Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 24

DUA tiga hari ini kerjanya hanya mengemas galeri sahaja. Fabrik mengikut jenis telah siap disusun di atas rak. Ainul Mardhiah tidak banyak sangat berkerja kerana galeri khas milik Syed Badiuzzaman itu telah siap dideko. Dia hanya menyusun fabrik sahaja. Dia puas hati, semua barang yang diminta, cepat sampai pada tangannya. Semua dilakukan dengan bantuan Lukman, yang sering berulang alik bertanya khabar dan keperluan.

“Assalammualaikum, Ain. Dah sarapan?” Tanya Lukman ketika menolak daun pintu cermin tersebut. Ainul Mardhiah mengukir senyuman cuma. Lukman selalu sampai pada waktu yang sama hampir dua tiga hari ini.

“Ain dah minum susu segelas tadi, dan dua biji kurma. Cukup untuk alas perut sementara tunggu makan tengah hari.” Terang Ainul Mardhiah sambil sibuk melilit kain pada patung.

“Cukup ke Ain, makan kurma dua biji?”

“Cukup...sebab Ain dah biasa. Lagipun kurma kan makanan berkhasiat. Setakat ni Ain tak ada masalah disebabkan makan dua biji kurma setiap pagi.”

“Oh...selalu Luk makan kurma bulan puasa saja. Tak pernah jadikan kurma sebagai makanan rutin.”

“Cubalah Luk, kalau nak dapat tenaga serta merta, kurmalah jawapannya.” Terang Ainul Mardhiah lagi. Ainul Mardhiah siap mengemaskan lipatan kain di bahagian tengkuk patung itu. Kemudian, dia kembali ke meja peribadinya, mendapatkan sebotol kecil kurma yang sentiasa dalam simpanannya.

“Nah, makan kurma ni!”

“Eh, buat susah aje, Ain ni!”

Ainul Mardhiah tertawa bila Lukman bagai mengelak. Dia tolong membuka penutup botol itu sebelum mengeluarkan sebiji kurma buat teman seperjuangannya. Malu-malu pula Lukman mengambil buah kurma yang dihulur Ainul Mardhiah buatnya.

“Emm...Luk! Bila Tuan Muda Syed Badi nak ke mari? Ain nak ambil ukuran badannya. Ukuran seluarnya hari tu Ain tak simpan.”

“Minggu ni Tuan Muda Syed Badi tak ada. Dia ke Vietnam. Hujung minggu ni baru dia balik. Tak apalah, Ain kemas-kemas aje galeri ni. Nanti dia datanglah tu.”

“Oh, Vietnam!” Sebutnya, perlahan.

Entah mengapa, mindanya membayangkan Syed Badiuzzaman ke Vietnam bersama seorang wanita cantik. Pasti cantik, kerana Syed Badiuzzaman orang kaya. Takkan dia hendak memilih wanita biasa sebagai pasangannya? Atau dia memang sudah berpasangan? Eh, kenapa aku sibuk tentang Syed Badiuzzaman ni? Aku designernya sahaja!

Tapi mengapa cebisan memori di Paris menerpa ingatanku? Syed Badiuzzaman yang cengeh. Syed Badiuzzaman yang suka memaksa dan Syed Badiuzzaman yang suka mengganggu lenaku, tapi tak lupa Syed Badiuzzaman yang baik hati.

“Senyap aje, Ain! Ingatkan siapa tu?” Usik Lukman, membuatkan Ainul Mardhiah tersenyum sahaja. Teringat Syed Badiuzzaman tetapi bukan apa-apa.

“Ingatkan siapa?” tanya Ainul Mardhiah kembali. Lukman tersengih sahaja. Dia berniat hendak mengusik lagi.

“Ingatkan buah hati, ya?”

“Ala...buah hati pulak Luk ni. Kerja pun baru lekat, ada hati nak berbuah hati.”

“Orang sekarang tak kira kerja, Ain. Budak sekolah pun ramai yang berbuah hati. Ain yang dewasa ni, takkan tak ada kot? Malulah dengan budak sekolah.” Usik Lukman lagi. Dia ikut ketawa bila Ainul Mardhiah tertawa.

“Luk tu...buah hati orang mana? Nak tengok gambar, boleh?” Giat Ainul Mardhiah, tidak mahu mengalah juga. Lukman segera mengeluarkan telefon bimbitnya. Gambar emak ditunjukkan kepada Ainul Mardhiah.

“Ini...macam gambar mak orang. Buah hati Luk, mak orang, ya?”

“Ya...Buah hati Luk ni mak orang, mak kandung Luk sebenarnya. Inilah buah hati yang Luk ada.” Jelasnya lalu mengambil telefon bimbit yang dikembalikan Ainul Mardhiah kepadanya.

“Ohhh...” kata Ainul Mardhiah, tersengih kerang.

“Sebenarnya Ain pun ada jugak buah hati, tapi Ain segan nak mengaku pada Luk. Bila tengok Luk tak malu-malu, hilang pulak malu Ain. Luk nak tengok tak gambar buah hati Ain?”

“Eh, mestilah! Luk memang dah agak. Orang secantik Ain, takkan tak ada buah hati, kan?” Cepat Lukman menyahut. Dia menanti telefon bimbit beralih tangan.

“Tapi buah hati Ain ni nampak macam bapak orang sikit.”

“Ha ha ha. Mesti bapak kandung Ain ni.” Teka Lukman setelah melihat gambar seorang lelaki tua dalam galeri telefon bimbit Ain. Ainul Mardhiah mengangguk lalu ketawa gembira. Terkena jugak aku dengan Si Ain ni!

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.