Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 16

PETANG Selasa, Idan naik ke tingkat atas. Hari ini rajin pula dia melawat pejabat kakaknya. Dari jauh, dia sudah nampak Safi yang riang sahaja membuat kerja.

Boleh pula gadis itu bernyanyi sambil tersenyum-senyum. Entah lagu apa, dia pun tidak pernah dengar. “Awak ni lapan belas tahun atau dua puluh lapan tahun?” perlinya ketika menghampiri meja Safi.

Safi segera menoleh. “La… Encik Idan ke? Ingat putera raja mana tadi.” Sesuka hati sahaja Safi membalas bicara lelaki itu.

Idan menjeling Safi yang selamba sahaja bertutur tanpa mengira dengan siapa dia berhadapan.

“Bos janganlah jeling-jeling macam tu, tak lena saya malam nanti. Ke… bos nak ajak saya minum petang?” Safi mahu bergurau pula. Siapa tahu, dapat minum semeja dengan abang seri!

“Jangan harap! Dengar ni, orang hebat melakukan sesuatu dengan penuh perasaan, bukan dengan penuh perasan!” Sinis sekali kata-kata Idan.

Safi terkedu dan membulatkan matanya. ‘Alahai… tak boleh dibawa bergurau langsung abang seri ni. Ingatkan nak rapatkan hubungan,’ desisnya. Dia baru sahaja hendak bergembira untuk mengelakkan kebosanan, Idan sudah datang melawat kawasan pula. Kalau belikan kuih, tak apa juga.

“Apasal diam pulak?”

“Bos janganlah marah-marah, nanti cepat beruban. Sekarang pun tak ada yang nak, dah berumur nanti lagi susah.” Sesekali Safi mahu juga mengenakan adik bosnya.

“Awak ni kan, mentang-mentang Puan Hajar selalu sokong awak, jangan nak berlebih pulak, ya?” tegur Idan. Riak wajahnya memang sedang menahan geram. Ada sahaja kata balas gadis itu yang membuat dia bertambah bengang.

“Biasalah, Puan Hajar bersebab sokong saya. Kalau tak, dia takkan buat macam tu,” balas Safi mempertahankan dirinya.

Di suatu sudut, Hajar yang baru menunaikan solat zuhur menggelengkan kepala. Dia melangkah perlahan menghampiri Safi dan Idan. Adiknya ini tidak habis-habis mahu menyindir Safi. “Korang berdua ni dah habis bertekak?” Wajah keduanya dipandang silih berganti.

Safi diam sahaja, tetapi tetap mengukir senyuman buat bosnya. Idan pula buat muka bodoh.

“Apahal Idan datang ke sini?” sambung Hajar.

Idan tidak menjawab pertanyaan kakaknya, sebaliknya segera meletakkan kertas cadangan projek terbaharu di atas meja Safi. “Ni, tak ada warna biru yang lebih tua ke?” tanya Idan. Dia merasakan tajuk projek yang akan dibentangkan kepada klien patut lebih gelap. Itulah tujuan dia ke sini selain mahu membuat spot check terhadap Safi.

“Maaflah bos, memang tak ada,” pantas Safi menjawab.

“Awak tak cari warna tu lagi, dah terus kata tak ada?” marah Idan.

“Aduhai bos… kerja saya, saya tahulah,” jawab Safi sedikit geram walaupun suaranya perlahan sahaja.

“Awak ikut aje cakap saya, boleh tak?” herdik Idan.

“Warna ni dah habis tua, Encik Idan. Kalau tua pada ni, semuanya dah Innalillahiwainnailaihirojiun….” Dalam hati Safi segera beristighfar, sedar tidak baik menggunakan kalimah itu untuk menyakiti hati orang lain. Tapi itulah, sudah alang-alang abang seri mahu mencari pasal dengannya, baik dia kenakan cukup-cukup!

Idan menjegilkan matanya. Hajar pula telah menghamburkan tawanya. Sudahnya Safi juga tertawa sebab tidak tertahan melihat reaksi Idan. Garang, tapi comel!

“Sukalah dapat ketawakan saya, ya?” marah Idan lagi. Wajahnya jangan ceritalah, memang sudah bertukar persis binatang jadian itu.

