Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 25

SUHU yang panas membuat kepala berasap juga. Ditambah pula dengan bos yang sengaja mencari salahnya memang buat Safi tertekan. Tetapi, suka punya pasal, dia terpaksa buat tidak tahu sahaja.

Dia hairan. Kenapa dia harus melayan kerenah lelaki itu? Begitupun, sudah alang-alang memulakan langkah, biar jatuh tergolek, dia akan teruskan juga misinya. ‘Mengurat bos kerek satu misi?’ Dia tersenyum dalam hati.

“Awak marahkan saya ke? Takkan awak nak tarik muka empat belas sampai ke KL?” Akhirnya Idan membuka mulut.

“Muka saya satu ajelah!” balas Safi yang bengang dengan Idan.

Idan tertawa sinis mendengar jawapan balas daripada gadis itu.

“Lain kali sila pandang apa yang saya buat dengan mata hati, bukan dengan kaca mata Rayban Encik Idan Jauhari tu!” ujar Safi, geram.

“Awak nak cakap apa sebenarnya, Safi Awadah?” soal Idan. Dia cuba mengawal suaranya.

“Yalah, apa aje yang saya buat, Encik Idan asyik nak pertikaikan. Ada agendalah, hendak bodeklah.”

“Awak memang ada niat lain pun, kan?”

“Saya sentiasa ikhlas bila buat sesuatu. Encik aje yang asyik berprasangka.”

“Saya dari awal dah boleh agak rancangan awak dengan Kak Hajar.”

“Kita orang mana ada rancang apa-apa?” Safi segera menafikan.

“Tengok macam sekarang, akhirnya saya terpaksa balik dengan awak. Mariam kena demam panaslah, entah ya, entah tidak,” ungkit Idan.

“Tak baik Encik Idan tuduh kakak sendiri macam tu. Saya sendiri yang jawab panggilan telefon dari pihak sekolah. Lepas tu baru bagi telefon kat Kak Hajar,” jelas Safi. Disebabkan dia terpaksa menumpang lelaki itu balik ke Kuala Lumpur, tidak habis-habis Idan memarahinya.

“Huh!” Idan merengus.

Petang tadi, dia memang terkejut apabila mendapati hanya Safi yang ada dalam bilik mesyuarat. Kakaknya hanya sempat menghantar Safi ke pejabat Datuk Kamal. Kemudian terus berpatah balik menuju ke Negeri Sembilan.

Sebelum mesyuarat bermula, Safi beritahu apa yang terjadi. Memang susah Idan hendak percaya. Habis mesyuarat, Datuk Kamal belanja mereka minum petang di hotel pula. Walaupun dia lapar, namun tidak banyak makanan yang masuk ke dalam perut. Asyik memikirkan perjalanan balik ke Kuala Lumpur bersama Safi.

Bukan kakaknya tidak tahu yang sudah lama tidak ada penumpang perempuan duduk di sebelahnya ketika memandu. Apatah lagi dia masih fobia dengan peristiwa yang pernah menimpanya. Entah apa tujuan sebenar kakaknya.


IDAN dan Safi makan malam dahulu sebelum singgah di masjid. Usai solat maghrib, baru mereka bertolak ke Kuala Lumpur.

Dalam perjalanan, Safi berasa amat bosan kerana terpaksa main kerling-kerling dengan abang seri. Memang bosan tujuh petala langit, tujuh petala bumi. Boleh pula si Idan ini berlagak macam orang bisu? Sudahlah radio juga tidak dipasang, lagilah Safi berasa hendak tumpang sahaja kereta orang lain ataupun menaiki teksi.

Tiba-tiba, mereka saling berpandangan. Idan segera memandang ke hadapan. Dalam hati dia sudah dapat mengagak kenapa kakaknya pulang lebih awal. Pandai sungguh Hajar memerangkap dirinya.

Namun begitu, dia berasa pelik juga kerana Safi seperti biasa sahaja. Tidak seperti selalu, ada sahaja perkara yang buat dia bertambah berangin.

“Bos...” panggil Safi perlahan. Akhirnya dia terpaksa memulakan bicara.

Dalam tidak mahu, Idan terpaksa menoleh memandang gadis di sebelahnya.

