Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 9

SETELAH memberi salam dan membuka pintu utama, Hajar mempelawa Safi duduk di ruang tamu. Dia terus ke dapur mencari uminya. Dia mahu beritahu tentang kedatangan Safi, bakal pembantu peribadinya.

Safi pula terus mengambil tempat di sofa kulit yang mewah. Ruang tamu ini bukan sahaja dihias cantik, malah cukup luas. Pintu gelangsar yang terbuka membolehkan Safi merasa kenyamanan angin yang bertiup. Hatinya turut berbunga bahagia.

Kelihatan laman rumah menghijau dan lapang. Pokok bunga hanya ditanam di sudut bahagian tepi. Andai ada kenduri-kendara, boleh muat tiga buah khemah juga. Anak-anak kecil masih bebas untuk bermain dan berkejaran. Andai anak-anak Aisarah, pasti mereka akan seronok datang ke sini.

Tiba-tiba Safi perasan yang banglo ini terlalu sunyi. ‘Kak Hajar hanya tinggal berdua sahajakah dengan umi dia?’ Safi tertanya sendiri. Seketika photo keluarga yang tergantung di dinding mencuri pandangannya.

Dia mengamati photo keluarga Hajar. Gambar lama! Ia jelas sekali kerana wajah Hajar menampakkan dirinya pada usia awal dua puluhan. Gambar lelaki di sebelahnya pula membuat Safi terpaku. Lama dia pandang, macam pernah nampak sahaja!

Tidak berapa lama kemudian, Hajar dan uminya sudah berada di ruang tamu. “Safi, inilah umi akak,” Hajar memperkenalkan uminya.

Safi segera bangun dan menyalam tangan yang dihulurkan. “Safi…” beritahunya sambil tersenyum.

“Umi Hasnah, panggil umi aje.” Umi Hasnah turut mengukir senyuman buat tetamu yang seorang ini.

Safi berasa sedikit pelik melihat wajah Umi Hasnah yang sangat ceria. Terasa dirinya disambut bagai tetamu istimewa pula, padahal baru hari ini kenal dengan Hajar. Kerja pun hanya bermula pada minggu hadapan.

“Jomlah kita makan nasi beriani. Makan tengah panas ni memang menyelerakan,” ajak Hajar dan mereka beriringan menuju ke meja makan.

“Safi memang orang KL ke?” tanya Umi Hasnah sambil menyenduk nasi ke dalam pinggan.

“Taklah, keluarga saya asal dari Kedah. Tapi saya dah lama duduk KL sebab dulu belajar kat sini.” Safi bercerita ringkas pasal dirinya.

“Ooo… macam tu. Selalu jenguk mak ayah kat kampung?” Ramah Umi Hasnah bertanya. Wajah Safi tidak lepas dari pandangannya.

Hajar pula hanya memerhati gadis yang duduk di hadapannya. Suka melihat kemesraan uminya terhadap Safi.

Safi tidak terus menjawab pertanyaan Umi Hasnah, sebaliknya menundukkan wajah. Entah kenapa dia berasa sebak dengan pertanyaan itu. Selebihnya dia tidak tahu apa yang harus dijawab.

“Kenapa Safi? Ada apa-apa berlaku pada mak dan ayah ke? Hajar segera bertanya sebaik terlihat perubahan pada wajahnya.

“Tak adalah, tiba-tiba rasa sedih pulak. Sebenarnya ayah saya dah meninggal tujuh tahun lepas.” Safi cuba mengawal kesedihan di hati agar tidak ketara sangat.

“Oh, maafkan umi,” ucap Umi Hasnah sambil mengusap bahu Safi yang duduk di sebelahnya.

Safi hanya mengangguk. Air mata sedaya upaya ditahan agar tidak tumpah. Mengingatkan diri yang jarang sekali balik kampung, memang buat hati sentap juga. Kesal dengan sikap sendiri.

“Tak apa, kita ada banyak masa nak bercerita. Sekarang kita makan dulu.” Hajar segera mengubah topik perbualan. Tidak sanggup pula dia melihat kesedihan di wajah Safi. Dia juga pernah merasa kehilangan ayah tersayang. Sudahlah tadi gadis itu bersedih kerana gagal dalam temu duga.

“Rumah umi macam nilah. Sunyi sepi macam tak ada penghuni. Tak ada rezeki hendak beranak ramai.” Umi Hasnah bercerita kemudian sambung menyuap nasi.

“Umi tinggal berdua dengan Kak Hajar ke?” Terpaksalah Safi bertanya. Masakan mahu jadi pendengar dan menjawab soalan sahaja.

“Taklah, kita orang tinggal bertiga dengan seorang lagi anak lelaki umi. Tapi, serupa macam tak adalah! Dia tu asyik kerja memanjang,” keluh Umi Hasnah. Berselera sekali dia menjamah kambing masak kurma.

Terukir senyuman di bibir Safi sebaik mendengarnya. Serupa dan macam, bukankah sama maksudnya?

“Suami Hajar pulak kerja kat luar negera, tiga bulan sekali baru balik. Anak dia sekolah asrama. Lain kali Safi boleh kenal-kenal dengan mereka,” sambung Umi Hasnah.

“Suka Kak Hajar tengok Safi tersenyum. Manis sangat,” puji Hajar buat gadis itu tersipu malu.

“Mesti masa belajar dulu ada ramai peminat, kan?” duga Umi Hasnah pula.

