Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 27


PAGI-PAGI lagi Idan sudah datang ke pejabat Hajar. Dia memang ada perbincangan dengan kakaknya berkenaan projek terbaharu. Tetapi sudah bertembung dengan Safi pula.

“Kita ni macam berjodoh, kan?” Sengaja Safi mengulangi ayat yang pernah dia ucapkan kepada lelaki itu.

“Saya datang jumpa kakak sayalah! Tak adanya saya nak penatkan diri datang sini tengok awak. Dahlah badan macam orang tak cukup zat dan kemetot, lagi nak perasan!” Sesedap mulut sahaja Idan mengutuk Safi.

“Kemetot saya pun, tetap comel. Encik Idan aje yang tak nampak.” Ada sahaja kata balas daripada Safi walaupun sedikit terasa dengan kata-kata Idan itu.

“Sudah-sudahlah tu, Cik Safi Awadah. Awak ni datang ofis sebab nak kerja atau semata-mata nak mengurat saya?” perli Idan.

“Dua-dua!” Safi sengih dan buat muka tidak bersalah.

“Awak ni memang perempuan gedik ke?”

“Saya gedik dengan Encik Idan aje. Saya mana pernah mengurat orang lain?”

“Eii… apalah yang awak jampi sampai kakak saya suka sangat dengan awak?” kutuk Idan.

“Jampi-jampi tak main la. Tak elok libatkan diri dengan perkara-perkara karut macam tu,” balas Safi pula.

“Ajal maut dan jodoh tu telah ditentukan sejak dari azali lagi. Kalau awak yakin tentang itu, jagalah maruah. Tak payahlah nak mengedik,” sindir Idan.

“Apa-apapun saya tetap sukakan Encik Idan. Biarpun marah, dalam hati encik suka sangat dengan saya, kan? Kan? Percayalah, nanti Encik Idan akan jadi milik saya jugak.” Safi menyengih.

“Kalau awak yakin sangat saya akan jadi milik awak, buat apa awak nak terhegeh-hegeh?” tanya Idan pula.

“Sebab saya tak nak buang masa. Umur bukan makin berkurang,” jawab Safi.

“Kalau benarlah awak jodoh saya, lambat atau cepat saya tetap akan jadi suami awak jugak. Jadi, untuk apa awak menyusahkan diri jaga hati yang tak patut awak jaga buat masa ini? Dasar perempuan otak singkat!”

Safi terdiam. Ayat abang seri memang sungguh pedas hingga buat dia rasa amat pijar.

“Ni, awak dah siapkan strategy paper untuk pembentangan minggu depan?” tanya Idan pula.

“Itu bukan tugas saya. Encik Idan patut tanya pengurus projek,” jawab Safi. Kini dia tunduk sahaja.

“Tapi awak yang akan aturkan masanya, kan? Dia dah bagi kat awak ke?” tanya Idan lagi.

“Masih lagi pada Puan Hajar,” beritahu Safi.

“Awak patut pastikan semuanya on time,” tegas Idan serius.

“Takkan saya nak push Puan Hajar pulak? Itu melawan tauke namanya.”

“Awak ni kan, ada aje jawapan. Entah apa-apalah kat kepala otak tu. Boleh tak profesional sikit?”

“Kalau kerja terlalu serius, nanti tension. Lebih-lebih lagi dapat bos macam Ecik Idan ni!” balas Safi.Bersahaja dia memberikan kata balas.

“Kalau saya dengar lagi awak cakap macam tu, saya humban ikut tingkap tu! Tolonglah jadilah perempuan yang bermaruah sikit!” tegur Idan.

Safi segera menutup mulutnya. Walaupun menyedari Idan hanya mengacah sahaja, mana tahukan tiba-tiba dia betul-betul bertukar serigala jadian? Diri Safi juga yang akan cedera parah jatuh bangunan!

Akhirnya Idan berlalu dan terus masuk ke bilik kakaknya.

