Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 20

SETELAH siap melipat baju, Aisarah ke dapur membuat air Milo untuk dirinya dan Arif Zikri. Hari ini mereka minum petang dengan biskut kering sahaja.

“Minum bang,” pelawanya ketika meletakkan dulang di atas meja.

“Oh! Terima kasih, sayang. Macam tau-tau aje abang dah haus.”

Aisarah sekadar tersenyum.

“Apasal lain macam aje senyuman isteri abang ni?” usik Arif Zikri.

“Kenapa? Tak boleh senyum lain macam sikit?” gurau Aisarah pula.

“Kalau dah senyum macam ni, mesti ada makna, kan?” Arif Zikri faham sangat tabiat Aisarah yang satu itu.

“Tak ada la… abang tak ada ke kawan baik yang boleh dijodohkan dengan Safi?” tanya Aisarah.

“Hmm…” Rupanya hal itu yang isterinya fikirkan. “Kita pun tahu Safi tu macam mana, kan? Dia bukan suka orang lain aturkan hidup dia,” balasnya.

“Abang tak kesian dengan dia?” tanya Aisarah sambil memegang lengan suaminya.

“Abang bukan setakat kesian. Sayang sendiri tahu macam mana kasih abang pada dia. Sampai masanya nanti, jodoh tu akan datang sendiri,” balas Arif Zikri.

“Kalau tak cari, mana nak jumpanya?” Aisarah bersuara lagi, tidak begitu setuju dengan alasan yang suaminya berikan.

“Sebelum ni, abang pernah cari sayang ke?” Arif Zikri bertanya lembut. Tangan isterinya diraih lalu dikucup.

“Memanglah tak sebab saya dah ada di depan mata abang!”

Arif Zikri tertawa dengan jawapan spontan Aisarah. “Kita kahwin sebab sayang sudah tertulis sebagai jodoh abang. Tak payah bercinta sakan sebelum kahwin,” tutur Arif Zikri.

“Kita lain…” dalih Aisarah. Kes mereka langsung tidak sama dengan Safi.

“Apa yang lainnya, hmm…?”

“Walaupun kita bercinta selepas kahwin, tapi kita awal-awal lagi memang dah kenal.”

“Sebenarnya, bukan abang tak boleh carikan jodoh untuk Safi. Tapi tulah, bukan senang nak cari lelaki yang benar-benar sayangkan Safi seperti kita berdua sayangkan dia,” terang Arif Zikri.

“Kalau macam tu, susahlah! Kita kena beri peluang kat sesiapa jua pun, sama macam kita dulu. Ingat kita boleh bahagia macam tu aje?” komen Aisarah pula.

“Abang lebih rela Safi cari sendiri. Lainlah kalau abang cukup yakin lelaki itu boleh bahagiakan dia. Abang tak nak disebabkan kita, dia merana.” Arif Zikri menyatakan pendiriannya agar isterinya mengerti.

“Payah jugak kalau macam tu.”

“Sebab tu kita kena tunggu dan lihat aje. Tak payah susah-susah nak sibuk pasal jodoh Safi.”

“Saya kesiankan dia…” luah Aisarah.

“Nak buat macam mana? Laluan kita dengan dia tidak sama. TUHAN permudahkan kita, tetapi tidak buat Safi. Kita kena terimalah.”

“Apa yang abang cakap tu memang betul, tapi kita kenalah bantu dia jugak.”

“Susahnya nak bercakap dengan isteri abang ni. Nasib TUHAN buat hati dan otak lelaki tidak sama dengan perempuan!”

“Ni abang nak mengutuk saya pulak, ya?” Aisarah sudah buat muka merajuk.

“Tak adalah. Abang cuma nak cakap yang lelaki dan perempuan bertindak dengan cara berbeza. Perempuan banyak ikut emosi, lelaki pulak banyak berpandukan akal fikiran. Tu yang kepala cepat botak.”

