Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 24

APA yang Hajar risaukan terjadi juga. Seperti yang dia duga, Datuk Kamal mahu mengadakan mesyuarat mengejut. Esok, mesyuarat akan diadakan pada jam dua petang, namun hari ini baru setiausaha dia beritahu. Klien yang satu ini memang suka buat konsultan dan kontraktor sakit jiwa dan raga!

Hajar bercadang hendak minta tunda ke minggu hadapan, malangnya Datuk Kamal akan ke luar negara pula. Mahukan projek sangat, terpaksalah dia menurut kehendaknya. Ketika dia sedang memikirkan apa perancangan seterusnya, tiba-tiba Idan datang bertandang ke biliknya.

“Nanti kita pergi asing, akak pergi dengan Safi,” beritahu Idan tanpa mukadimah langsung. Kerusi ditarik lalu menghenyakkan tubuhnya.

Hajar memandang tajam wajah adik bertuahnya.

“Apa?” soal Idan pula.

“Apa salahnya kita naik satu kereta? Boleh gilir-gilir memandu,” cadang Hajar. Perjalanan ke Johor Bharu memakan masa berjam-jam juga.

“Akak cakap aje pandai, akhirnya Idan jugak yang kena bawak kereta sampai balik KL!” sungutnya.

Hajar menelan air liur. Baru dapat idea, sudah terpaksa ditukar pula. ‘Hmm… semoga tiada yang membantutkan pelan alternatif,’ desisnya.

“Safi dah sediakan semua dokumen yang nak kita bawak ke mesyuarat tu?” tanya Idan untuk kepastian. Dia tidak mahu ada yang tertinggal.

“Akak dah buat senarai semak dengan dia. Semuanya ada,” beritahu Hajar. Anadai dia tidak membuat semakan pun, gadis itu telah memastikan semua dokumen ada dan lengkap.

“Okeylah. Ni nak beritahu, esok Idan nak bertolak lebih awal.”

“Kenapa pulak?” Hajar semakin pelik dengan adiknya ini. Ada sahaja perkara yang buat dia sakit kepala.

“Idan ada benda lain nak bincang dengan pengurus besar mereka,” beritahunya.

“Idan nak tidur semalam kat sana atau terus balik?” tanya Hajar untuk kepastian.

“Akak nak tidur sana ke?” Idan bertanya balik.

“Kalau mesyuaratnya habis lambat, baiklah tidur sana. Tak adalah penat nak balik KL.”

“Suka hati akaklah. Idan nak balik jugak,” putusnya. Lagipun dia tidak mahu uminya tinggal sendirian di rumah pada waktu malam. Walaupun ada bibik menemani, dia tetap berasa tidak sedap hati.

“Suka hatilah kalau macam tu.”

“Okey, Idan turun dulu,” beritahunya lalu bangun dan terus berlalu.

“Yalah,” balas Hajar kemudian terpaksa memanggil pembantu peribadinya pula melalui interkom.

Tanpa berlengah, Safi terus datang. “Ya, kak?”

“Aduhai Safi… esok kita kena memandu sendiri ke Johor Bharu. Idan nak bertolak lebih awal la pulak,” beritahu Hajar dengan hampa.

“Tak apa kak, saya boleh aje ganti memandu kalau akak penat.”

“Rosak pelan akak!” keluh Hajar.

“Pelan apa yang rosak, kak?” soal Safi pula.

“Eh… tak. Ni, nanti akak kena check kereta akak tu, takut ada benda yang rosak.” Mujur Hajar ada jawapan spontan agar gadis di hadapannya tidak salah sangka.

“Ooo…” Safi mengangguk.

“Sebelum balik, semua dokumen bagi kat akak. Akak nak terus letak kat kereta. Lagi satu, Safi bawaklah sepasang baju, ya?” suruh Hajar.

“Kenapa kak? Akak pelan nak tidur semalam kat Johor Bharu ke?”

“Ha’ah, takut mesyuarat lambat habis. Lagipun kalau ada apa-apa hal, kita dah bersedia. Susah jugak kalau tak ada baju lain.”

“Okey…”

“Lepas subuh Safi terus ke rumah akak. Kita pun pergi awal jugak, nanti boleh singgah kat mana-mana. Lagipun mesyuarat lepas lunch,” suruh Hajar.

“Saya ikut aje. Kalau ada apa-apa, nanti akak beritahu saya,” pesan Safi pula.

“Baiklah.”