“Boleh tak, nanti berhenti kat mana-mana? Saya nak pergi tandas,” pinta Safi. Dia sudah lama menahan, sejak setengah jam tadi.

Idan tidak membalas apa-apa, sebaliknya hanya berwajah selamba.

Safi merungut dalam hati. ‘Dia ni dengar ke tidak apa aku cakap?’ gumamnya.

Akhirnya Safi menarik nafas lega sebaik sahaja Idan memberi isyarat untuk membelok ke kiri. Di hadapan sana memang ada perhentian.

Sebaik sahaja kereta berhenti, Safi segera keluar dari kereta dan bergegas menuju ke tandas perempuan. Sempat juga dia merungut kerana terpaksa berjalan jauh. Sudahlah tandasnya agak terpencil, lampu jalan juga tidak banyak dan malap pula.

Keluar dari tandas, buat seketika Safi mematikan langkah. Terkejut dia apabila mendapati Idan berdiri berhampiran pintu masuk tandas perempuan.

“Bos ni… buat terkejut saya aje! Nasib tak pengsan,” bebelnya sambil mengurut dada.

“Nah kunci! Tunggu saya dalam kereta. Jangan lupa kunci pintu,” pesan Idan.

Safi menyambutnya tanpa banyak soal walaupun berasa agak pelik dengan arahan Idan. Setelah masuk ke dalam kereta, baru dia nampak Idan melangkah menuju ke tandas lelaki.

Safi tertanya sendiri kenapa Idan sanggup menunggunya sehingga keluar dari tandas? Kadang-kadang susah dia hendak faham dengan lelaki ini. Dalam dia ingat abang seri tidak peduli hal orang lain, rupa-rupanya ada juga sifat prihatinnya.

Minggu lepas, Safi ada ternampak lelaki itu belikan nasi bungkus untuk pengawal keselamatan, siap dengan teh ais lagi. Setakat ini, dia tidak pernah nampak lagi Idan belanja mana-mana staf. Asyik keluar berdua dengan Zahim sahaja. Pergi tapak projek bersama, malah kalau ada mesyuarat di luar pun dengan Zahim juga.

Tidak lama kemudian, Idan sudah kembali ke kereta. “Berangan? Kan saya pesan kunci kereta?” sergah Idan dengan muka serius.

“Saya tak kunci ke?” Safi yang baru tersedar daripada lamunan terkebil-kebil.

“Kalau awak kunci, macam mana saya boleh masuk? Sekarang ni tengah malam, kalau terjadi sesuatu kat awak, apa saya nak jawab dengan keluarga awak?” marah Idan.

Mendengar leteran Idan, baru Safi sedar kelalaian diri. Baru dia perasan suasana perhentian itu agak sunyi walaupun ada kereta lain yang turut berhenti.

“Maaf sebab tak dengar cakap bos,” tutur Safi perlahan.

“Lain kali, kalau saya bagi arahan tu, dengarlah. Awak tu bukan budak kecik lagi, asyik nak kena ingatkan aje.”

“Kan saya dah mintak maaf? Tak payahlah nak membebel. Saya nak cepat sampai rumah ni,” jawab Safi pula.

Idan tidak membalas apa-apa lalu meneruskan pemanduan. Dia juga mahu cepat sampai ke destinasi. Namun, dalam keadaan sekarang bukan boleh memandu laju. Tiba-tiba hujan pula dan membataskan pandangan.

Safi di sebelahnya sedang menahan ngantuk. Kalau boleh memang mahu sahaja dia tidur tanpa mempedulikan orang sebelah. Namun, masakan boleh? Dia pun risau juga andai Idan terlena ketika memandu. Dari pagi sampai ke petang mereka sibuk sampai tiada rehat secukupnya. Sepatutnya bermalam sahaja di Johor Bahru, tetapi Idan mahu balik juga.

Dalam berfikir-fikir tentang keselamatan diri, akhirnya Safi tertewas juga. Dia sedap buat tahi mata, Idan pula terpaksa membuntangkan mata. Sesekali mata lelaki itu mencuri pandang wajah Safi. Nasib gadis itu tidak berdengkur.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.