“Jadi, apa kita nak buat kes Safi ni? Kalau boleh saya naklah tengok dia gembira dan bahagia macam orang lain.”

“Kalau ada lelaki yang sayang Safi melebihi abang sayang dia, abang sendiri akan tolong pinang lelaki tu,” tutur Arif Zikri.

“Okey…”

“Kenapa diam pulak? Sayang cemburu ke?”

“Mana ada? Safi dah pilih saya untuk gantikan tempat dia, perlu apa saya nak cemburu?” balas Aisarah pula.

“Sebab itu jugak abang sayang korang berdua. Memang susahlah nak jumpa sahabat baik sehati sejiwa ni,” puji Arif Zikri.

“Saya pun bersyukur jugak dapat suami seperti abang. Memang satu dalam berjuta.”

“Dulu, macam mana sayang boleh terima abang?” Tiba-tiba Arif Zikri ingin tahu pula. Selama ini, dia hanya simpan sahaja soalan itu.

“Memang susah nak cakap. Saya yang perkenalkan abang kat Safi. Kisah cinta abang dengan dia, semuanya saya tahu. Alih-alih, abang dan dia tak jadi kahwin pulak. Sebaliknya saya yang kena gantikan tempat Safi.”

“Macam terpaksa aje.”

“Abang ingat senang ke saya nak buat keputusan dalam masa yang singkat? Apa pun keputusan yang saya ambil, semuanya berisiko. Dahlah terang-terang bulan saya tahu hanya Safi di hati abang!”

“Kalau diingatkan balik, memang susah nak percaya bermacam yang kita lalui bersama,” tutur Arif Zikri sambil memandang lembut wajah wanita yang amat dikasihinya.

“Abang pulak, macam mana boleh terus setuju aje?”

“Tentulah abang minta pertunjuk ALLAH. Bukan sekali abang solat istikharah. Setiap kali, memang wajah sayang yang abang nampak.”

“Betul ke? Sebelum ini tak cerita pun.” Hati Aisarah berbunga mendengarnya.

“Takkanlah abang nak cerita kat semua orang. Memang abang sayang sangat dengan Safi, tapi TUHAN dah gantikan dengan jodoh yang lebih baik untuk abang.”

“Terima kasih kerana sudi ambil saya sebagai isteri abang dan jadi ayah yang terbaik untuk anak-anak kita,” ucap Aisarah.

“Sama-sama. Eh, kenapa rumah kita ni sunyi sepi je?” tanya Arif Zikri. Selalunya riuh-rendah mengalahkan orang beranak sepuluh!

“Lupa ke yang hero dan heroin abang tu ikut Safi berjalan-jalan? Abang ni…”

“Aduhai… macam mana boleh terlupa? Tapi, anak kecik kita mana?” Tiba-tiba Arif Zikri berasa cemas sebaik menyedari anak bongsunya tiada bersama. Selalunya asyik berdukung dengan ibunya.

“Tulah orang lelaki, bercakap bukan main lagi tapi asyik terlupa jugak. Bukan tadi abang tidurkan dia kat bilik ke?” soal Aisarah.

“Tak baik kutuk suami sendiri. Kecik hati abang...” Arif Zikri merapatkan wajahnya ke wajah Aisarah.

Sorry…” cepat-cepat Aisarah mohon ampun. Andai suaminya sudah merajuk, susah juga dia hendak memujuk balik.

“Hmm… tiba-tiba abang rasa nak baring kat bilik la. Jom temankan,” ajak Arif Zikri pula.

Aisarah mengikut sahaja. Dia pun mahu merehatkan diri. Pembantu rumah sambilan yang selalu datang pada hujung minggu tidak dapat datang pula. Itu yang dari pagi ada sahaja kerja yang Aisarah kena lakukan.

Baru separuh jalan, mereka telah dikejutkan dengan bunyi hon kereta. Arif Zikri dan Aisarah saling berpandangan.

