Dato Darwish memastikan rumah mereka tinggal terkunci dengan baik. Pintu
depan dan pintu belakang di periksa lagi sekali. Rumahnya mudah di masuk
pencuri jika tidak dikunci. Dia menuju ke bilik anak perempuannya.
“Qisha tak tidur lagi?”
“Tak lagi ayah…” Qisha Delisa memandang Dato Darwish.
Dia bersyukur dapat bertemu semula dengan
ayah kandungnya. Kini, dia tinggal berdua bersama ayahnya. Inilah saat
yang paling dia rasa bahagia.
Dia masih menjahit pakaian. Tambahan pula, kawasan taman
perumahan ini tiada orang yang mengambil upah menjahit. Jadi, ini boleh menjadi
punca pendapatannya. Dia senang dapat menjahit baju kurung.
“Jangan tidur lewat sangat, Qisha. Nanti ayah risau.”
Dato Darwish memandang wajah penat Qisha Delisa. Dia seakan nampak wajah arwah
isterinya, Qizaha. Bekerja keras untuk keluarga.
“Ayah tak payahlah risau. Qisha tak akan menjahit
lebih dari pukul 12. Kan Qisha dah janji dengan ayah.” Qisha Delisa
menghentikan jahitannya. Dia memandang Dato Darwish yang sedang berdiri di satu
sudut.
Dalam rumah sewanya hanya ada dua bilik. Satu bilik
Dato Darwish dan satu lagi bilik Qisha Delisa. Jadi, tempat dia menjahit adalah
ruang tamu. Di ruang tamu itulah tempat dia menjahit siang dan malam.
“Ayah tidur la dulu.” Kata Qisah Delisa dengan lembut.
Dia tidak mahu kesihatan Dato Darwish terganggu.
“Nanti ayah tidur. Bila tengok Qisha menjahit macam
ni, ayah teringat mak kamu. Rajin dia bekerja nak bantu ayah.” Dato Darwish
tersenyum tetapi dalam hati, dia rasa sangat sedih dan menyesal menceraikan
isterinya. Sedangkan Qizaha berusaha menjadi isteri yang paling baik untuk
dirinya.
“Mak memang rajin, ayah. Kalau ayah balik lambat,
pasti mak akan tunggu sampai ayah balik. Qisha selalu teman, mak.” Qisha Delisa
bercerita. Dia masih ingat emaknya selalu berjaga menunggu ayah.
“Qisha, mak pernah cakap apa-apa fasal ayah tak?” Dari
dulu lagi Dato Darwish ingin menanyakan soal itu tetapi Qisha Delisa
membencinya.
“Mak? Mak tak pernah cerita yang buruk-buruk fasal
ayah. Mak kata, ayah seorang lelaki yang paling baik mak pernah jumpa. Mak
sayangkan ayah, Qisha ni…” Qisha Delisa tersenyum. Ya, memang benar! Emaknya
tidak pernah bercerita tentang keburukan Dato Darwish walaupun dia sendiri
nampak sikap buruk ayah yang berkahwin dengan perempuan lain.
Kata-kata Qisha Delisa membuatkan Dato Darwish rasa
makin rasa bersalah.
“Maafkan ayah, Qisha…” Air matanya mengalir. Tiada apa
yang amat dikesali adalah menceraikan Qizaha. Wanita terbaik dalam hidupnya.
“Dahlah Qisha maafkan ayah. Dan Qisha yakin yang mak
pun dah maafkan ayah. Sebab semua yang berlaku itu, bukan salah ayah tetapi
orang yang dengki dengan keluarga kita. Tak boleh tengok kita bahagia. Kan
aya?” Qisha Delisa tersenyum.
“Terima kasih, Qisha.” Dato Darwish mengusap kepala
anak perempuannya. “Jangan tidur lewat ya? Ayah tidur dulu.” Dato Darwish terus
berlalu setelah Qisha Delisa mengangguk kepala.
Tiba-tiba Qisha Delisa teringat akan Hadif Fayyadh.
Dah makan ke dia? Ah! Kenapa aku teringat kat dia? Baik aku lupakan. Dia
teringat akan Zaheerul pula.