BALIK dari kerja, Safi mahu singgah makan di restoran di Prima Sri Gombak. Dia telah berjanji dengan Nana untuk bertemu dengannya di sana. Mereka berdua sama-sama malas hendak memasak.

Hari ini dia teringin hendak makan sup dan bubur pula. Ada kalanya perut pun mahu menjamah sesuatu yang ringkas dan mudah dihadam.

Memikirkan esok dia kena bangun awal, malam ini dia perlu memaksa diri untuk tidur awal. Entah kenapa, kebelakangan ini dia susah sedikit hendak tidur. Penat berpusing dan berkalih, namun tetap sukar mahu lena. Kadang-kadang pukul satu pagi baru dia terlena.

Seketika Safi berteleku di meja sambil menunggu sup dan bubur yang dipesan. ‘Idan Jauhari, Idan Jauhari… apasallah sebaik namamu disebut, dan-dan tu jugak aku terkenang? Bertambah parah hari-hari boleh angau mengalahkan orang sedang bercinta. Padahal aku aje yang syok sorang-sorang!’ keluh Safi sendirian. Adik bosnya itu wajah sahaja bajet garang, tetapi ada waktu-waktunya dia memang comel.

“Kau ni… pantang lepa sikit, mesti nak berangan!” tegur Nana yang baru sampai. Kerusi ditarik perlahan lalu duduk menyandar.

“Apa lagi nak aku buat, kan? Adik bos aku tu memang comel dan kiut bila marah.”

“Kiut? Pemarah macam serigala jadian tu kau kata kiut?” soal Nana. Rasanya hari-hari dia terpaksa menadah telinga mendengar Safi bercerita pasal abang seri itu.

“Dia lelaki yang sweet macam madu, manja macam kucing.” Safi tersenyum-senyum mengingatkan abang serinya itu.

“Hmm… sekarang tambah sweet dan manja pulak. Masa bila pulak dia manja-manja dengan kau?”

“Kau ni… dah sah-sahlah dia sweet dan manja dengan umi dia, takkanlah dengan aku pulak?”

“Apa yang sweet sangat tu? Nak jugaklah aku tahu,” tanya Nana. Dia semakin hairan dengan sahabatnya ini. Entah bagaimana Safi menilai orang. Ada pulak seorang yang garang boleh sweet dan manja pada masa yang sama?

“Kau tak payah nak tahulah. Buat masa ni biarlah aku sorang saja yang tahu. Kalau aku cerita kat kau pun, nanti kau gelakkan aku aje.” Safi beralasan pula.

“Tak nak cerita, sudah! Kau dah pesan makanan untuk aku?” tanya Nana. Pada masa ini makanan dia lebih penting dari cerita Safi.

“Aku dah pesan nasi ayam untuk kau.”

“Okey,” balas Nana sambil merenung sahabatnya itu. Safi yang dia kenal cepat tersentuh walaupun dia nampak tabah. Dia suka bergelak ketawa dengan kawan-kawan walaupun hatinya sedang bersedih. Sekarang ini sukar untuk Nana hendak menduga perasaan hatinya. Benarkah dia sukakan Idan atau sekadar mahu melupakan kesedihan di hati?

“Ni nak beritahu kau, pagi-pagi esok aku dan Kak Hajar nak pergi Johor Bharu. Kita orang ada mesyuarat kat sana,” beritahu Safi setelah seketika menyepi.

“Jauhnya kau mesyuarat?”

“Nak buat macam mana? Aku ikut bos aje.”

“Abang seri pergi sekali ke?” Tiba-tiba Nana hendak tahu pula.

“Mestilah dia pergi.” Senyuman turut terukir di bibir Safi.

“Huh, patutlah kau okey aje!”

“Kau jangan fikir lain pulak. Kita orang pergi asinglah.”

“Tidur sana ke?” tanya Nana.

“Tak tentu jugak. Apa-apa hal, aku whatsApp kau.”

Tidak berapa lama kemudian, makanan mereka telah sampai.

“Wow! Sangat menyelerakan.” Nana membetulkan kerusinya agar dapat duduk dengan lebih selesa. “Sedap pulak aku tengok bubur kau tu.”

“Dari ofis lagi aku mengidam nak makan bubur ni. Dah hari-hari asyik makan menu yang berat, nak jugak makan makanan yang senang ditelan,” ujar Safi.

Mereka berdua terus sahaja menjamu makanan yang sudah terhidang. Sesekali berborak pasal kerja dan kawan-kawan yang lain. Usai makan, mereka berdua terus menuju ke rumah.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.