Safi pula segera menuju ke tempat Ina. “Teruk betul abang seri aku tu! Kau ada gula-gula tak?” adu Safi pada Ina.

“Amboi, ni mesti pagi-pagi sudah kena dengan ayat berapi abang seri.”

“Sebab itulah aku nak minta gula-gula kat kau. Biar cepat hilang rasa panas dan pedasnya.”

Ina yang sedang menyiapkan kerjanya terpaksa berhenti sebentar untuk mendengar cerita daripada Safi.

“Terima kasih,” ucap Safi sambil menyambut tiga biji gula-gula yang Ina hulurkan.

“Dia kata apa kat kau?” tanya Ina.

“Dia kata, tolong jadi perempuan yang bermaruah!”

“Serius dia cakap macam tu?” Ina menjegilkan matanya.

“Hmm… dia siap pesan dengan aku jangan sesekali nak mengurat atau mengedik dengan dia.”

“So, kau tak terasa hati ke?” tanya Ina. Kasihan pula dia dengan Safi.

“Mestilah terasa hati. Tapi dah abang seri yang cakap, terpaksalah telan jugak,” balas Safi dan kembali ke tempatnya.




“AKU sebenarnya peliklah dengan perempuan ni,” keluh Idan sambil menikmati hidangan tengah hari dengan Zahim. Hari ni mereka memilih restoran berhampiran pejabat sahaja.

“Kau nak cakap perempuan atau Safi yang pelik?” soal Zahim pula. Kalau ikut gaya Idan bercakap, memang dia sedang memperkatakan tentang gadis itu. Mana ada perempuan lain yang cuba hendak rapat dengannya.

“Semua perempuan dua kali limalah!”

“Perempuan ni makhluk yang sangat istimewa. Contohnya si Safi tu. Pertama kali jumpa memanglah rasa macam biasa aje. Bila dah lama kenal, kau akan sedar yang dia seorang yang unik dan bukannya pelik seperti yang kau sangkakan,” tutur Zahim.

“Uniklah sangat!” balas Idan sambil menuang cili kicap ke atas ikan bakar.

“Dalam tak suka, dia jugak yang kau teringat, kan? Uniklah tu!” ujar Zahim.

“Huh!” Idan merengus.

“Tak betul ke apa yang aku cakap?”

“Masalahnya, dia tu tak reti-reti lagi ke yang aku ni tak suka dia? Dia patut fahamlah bila tak ada respons daripada aku.”

“Ya ke kau langsung tak respons apa-apa? Tak percayalah aku kalau hati kau tak pernah terusik bila dia cuba mengurat kau, ambil hati kau.”

“Malam sikitlah kalau aku nak ada hati kat dia,” balas Idan sambil mengelap bibirnya dengan tisu. Nasi yang tinggal sedikit, tidak lalu pula hendak dihabiskan.

“Siannya aku dengan kau ni,” komen Zahim pula.

“Kenapa pulak?”

“TUHAN hadirkan seseorang kat kita bersebab, bukan tak bermakna apa-apa. DIA nak beritahu hidup berdua tu lebih baik dari sorang-sorang. Macam aku ni ha, sejak berkahwin gembira dan bahagia aje.”

“Kau nak kata aku tak bahagialah?” tanya Idan pula.

“Memang bahagia itu subjektif, tapi ia mudah terlihat pada diri seseorang tanpa dia cakap sekalipun. Kalau dia nak sembunyikan rasa bahagia itu pun tak boleh. Orang lain akan perasanlah.” Zahim memberikan pendapatnya.

“Apa pun kau nak cakap, aku senang hidup begini,” beritahu Idan.

“Dah tiga tahun berlalu Idan. Kau tak nak fikir masa depan kau ke?” Zahim cuba mengambil kesempatan itu untuk menyedarkan sepupunya.

“Keluarga dan bisnes aku lagi penting,” jawab Idan, ringkas.