Luahan Zaheerul siang tadi benar-benar membuat dia
terdiam tanpa sepatah kata. Tetapi akhirnya, dia tersenyum sendiri.
Zaheerul ni, suka kan aku pula. Lucu pula… Dia sendiri
langsung tidak merasakan apa-apa sewaktu berada di sisi lelaki itu. Ini kan
pula cinta. Dia bernasib baik Zaheerul berfikiran positif dan menerima segala
keputusannya dengan terbuka.
“Baik aku sambung menjahit. Nanti ayah marah. Macam
aku tak kenal ayah tu. Selagi aku tak tutup lampu, jangan harap dia akan tidur
dengan tenang. Cepat siapkan sikit lagi Qisha…” Dia mencapai semula cermin
matanya dan membuat ukuran. Mungkin esok sahaja dia menjahitnya.
Dato Darwish mendengar bebelan Qisha Delisa. Tidak
disangka yang Qisha Delisa menyedari perilakunya. Menunggu sehingga anaknya
tidur, barulah dia lelapkan mata.
“Qisha… Qisha…” Dato Darwish mengeluh. Dia bersyukur kerana
dia terserempak dengan Qisha Delisa. Anaknya sendiri yang menyelamatkan
dirinya. Peristiwa dua bulan yang lalu terlayar dalam fikirannya.
“Encik tak apa-apa?” soal seorang gadis. Dari jauh dia
melihat seorang lelaki tua yang kelihatan seperti semput. Lelaki itu memakai
topi membuatkan dia tidak nampak wajah sebenar lelaki itu.
“Saya tak apa-apa. Terima kasih.” Dato Darwish
ucapkan. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Sebaik sahaja bola matanya
ternampak seraup wajah yang sangat dia rindui itu, nafasnya mula tidak teratur.
Turun naik nafasnya. Dia memegang dadanya yang terasa sakit tiba-tiba.
“Ayah!” Qisha Delisa terkejut melihat keadaan ayahnya.
Ini ayah aku! Ayah aku!
Dia tidak tahu mahu menghubungi siapa saat ini. Dalam
fikirannya hanya ada Zaheerul. Lelaki itu sahaja boleh membantunya saat ini.
“Zaheerul, tolong aku! Tolong aku! Cepat datang sini!”
Qisha Delisa cemas. Nasib baik ketika ini dia keluar bersama Zaheerul untuk
membeli barang dapur. Lelaki itu benar-benar banyak membantu hidupnya.
“Relaks Qisha. Kau kat mana? Aku datang ni!”
“Aku kat depan tandas lelaki ni. Cepat tau!”
Talian terputus.
Zaheerul membantu Qisha Delisa menghantar Dato Darwish
ke hospital. Rupa-rupanya Dato Darwish ada penyakit asma. Dia tidak boleh
berada di tempat berhabuk dan keadaan sejuk. Jika tidak, dia akan rasa sesak
nafas.
Sejak itu, dia tinggal bersama Qisha Delisa. Dia juga
tidak berani mahu menanyakan tentang Wan Firaz atau menantu barunya, Hadif
Fayyadh.
“Qisha dah cerai dengan Hadif?” Dato Darwish terkejut.
Zaheerul yang memberitahunya. Dia tidak menyangka sebaik-baik Hadif Fayyadh pun
Qisha Delisa diceraikan. Tapi kenapa?
Teringin sangat dia mahu menanyakan tentang itu tetapi
dia tidak mahu Qisha Delisa ingat peristiwa yang membuat anaknya bersedih.
Biarlah masa berlalu. Tempoh idah pun dah lepas. Kini, anaknya sah bergelar
janda sudah tiga bulan.
“Qisha, ayah sayang Qisha.”
Dato Darwish menjenguk Qisha Delisa yang sudah
tertidur di atas katil. Di selimut tubuh yang mungkin akan kesejukan. Dia
menutup suiz lampu.
“Qisha pun sayang ayah…” bisik Qisha Delisa lalu tidur
dengan tenang.