“Betul la apa yang Safi cakap tu. Yang Idan emosi sangat ni, kenapa? Warna aje pun…” tutur Hajar sebaik berhenti ketawa. Padanya, Idan dan Safi ini kadang-kadang mengalahkan budak kecil pula. Sama-sama tidak mahu mengalah.

“Saya nak awak tukar warna lain. Sebelum balik, tunjuk kat saya,” arah Idan dan terus berlalu.

“Aik, bukan Idan nak jumpa akak ke?” tanya Hajar.

“Jumpa kat rumah ajelah!

Hajar sambung ketawa. Dia memang geli hati sungguh dengan cara Safi melayan kerenah Idan. Ada-ada sahaja idea gila-gila Safi mengenakan adiknya.


SAMPAI di pejabatnya, Idan terserempak pula dengan Zahim yang baru balik dari tapak projek.

“Serius aje, apasal dengan kau ni?” sapa Zahim yang mengepit gulungan pelan lukisan di samping membawa fail.

“Pasal apa lagi? Si Safi tulah!”

“Kenapa? Setahu aku dia bagus buat kerja. Bukan senang nak dapat pembantu peribadi yang boleh buat macam-macam tau. Beruntung Kak Hajar,” puji Zahim pula.

“Pandai buat macam-macam hal, ada la…” sungut Idan dan terus menuju ke biliknya.

Zahim mengekorinya sebaik meletakkan fail dan pelan lukisan di atas meja.

“Aku peliklah dengan si Safi tu!” komen Idan sambil mengusap rambutnya.

“Idan, Idan… setiap orang unik dan berbeza. Pada aku, dia okey aje. Janji boleh buat kerja,” tutur Zahim sambil menarik kerusi lalu duduk.

“Kau pun dah sama dengan Kak Hajar!”

“Cuba cerita dengan aku, apa yang kau tak puas hati sangat?” Zahim cuba mengorek masalah sebenar sepupunya.

“Macam-macamlah!” Acuh tak acuh sahaja Idan menjawab pertanyaan Zahim.

“Macam-macam tu apa? Cuba senaraikan, boleh jugak aku bagi idea untuk selesaikan.” Zahim menawarkan dirinya.

“Kalau aku cakap, kau bukannya boleh buat apa pun.”

“Tengok, kau sengaja nak mengelak, kan? Dari hari tu lagi aku dah boleh agak mesti ada sesuatu,” tutur Zahim.

“Tak ada benda aku nak elak la,” sangkal Idan.

“Mulut memang boleh beri berbagai alasan. Yang sudah tu, sudahlah. Kau tak nak berubah ke? Tak nak bahagia macam orang lain ke?” tekan Zahim.
“Aku tak payah nak ubah apa-apa. Aku selesa dengan apa yang aku ada sekarang.”

“Tak payahlah belok sana-sini. Hati pun kadang-kadang menipu tuannya,” tegur Zahim sambil melepaskan keluhan. Kadang-kadang dirinya pun penat melayan kerenah Idan.

Idan tidak membalas apa-apa. Bahagiakah dirinya sekarang ini? Dia pun tidak pasti dengan perasaan sendiri.

“Aku bukanlah nak memandai. Ada ketikanya kita kena ketepikan ego kita, perasaan diri sendiri untuk lebih memahami orang lain,” saran Zahim. Walaupun sebelum ini dia pernah menegur Idan, namun tiada apa yang berubah.

Idan masih menyepi. Tangannya bermain dengan pen pula. Laju sahaja pen itu berpusing mengikut arah jam. Bukan senang hendak berbuat begitu andai diri tidak mahir.

“Umur aku dan kau tak banyak beza. Memang aku tak sekaya dan sehebat kau, sekurang-kurangnya aku ada anak-anak yang akan doakan aku bila kat kubur nanti.”

Hampir sahaja pen di tangan Idan terpelanting saat mendengar ayat terakhir Zahim.

“Hidup kita ni tak lama mana, kau fikirlah apa yang aku cakap tadi,” sambung Zahim kemudian bangun meninggalkan sepupunya itu termangu sendiri.

Tiba-tiba Idan berasa sebak tanpa sebab yang nyata. Pandangan dilontarkan ke luar biliknya. Baru sedar hujan mulai membasahi bumi. Hati sendiri pula basah dengan air mata yang tidak terlihat!

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.