“Duit yang banyak tak buat kau bahagia pun. Mungkin apa yang kau nak semuanya boleh kau miliki. Tapi, ada jugak benda tertentu kau tak dapat beli dengan duit.”

Idan senyap dan tidak membalas apa-apa.

“Seingat aku, si Safi nilah satu-satunya perempuan yang berani mengurat kau, ambil berat pasal kau,” tutur Zahim. Dia mahu menyedarkan sepupunya tentang sesuatu yang dia tidak pernah mahu peduli.

“Ambil berat? Menyibuk hal aku adalah!”

“Kita kena hargai orang di sekeliling kita. Bila ada yang peduli, itu tandanya ada yang sayang kat kita. Takkan itu pun kau tak nampak?” Zahim menggeleng dengan sikap Idan yang tidak ambil kisah.

“Bukan mudah untuk aku lupakan semua yang terjadi pada aku, Zahim.”

“Tak salah simpan dan mengenang memori silam. Tapi kau hidup untuk hari ini dan masa akan datang, bukan masa lalu,” tegur Zahim lagi.

“Bercakap senanglah, yang lalui tetap aku sorang.”

“Hidup ini pilihan. Kalau kau nak pilih bersedih, memang tiap-tiap hari menangis. Cuba kau pilih untuk gembira, semuanya akan berubah dan memberi kesan pada orang sekeliling kau.”

“Apa-apa ajelah!” Jawapan mudah Idan apabila tidak tahu hendak membalas kata.

“Tiada waktu yang tepat untuk meluahkan rasa hati. Tapi masa juga tidak menunggu mereka yang asyik pendam perasaan. Hendak-hendak yang mengharapkan cinta hatinya,” beritahu Zahim yang faham sangat dengan masalah yang Idan hadapi.

“Kau bercakap macam yakin sangat cinta itu boleh buat kau bahagia sepanjang masa,” balas Idan pula.

“Kau tengok aku ni. Semenjak berkahwin, pernah kau tengok aku tension-tension? Kerja melambak kat ofis tu, tapi aku okey aje.”

“Sudahlah kau!”

“Jangan nanti peluang yang ada berlalu pergi. Safi tu bukan burung merpati yang kau boleh tabur bijirin dan terus menghampiri kau,” tegur Zahim.

“Kau bercakap macam dah sah-sah tahu dia cintakan aku.”

“Wanita yang benar-benar cintakan diri kau, kau pasti boleh perasan tingkah laku dia. Berilah berbagai ujian dan situasi, dia akan sentiasa ada di samping kau. Tengok sekarang ni, kau marah dan menyampah dengan dia, tapi dia tetap selamba mengurat kau. Kau suruh buat apa pun tugasan, dia siapkan jugak. Tak nampak lagi?” tanya Zahim.

“Itu membodek namanya,” dalih Idan.

“Tengok wajah kau pun aku tahu kau ada hati kat Safi tu. Jangan nak bohong dengan akulah!”

“Pandai sangatlah kau tu!” balas Idan.

“Kau sebenarnya takut nak bercinta lagi, kan? Aduhai Idan! Hidup adalah sebuah perjalanan yang harus dihadapi. Bukan masalah yang harus ditakuti,” nasihat Zahim pada Idan yang sengaja tidak mahu faham.
Idan tidak terkata mendengarnya.

“Apa yang penting kau kena percaya pada diri sendiri. Kau tak boleh selamanya dibayangi kisah silam kau. Sofea dah jadi sejarah yang takkan berulang. Yang ada depan kau ni orang lain walaupun mereka ada nama yang hampir nak sama,” sambung Zahim.

“Kau dah habis makan?” tanya Idan yang tidak mahu Zahim meneruskan perbualan dengan isu yang satu itu.

“Tolonglah buka mata, buka hati. Sofea adalah Sofea. Safi adalah yang berdiri di depan kau sekarang ini. Dia cintakan kau. Jangan ditanya dari mana datangnya cinta itu.”

“Hmm…”
Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.