“Siapalah nakkan orang kampung macam saya ni.” Safi bertambah segan apabila diusik begitu.

“Lepas ni, selalulah datang ke sini. Tak payah tunggu Kak Hajar ajak,” pelawa Umi Hasnah.

“Insya-ALLAH…” balas Safi yang senang sekali dengan layanan Umi Hasnah sekeluarga. Kalau begini, datang hari-hari pun dia sanggup!

“Rumah umi jarang ada tetamu melainkan pada hari perayaan. Hendak buat kenduri kahwin anak bujang sorang tu, hmm… entah bilalah.”

Safi masih setia jadi pendengar. Dalam hati mahu tahu juga siapakah gerangan anak bujang umi itu. Melihat photonya, orangnya memang boleh tahan segak.

Selesai menjamu hidangan tengah hari, mereka bertiga berehat di ruang tamu pula.

“Bila Safi mula kerja dengan Hajar?” tanya Umi Hasnah. Sebenarnya banyak benda yang dia hendak tanya juga. Entah kenapa dia suka sekali dengan keperibadian Safi. Kalau boleh mahu berlama bersembang dengannya.

“Minggu depan, umi,” jawab Safi dengan senyuman.

“Safi ada berapa orang adik-beradik?” tanya Hajar pula.

“Saya anak tunggal,” beritahu Safi perlahan. Rasa sedikit sedih sebenarnya. Sudahlah tiada adik-beradik lain, saudara-mara juga tidak ramai.

“La… lebih kurang sama macam akak jugak. Tak apa, Safi boleh aje anggap Kak Hajar macam kakak sendiri,” tutur Hajar, mesra.

“Betul ni?” teruja sekali Safi mendengarnya. Dia memang suka menambah ahli keluarga.

“Nak terus jadi adik betul pun tak apa,” sampuk Umi Hasnah kemudian tertawa pula.

Hajar juga turut tertawa. ‘Aduhai umi aku ni…’ desisnya yang faham sangat maksud umi tercinta.

Safi memang berasa seronok dapat berkenalan dengan Umi Hasnah dan Hajar. Tidak menyangka dalam satu hari bermacam rasa yang dia alami. Dari berasa amat kecewa, terus berbunga bahagia!

Lama juga Safi meluangkan masa berbual dengan Umi Hasnah dan Hajar. Sedar-sedar jam sudah menghampiri pukul tiga petang. Dia tumpang solat zuhur dahulu sebelum balik ke rumah. Takut terlepas waktu andai terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Tambahan pula jalan-jalan di Kuala Lumpur sentiasa sesak tidak mengira waktu.


“UMI berkenanlah dengan Safi tu,” beritahu Umi Hasnah setelah kereta gadis itu hilang dari pandangan. Tadi, ketika Safi meminta diri untuk pulang, dia juga sempat berpesan agar selalu menjenguknya.

“Itu yang Hajar nak dengar dari umi. Rasa-rasanya sesuai tak jadi calon menantu?” giat Hajar. Dari awal lagi dia sudah dapat agak yang uminya pasti menyukai gadis itu.

“Uish, lebih dari sesuai. Umi suka sangat!” Gembira sekali Umi Hasnah ketika menuturkannya.

“Itu jugak yang Hajar nampak masa pertama kali jumpa dia,” beritahu Hajar. Matanya dan Umi Hasnah memang macam ada kuasa tambahan dalam memerhatikan dan menilai seseorang.

“Umi jarang suka orang secepat ini. Kita terus pinang ajelah si Safi ni,” saran Umi Hasnah pula. Tiba-tiba dia bagai tidak sabar hendak bermenantu.

“Hish umi ni… sabarlah dulu. Elok-elok Safi nak kerja dengan Hajar, karang terus berhenti pulak.”

“Ni, adik bertuah tu ada kat ofis ke?” tanya Umi Hasnah pula sebaik teringat anak bongsunya itu.

“Dunia dia, kan ofis dan rumah aje? Takkan tak kenal lagi perangai anak manja umi tu,” balas Hajar.

“Kalau cakap anak manja, orang mesti ingat budak kecil lagi. Sekali bila tengok, hmm… macam tak percaya,” tutur Umi Hasnah pula mengingatkan anak bujangnya.

“Hajar pun tak faham dengan adik tu. Macam tak ingat masa depan,” komen Hajar.

“Kali ni, apa pulak pelan Hajar?” Tidak sabar Umi Hasnah hendak tahu.

“Nanti-nantilah umi. Biar lambat, asal selamat.” Buat masa ini, dia memang tidak ada rancangan lagi.

“Okey. Kali ini, apa pun pelan Hajar, umi akan setuju aje,” balas Umi Hasnah.

“Tapi tulah… anak bujang umi tu dah kalah batu!” sungut Hajar pula.

“Tak apa, kalau tiap-tiap hari ada air menitis, lekuk jugak akhirnya.”

“Kalau nak tunggu batu tu lekuk, memang berjanggutlah!” balas Hajar pula.

“Kita tak boleh putus asa,” ujar Umi Hasnah. Selama ini pun dia tidak pernah berhenti berdoa untuk anaknya itu.

“Harap-harap lepas ni ada perubahan.” Hajar juga mengharapkan sesuatu yang lebih positif.

“Kalau selepas ni ada apa-apa perkembangan, kena beritahu umi tau,” pesan Umi Hasnah.

“Bisa diatur!” balas Hajar dengan ceria.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.