HARI ini, Safi akan menghadiri temu duga untuk jawatan
pembantu peribadi di sebuah syarikat swasta. Dia sudah bersedia sejak semalam
lagi. Baju blaus dan seluar sudah siap bergosok. Dia akan memakai tudung yang
dibeli di gerai tudung di Tesco. Tudung berwarna biru itu mudah dan selesa
dipakai. Tidak payah susah-susah hendak gosok dan pin. Sarung sahaja, sudah
terletak elok tanpa perlu lilit sana sini.
Begitulah Safi yang suka pada sesuatu yang ringkas dan
praktikal. Dia paling tidak suka membuang masa bersiap lama-lama. Wajahnya
sudah cukup sempurna dan tidak perlukan solekan tebal. Apa yang penting adalah
keyakinan diri yang datang dari dalam dan bukan bergantung pada faktor luar
yang selalunya tidak kekal lama.
Minggu lepas, staf Syarikat Excel yang beribu pejabat di Wisma
IJH, Ampang Avenue telah menghubunginya dan beritahu tarikh dan waktu temu
duga. Seawal 8.00 pagi lagi dia keluar rumah kerana tidak mahu terlambat. Biar cepat
sampai, asal tidak terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
Sebaik tiba di syarikat itu, sudah ada beberapa orang calon
yang sedang mengisi borang di hadapan kaunter penyambut tetamu. Ingatkan dia yang
datang paling awal, rupanya ada yang lebih pantas daripadanya. Dalam hati dia
berdoa semoga ada rezekinya bekerja di sini.
Setelah menyapa penyambut tetamu dan perkenalkan diri, Safi
juga diberikan borang untuk diisi. Tanpa membuang masa, dia menulis maklumat
yang diminta dalam borang tersebut. Dia tidak mengambil masa yang lama, siap
sahaja dia terus menyerahkannya kepada penyambut tetamu tadi. Resumenya juga
dikepilkan sekali walaupun sebelum ini dia sudah menghantarnya melalui emel.
Kemudian dia duduk di sofa menanti giliran bersama calon yang
lain. Lebih setengah jam juga dia menunggu, barulah namanya dipanggil. Dia
melangkah penuh yakin menuju ke bilik temu duga. Memandangkan pintu sedia
terbuka, dia terus masuk dan memberi salam.
Dua orang lelaki serentak menjawab salamnya. Salah seorang
kelihatan begitu serius memandangnya. Tiba-tiba Safi berasa tidak selesa
apabila diperhati begitu. Bertambah gusar apabila dirinya tidak dipelawa untuk
duduk.
“Safi Awadah Bt. Ismail?” tanya lelaki berwajah serius.
“Saya,” sahut Safi sambil menanti soalan yang akan dikemukakan.
Pada masa yang sama sempat juga dia menelek wajah lelaki itu. Memang lelaki
yang memenuhi cita rasanya. Walaupun nampak tegas, tetap ada aura tersendiri.
“Terima kasih sebab berminat bekerja di syarikat ini. Tapi
maaf, awak tak berjaya dalam temu duga ini.”
“Hah?” Safi membulatkan matanya. Dia dipanggil temu duga
semata-mata hendak mendengar perkataan ‘anda tidak berjaya?’ Buang masa sahaja
dia datang ke sini!
“Awak tak berjaya,” ulang lelaki itu.
“Apa ni, encik? Encik tak temu duga dan tak tanya saya
apa-apa soalan pun. Alih-alih beritahu saya tak berjaya?” soal Safi yang
terkejut dan tidak berpuas hati dengan apa yang baru disampaikan kepadanya.
“Siapa awak nak pertikaikan keputusan saya?” balas lelaki itu
sambil meletakkan borang yang Safi isi tadi ke tepi.
“Tak ada la, paling-paling pun tengoklah dulu resume saya.
Tanya soalan dan pengalaman saya. Lepas tu, barulah buat keputusan.” Safi cuba
mengawal suaranya.
“Ini syarikat saya, suka hati sayalah nak pilih siapa!” Wajah
lelaki itu turut berubah apabila Safi bagai sengaja menaikkan darahnya.
“Penat aje saya bersusah payah datang ke sini. Lebih baik tak
payah telefon suruh datang temu duga! Dahlah lama kena tunggu giliran, tak
sampai seminit dah kata saya tak berjaya?” Safi membebel dengan rasa geram.
“Dah habis cakap?” sindir lelaki itu pula.
“Encik memang tak adil buat saya macam ni, tau tak?” marah Safi,
bagai terlupa dengan siapa dia berbicara. Tiba-tiba dia beremosi pula.
