Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 26

SETELAH berhempas pulas menahan mata yang amat mengantuk, akhirnya Idan berasa lega. Mereka telah selamat sampai ke rumah.

“Awak, kita dah sampai,” kejut Idan sambil menanggalkan tali pinggang keledar.

Safi yang mudah tersedar terkebil-kebil.

“Dah sampai rumah saya ke?”

“Rumah umi saya lah. Takkan saya nak hantar awak balik tengah malam buta macam ni? Nanti apa pulak orang lain kata,” jawab Idan.

“La… rumah umi ke?” keluh Safi sambil menggeliat.

Seketika baru dia teringat yang kereta Myvinya ditinggalkan di sini. Memang patut pun Idan tidak menghantarnya ke Selayang Bahru.

“Dah, jangan banyak cakap. Cepatlah keluar,” arah Idan.

“Sabarlah,” rungut Safi.

Dia memang suka datang ke rumah umi, tetapi bukan pada waktu malam seperti sekarang. Nanti kena tidur di katil yang dia tidak biasa, memang tidak lenalah dia.

Sampai di muka pintu, Idan tercari-cari pula kunci rumah. Selalunya ada sekali dengan kunci kereta. ‘Aduhai… macam mana boleh tercicir pulak?’ Dia berbicara sendiri. Hari ini memang semua perkara serba tidak kena. Ada sahaja perkara luar jangka yang menimpa.

Tiba-tiba pintu telah dibuka dari dalam. Umi Hasnah sudah terpacak dengan senyuman di bibir.

“Alhamdulillah dah selamat sampai. Cepat masuk Safi, nanti kena embun pulak,” jemput Umi Hasnah.

Safi segera menyalami tangan wanita itu.

“Jom ke bilik umi. Hari ni tidur dengan umi aje,” ajak Umi Hasnah tanpa mempedulikan anak bujangnya.

Safi menurut sahaja. Dia suka juga dapat tidur di bilik umi, tak adalah kena kacau pagi-pagi esok. Andai tidur di bilik tamu, nanti ada pula yang tukang ketuk dan tidak bagi dia berehat lama-lama. Silap-silap dia disuruh masuk kerja pakai baju semalam andai dia berbohong dan beritahu tidak ada baju persalinan.

Idan pula terus terlopong. Dia sedikit terkilan apabila uminya bagai tidak kisah langsung tentang dirinya. Bertanya khabar pun tidak. Gadis itu juga yang menjadi keutamaan.

Sudahnya dia melangkah laju menuju ke bilik. Perasaan di hati geram dengan Safi. Kini gadis itu sudah pandai mencuri hati uminya pula. Itu yang membuat dia bertambah bengang.


“SEDAP mihun yang umi masak,” puji Idan sambil makan dengan berseleranya. Malam tadi selepas membersihkan diri, dia terus terlena.

“Makan, makan…” ucap Umi Hasnah yang turut tersenyum.

Idan makan seolah-olah seperti dalam kelaparan. Lagipun semalam dia cuma makan dalam perjalanan balik. Apabila makan di restoran biasa, memanglah tidak begitu kena dengan seleranya.

“Malam tadi pukul berapa kau orang sampai rumah?” Hajar yang baru turun terus bertanya. Dia mengambil tempat di sebelah uminya.

“Dekat pukul 1.00 pagi jugak la,” beritahu Idan sambil menambah mihun di pinggan.

“Wow! Mihun istimewa,” tutur Hajar sebaik terpandang mihun yang terhidang.

“Memang istimewa, umi bubuh rencah apa? Rasanya lain dari yang biasa umi masak,” puji Idan.

“Umi suruh tukang masak tambah rencah kasih sayang. Sebab tu yang sedap gila!” beritahu Umi Hasnah dengan selambanya.

Wajah Idan terus berubah. Apabila uminya berkata begitu, sudah tentulah bukan uminya yang memasak mihun istimewa itu.

“Macam mana Kak Hajar, okey tak mihun yang saya masak?” tanya Safi sambil menarik kerusi.

Sebentar tadi dia ke bilik. Umi Hasnah sudah memuji keenakan mihun gorengnya, hatinya berbunga-bunga. Abang seri pula, lebih baik tidak payah ditanya!

“Secukup rasa dan sedap sungguh!” puji Hajar sambil memandang Idan dengan ekor mata. Mahu tahu juga reaksi adiknya itu.

“Hmm… Mariam dah sihat?” Idan mengubah topik perbualan. Mujur ketika dia memuji keenakan mihun goreng, Safi tiada bersama. Andai kata dia ada sekali, bertambah kembanglah minah sorang tu!

“Dah kebah sikit. Semalam akak mintak izin bawa dia balik ke rumah. Biar rehat kat rumah aje. Lagipun hari ni Jumaat, Sabtu dan Ahad memang cuti,” beritahu Hajar.

“Harap-harap Mariam akan cepat sembuh. Sekarang ni, kalau demam aje kena berhati-hati, takut melarat pulak,” sampuk Safi pula.

