SEBAIK keluar dari lif, Safi terus
menuju ke ruang menunggu. Dia duduk sebentar di sofa dan cuba bertenang dengan
perasaan yang melandanya ketika ini. Sia-sia sahaja dia berkejar ke sini dan
akhirnya tetap tiada peluang.
“Eii menyampahnya!” keluh Safi. Sakit
jiwa raganya apabila ditolak mentah-mentah. Lainlah kalau dia ditemu duga
mengikut prosedur dan gagal menjawab soalan berkaitan dengan jawatan yang
dipohon. Ini, duduk pun tidak sempat, sudah ditolak! Mahunya dia tidak meroyan?
Kalau ikutkan hati yang marah, mahu sahaja dia terbalikkan kerusi meja di
hadapan lelaki kerek itu. Memang dia geram tahap maksimum.
Lebih lima minit juga dia melayan
perasaan geramnya. Kemudian, baru dia bangun menuju ke tempat letak kereta yang
terletak di seberang jalan. Dalam hati dia masih lagi membebel pasal kes tadi.
Sebaik berasa haus, dia mengambil keputusan untuk membasah tekak. Langkahnya
bertukar arah dan terus menuju ke restoran berhampiran.
Tiba-tiba, sebuah kereta berhenti mengejut dan nyaris-nyaris
melanggar dirinya. Dalam sekelip mata, rasa geram sudah mengubah mood Safi jadi terkejut bukan kepalang.
Dia bukan sahaja terkaku, malah menggigil kerana terlalu terkejut. Air mata
turut merembes. Entah sedih kerana nasib malang pada hari ini, entah kerana
terselamat dari ditimpa kemalangan.
“Astagfirullahalazim… adik okey?” tanya seorang wanita yang
kelihatan cemas sekali sebaik keluar dari keretanya.
Safi diam sahaja, namun air matanya tetap menitis tanpa
dipaksa. Kini tersembur dan semakin deras. Aduhai, emosilah pulak.
“Dik, kenapa nangis? Adik ada cedera kat mana-mana ke?
Rasanya kereta akak tak langgar adik, kan?” Wanita itu segera membelek tubuh
Safi.
“Tak..” jawab Safi sepatah, kemudian menyeka air matanya
dengan jari. Dia cuba sedaya upaya agar bahunya tidak terhenjut-henjut dek
tangisannya.
“Adik tunggu kat tepi, biar akak alihkan kereta,” pesan
wanita itu dan terus masuk ke dalam keretanya.
Setelah memakirkan keretanya, wanita itu segera mendapatkan
Safi. “Adik ni nak ke mana?” Wajah pucat gadis di hadapannya direnung. Jelas
kelihatan dia dalam keadaan terkejut dansugul.
“Nak pergi minum,” jawab Safi perlahan. Jantungnya masih berdegup laju walaupun dia cuba
tenangkan diri.
“Apa sebenarnya yang dah berlaku ni?” Rasa kasihan yang
terdetik buat wanita itu ingin tahu pasal gadis di hadapannya ini.
“Dah sebulan saya cari kerja, tapi tak dapat-dapat jugak,”
beritahu Safi dengan sebak. Sedih mengenang nasib diri yang sentiasa ditimpa
malang.
“Bersabarlah, mungkin belum rezeki adik lagi,” pujuk wanita
itu sambil mengurut bahu Safi.
“Kalau saya tak layak, saya tak kisah. Ni… belum tanya
apa-apa dah kata saya tak berjaya. Macam mana saya tak sedih?” luah Safi.
Tersentuh hati wanita itu mendengarnya. “Jom, akak belanja
adik makan tengah hari,” pelawanya.
“Tak apalah kak. Saya tak ada selera.” Safi segera menolak.
Walaupun tidak kenal lagi, dia tetap berasa segan dengannya.
“Nak kerja ke tak?” tanya wanita itu pula.
Safi segera memandangnya. Benarkah dengan apa yang baru didengarnya?
“Kalau adik nak, adik boleh kerja dengan akak. Akak memang
tengah cari staf untuk bantu bisnes akak. Jom temankan akak makan. Sambil tu
kita boleh berkenalan,” ajak wanita itu.
“Betul ni?” soal Safi yang masih tidak percaya.
“Tawaran akak tidak selalu datang dalam sekelip mata.” Wanita
itu tersenyum memandang Safi yang tunjuk wajah blur.
