Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 2

2

NANA melangkah laju menuju ke taman berhampiran pejabatnya. Sambil itu, tangannya mengelap peluh yang sudah menitis dengan tisu. Panas yang terik membuat dirinya cepat berpeluh walau jarak taman dengan pejabatnya cuma sepelaung. Andai tidak bertudung, mahu terbakar kulit kepalanya.

Hari ini, dia terpaksa mengorbankan waktu rehatnya semata-mata untuk bertemu dengan Safi. Padahal, boleh sahaja berjumpa di rumah selepas balik dari kerja. Sahabat baik punya pasal, terpaksalah diturutkan juga. Nanti tidak pasal-pasal putus saudara pula.

Dari jauh dia sudah nampak susuk tubuh Safi yang duduk di wakaf. Waktu begini memang tiada sesiapa pun yang mahu beriadah di taman yang turut dilengkapi dengan permainan kanak-kanak. Pelbagai alatan asas untuk bersenam turut disediakan.

“Sampai jugak kau,” tegur Safi sebaik perasan Nana sudah menghampiri. Tadi, jenuh juga dia menunggu sambil melayan perasaan.

“Apa hal kau nak jumpa aku tengah hari buta ni?” Nana mengambil tempat di sebelah Safi. Angin yang bertiup mengurangkan bahang yang kian menyesakkan. Dia turut menarik nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan dengan perasaan lega.

“Wei, kau kena tolong aku…” beritahu Safi perlahan dengan muka kasihan.

“Ya… apa yang kau nak aku tolong sangat ni?” Nana memandang sayu Safi yang asyik bersedih sejak dua menjak ini. Pagi petang siang malam asyik bermuram durja, mengalahkan perempuan yang kematian suami.

“Kau rasa, macam mana nak cepat-cepat jatuh cinta? Kau bagilah tip kat aku,” luah Safi tanpa berkias-kias. Dia amat mengharapkan agar Nana dapat memberikan idea yang bernas kepadanya. Dia sudah sakit kepala memikirkan masalah yang dihadapinya.

“Astagfirullahalazim… aku tahulah kau tu dah terdesak, tapi relaks la dulu.” Nana cuba memberi ketenangan. Masalah sahabatnya ini bukan boleh diatasi dalam masa yang singkat. Silap-silap boleh bawa sampai ke tua. Jangan sampai ke Tanjung Rambutan, sudah!

“Aku kena pastikan diriku yang malang ini cepat-cepat cari pengganti. Mulut bolehlah kata aku merelakan, hakikatnya aku tengah patah hati, tau tak?” Safi menyinggung bahu Nana dengan bahunya. Mahu gadis itu terus memberi jalan penyelesaian.

“Aku memang nak tolong kau, tapi aku tak ada abang nak dijadikan galang ganti. Kalau tak, esok jugak aku uruskan perkahwinan kau orang,” balas Nana sambil menggeleng. Tidak menyangka Safi mahu berjumpa dengannya hanya kerana isu yang satu itu.

“Kawan-kawan ke… atau sepupu sepapat? Takkan tak ada kut?” soal Safi lagi. Wajahya memang nampak sedih berbenar.

“Cik Safi Awadah, kau sepatutnya bina cinta dan bukannya paksa diri untuk jatuh cinta! Lepas tu barulah boleh fikir pasal kahwin,” tegur Nana, sedikit geram dengan sahabatnya itu.

Mata Safi berkelip-kelip. ‘Macam pernah dengar aje ayat tu…’ desisnya kemudian tersenyum. Dia yang memberi nasihat kepada kakak angkatnya, orang lain pula yang pulangkan paku buah keras kepadanya! Aduhai…

“Tahulah diri tu baru putus cinta, macamlah boleh mati kalau tak ada kekasih!” sambung Nana dengan mencebikkan bibirnya.

“Kau tolong ajelah. Aku ni jenis yang tak kisah sangat. Aku tak perlukan lelaki yang segak,dapat yang sweet gula kabung pun jadilah.”

“Tak kisahlah kononnya, ya? Nak beli benda yang orang tak nampak pun kau memilih-milih!” perli Nana. Geram pula rasa hatinya terhadap Safi yang asyik mendesaknya. Lainlah kalau dirinya memang agen mencari jodoh. Ni, hendak mencari jodoh sendiri pun masih tidak nampak bayang.

“Aku nak cepat-cepat ubat hati aku yang patah riuk ni. Aku nak tutup buku sejarah. Tak nak nangis siang malam bila teringat,” sambung Safi lagi.

“Cik adik sayang, permintaan kau tu tak logik dan bukan mudah untuk ditunaikan. Ingat nak berlaki, cakap aje lepas tu esok boleh terus kahwin?” marah Nana lagi. Nanti tidak pasal-pasal ada juga yang kena karate-do dengannya. Selepas itu memang terus tertidur sampai esok pagi!

“Tahulah, sekurang-kurang kalau ada kekasih hati, aku boleh lupakan dengan mudah kisah silam aku tu. Lainlah kalau cikgu geografi masih bujang. Kalau tak, dengan muka tak malunya aku akan mengurat Farhin Ahmad.” Sengaja Safi hendak menggembirakan hati sendiri. Gelaran itu sahabat mayanya yang berikan kepada artis meletup masa kini. Siapa lagi kalau bukan Ratu Bako!

“Sesuka hati kau aje gelar si Farhin Ahmad tu cikgu geografi,” tegur Nana walau turut berasa lucu.

Dia pun pernah terbaca status Ratu Bako yang berkongsi cerita pasal novel di facebook. Dia dan Safi memang kaki novel, cuma tidak sampailah jadi hantu novel! Gelaran ‘Mak Antu’ memang sah-sah milik Kak Imaniah yang glamor tu.

“Lupa pulak aku. Dah alang-alang kau sebut, apa kata kau pikat cikgu renang pulak? Dia masih solo dan sado. Kalau kau semput, boleh aje minta CPR.” Nana sudah tertawa terbahak-bahak. Tidak dapat dia bayangkan kalau Zul Ariffin terdengar perbualan mereka. Mahu pengsan terkejut!

“Kau ni, saja nak kenakan aku! Nak gurau pun agak-agaklah,” marah Safi sambil mencubit lengan Nana. Otak sahabatnya ini memang sudah tidak boleh pakai!

“Tak pun, kau ikut petua orang tua-tua. Mulai malam ni kau kena tidur awal. Anak dara yang tidur awal biasanya cepat dipinang orang,” usik Nana lagi buat Safi bertambah bengang dengannya.

Besar kecil, besar kecil sahaja Safi nampak si Nana itu. Andai diikutkan hati yang sudah mula berangin, ada juga kepala yang kena duku. ‘Sabarlah duhai hati,’ desisnya.

“Kau ni… aku nak gurau sikit pun tak boleh!” Nana segera memujuk sahabatnya itu.

“Dahlah, aku nak balik.” Safi bangun meninggalkan sahabatnya itu. Ingatkan Nana boleh menolong, rupanya menambah sakit di hatinya saja.

Nana hanya mampu memandang Safi yang berlalu. Kononnya hendak tempat yang nyaman, jadi mereka berdua memilih untuk melepak di taman berhampiran pejabatnya. Sudahnya, hati Safi yang terluka bertambah pedih dan pijar. Diri Nana pula, memang rasa hendak humban sahaja si Safi itu ke dalam lombong!

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.