“Mona!” jerit lelaki serius itu dengan suara yang agak kuat.
Tidak berapa lama kemudian, seorang wanita bergegas masuk.
“Ada apa bos?”
“Sila tunjuk jalan keluar pada Cik Safi Awadah ni,” arahnya
tanpa memandang Safi mahupun perempuan yang bernama Mona itu.
“Baik bos,” jawab Mona kemudian memandang Safi. Dia
mempersilakan gadis itu untuk keluar dari bilik temu duga dengan isyarat tangan.
“Sampai hati encik buat saya macam ni. Tak apa, hari ni hari
saya. Suatu hari nanti akan tiba hari encik pulak. Masa tu baru encik tahu apa
rasanya bila ditolak tanpa sebab,” ujar Safi penuh kesal.
“Maaf ya. Saya takkan bekerja dengan orang lain, Cik Safi
Awadah!”
“Huh, jangan sombong! Tengok gaya, memang sah encik ni tak
kahwin lagi dan tak cukup kasih sayang, kan?” perli Safi dengan beraninya.
Lelaki itu angkat kening dan cuba menahan rasa marahnya.
Bengang apabila Safi menimbulkan isu yang tiada sangkut paut langsung.
“Encik jugak tak lepas dari ditemu duga bakal pak mentua.
Saya doakan encik jadi sewel sebab tak ada yang akan terima encik jadi menantu.
Tak pun, terus bertukar jadi serigala jadian sebab tak puas hati!” sambung Safi
dan terus berlalu. Puas sungguh hati dia sebab dapat mengenakan lelaki berlagak
itu!
IDAN melepaskan keluhan, kemudian
menggeleng kepala beberapa kali. Ketika ini memang berbagai perasaan yang menyerangnya.
Marah dan geram sudah tentu, tetapi ada sesuatu yang buat dia berasa galau di
hati.
Seketika dia menoleh sebelahnya. “Apa
pandang-pandang?” Idan terus menegur Zahim, pengurus projek yang merangkap
sahabat baik dan sepupunya juga.
Zahim masih tersenyum-senyum. Geli sungguh hatinya dengan
sesi temu duga sebentar tadi. Bukan senang hendak kenakan Idan yang serius
memanjang. Sekali kena tembak dengan gadis yang entah dari ceruk mana, terkejut
dan terdiam juga lelaki itu.
“Lebih baik kau jangan nak gelakkan aku. Karang ada jugak
yang kena humban dari tingkap tu,” ugut Idan pula. Tidak suka apabila Zahim
asyik tersenyum-senyum. Memang sah lelaki itu sedang mengutuk dirinya dalam
diam.
“Tahulah awak tu tengah tahan rasa geram, tapi janganlah
sampai nak humban aku pulak,” balas Zahim dan cuba menahan dirinya dari
tertawa. Andai datang angin puting beliung Idan, teruk dia kena!
“Huh!” Idan mendengus. Ini kali pertama dia kena sembur dan
dimalukan. Nasib hanya Zahim dan dirinya yang ada dalam bilik itu. Kalau tidak,
malu satu dunia. Memang satu minggu dia tidak masuk pejabat!
“Sebenarnya aku tak
fahamlah dengan kau ni. Tak baik tau layan seorang gadis yang baik macam tu.
Kau patut beri peluang kat dia. Dia bukannya tak ada kelulusan.” Zahim
memberikan pendapatnya.
“Kau takkan faham dan tak pernah akan faham,” tegas Idan
sambil membelek telefon pintarnya. Ada mesej masuk daripada kakaknya yang
mengajak dia makan tengah hari. Begitu pun dia terpaksa menolak kerana ada hal
yang perlu diuruskan.
“So, terangkanlah.
Bukan setakat dia, aku pun tak puas hati,” ujar Zahim yang tidak bersetuju
dengan tindakan Idan. Andai dirinya berada di tempat gadis itu, mahu sahaja dia
mencapai borang yang diisi dan baling ke muka Idan.
“Aku mencari pembantu peribadi yang serba boleh. Banyak
kriteria yang dia kena penuhi,” balas Idan mempertahan keputusannya.
“Itu aku tahu, yang peliknya kau terus buat keputusan sebaik
dia masuk bilik ni. Ke ada sebab lain?” tanya Zahim dan terus mencapai borang
yang diisi gadis yang bernama Safi Awadah itu.
