Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 5

“ARGHH! Ini saja yang awak boleh buat untuk saya?” Tanya Syed Badiuzzaman, bengang dengan calon pereka fesyen yang terhegeh-hegeh menyiapkan sehelai kemeja lengan pendek seperti yang dimintanya awal pagi tadi. Dia meninggalkan wanita muda itu selama empat jam bersendirian di ruangan pejabatnya. Dia memberi ruang masa yang panjang untuk melihat hasilnya, namun ketika dia kembali ke dalam pejabatnya, wanita itu masih terkial-kial mereka, malah kain yang diberi pun belum dipotong. Hati mana yang tidak sakit?

“Err...saya belum siap design lagi Tuan Syed.”

“Okay! Kemaskan semua barang kau ni dan bawa balik ke rumah. Aku tak mahu tengok tempat aku berselerak dengan semua kertas-kertas ni. Serabut kepala otak aku!” Balas Syed Badiuzzaman, bengang. Suaranya kedengaran tinggi, membuatkan wanita muda itu ketakutan. Barang-barangnya dikemas terburu-buru sebelum dia terlanggar kerusi. Akibatnya, habis bilik kerja Syed Badiuzzaman bersepah dengan portfolio wanita itu. Bertambah bengkak perasaannya!

“Aku bagi masa sepuluh minit sahaja untuk kau kemas.”

“Bila aku masuk, semua dah beres dan muka kau tak ada lagi dalam bilik ni.” Syed Badiuzzaman memberi amaran kemas. Dia bergegas keluar kerana tidak tahan lagi melihat bilik kerjanya yang bersepah tiba-tiba. Serabut kepala otak! Pintu bilik dikuak dengan kasar, tetapi teringat yang dia masih belum memberi kata putus, lalu dia masuk kembali.

“Sebelum aku lupa..Jawapan aku TIDAK!” Beritahunya dengan kasar sebelum menutup pintu. Lukman yang menanti di luar dipanggil dengan lambaian sahaja.

“Uruskan dia. Pastikan bilik aku kemas dalam masa sepuluh minit.”

“Baik, Tuan Muda Syed!” Jawab Lukman, pantas lalu bergegas masuk ke dalam bilik kerja Syed Badiuzzaman.

Kasihan melihat wanita muda itu mengutip semua hasil kerjanya sebelum ini, Lukman turut membantu. Dia mengemas kembali meja Syed Badiuzzaman yang dipenuhi dengan kertas, pensil dan pensil warna. Pembaris dan tali pengukur dimasukkan ke dalam kotak kecil. Gulungan kain disandar di sudut kanan bilik itu. Apabila semua selesai, dia mendekati wanita muda itu.

“Jangan ambil hati dengan bos, ya? Dia memang begitu, kasar tapi baik hati.”

“Tak apa. Orang kaya memang begitu.”

Jawab wanita itu, tidak memandang muka Lukman, dan tidak juga berterima kasih. Fail yang mengandungi portfolionya dibimbit lalu dia meminta diri untuk pulang. Lukman mengangguk dan memberi senyuman ikhlas, namun ia tidak dibalas. Barangkali rasa sakit dihati lebih banyak berbanding rasa hendak berterima kasih. Lukman faham dan tidak mengambil hati. Dia hanya mampu mengahntar langkah wanita itu dengan doa agar wanita itu cepat mendapat kerja dan beroleh majikan yang hebat, jauh lebih baik berbanding Syed Badiuzzaman.

Menungannya tidak lama, kerana pintu dikuak. Muncul si pemilik diri yang dikutuk dengan muka cemberutnya. Hodoh! Lukman sempat mengutuk dalam hati.

“Dah balik?”

“Dah.” Angguk Lukman pantas. Entah mengapa, dia rasa ingin memberi sedikit nasihat kepada Syed Badiuzzaman walaupun lelaki itu tidak memerlukannya.

“Eloklah! Serabut kepala otak aku tengok muka dia.” Bebelan Syed Badiuzzaman tertangkap dek telinganya.

“Tuan Muda Syed kena banyak beristighfar, marah-marah tak baik untuk kesihatan.” Lukman cuba masuk jarum. Dia hendak tengok sama ada Syed Badiuzzaman makan saman atau tidak kerana sebelum ini dia belum pernah mencuba.

“Memang aku marah! Nak jumpa designer bagus pun susah. Yang datang entah apa-apa!”

“Bagi empat jam pun tak boleh? Asyik nak design aje, bila nak mula kerja kalau begitu?” Rungut Syed Badiuzzaman lagi. Kali ini dia menghenyak punggungnya ke atas sofa. Tiada hati hendak bekerja bila moodnya disentap begitu. Lukman pun tidak jadi hendak nasihat lagi. Kasihan pula melihat Syed Badiuzzaman memejam mata, dengan tangan di atas kepala.

“Misi mencari masih diteruskan ke, Tuan Muda Syed?”

Yes! Sampai aku jumpa... Aku akan ikat dia ketat-ketat. Biar dia berkhidmat untuk aku selama-lamanya.”

Syed Badiuzzaman membuka kembali matanya. Anehnya, wajah pekerja wanita di stesyen minyak Hentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol yang bermain di mata.

“Apahal pulak aku ni?” Tanyanya sendiri.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.