Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 31

“I terpaksa tinggal di sini dua minggu, Tuan Muda Syed Badi.” Ujar Hana ketika mereka berjalan beriringan menuju ke tapak pemasangan kabel di daerah Ha Noi. Di hadapan mereka, enjin jengkaut telah bersiap sedia untuk menjalankan tugasnya. Pekerja mereka kali ini terdiri daripada penduduk tempatan yang diupah secara kontrak untuk melaksanakan kerja-kerja mengorek dan memasang kabel. Kosnya sudah tentu lebih murah berbanding membawa pekerja dari Malaysia.

“Apa nak buat? Kau PM nya.” Balas Syed Badiuzzaman akhirnya. Hana tersenyum sahaja.

“Berapa kedalaman ni?” Tanya Syed Badiuzzaman lagi.

Dia nampak banyak tanda-tanda lurus di sepanjang kawasan yang hendak digali, nun sehingga di hujung sana. Ketika dia merujuk peta, kawasan yang hendak digali adalah sejauh dua puluh tiga kilometer.

“Saiz standard, Tuan Muda Syed Badi.” Jawab Hana, sambil memberi isyarat agar kerja-kerja mengorek dengan jengkaut dimulakan.

“Tuan Muda Syed Badi berapa lama di sini?”

“Petang ni aku balik. Lusa aku nak ke Penang pulak.”

“Oh...sekejap sangat! Ingatkan nak belanja Tuan Muda Syed Badi makan.”

“Aku tak suka dibelanja perempuan. Nampak menyedihkan.” Pantas Syed Badiuzzaman menjawab. Hana merenungnya kembali. Ada senyuman di hujung pandangan itu.

“Kasihan saya, Tuan Muda Syed Badi. Tak ada teman di sini. Nak berkawan, tapi semuanya orang Vietnam. Ingatkan Tuan Muda Syed Badi lama di sini. Adalah saya teman berbual.”

“Aku banyak kerja lain, Hana.” Bidas Syed Badiuzzaman. Dia tidak mahu melayan topik tak ada kena mengena dengan bidang kerja itu lantas berjalan mampir ke arah jengkaut. Seorang penyelia didekati. Hanya penyelia itu sahaja yang boleh ditanya memandangkan dia sahaja yang fasih berbahasa Inggeris.


“KALAU Syarifah Adelia ini, memang saya setuju sangat.”

“Rupanya lawa, pendidikannya tinggi, seorang doktor, sejuk hati bonda kalau Syarifah Adelia jadi pasangan Syed Badi.” Puji Syarifah Abiyah, sambil memandang ke arah Syarifah Salwa, sahabat baiknya semenjak di sekolah rendah lagi.

“Macam pinang dibelah dua, kan?” Tanya Syarifah Salwa pula. Mereka berdua saling menatap gambar anak masing-masing. Ada kegembiraan yang terpancar di wajah keduanya.

“Tapi, Syarifah Adelia ni dah berpunya ke? Nanti marah pulak tuan punya badan kalau kami datang meminang.” Luah Syarifah Abiyah, bimbang. Anak dara itu lawa dan jelita, mewarisi emaknya, mustahil pula jika tiada lelaki yang menaruh harapan.

“Eh, Jangan dirisau pasal Syarifah Adelia! Orangnya mendengar kata. Pilihan mama dan papa selalu terbaik buatnya.”

“Betul ni?”

“Betulll! Tak percaya, nanti balik ni, kita tanya dia. Kalau dia setuju, terus boleh masuk meminang.”

“Kalau dia tak setuju?” Tanya Syarifah Abiyah, masih diburu bimbang. Terasa tangan kanannya digenggam lembut oleh teman lama. Dia memandang wajah teman lama yang sudah dimamah usia.

“Kan kita dah kata, jangan dirisau.”

“Manalah kita tak risau, Salwa. Syed Badi tu dah umur tiga puluh dua pun. Dia mana ada masa nak cari calon. Kawan dari kalangan orang biasa-biasa mungkin ada, tapi kita nak cari yang pangkalnya nama Syarifah dan berbintikan Syed.”

“Iya...Kita faham. Kalau kahwin dengan orang biasa, sampai anak kita ajelah keturunan Syed tu. Cucu-cicit kita tak ada darah Syed-Syarifah lagi.” Syarifah Salwa pula menambah.

Dia sendiri berkahwin dengan keturunan Sheikh, sebab itu dia mahu Syarifah Adelia dan anak-anak yang lain mengikut jejaknya. Jika mereka tak dapat menemukan pasangan yang berketurunan Syed, biar dia sahaja yang cari. Tengok sahaja sekarang! Dia bisa mencari pasangan untuk Syarifah Adelia.

Keluarga Syed Al Hadad bukan keluarga sembarangan. Keturunannya datang dari Tanah Arab. Mereka berdagang di Tanah Melayu sewaktu Melaka menjadi pusat perdagangan kurun ke lima belas dahulu. Mereka menetap lama di tanah Melayu, sehingga cicit mereka Syed Ali Al Hadad berkahwin dengan anak tempatan dan mewarisi harta ayahandanya. Kini, harta pusaka beralih kepada anaknya pula, Syed Abu Dzar Al Hadad yang lebih bijak. Mereka bertambah kaya disebabkan Syed Abu Dzar bijak berniaga. Putera-puteri mereka pula, dua orang itu sahajalah. Syed Badiuzzaman Al Hadi serta Syarifah Afeefa.

“Ya, betul! Itulah yang kita bimbang sangat. Dengan Syed Badi, kita tak bimbang sangat Salwa, si Afeefa tu! Sekarang dah sibuk nak tinggal di luar. Apa yang kita kata, semua ditentangnya. Tak suka betul dia dengan apa yang bonda dia suruh buat. Esok, calon suaminya entah bagaimana lah!” Luah Syarifah Abiyah.

Kalau tadi, dia sibuk memikirkan tentang Syed Badiuzzaman, rasanya Syarifah Afeefa lebih meletihkan. Anak itu tidak bersetuju dengan hampir semua perkara. Agaknya kalau tak dipujuk, dah lama dia duduk di kondominium yang dibeli Syed Badiuzzaman buat adiknya.

Previous: Bab 30
Next: Bab Akhir

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.