“Aduhai… baru nak rehat shif petang, dah kena sambung buat kerja,” keluh Arif Zikri.

“Hish abang ni, tak baik cakap macam tu! Dia orang tu anak-anak abang tau. Saya lagi penat mengasuh mereka sejak lahir,” marah Aisarah.

“Ayah, ibu… tengok apa yang Mama Safi beli untuk kita orang.” Di muka pintu Aireen sudah tidak sabar hendak menunjukkan hadiah yang Safi belikan untuk dirinya. Seronok sungguh dia apabila Safi belikan anak patung barbie. Begitu juga dengan Wafa.

“Safi ni… jangan manjakan sangat budak-budak ni,” tegur Aisarah.

“Tak apa la. Anak-anak akak, anak-anak Safi jugak…” balasnya.

“Betullah tu. Tapi suami akak, suami akak sorang aje, ya?” gurau Aisarah untuk menceriakan suasana.

“Ceh! Apa la akak ni… bagi free pun Safi tak nak!” Safi juga turut mahu bercanda selepas penat melayan kerenah anak-anak Aisarah.

“Amboi, bagi free pun tak nak, ya? Dulu abang jugak yang Safi kejar, kan?” perli Arif Zikri pula. Dia juga tidak mahu ketinggalan.

“Apa yang free, ayah?” tanya Yusof yang tidak faham dengan apa yang sedang dibualkan. Safi ada belikan buku cerita untuk dirinya kerana dia tidak begitu gemar membeli barang mainan.

“Abang budak kecik, jangan menyampuk bila orang tua bercakap.” Pantas Arif Zikri menegur, nanti lagi banyak soalan yang akan keluar dari mulut comel anaknya. Tidak larat hendak menjawabnya.

“Abang tanya aje…” Yusof sudah mencebik.

“Alahai anak ayah ni, dah besar pun nak merajuk jugak. Jadi anak lelaki kena macho selalu, baru boleh jadi ketua keluarga.” Arif Zikri segera memujuk dan memeluknya.

“Macho tu apa, ayah?”

“Tak apalah, lain kali ayah jawab.” Arif Zikri sengaja mahu mengelat.

“Abang ni teruk betullah! Bukan susah nak jawab pun,” tegur Safi pula. Hari ini dia memang gembira dapat keluar menghiburkan hati dengan anak-anak Aisarah dan Arif Zikri.

“Abang bukan apa, nanti kena jawab soalan-soalan iringan. Yusof ni sebiji ikut perangai ibu dia.”

“Tengok tu, abang ni asyik nak kutuk saya aje,” sungut Aisarah. Dia memang berasa segan dengan Safi.

“Okey… Safi faham. Asalnya nak tanya dah makan ke belum. Kalau jawab belum, mesti akak tanya kenapa, kan? Kalau dah, mesti akak tanya, makan kat mana, makan apa, makan dengan siapa. Betul tak?” duga Safi dengan gaya-gaya Aisarah sekali.

“Tau tak apa,” balas Arif Zikri.

“Alah, akak banyak tanya sebab prihatin. Lagipun akak nak berbual dengan siapa lagi kalau bukan dengan abang Safi yang sorang ni?” Kini Aisarah pula terasa hati.

“Aduhai… kesian pulak Safi mendengarnya. Abang tulah, tak nak faham perangai isteri sendiri,” komen Safi pula.

“Sebab faham sangatlah sampai anak berderet-deret!” balas Arif Zikri kemudian tertawa.

Aisarah yang geram terus mencubit lengan suaminya berkali-kali.

“Dah… dah! Sakit sayang oii,” jeritnya.

“Buat orang merajuk lagi!” marah Aisarah.

“Macam-macamlah ayah dan ibu Yusof ni!” komen Safi. Begitupun dia turut berasa gembira dengan telatah mereka sekeluarga.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.