Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 18

“INA… kau rasa kan, apasal Encik Idan tu perangai semacam?” tanya Safi sambil menikmati sarapan pagi.

Hari ini mereka berdua datang awal ke pejabat dan berkesempatan bersarapan di restoran. Selalunya makan nasi lemak di pantri sahaja.

“Percayalah cakap aku, Encik Idan jadi macam tu sebab perempuan.”

“Maksud kau, ada kaitan dengan tunang dia ke?” soal Safi kemudian sambung menyisip air kopinya pula.

“Hah la.”

“Sebenarnya apa yang berlaku kat tunang dia? Hari tu kau cerita tak habis kat aku,” tanya Safi lagi. Selagi tiada yang bercerita, susah juga dia merancang strategi mengurat adik bosnya itu.

“Sebenarnya aku pun tahu sikit aje,” akui Ina dan meneruskan suapan.

Nasi lemak memang kegemarannya, tidak kira lauk apa. Waktu pagi perlu mengisi perut agar dapat membekalkan tenaga sewaktu bekerja. Walaupun ramai yang mengatakan selepas makan nasi lemak pasti mengantuk, perkara itu tidak pula terjadi kepada dirinya.

“Yalah, sikit tu apa dia?” Pagi-pagi ini buat Safi geram pula dengan gelagat si Ina ini.

“Macam yang pernah aku beritahu kau, sudah dua kali jugak dia tak jadi kahwin.”

“Sebab apa? Putus tunang atau ada benda lain yang berlaku?” Tidak sabar Safi hendak tahu.

“Entahlah, nak cakap pun tak berani, takut tersalah. Tunang dia yang pertama aku tak ingat sangat sebab masa tu aku tak kerja kat sini lagi.”

“Tak sangka pulak aku, dalam kerek dia, bertunang lebih dari sekali!” Safi tertawa kecil.

“Nama kedua-dua tunang Idan ni pun dekat-dekat nak sama. Kalau tak silap, macam nama Permaisuri Johor,” beritahu Ina lagi.

“Zarith Sofia?”

“Ha’ah. Tunang yang pertama tu Zarith Sofia rasanya. Yang kedua pulak, Zarith apa entah...”

“Kembar ke?” tanya Safi.

“Taklah, setahu aku binti lain-lain.”

“Hmm… nak buat macam mana, kan? Dah bukan jodoh dia orang dengan Encik Idan tu. Nanti adalah perempuan sesat yang akan jadi jodoh adik bos tu.”

“Aleh, cakap ajelah yang kau nak beritahu kaulah jodoh dia!” perli Ina pula.

“Haha… lebih kuranglah!” Safi tersengih.

“Kau ni… jangan terlebih perasan boleh tak? Nanti kau jugak yang kecewa.”

“Nak buat macam mana? Semenjak aku kerja kat sini, memang hari-hari wajah abang seri tu menghiasi pandangan mata ini. Kalau bukan dia yang naik ke atas, aku pulak yang turun ke pejabat dia.”

“Ke… kau ni dah kena sihir?” Ina tergelak.

“Hish! Sihir apa pulak zaman moden ni?” Safi mana mahu percaya perkara khurafat macam itu.

“Dah serigala jadian, mesti ada kuasa tambahan buat kau asyik teringat kat dia aje,” gurau Ina.

“Gamaknya la. Tapi aku rasa macam dia pernah muncul dalam hidup aku sebelum ni. Bukan sekali, tapi dua kali!” cerita Safi beria-ia.

“Kau ni, ada-ada aje!”

“Aku tak tipu. Bila dah lama-lama, aku rasa suara dia sangat familiar di pendengaran aku,” beritahu Safi sambil kedua tangannya melekat di pipi.

“Kalau dah angau memang akan cakap macam tu!” kutuk Ina.

“Angau tu satu hal, hati aku memang terasa sesuatulah. Senang cerita, di hati ini dah terasa Kush Kush Hota Hai,” beritahu Safi sambil menyanyikan lagu Hindi itu walaupun cuma sebaris.

“Lepas tu terus Dil Tol Pagal Hai, ya? Hmm… cinta kau itu memang gila!” komen Ina.

“Betullah apa yang kau cakap tu.” Safi mengeyakan kemudian ketawa kecil.

“Sekarang ni kau betul-betul jatuh cinta kat dia ke?” Sekejap Ina berasa tidak logik pula dengan apa yang Safi alami. Ada ketikanya dia rasa seperti ada sesuatu di sebaliknya.

“Jatuh cinta tu, tak lagilah. Cuma hati aku kuat mengatakan yang aku patut membina cinta dengan dia.” Safi tersenyum simpul ketika menuturkannya.

