Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 9

SEHINGGA tiba ke rumah lewat petang itu, Syed Badiuzzaman masih belum menanggalkan seluar yang disiapkan oleh Ainul Mardiah buatnya. Dia rasa selesa, atau mungkinkah kerana Ainul Mardhiah berjaya mengisi kelayakan yang sedang dicari?

“Syed Badi belum bersiap?” Tegur Syarifah Abiyah kepada anak sulungnya. Anak itu masih berseluar kerja dan bersinglet. Syed Badiuzzaman menggeleng kemudiannya.

“Kita nak ke majlis makan malam bersama keluarga Sheikh Basit Al Amin. Bonda dengar anak keduanya, Syarifah Adelia baru pulang dari Rusia. Syed Badi bersiap ya?”

Syed Badiuzzaman menggeleng. Sesekali terasa ingin hidup bebas dan buat apa sahaja yang dia suka. Dia sudah mencapai usia tiga puluh dua tahun, takkan hendak mengikut ‘ekor’ Bonda Syarifah Abiyah lagi?

“Tak boleh...Syed Badi jangan buat begini pada bonda. Bonda dah janji dengan Sharifah Salwa nak bawa Syed Badi sekali.”

“Tak mahulah bonda. Syed Badi penat betul hari ni.” Tolak Syed Badiuzzaman lantas meniarap di atas sofa. Bonda Abiyah mendekatinya, berusaha untuk memujuk lagi. Kebetulan, Syarifah Afeefa menghampiri mereka berdua di ruang tamu itu.

“Syarifah Feefa bila nak bersiap? Takkan tak ada seorang pun yang nak ikut bonda ke rumah Sheikh Basit Al Amin?”

Syarifah Afeefa juga menggeleng. Dia memang dari dahulu tidak suka mengikut Bonda Syarifah Abiyah ke rumah kaum kerabatnya. Bonda maklum itu, tapi mungkin kerana Syed Badiuzzaman tidak mahu menurut bonda, dia pula yang dijadikan sasaran.

“Ini yang bonda tak suka! Dua-duanya melawan kata bonda. Bonda tak kira, setengah jam lagi, Syarifah Feefa dan Syed Badi mesti siap. Kalau tak, tahulah anakanda berdua.” Gertak Bonda Abiyah, membuatkan Syed Badiuzzaman bingkas bangun. Mahu tak mahu, dia kena ikut juga. Bonda selalu menggertak tidak mahu menurunkan hartanya pada anak yang ingkar dan tak mendengar kata.

“Syarifah Feefa?” Soal Syarifah Abiyah pada anak bongsu, dan juga satu-satunya anak perempuan yang dia ada.

Syarifah Afeefa menjuihkan bibirnya, cukup tidak puas hati dengan ancaman Bonda Syarifah Abiyah. Tinggal di rumah agam itu ibarat tinggal di penjara. Alangkah baiknya kalau dia punya rumah sendiri. Tak boleh jadi begini! Sampai bila aku perlu akur pada ketentuan Bonda Syarifah Abiyah? Kadang kala dia berasa hairan dengan Syed Badiuzzaman, seolah-olah tiada kehendak. Apa sahaja yang dikata Bonda Syarifah Abiyah, diturut tanpa banyak soal. Kalau ada pun, tak terlawan dek abangnya bila Bonda Syarifah Abiyah mengugut.


SYARIFAH Afeefa memberanikan diri. Dia hendak bercakap sendiri dengan Syed Badiuzzaman. Manalah tahu, kot Syed Badiuzzaman akan menyokongnya kali ini.

Tuk! Tuk! Tuk!

“Siapa?”

“Feefa!”

“Masuk!” Suara itu memberi arahan dari dalam. Ketika daun pintu ditolak, Feefa dapat melihat susuk tubuh Syed Badiuzzaman masih berbaring di atas katil.

“Abang Badi, Feefa nak cari rumah bujanglah.”

Syed Badiuzzaman membuka matanya perlahan-lahan. Syarifah Afeefa bagai memberi isyarat sahaja. Dia bangun lalu duduk bersandar di atas katilnya. Syarifah Afeefa juga duduk sama di sisinya.

“Feefa nak duduk sendiri? Kenapa?”

“Abang tak rasa ke apa Feefa rasa?”

“Feefa rasa apa?” Syed Badiuzzaman bertanya, ingin memahami dengan lebih lanjut tentang perasaan adiknya.

“Feefa rasa kita dikongkong. Kita kena buat apa yang bonda tentukan untuk kita, tapi tak boleh buat apa yang sesuai dengan jiwa kita. Abang tak rasa ke apa yang Feefa rasa?”

“Rasa juga kadang-kadang, tapi abang masih okay.”