Photo berukuran pasport turut dikepilkan. Lama wajah gadis
itu ditenung dan diteliti. Hendak kata wajahnya pelik, gadis itu memang jenis
yang sedap mata memandang. Tidak ada cacat celanya dan kategori cantik manis.
Zahim cuba mengingat kembali perwatakan gadis itu, namun tiada apa-apa yang
ganjil.
“Kau tak payah nak pertikaikan keputusan aku. Satu lagi, tak
payah nak teliti sangat wajah dia tu. Dia tidak menyerupai sesiapa pun,” tegas
Idan.
“Wajah mungkin tak. Tapi, hmm…” Zahim mula berkira-kira
sendiri. Apakah telahannya betul?
“Dah! Bak sini borang tu,” pinta Idan.
“Kau teringatkan Sofea, ya?” duga Zahim.
“Boleh tak jangan mulakan?” marah Idan dan terus bangun
menuju ke biliknya.
“Sorry…” ucap
Zahim, namun otaknya ligat berputar. Ada perkara yang bermain di mindanya
ketika ini.
Wajah Idan yang berubah sebaik dia menyebut nama Sofea bagai
memberitahu satu petanda. Sofea… Safi… apakah kaitannya? Atau ada kena mengena
dengan Zarith Suraya? Ramai juga
gadis-gadis yang pernah hadir dalam hidup Idan Jauhari. Namun, tidak semuanya
yang Zahim ingat namanya. Mereka datang bagai kereta lembu, pergi pula bagai
jet!
IDAN
menghenyak dirinya di sofa. Tidak pasti apa sebenarnya yang membuat dirinya
jadi tidak tentu arah begini. Perasaan hati bertambah bengang mengingatkan
gadis yang telah membuat darahnya menyirap.
‘Huh! Dia doakan aku jadi sewel? Aku punyalah segak bergaya,
boleh pulak dia sumpah aku jadi serigala jadian? Uish, melampau sungguh. Memang
tak patut!” Dia bersungut sendiri.
Walaupun cuba melupakan, dia tetap berasa tercabar dengan
bicara pedas gadis itu. ‘Anak dara siapalah dia itu? Sesuka hati sahaja
bercakap ikut sedap mulut. Aku punya syarikat, suka hati akulah nak buat apa.
Yang dia emosi sangat tu, kenapa? Macamlah tak ada kerja di tempat lain.’
Dalam tidak mahu, resume gadis itu dipandang juga. Dalam
sakit hati yang masih bersisa, photo gadis itu ditatap lagi. Ketika ini, Zahim
juga pasti sedang berfikir yang bukan-bukan pasal dirinya. Tidak lama mana,
cerita ini pasti sampai juga ke telinga kakaknya. Selepas itu pasti uminya pula
yang akan memberi kata nasihat kepada dirinya.
Insiden hari ini memang membuat moodnya bertukar tegang. Mujur sebelah petang dia tiada apa-apa
janji temu dengan klien mahupun mesyuarat bersama mereka. Mengingatkan projek
yang masuk, buat kepalanya berserabut juga. Kononnya mahu mencari pembantu yang
boleh meringankan beban tugasnya, kini ada perkara lain pula yang buat dia
tidak tenteram.
Begitupun Idan tetap berasa pelik. Dari mana pula gadis itu
dapat tahu yang dia masih belum berkahwin? Macamlah dengan melihat wajahnya
sudah dapat membaca segala maklumat tentang dirinya. Tadi, dia memang sentap
habis apabila gadis itu mengata dirinya tidak cukup kasih sayang! Itu memang
dia tidak boleh terima. Nasib dia masih mampu mengawal perasaannya.
Nasiblah yang berbicara itu adalah kaum hawa. Rasa hormat
masih wujud walau perasaan hati macam gunung berapi. Andai yang berdiri itu
kaum adam, memang penumbuk sudah naik ke muka.
Ketika dia cuba menenangkan dirinya, I-Phonenya pula
berbunyi. “Ya kak…?”
“Betul Idan tak nak makan tengah hari dengan kita orang?”
“Kita orang?” soalnya yang sedikit terkeliru. Dia masih ingat
kakaknya ada mengajak makan tengah hari bersama. Kini, bagai ada orang lain
pula yang turut serta. Tapi dia bukanlah kisah sangat kerana awal-awal lagi dia
telah menolak.
“Apasal lain benar suara adik akak ni? Bergaduh dengan siapa
pulak ni?”
“Tak ada apa-apalah. Idan memang ada hal.” Idan menjawab
malas dan terus memutuskan talian. Banyak pula omelan kakaknya. Dalam keadaan
sekarang dia memang malas hendak melayannya.