“Tulah, lepas hantar Safi kat pejabat Datuk Kamal, terus akak pecut. Memang hati dah risau semacam. Tak tahulah berapa surat saman akan akak terima,” beritahu Hajar.

Pantang ada peluang, dia memang asyik memotong kenderaan lain. Gara-gara mahu cepat sampai, memandu dengan kelajuan 140km/jam pun tidak terasa laju.

“Insya-ALLAH Mariam tu okey. Dia tu kuat semangat macam mama dia jugak!” ujar Umi Hasnah pula. Pagi tadi, semasa dia ke bilik Mariam, demamnya sudah berkurang.

“Hari ni Idan nak masuk ofis jugak ke?” tanya Hajar pula.

“Akak ni… takkan saya nak masuk ofis pulak? Dahlah penat memandu tak habis lagi.”

“Mana tahu, adik akak ni kan gila kerja?”

“Gila kerja tak apa, jangan gila bayang sudah!” ujar Idan sambil menjeling Safi.

“Gila bayanglah bagus. Semakin dikejar, semakin tak dapat. Barulah otak menjadi aktif dan berfikir bagaimana hendak mendapatkannya.” Sengaja Safi berkata begitu kerana menyedari Idan sememangnya mahu menyindir dirinya.

“Hajar tertawa mendengarnya. Begitu juga dengan Umi Hasnah. Mereka ketawa bukanlah sebab apa yang Safi sampaikan itu melucukan, tetapi wajah Idan yang sudah berubah cemberut!

Sebelum dirinya dikenakan oleh tiga wanita yang sudah kamceng, Idan terpaksa bangun dan membawa diri ke tempat lain. Satu lawan tiga, memang sah-sah dia akan kalah!

“Safi janganlah ambil hati dengan anak umi tu. Idan tu memang lain sikit. Orang nak bergurau, dia selalu ingat orang tu nak sakitkan hati dia,” ujar Umi Hasnah.

“Saya okey aje umi. Dah biasa dengan perangai Encik Idan tu. Tak ada hallah,” balas Safi.

“Yalah, kalau kena dengan orang yang tak faham, mesti dia orang ingat Idan ni tak berapa betul,” tutur Umi Hasnah.


SETELAH bersarapan, Safi mengambil angin di beranda pula. Sebenarnya dia mahu segera pulang ke rumah, tetapi Umi Hasnah menahannya. Wanita itu hanya membenarkan dia pulang setelah makan tengah hari nanti.

Apabila kebosanan melanda, dia berjalan-jalan di halaman rumah sambil menikmati keindahan bunga-bungaan yang mekar di taman mini Umi Hasnah. Terdapat pelbagai jenis pokok bunga yang ditanam. Safi suka juga dengan bunga siantan yang kerap berbunga sepanjang tahun.

Dahulu semasa kecil, dia suka mencabut bunga siantan lalu menghisap manisan yang terdapat pada salurnya. Tiba-tiba, dia teringin mengulangi kenangan yang telah lama dilupakan. Dalam satu kuntum bunga siantan, terdapat banyak bunga kecil-kecil. Perlahan-lahan dia memetik bunga siantan, kemudian terus dihisap manisan di dalam bunga itu.

“Hah! Awak buat apa tu?” tegur Idan yang sejak tadi memerhati Safi di taman mini uminya.

“Saja nak jadi lebah menghisap madu,” jawab Safi bersahaja.

“Suka hati awak aje petik bunga tu. Ingat senang ke nak jaga pokok bunga tu?” marah Idan.

“Alah, pokok bunga ni banyak aje tumbuh sendiri kat kampung. Bukan susah nak jaga pun. Lagipun, umi awak dah suruh buat macam rumah sendiri, saya ikut ajelah.”

“Awak ni tak habis-habis nak loyar buruk dengan saya. Saya nak ingatkan awak, jangan sesekali nak buat baik dengan umi saya,” tegas Idan.

“Apalah Encik Idan ni, saya nak tumpang bermanja dengan Umi Hasnah aje. Takkan itu pun tak boleh? Kasih sayang patut dikongsi dan kita tak bolehlah kedekut!” balas Safi.

“Awak tu orang luar, jangan nak berlebih-lebih pulak,” tegur Idan lagi.

“Tak lama lagi dah nak masuk waktu. Encik Idan tak pergi solat Jumaat ke?” tanya Safi pula.

“Karang ada jugak yang kena dengan saya. Pukul 12.00 pun belum, dah masuk waktu pulak! Agak-agaklah kalau nak kenakan orang.”

“Mana ada saya nak kenakan Encik Idan?” balas Safi pula. Suka dia dapat buat abang seri berangin.

“Hisaplah sampai habis bunga tu, biar kembung perut awak tu!” ujar Idan dan terus berlalu masuk ke dalam rumah.

‘Sabar ajelah Safi…’ detiknya.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.