“Okay?? Gila!” Luah Feefa, dengan biji mata besarnya dipaku pada wajah Syed Badiuzzaman. Terdengar tawa dari abangnya.

“Kalau begitu, biar Feefa aje yang pindah dari rumah ni. Abang duduk rumah jaga bonda dan ayahanda tau.”

“Amboi!” Balas Syed Badiuzzaman sepatah, namun isu yang diutarakan Syarifah Afeefa segar di fikirannya. Kali ini, dia bagai ingin bersetuju dengan Syarifah Afeefa. Tiga puluh dua tahun hidup, dia hanya membuka mata di rumah itu, Walaupun sempat menyambung pelajaran di luar negara, tempoh berada di rumah lebih banyak berbanding tempoh hidup berdikari di luar, lalu wajah Syarifah Afeefa dipandang lagi.

“Feefa nekad ke?”

“Ni Feefa nak aku janji depan abang...abang dengar, ya? Bahawasanya saya, Syarifah Afeefa binti Syed Abu Dzar Al Hadad dengan ini ingin berlaku jujur dengan abang saya, Syed Badiuzzaman Al Hadi bin Syed Abu Dzar Al Hadad bahawa saya tidak suka dengan segala karenah dalam keluarga Abu Dzar Al Hadad. Biarlah saya tidak punya harta sekalipun, saya hanya inginkan kebebasan dan buat apa yang saya suka. Paling penting, saya tak suka diseret dalam parti kaum kerabat Al Hadad! Tak suka, tak suka dan tak suka!” Bentak Syarifah Afeefa di hujung aku janjinya.

Syed Badiuzzaman hanya menggeleng. Kasihan pula akan adik bongsu yang seorang itu. Patutlah Syarifah Afeefa selalu membentak, mungkin tahap kegembiraan telah lama lenyap dek perangai bonda yang suka mengancam. Kalaulah ayahanda Syed Abu Dzar Al Hadad juga begitu, pasti Syarifah Afeefa tambah parah.

“Nanti abang slow talk dengan ayahanda. Ayahanda lebih terbuka berbanding bonda. Sebelum tu, Feefa kena bersiap! Suka tak suka, kita kena teman bonda malam ni. Kalau anak-anaknya tak bersama bonda, jatuh pulak air muka bonda nanti.” Pesan Syed Badiuzzaman bersama janji. Syarifah Afeefa kembali ceria bila Syed Badiuzzaman hendak membantu.

“Yelah, yelah!”

Jawab Syarifah Afeefa, malas. Dia bangkit dan mula menapak, tetapi tidak jauh kerana dia berpatah kembali mendapatkan Syed Badiuzzaman yang kebetulan sedang menggeliat.

Thank you, abang! Sayang abang!” Ucap Syarifah Afeefa sambil memeluk Syed Badiuzzaman dari tepi. Syed Badiuzzaman terkejut tetapi cepat mengawal perasaan itu. Tidak pernah Syarifah Afeefa menterjemahkan perasaan sayang pada abangnya, begitu juga dengan dirinya, namun dia menolak jauh sebarang prasangka. Dia senyum sambil memeluk kembali bahu Syarifah Afeefa.

“Cepat siap!” Pesan Syed Badiuzzaman lagi.

“Feefa dah mandi. Abang tu! Tak pernah-pernah pakai seluar kerja sampai lebam, kenapa tiba-tiba pulak ni?”

“Selesa.” Jawab Syed Badiuzzaman, selamba.

“Selesa sampai tak bukak-bukak? Biar benar?”

“Abang rasa, abang dah jumpa designer abang. Tapi-”

“Abang reject dia, ya?” Teka Syarifah Afeefa.

Dia hanya menggeleng kepala walaupun Syed Badiuzzaman belum mengiyakan pertanyaannya. Syarifah Afeefa tahu. Syed Badiuzzaman tidak perlu memberitahu kerana dia kenal sikap abangnya yang cerewet.

“Abang jangan buat keras kepala abang sangat! Abang tu dah lah cerewet. Abang dah jumpa dia, tapi abang reject dia. Feefa rasa, satu Malaysia abang pusing pun, abang takkan jumpa lagi designer macam dia. Yang boleh buat abang berpakaian, tak tanggal seminggu pun tak apa!”

“Ah, takkan lah seminggu tak tanggal! Pandai sangat Feefa ni.”

“Tak caya? Tengok sekaranglah!” Bidas Syarifah Afeefa sambil menunjukkan seluar yang sedang dipakai oleh Syed Badiuzzaman. Syed Badiuzzaman menggeleng, kemudian dia menolak Syarifah Afeefa keluar dari biliknya secara bergurau.

“Dah, dah! Jangan banyak komen orang! Pergi bersiap sebelum bonda berbunyi kali kedua.”

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.