SETELAH berhempas pulas menahan mata yang amat mengantuk,
akhirnya Idan berasa lega. Mereka telah selamat sampai ke rumah.
“Awak, kita dah sampai,” kejut Idan sambil menanggalkan tali
pinggang keledar.
Safi yang mudah tersedar terkebil-kebil.
“Dah sampai rumah saya ke?”
“Rumah umi saya lah. Takkan saya nak hantar awak balik tengah
malam buta macam ni? Nanti apa pulak orang lain kata,” jawab Idan.
“La… rumah umi ke?” keluh Safi sambil menggeliat.
Seketika baru dia teringat yang kereta Myvinya ditinggalkan
di sini. Memang patut pun Idan tidak menghantarnya ke Selayang Bahru.
“Dah, jangan banyak cakap. Cepatlah keluar,” arah Idan.
“Sabarlah,” rungut Safi.
Dia memang suka datang ke rumah umi, tetapi bukan pada waktu
malam seperti sekarang. Nanti kena tidur di katil yang dia tidak biasa, memang
tidak lenalah dia.
Sampai di muka pintu, Idan tercari-cari pula kunci rumah.
Selalunya ada sekali dengan kunci kereta. ‘Aduhai… macam mana boleh tercicir
pulak?’ Dia berbicara sendiri. Hari ini memang semua perkara serba tidak kena.
Ada sahaja perkara luar jangka yang menimpa.
Tiba-tiba pintu telah dibuka dari dalam. Umi Hasnah sudah
terpacak dengan senyuman di bibir.
“Alhamdulillah dah selamat sampai. Cepat masuk Safi, nanti
kena embun pulak,” jemput Umi Hasnah.
Safi segera menyalami tangan wanita itu.
“Jom ke bilik umi. Hari ni tidur dengan umi aje,” ajak Umi
Hasnah tanpa mempedulikan anak bujangnya.
Safi menurut sahaja. Dia suka juga dapat tidur di bilik umi,
tak adalah kena kacau pagi-pagi esok. Andai tidur di bilik tamu, nanti ada pula
yang tukang ketuk dan tidak bagi dia berehat lama-lama. Silap-silap dia disuruh
masuk kerja pakai baju semalam andai dia berbohong dan beritahu tidak ada baju
persalinan.
Idan pula terus terlopong. Dia sedikit terkilan apabila
uminya bagai tidak kisah langsung tentang dirinya. Bertanya khabar pun tidak.
Gadis itu juga yang menjadi keutamaan.
Sudahnya dia melangkah laju menuju ke bilik. Perasaan di hati
geram dengan Safi. Kini gadis itu sudah pandai mencuri hati uminya pula. Itu
yang membuat dia bertambah bengang.
“SEDAP
mihun yang umi masak,” puji Idan sambil makan dengan berseleranya. Malam tadi
selepas membersihkan diri, dia terus terlena.
“Makan, makan…” ucap Umi Hasnah yang turut tersenyum.
Idan makan seolah-olah seperti dalam kelaparan. Lagipun
semalam dia cuma makan dalam perjalanan balik. Apabila makan di restoran biasa,
memanglah tidak begitu kena dengan seleranya.
“Malam tadi pukul berapa kau orang sampai rumah?” Hajar yang
baru turun terus bertanya. Dia mengambil tempat di sebelah uminya.
“Dekat pukul 1.00 pagi jugak la,” beritahu Idan sambil
menambah mihun di pinggan.
“Wow! Mihun istimewa,” tutur Hajar sebaik terpandang mihun
yang terhidang.
“Memang istimewa, umi bubuh rencah apa? Rasanya lain dari
yang biasa umi masak,” puji Idan.
“Umi suruh tukang masak tambah rencah kasih sayang. Sebab tu
yang sedap gila!” beritahu Umi Hasnah dengan selambanya.
Wajah Idan terus berubah. Apabila uminya berkata begitu,
sudah tentulah bukan uminya yang memasak mihun istimewa itu.
“Macam mana Kak Hajar, okey tak mihun yang saya masak?” tanya
Safi sambil menarik kerusi.
Sebentar tadi dia ke bilik. Umi Hasnah sudah memuji keenakan
mihun gorengnya, hatinya berbunga-bunga. Abang seri pula, lebih baik tidak
payah ditanya!
“Secukup rasa dan sedap sungguh!” puji Hajar sambil memandang
Idan dengan ekor mata. Mahu tahu juga reaksi adiknya itu.
“Hmm… Mariam dah sihat?” Idan mengubah topik perbualan. Mujur
ketika dia memuji keenakan mihun goreng, Safi tiada bersama. Andai kata dia ada
sekali, bertambah kembanglah minah sorang tu!
“Dah kebah sikit. Semalam akak mintak izin bawa dia balik ke
rumah. Biar rehat kat rumah aje. Lagipun hari ni Jumaat, Sabtu dan Ahad memang
cuti,” beritahu Hajar.
“Harap-harap Mariam akan cepat sembuh. Sekarang ni, kalau
demam aje kena berhati-hati, takut melarat pulak,” sampuk Safi pula.