Akhirnya Safi mengukir senyuman tanda setuju.
“Kalau macam tu, jom! Tak payah sedih-sedih.”
Safi mengikut sahaja. Hati yang sedih bertukar riang tidak
sampai beberapa minit.
Tiba di restoran, wanita itu menarik kerusi untuk Safi. Safi
berasa segan apabila dilayan begitu.
“Nama akak, Hajar. Panggil Kak Hajar aje. Nama adik?” Wanita
itu perkenalkan dirinya.
“Safi,” jawab Safi perlahan.
“Safi aje?”
“Nama penuh saya, Safi Awadah.”
“Sedap nama adik. Tadi temu duga dekat mana?” tanya Hajar.
Sebentar tadi dia memang cemas sungguh. Nasib dia sempat menekan brek. Kalau
tidak, ada pula yang masuk hospital.
“Syarikat Excel, kat bangunan depan tu,” beritahu Safi.
“I see… mohon
jawatan apa?” tanya Hajar lagi.
“Pembantu peribadi.”
“Macam nilah, lepas ni ikut akak.” Tanpa berfikir panjang,
Hajar terus mempelawa Safi.
“Ikut akak? Ke mana?” Safi memandang tepat ke wajah Hajar,
kurang faham maksud wanita itu.
“Maksud akak, Safi kerja dengan akak aje. Akak memang
perlukan pembantu peribadi pun.”
“Sungguh ke ni?” Safi bagai tidak percaya mendengarnya.
Begitupun dia berasa amat lega.
“Minggu depan boleh mula, tapi hari ni Safi kena temankan
akak balik rumah umi akak.”
“Rumah umi akak kat mana?”
“Tak jauh pun dari sini. Dalam sepuluh minit dah sampai.”
“Hmm… boleh jugak. Saya ikut kereta akak,” putus Safi tanpa
berfikir panjang.
“Okey. Nanti boleh kenal-kenal dengan umi akak. Dia memang
suka sangat kalau ada tetamu datang bertandang,” beritahu Hajar dengan ceria.
“Hari ni akak tak kerja ke?”
“Akak memang cuti. Tadi ada janji temu dengan doktor. Tak
sangka pulak dapat jumpa Safi.”
“Betul ke akak nak ambil saya bekerja? Tak payah temu duga?”
soal Safi lagi. Walaupun tawaran sudah diterima, namun dia mahu memastikan
ianya bukan mimpi.
“Ni sesi temu dugalah!” ujar Hajar sambil tersenyum. Suka dia
melihat wajah gembira Safi.
“Akak ni… biar betul?”
“Tak tahulah nak cakap macam mana. Bila akak tengok wajah
Safi, terus akak berkenan,” ujar Hajar kemudian tertawa pula.
“Tadi saya memang sedih sangat bila tak dapat kerja.
Alih-alih dapat kerja dengan akak pulak.”
“Tak payah fikir sangat pasal temu duga tadi tu. Bila kita
ditolak, terima dan reda aje. Kadang-kadang, dalam setiap penolakan, ada
penerimaan dari seseorang yang jauh lebih baik. Macam akak.” Sempat juga Hajar
memuji diri sendiri.
“Akak memang baik. Terima kasih kak sebab ambil saya bekerja
dengan akak,” ucap Safi penuh kesyukuran.
“Hal kecil aje. Nanti kerja baik-baik tau. Jangan cepat berputus
asa dan mengalah kalau nak berjaya dalam hidup,” nasihat Hajar.
“Insya-ALLAH.”
“Ni nak makan apa? Nasi beriani kat sini memang sedap. Daging
kambing dia memang tempat lain tak boleh lawan.”
“Tiba-tiba saya rasa kenyang. Saya nak minum ajelah.” Safi
segera menolak.
“Eh, janganlah macam tu. Rezeki jangan ditolak. Kat rumah
akak nanti tak ada benda hendak dimakan. Umi akak dah siap-siap pesan tapau
untuk dia.”
“Betul kak, saya tak lapar.” Safi masih mahu menolak. Dia
sudah kenyang sebaik menerima tawaran kerja daripada Hajar.
“Janganlah macam tu, akak tapau untuk tiga orang, ya? Kita
makan dengan umi kat rumah akak aje,” putus Hajar dan terus membuat pesanan.