‘LEPASKAN! Susah sangat ke nak buat?’ Sekali lagi Idan
berbicara sendiri. Kadang-kadang, perkara yang satu itu membuat dirinya berasa amat
terbeban. Payahnya mahu memaafkan orang lain yang menganiaya diri, bertambah
sukar lagi memaafkan diri sendiri!
Kini, dia menjelajah lagi Taman Tasik Perdana yang sering
dikunjungi setiap hujung minggu. Sambil menghirup udara segar, dia memerhati
pengunjung yang sama-sama mahu beriadah dan menyihatkan tubuh.
Tiba-tiba, wajah gadis itu bermain di ruangan mata. ‘Aduhai…
kenapalah kau hadir pada saat ini? Awal-awal telah kuusir, tapi kenapa tidak
mahu pergi jugak?’ Bertambah malang, kakaknya bagai sengaja membuat dirinya
terperangkap.
Seketika dia melayan perasaannya. Bodohkah dirinya kerana
merindu sesuatu yang tidak mungkin mampu dimiliki? Salah dirinyakah kerana masih
tidak mahu melepaskannya? Dia sambung bermonolog.
Penat berlari, Idan berlari-lari anak. Kemudian dia berjalan
laju pula dan akhirnya dia duduk di kerusi. Tiba-tiba terasa penat pula. Ketika
ralit mengelap peluh yang membasahi wajahnya, dari jauh seseorang sudah
tersenyum kepadanya.
“Kita sememangnya berjodoh, kan? Encik Idan rejectsaya, Puan Hajar pulak ambil
saya. Menyampah tengok saya, tapi selalu jugak berjumpa kat mana-mana,” tutur
Safi. Senyuman yang terukir bertambah lebar. Dia pun tidak menyangka akan
terjumpa abang seri di sini. Lain kali bolehlah dia berjoging di sini lagi.
Idan hanya buat tidak tahu. ‘Apasallah dia boleh muncul di sini
pula?’ sungutnya dalam hati.
“Bos sorang aje ke?” tanya Safi lagi walau sedari tadi lelaki
itu buat tidak kenal sahaja.
“Awak ni, apahal? Pergi main jauh-jauh!” jerkah Idan.
“Bos ni… mentang-mentanglah saya ni kecik molek, suruh main
jauh-jauh pulak. Lengloi ni, bukan nyonya tau!” sakat Safi pula.
“Awak jangan nak buang masa saya, boleh tak?” marah Idan.
Bulat matanya memandang Safi, cuma tidak bertukar warna merah sahaja.
“Dah alang-alang jumpa kat sini, apa salahnya kita
bersembang?” Safi masih mahu mencuba nasib. Di sini tiada orang lain yang
mereka kenal, tidaklah dia berasa segan.
“Maaf ya, tak kuasa bersembang dengan awak. Tu ha, ada banyak
manusia yang boleh awak ajak. Kera kat pokok tu pun ada!” ujar Idan, geram.
“Alah… tak sporting
betullah Encik Idan ini.” Safi berasa sedikit hampa apabila dirinya tidak
dilayan. Kini dia duduk di sebelah Idan pula. Begitupun lelaki itu tidak pula
terus berganjak.
“Pernah tak Encik Idan fikir, kenapa TUHAN pertemukan kita?”
Safi masih lagi mahu mengajak Idan berbual.
“Cik Safi Awadah, nampak tak tasik tu?”
“Okey… okey! Saya memang tak nak kena humban dalam tasik tu.
Saya akan zip mulut saya,” ujar Safi seraya menutup mulutnya. ‘Malang sungguh
nasib aku. Belum apa-apa lagi, cintaku telah terhumban pulak!’ desisnya.
“Safi, jom balik,” ajak Nana yang sudah keletihan. Ketika dia
menghampiri sahabatnya itu, dia terpegun tatkala terpandang lelaki yang bersama
Safi.
“Okey.” Safi bangun dan beriringan dengan Nana menuju ke
tempat parkir.
“Wei, siapa tu?” Tidak sabar Nana hendak tahu. Seketika dia
menoleh lagi ke arah lelaki itu.
“Handsome tak?”
tanya Safi pula.
“Gila tak handsome?
Lebih handsome dari cikgu muzik
semasa dia muda-muda!” Kini wajah Anuar Zain turut muncul di minda Nana, tetapi
lelaki tadi lagi kacak.
“Cikgu muzik pulak dah... itulah abang seri aku.” Safi
beritahu dengan penuh perasaan.
“Hmm… patutlah kau boleh angau dengan dia!”
“Ni aku tengah fikir macam mana nak buat dia jatuh hati kat
aku,” beritahu Safi.
“Boleh ke? Tengok gaya macam payah aje. Tapi kata orang, nak
dapatkan anaknya, kenalah pikat mak dia dulu,” usul Nana pula.