“Wah, wah, wah! Kenapa mesti dengan dia?” Ina semakin berminat pula dengan cerita Safi.

“Macam yang selalu kita baca, jodoh kita biasanya mempunyai sifat yang berlawanan dengan kita. Lagi susah kita nak rapat, lagi memberi petanda.”

“Kau ni banyak sangat beranganlah!” tegur Ina. Padanya, semakin menjadi-jadi pula perangai pelik Safi.

“Berangan dulu, baru boleh jadi kenyataan,” balas Safi pula.

“Eh, jomlah kita balik ofis. Dah dekat pukul sembilan ni.” Sebaik perasan, Ina segera menghabiskan air minumannya.

“Yalah. Hari ini aku belanja.” Safi bermurah hati pula hendak belanja rakan sepejabatnya itu

“Alhamdulillah...” ucap Ina.


MENGHAMPIRI pukul dua belas tengah hari, Hajar menuju ke meja Safi yang tekun membuat kerjanya. Itu yang Hajar suka tentang gadis itu. Suruhlah buat apa pun, dia akan membuatnya dengan bersungguh-sungguh. Paling Hajar suka, dalam serius menyelesaikan tugasan, Safi pandai sahaja membuat lawak bagi menceriakan suasana.

“Eh, Kak Hajar. Kenapa tak panggil Safi aje?” tanya Safi sebaik menyedari kehadiran bosnya.

“Pukul dua belas nanti Safi pergi rumah umi. Jangan lupa tapau nasi beriani sekali,” pesan Hajar.

“Akak tak balik sekali?”

“Tak, umi akak tu nak jumpa Safi. Rindu katanya.”

“La… macam tu ke? Saya pun rindu jugak nak jumpa dengan umi akak tu,” akui Safi, bukan sekadar berbahasa.

“Petang nanti tak payah masuk ofis. Safi temankan umi akak aje.”

“Kerja saya ni, macam mana?” soal Safi pula.

“Esok boleh aje sambung. Tak urgent pun, kan?”

“Karang Encik Idan kata saya curi tulang pulak.”

“Safi tak payah risaulah. Kalau Idan tanya, pandailah akak jawab. Lagipun kerja tu staf dia yang patut buat.”

“Okeylah kalau akak dah cakap macam tu,” balas Safi dengan senang hati.

Dia memang dari sehari ke sehari hendak berjumpa dengan Umi Hasnah. Mengingatkan diri baru sahaja kenal wanita itu, tidak mahulah berlebih pula. Walaupun Umi Hasnah pernah pelawa, lebih baik dia datang apabila ada yang jemput.

Sebelum meninggalkan pejabat, Safi memastikan mejanya kemas dan komputer juga telah dimatikan. Setelah berpuas hati, dia mahu segera pergi ke restoran untuk membeli nasi beriani kegemaran Umi Hasnah. Safi tidaklah suka sangat, namun setakat ini tekak dia memang boleh sahaja masuk semua makanan.

Ketika berada di lobi, terserempak pula dengan Encik Idan. Ini yang Safi tidak berapa suka. Kalau lelaki itu bertanya, dia hendak jawab apa? Takkan hendak beritahu perkara sebenar? Dia berkira-kira sendiri.

“Awal lagi nak lunch, awak nak ke mana?” tegur Idan dengan wajah serius.

“Saya ada hal. Lagipun Puan Hajar dah beri kebenaran.” Terkulat-kulat Safi beritahu Idan tanpa memandang wajahnya.

“Ada awak mintak kebenaran saya?”

“Saya kerja di bawah Puan Hajar, bukan dengan encik,” jawab Safi perlahan. Tahu Idan tidak suka stafnya keluar pejabat atas urusan lain.

“Siapa sain cek gaji awak?” soal Idan lagi. Kali ini nada suaranya sedikit meninggi.

“Maaflah encik Idan, saya dah lambat. Kalau encik Idan rasa nak potong gaji saya, potong ajelah,” jawab Safi dan terus berlalu. Andai dia masih di situ memang takkan terlepas.

Sekilas Safi menoleh kembali ke arah Idan. ‘La… dia masih kat situ?’ desisnya dan sengaja melambai tangan ke arah lelaki itu.

Idan menjeling Safi tanda marah dan tidak suka perlakuan gadis itu.

Safi terpaksa mengukir senyuman sehabis manis. Dia tidak kisah meskipun tidak berbalas. Dia percaya suatu hari nanti pasti abang seri akan teringatkan senyumannya itu.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.