SELEPAS insiden mengejutkan tiga hari lepas, Syed Badiuzzaman tidak lagi
mengunjungi galeri seperti kebiasaan. Dua helai kemeja dan sehelai t shirt yang
siap pun hanya diambil oleh Lukman sahaja.
“Luk, boleh tak Ain nak kirim nota untuk Tuan Muda Syed Badi?” tanya Ainul
Mardhiah, setelah membuat keputusan. Barangkali Syed Badiuzzaman masih terkesan
dengan sikapnya tempoh hari.
“Ain boleh pesan kat Luk aje. Nanti, Luk sampaikan pesanan Ain tu.”
“Kalau gitu, Ain tulis. Luk tunggu, ya?”
“Okay.” Jawab Lukman, mengintai juga apa yang ditulis Ain sambil
memanjangkan kepala, namun Ainul Mardhiah bertindak lebih pantas. Dia menutup
notanya dengan sebelah tangan.
“Ohhhh...ada rahsia ehem-ehem dengan Tuan Muda Syed Badi, ya?” Usik Lukman
sambil menggoyang-goyang jari telunjuk kanannya.
“Ehem-ehem?” Tanya Ainul Mardhiah kembali. Dia tertanya-tanya apa yang
dimaksudkan dengan ehem-ehem itu.
“Eleh...Ain ni, buat tak tahu pulak! Luk rasa ada kisah manis antara Ain
dan Tuan Muda Syed Badi, betul tak?”
“Pandai-pandai aje Luk ni tau. Gosip orang! Tak baiklah.” Bidas Ainul
Mardhiah, mengunci rapat kisah mereka berdua. Baginya, segala sikap Syed
Badiuzzaman, yang baik atau buruk, tak perlulah dipanjangkan kepada orang lain.
Nanti, ianya hanya merumitkan sahaja. Paling dikhuatiri, kalau ia memakan diri.
Jadi, senyap mungkin terapi terbaik buat dirinya.
“Tak payahlah Ain sorok...Luk ni PA Syed Badiuzzaman.”
“Selalu Tuan Muda Syed Badi yang datang ke sini, kalau dia hantar Luk ke
sini, mesti ada yang tak kena ni.”
“Nota ni Ain isi dalam poket baju Tuan Muda Syed Badi. Luk kena amanah
tau.” Ainul Mardhiah sempat berpesan. Lukman sengih sebelum meminta diri untuk
beredar. Ainul Mardhiah melepas keluhan di atas sofa. Dia melihat jam di
tangan, menginjak ke angka empat petang. Ainul Mardhiah berkira-kira hendak
mengemas galeri sementara rutin hariannya selesai dilaksanakan.
“SAY no to marah! Big smile,
Tuan Muda Syed Badi.”
Nota kecil yang diberi Ainul Mardhiah dibaca perlahan oleh Syed
Badiuzzaman. Matanya juga sempat membelek dua gambar orang lidi. Satu, dengan
muka marah, yang telah dipangkah Ain, dan satu lagi, gambar orang lidi dengan
senyuman lebih panjang dari badannya. Sedikit senyuman tersungging di bibir,
namun tidak lama. Sayangnya, dia berkejaran ke Vietnam, bertujuan untuk
memantau perkembangan projek pemasangan kabel bawah tanah yang baru berjalan
dua minggu lepas. Jika tidak, dia pasti menjenguk Ainul Mardhiah di galeri.
Semua gara-gara nota manis Ainul Mardhiah itu.
“Ain apa khabar?” Tanya Syed Badiuzzaman kepada Lukman. Setiap kali pulang
dari galeri, soalan itu yang akan ditanya oleh Syed Badiuzzaman.
“Ain sihat aje.”
“Kadang-kadang saya tengok Ain, kesian betul.” Kata Lukman, cuba masuk
jarum. Syed Badiuzzaman tidak membuka mulut, hampir Lukman beralah sahaja,
namun soalan kedua majikannya buat Lukman lega.
“Apa yang kau kasihan?”
“Dia nampak kesunyian betul. Tak ada kawan.”
“Biarkan.” Syed Badiuzzaman menjawab mudah. Di tubir matanya memang wajah
Ain yang bersendirian kelihatan.
“Tuan Muda Syed Badi jangan marah kalau saya beri cadangan.”
“Ikut akulah nak marah atau tidak.” Jawab Syed Badiuzzaman seperti selalu.
Lukman terdiam sekejap. Lama juga dia mengambil masa untuk meluahkan
cadangan yang berputaran di kepala lewat sehari dua ini.
“Kenapa Tuan Muda Syed Badi tak
biarkan Ain bebas berkarya? Tak salah rasanya kalau galeri tu dibuka pada umum,
pada sesiapa saja yang nak dapatkan khidmat Ain. Tuan Muda Syed Badi juga yang
dapat jana keuntungan.”
“Aku dah kata, kan, galeri tu aku punya. Buat apa aku kongsi Ain dengan
orang lain?”
Jawapan Syed Badiuzzaman kali ini membuatkan Lukman menganga. Apa maksud
Syed Badiuzzaman tidak mahu berkongsi Ain dengan orang lain? Seolah-olah Ain
itu barang simpanan Syed Badiuzzaman pula
.
“Ain tu berbakat.”
“Kalau tak ada apa-apa, kau buat kerja kau. Aku nak jumpa PM Team C.”
“Ya, saya keluar dulu.”Lukman mengalah dan membiarkan Syed Badiuzzaman
berkerja.
Dia menunggu Syed Badiuzzaman di
luar sementara menanti keberangkatan majikannya ke lapangan terbang lebih
kurang setengah jam lagi. Itulah rutin hariannya, menunggu arahan Syed
Badiuzzaman dari semasa ke semasa.