Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 11

“HAI, jumpa lagi,” ucap Safi ketika lelaki yang dia panggil pak cik tadi, melintasi mejanya.

Idan tidak membalas apa-apa. Hanya jelingan tajam yang dihadiahkan kepada gadis itu.

Safi buat muka selamba bagai tiada apa yang terjadi sebelum ini. Tadi, dia memang terkejut panda sebaik menyedari siapa lelaki yang berdiri di hadapannya. Mujur pada masa yang sama Hajar sudah balik ke pejabat. Tanpa bicara lanjut, lelaki itu terus sahaja mengikut Hajar masuk ke biliknya.

“Bos nak tau, itulah lelaki tak guna yang temu duga saya hari tu. Dahlah sombong, kerek pulak!” beritahu Safi ketika menyerahkan dokumen projek kepada Hajar.

“Hmm… kurang kasih sayang kut. Sebab tu perangai dia tak serupa orang,” balas Hajar bersahaja. Dia tidak pun ambil hati dengan apa yang Safi katakan.

“Betul, betul…” akui Safi meskipun berasa sedikit pelik mendengar komen daripada Hajar.

“Manusia ni memang macam-macam Safi.”

“Tapi, dia tu memang jenis yang terlebih macam-macam! Kalau ikutkan hati saya yang sakit ni, nak aje saya gayang dia. Memang geram sungguh,” luah Safi mengingatkan insiden tempoh hari.

“Hish Safi ni, tak baik geram-geram dengan orang. Akak kenal sangat dengan dia, sebenarnya dia tu tak adalah teruk sangat.” Terpaksa juga Hajar melindungi sifat kurang elok adiknya.

Di sisi lain, adiknya seorang yang sangat bertanggungjawab dan mengambil berat tentang keluarga. Lebih-lebih lagi kalau berkaitan dengan umi mereka.

“Kalau tengok rupa dia, memanglah tak teruk sangat. Boleh tahan handsome jugak,” komen Safi sambil tersenyum-senyum. Mengingatkan jelingan tajam lelaki itu, boleh buat jantung berdenyut tidak menentu juga.

“Amboi, sempat jugak Safi menelek wajah dia, ya?” usik Hajar pula.

“Kalau handsome tapi perangai tak berapa nak elok, tak guna jugak.” Pandai Safi menyusun ayat agar bosnya tidak beranggapan yang bukan-bukan terhadapnya.

“Tak boleh jugak cakap macam tu. Tak kenal, maka tak cinta. Nanti dah lama kenal, mana tau Safi akan suka kat dia?” Hajar memberikan pendapatnya.

“Yalah, saya pun bukan suka sangat nak benci-benci orang ni. Nanti hormon-horman yang tak bagus banyak keluar, tak baik untuk kesihatan.”

“Pandai pun.”

“Dia selalu ke datang ke pejabat akak ni?” Tiba-tiba Safi hendak menyibuk pula. Lagipun dia kena juga mengambil tahu. Selebihnya, kalau ada peluang, dia memang mahu berjumpa dengan lelaki itu lagi.

Selain hendak tahu lebih lanjut pasal dirinya, Safi suka juga kalau boleh bermain mata dengannya. Untuk menangani lelaki kerek ini, memang kena pandai mengayat untuk membalas balik setiap kata-katanya. Apabila pedas bertemu panas, memang ada yang akan terbakar! Tidaklah Safi berasa bosan sangat bekerja di pejabat Hajar ini.

“Tengok keadaan. Kalau ada banyak projek dengan dia, selalulah dia datang ke sini,” beritahu Hajar sambil meneliti dokumen di atas mejanya.

“Nampaknya saya akan jumpa dia lagilah, ya?”

“Macam tulah. Sebab tu jangan benci-benci dan geram-geram dengan dia. Apa yang lepas tu, biarlah berlalu. Tak baik diingat-ingat,” nasihat Hajar.

“Okeylah, saya ikut cakap akak. Kalau dia datang sini lagi, saya akan layan dia baik-baik,” balas Safi sekadar bermanis kata. Dalam hati, bermacam yang bermain di fikirannya untuk mengenakan lelaki itu!

“Itu yang akak nak dengar. Dia rakan kongsi perniagaan yang sangat bernilai. Apa yang akak tak pandai, dia amat pakar tentangnya.”

