganya, lalu Ainul Mardhiah menoleh
ke arah sofa, tempat lelaki itu berbaring sebelum ini. Matanya masih terpejam
rapat, atau dia salah dengar? Lalu soalan itu dibiarkan tidak berjawab kerana
dia ligat menarik fabrik untuk dipotong. Oleh kerana dia masih tidak dapat
mengukur badan Syed Badiuzzaman, hari ini dia hendak menyiapkan tali lehernya
sahaja.
“Ainul Mardhiah.” Panggil suara itu, kali ini lebih keras berbanding
sebelumnya. Ainul Mardhiah terkejut. Dia memang panggil aku rupanya. Bisiknya
sendiri. Ainul Mardhiah meninggalkan kerjanya lalu menghampiri majikannya.
“Ya, Tuan Muda Syed Badi.”
“Tolong belikan aku sarapan. Kepala aku sakit.” Adunya, mengalih badan lalu
duduk bersandar.
“Oh...boleh! Tuan Muda Syed Badi nak makan apa?”
“Apa saja.”
Ainul Mardhiah mengangguk. Dia mengambil dompet dari beg sandangnya.
Sebelum melangkah keluar, dia melihat baki duit yang ada. Beberapa keping
matawang Euro masih tersisip elok di dalamnya. Dia mencari lagi dan terlihat
dua keping not sepuluh di dalamnya. Cukuplah untuk sarapan pagi Syed
Badiuzzaman serta makan tengah hari dan malam aku hari ni.
KETIKA dia menolak pintu
cermin itu, Syed Badiuzzaman telah siap menukar pakaiannnya. Dia nampak lebih
kemas berbanding sebelumnya. Barangkali lelaki itu mandi di bilik atas
memandangkan galeri itu sebuah rumah teres dua tingkat di hadapan jalan besar.
Akses ke kedai sangat mudah biarpun hanya berjalan kaki.
“Ini sarapannya. Tuan Muda Syed Badi nak makan di mana? Saya tolong
hidangkan.”
“Kau makan saja, aku nak masuk office.
Dapat urgent call tadi.” Beritahu
Syed Badiuzzaman sambil membutang lengan bajunya. Dia menyorot pandangan ke
arah Ainul Mardhiah, namun tiada suara yang keluar dari mulut itu.
“Kenapa?” Soalnya bagai dapat menghidu tanda tanya pada wajah Ainul
Mardhiah.
“Tuan Muda Syed Badi dah okay ke?”
“Aku? Okay, kenapa?”
“Tadi tu...” Ainul Mardhiah tidak dapat menghabiskan soalannya. Bila dia
melihat sorotan mata majikannya, hatinya dipalit resah.
“Oh, itu tadi. Sekarang aku dah okay. Aku minum susu dalam peti tu tadi.”
“Oh!” Dia menjawab sepatah.
Mindanya menerawang ke arah peti ais. Ya, air susu segar satu liter itu
masih berbaki separuh lagi. Tak apalah jika Syed Badiuzzaman sudah kembali
segar. Mungkin cara tidurnya tadi yang membuatkan kepalanya sakit. Ainul
Mardhiah membuat kesimpulan sendiri.
“Err... sebelum Tuan Muda Syed Badi keluar, boleh saya ambil ukuran badan
Tuan Muda Syed Badi dulu?”
“Nanti aku datang semula. Kau buat apa tadi? Habiskan saja kerja tadi.”
Putus majikannya sebelum melangkah ke arah pintu.
“Saya ingat nak siapkan tali leher Tuan Muda Syed Badi.”
“Thumbs up. Jangan lupa kunci
pintu. Galeri ni bukan tempat orang luar keluar masuk.” Pesannya lagi sebelum
keluar. Ainul Mardhiah kembali sepi. Jika tadi, ada juga teman untuk berbual,
biarpun perbualan mereka beku, dan kini? Dia sendirian lagi.