“Kau jangan tak tahu, siang-siang lagi aku dah buat semua
tu!” beritahu Safi dengan senyum meleret.
“Amboi! Bukan main kau, ya?” Terkejut Nana mendengarnya. Wajah
Safi dipandang tanpa berkelip.
“Aku memang serius nak buat dia jadi suami aku.” Tanpa segan
Safi meluahkan apa yang diimpikan kepada Nana.
“Kau ni…” Kini, mata Nana pejam celik pejam celik memandang
Safi yang selamba sahaja.
“Kau tahu? Aku sendiri hairan dengan perasaan hati ni. Entah
kenapa, dia jugak lelaki yang hati aku nak.”
“Ke… kau dah kena minyak senyonyong?” Sengaja Nana mahu bergurau.
Tapi kalau dia pun, boleh jatuh hati juga dengan lelaki itu.
“Haha… yang benarnya, kalau dia guna minyak cap kapak pun aku
akan suka jugak kat dia!”
“Parah betul kalau dah macam tu.” Nana tertawa
terkekeh-kekeh.
“Aku memang dah parah sekarang ni. Buat apa pun mesti asyik ternampak
dia macam mengintai aku.”
“Mengarutlah kau ni!” Spontan Nana menepuk bahu Safi.
“Aku tak tipu. Dulu, masa dengan kekasih aku yang pertama,
tak adalah sampai macam ni,” akui Safi sambil mengingat cinta pertama yang
tidak kesampaian.
“Dulu tu sama-sama cinta. Ni, kau aje yang bertepuk sebelah
tangan. Kali ini, apa pulak rancangan kau?”
“Memandangkan abang seri aku tu serius memanjang, aku kena
jadi sengal sikit baru boleh ngam. Kalau sama-sama serius, tak bertegurlah kita
orang.”
“Boleh pakai ke idea kau tu?” Nana mengerut dahi.
“Belum cuba belum tahu. Bila aku sengal, tak adalah aku segan
sangat nak mengurat dia.”
“Suka hati kaulah. Hmm… kalau Abang Arif tau, habis kau.”
Nana mengingatkan.
“Kalau dia tahu, memang sah kau yang bocorkan.”
“Hish, tak kuasalah aku nak bercerita benda-benda macam ni
kat dia. Bercakap dengan dia pun aku segan,” sangkal Nana pula.
“Alah, kalau dia tahu pun, aku tak kisah sangat.”
“Harap-harap kali ini janganlah kau hangat-hangat tahi ayam
pulak.” Dalam kurang yakin dengan tindakan Safi, Nana tetap menyokongnya.
“Tak mainlah hangat-hangat tahi ayam! Busuk tu…” seloroh Safi
kemudian ketawa kecil.
“Habis tu, kau nak guna peribahasa yang mana lagi?”
“Hangat-hangat pisang goreng cheese! Baru sedap didengar dan
sedap dimakan.” Tawa Safi tercetus lagi.
“Haha…” Nana juga turut geli hati mendengarnya.
“Biar penat beratur panjang, janji dapat beli dan makan pisang
goreng paling sedap abad ini,” sambung Safi.
“Tak dinafikan Idan tu terlajak segak jugaklah. Tapi, tak
tinggi sangat ke?” komen Nana pula. Rasanya ketinggian lelaki itu hampir enam
kaki juga.
“Mana pulak tinggi sangat? Aku takat bahu dia kut, kira
okeylah tu,” ujar Safi pula.
“Dia duduk pun dah nak sama tinggi dengan kau yang berdiri!”
komen Nana.
“Dah… dah… kau jangan nak kata aku kemetot pulak. Aku ni
comel dan kiut. Muka aku pun baby face,
muda semendang!” Cepat sahaja Safi mempertahankan dirinya.
“Nilah susahnya kalau bercakap dengan orang yang suka sangat perasan
sendiri! Kalau dah masuk bakul tu, mimpi ngeri la kalau boleh angkat sendiri,
Safi!” kutuk Nana.
“Kau ni pun… bagilah peluang kat aku untuk berbangga diri.
Dah tak ada yang nak memuji, kenalah puji diri sendiri,” balas Safi. Bukan dia
tidak sedar kekurangan diri, tetapi itu bukan alasan untuk tidak mensyukuri
nikmat lain yang TUHAN beri.
“Yalah, yalah! Balik nanti kita melengcong ke Taman Sri
Gombak. Aku belanja kau makan pisang goreng cheese kat situ,” pujuk Nana.
“Jauhnya?”
“Dah kat situ yang paling sedap.”
“Aku okey aje. Kau beratur, aku tunggu dalam kereta, ya?” suruh
Safi. Bab menunggu ni, dia memang kurang sabar.
“Hampeh punya kawan!”
“Dah kau yang nak belanja, kaulah yang kena beratur.”
“Hmm…” Nana beralah sahaja.