“Tulah, lepas hantar Safi kat pejabat Datuk Kamal, terus akak
pecut. Memang hati dah risau semacam. Tak tahulah berapa surat saman akan akak
terima,” beritahu Hajar.
Pantang ada peluang, dia memang asyik memotong kenderaan
lain. Gara-gara mahu cepat sampai, memandu dengan kelajuan 140km/jam pun tidak
terasa laju.
“Insya-ALLAH Mariam tu okey. Dia tu kuat semangat macam mama
dia jugak!” ujar Umi Hasnah pula. Pagi tadi, semasa dia ke bilik Mariam,
demamnya sudah berkurang.
“Hari ni Idan nak masuk ofis jugak ke?” tanya Hajar pula.
“Akak ni… takkan saya nak masuk ofis pulak? Dahlah penat
memandu tak habis lagi.”
“Mana tahu, adik akak ni kan gila kerja?”
“Gila kerja tak apa, jangan gila bayang sudah!” ujar Idan
sambil menjeling Safi.
“Gila bayanglah bagus. Semakin dikejar, semakin tak dapat.
Barulah otak menjadi aktif dan berfikir bagaimana hendak mendapatkannya.”
Sengaja Safi berkata begitu kerana menyedari Idan sememangnya mahu menyindir
dirinya.
“Hajar tertawa mendengarnya. Begitu juga dengan Umi Hasnah.
Mereka ketawa bukanlah sebab apa yang Safi sampaikan itu melucukan, tetapi
wajah Idan yang sudah berubah cemberut!
Sebelum dirinya dikenakan oleh tiga wanita yang sudah
kamceng, Idan terpaksa bangun dan membawa diri ke tempat lain. Satu lawan tiga,
memang sah-sah dia akan kalah!
“Safi janganlah ambil hati dengan anak umi tu. Idan tu memang
lain sikit. Orang nak bergurau, dia
selalu ingat orang tu nak sakitkan hati dia,” ujar Umi Hasnah.
“Saya okey aje umi. Dah biasa dengan perangai Encik Idan tu.
Tak ada hallah,” balas Safi.
“Yalah, kalau kena dengan orang yang tak faham, mesti dia
orang ingat Idan ni tak berapa betul,” tutur Umi Hasnah.
SETELAH
bersarapan, Safi mengambil angin di beranda pula. Sebenarnya dia mahu segera
pulang ke rumah, tetapi Umi Hasnah menahannya. Wanita itu hanya membenarkan dia
pulang setelah makan tengah hari nanti.
Apabila kebosanan melanda, dia berjalan-jalan di halaman
rumah sambil menikmati keindahan bunga-bungaan yang mekar di taman mini Umi
Hasnah. Terdapat pelbagai jenis pokok bunga yang ditanam. Safi suka juga dengan
bunga siantan yang kerap berbunga sepanjang tahun.
Dahulu semasa kecil, dia suka mencabut bunga siantan lalu
menghisap manisan yang terdapat pada salurnya. Tiba-tiba, dia teringin
mengulangi kenangan yang telah lama dilupakan. Dalam satu kuntum bunga siantan,
terdapat banyak bunga kecil-kecil. Perlahan-lahan dia memetik bunga siantan,
kemudian terus dihisap manisan di dalam bunga itu.
“Hah! Awak buat apa tu?” tegur Idan yang sejak tadi memerhati
Safi di taman mini uminya.
“Saja nak jadi lebah menghisap madu,” jawab Safi bersahaja.
“Suka hati awak aje petik bunga tu. Ingat senang ke nak jaga
pokok bunga tu?” marah Idan.
“Alah, pokok bunga ni banyak aje tumbuh sendiri kat kampung.
Bukan susah nak jaga pun. Lagipun, umi awak dah suruh buat macam rumah sendiri,
saya ikut ajelah.”
“Awak ni tak habis-habis nak loyar buruk dengan saya. Saya
nak ingatkan awak, jangan sesekali nak buat baik dengan umi saya,” tegas Idan.
“Apalah Encik Idan ni, saya nak tumpang bermanja dengan Umi
Hasnah aje. Takkan itu pun tak boleh? Kasih sayang patut dikongsi dan kita tak
bolehlah kedekut!” balas Safi.
“Awak tu orang luar, jangan nak berlebih-lebih pulak,” tegur
Idan lagi.
“Tak lama lagi dah nak masuk waktu. Encik Idan tak pergi
solat Jumaat ke?” tanya Safi pula.
“Karang ada jugak yang kena dengan saya. Pukul 12.00 pun
belum, dah masuk waktu pulak! Agak-agaklah kalau nak kenakan orang.”
“Mana ada saya nak kenakan Encik Idan?” balas Safi pula. Suka
dia dapat buat abang seri berangin.
“Hisaplah sampai habis bunga tu, biar kembung perut awak tu!”
ujar Idan dan terus berlalu masuk ke dalam rumah.
‘Sabar ajelah Safi…’ detiknya.