“Dah lama ke akak bekerjasama dengan dia?” tanya Safi. Semakin berminat pula dia hendak tahu pasal lelaki itu.

“Banyak tahun jugaklah. Kalau dia tak ada, memang akak pun takkan berjaya macam sekarang,” beritahu Hajar sejujurnya. Walaupun selalu tidak sependapat, adiknya itu memang bagus dalam bisnes.

“Okeylah, ada apa-apa kerja untuk saya?” tanya Safi sebaik menyedari Hajar bagai ada kerja yang mahu diselesaikan.

“Buat masa ni tak ada. Safi boleh sambung kerja.”

“Okey.” Safi terus berlalu menuju ke mejanya.

Seketika Safi termenung. Susulan dari tidak berjaya dalam temu duga, TUHAN pertemukan dirinya dengan wanita yang sangat baik. Selepas itu, dapat berkenalan pula dengan Umi Hasnah yang peramah dan penyayang. Memang dia perlu melihat hidup ini dari sudut yang berbeza apabila sesuatu terjadi. Tidak boleh hanya melihat perkara yang negatif sahaja. Hikmah di sebalik apa yang berlaku perlu difahami agar lebih mensyukuri nikmat kurniaan ILAHI.

“Wei, apasal petang-petang macam ni adik bos tu mengamuk?” tanya Ina yang baru keluar dari pantri. Ina adalah pelukis pelan yang baru dua tahun bekerja di situ. Buat masa ini, dengan dialah Safi paling rapat.

“Adik bos?” Safi terkebil-kebil dan tidak senang duduk. ‘Takkanlah?’ desisnya.

“Hahlah! Tadi tu Encik Idan Jauhari, adik bos kita,” beritahu Ina dengan muka serius.

“La… aku memang tak tahu.” Safi sudah terlopong. ‘Kenapa Kak Hajar tidak beritahu langsung?’ detiknya.

“Kau ni nama aje PA bos, tapi salasilah keluarga bos pun tak tahu?” tegur Ina sambil mengerut kening.

“Aku baru kenal umi bos aje. Yang lain-lain bos ada beritahu, tapi aku yang tak jumpa lagi.” Safi memang tidak sangka sungguh dengan apa yang Ina sampaikan.

‘Aduhai… segannya aku dengan Kak Hajar. Patutlah dia terus ambil aku bekerja. Patutlah, patutlah….’

“Yang kau termenung pulak ni, kenapa?” tegur Ina pula.

“Tak adalah, aku cuma terkejut aje.”

“Sebenarnya Encik Idan tu baik orangnya. Dia memang profesional, cuma kadang-kadang ada jugak angin dia.”

“Berangin? Itu yang aku tak suka nak dengar.”

“Kalau kau tak buat salah, tak adalah kena marah. Tapi jangan sengaja nak cari pasal dengan dia.” Ina mengingatkan Safi.

“Kenapa?” tanya Safi sambil menghirup air minumannya pula. Tiba-tiba tekaknya terasa kering pula.

“Kalau kau buat hal, dan-dan tu jugak dia bertukar jadi serigala!” gurau Ina.

“Oh mak engkau!” Safi cepat-cepat menutup mulutnya. Ingatkan dia seorang sahaja yang menyumpah lelaki itu jadi serigala jadian.

“Kau pulak, kenapa? Semacam aje aku tengok.” Ina berasa pelik pulak dengan reaksi Safi.

“Tak ada apa-apa. Lagi?” tanya Safi lagi. Ketika inilah dia kena mengorek cerita. Takkan mahu bertanya pada Kak Hajar atau Umi Hasnah pula.

“Dia jadi macam tu sebab banyak kali bercinta dan banyak kali bertunang jugak. Tapi tulah, asyik tak ada jodoh aje,” cerita Ina.

“Apasallah boleh jadi macam tu?” Semakin teruja Safi hendak tahu.

“Sebenarnya aku pun tak pasti kenapa sampai sekarang dia tak kahwin-kahwin jugak. Ada banyak versi yang aku dengar, tapi entah mana yang betul. Lama-lama nanti kau tahulah!” beritahu Ina.

“Ooo….”

“Okeylah, lain kali kita sambung gosip pulak,” ujar Ina kemudian berlalu menuju ke tempatnya.

“Aku okey aje!” balas Safi kemudian sambung termenung.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.