Qisha Delisa tersedar daripada tidurnya. Dia menggeliat dan membetulkan urat-urat badan yang sudah makin kebas. Kaki
dilunjurkan dan diangkat beberapa kali. Senaman untuk kurus.
Dia tersenyum. Itulah dia tiap kali bangun pagi.
Senaman. Dia perlu buat senaman untuk badan yang lebih sihat. Apabila badannya
sihat, maka dia boleh melakukan lebih banyak kerja dan dapat bertahan lebih
lama apabila bekerja.
“Gaya aku ni tak ubah macam sedang buat posisi yoga
yang sangat mustahil untuk seseorang yang berbadan ‘keras’ seperti aku mahu
melakukan. Tapi kalau tiap-tiap hari buat perkara yang sama, pasti boleh
lakukan.” Makin lebar senyuman Qisha Delisa.
Dia turun daripada katil. Kemudian matanya melihat
gambar perkahwinannya bersama Hadif yang terletak elok di meja mekap. Senyuman
lelaki itu sumber semangatnya.
“Kerana satu kesalahan yang dipengaruhi oleh Wan Firaz
untuk membuat dia rasa benci pada lelaki ini? Tidak mungkin. Aku akan kenang
kau dalam setiap doaku, Hadif. I miss you…”
Itulah rutin harian yang dilakukan oleh Qisha Delisa.
Satu-satunya gambar yang dia ada bersamaHadif Fayyadh.
Perkahwinan mereka berdua sangat bahagia tetapi kehadiran Wan Firaz membuatkan Hadif
Fayyadh sedikit melatah.
“Aku tak salahkan kau kalau kau ceraikan aku, Hadif.
Sebab aku tahu. Kau ceraikan aku sebab dah terpengaruhi dengan kata-kata Wan
Firaz. Aku akan sentiasa menanti kau tetapi buat masa ini, aku tak dapat
menerima kau lagi. Aku tenang hidup seperti ini.”
Qisha Delisa bercakap sendirian. Apa lagi yang boleh
dia lakukan? Hanya cara ini yang dapat dia lakukan untuk kurangkan rasa tekanan
dalam hidupnya.
Selepas bercakap seorang diri dengan bingkai gambar,
Qisha Delisa ke dapur. Dia akan minum air sebelum mandi. Tekaknya rasa dahaga
pula.
Air yang baru separuh masuk ke dalam mulutnya, tiba-tiba tersembur
keluar. Dia tersedak beberapa kali.
“Ayah! Terkejut Qisha!” Dia terkejut melihat Dato
Darwish keluar dari bilik air di dapur.
Dato Darwish ketawa kecil.
“Kasihan anak ayah. Maafkan ayah. Buat anak ayah
terkejut.” Dato Darwish menghampiri Qisha Delisa yang wajahnya berkerut-kerut
menahan rasa perit di tekak.
“Tak apa ayah. Qisha bukan marah ayah pun. Cuma
terkejut.” Qisha Delisa cuba tersenyum. Tidak mahu Dato Darwish rasa bersalah.
“Awal ayah bangun hari ni?” soal Qisha Delisa lagi.
“Kan hari ni ayah ada temu janji dengan doktor
Sarimah.” Dato Darwish mengingatkan Qisha Delisa. Pasti anak perempuannya
terlupa kerana memikirkan banyak perkara.
“Memang sah anak ayah ni pelupa.” Qisha Delisa
tersengih. “Ayah pergilah bersiap. Nanti Qisha telefon teksi.”
“Qisha, tak payahlah telefon teksi. Kita cuba naik
bas. Jimat.” Cadang Dato Darwish. Bukan apa, dia tahu yang Qisha Delisa tiada
duit sangat. Kadang-kadang ubat-ubatannya pun dah cecah ratusan. Mana anaknya
ada duit sebanyak itu.
“Tak boleh ayah! Naik bas banyak habuk. Tak apa. Kalau
ayah risau fasal tambang, Qisha dah sediakan duitnya. Jangan risau lah ayah.
Qisha mandi kejap.”
Dia terus berlalu masuk ke dalam bilik air. Selepas
mandi dan bersolat, dia menghampiri laci mekapnya dan mengeluarkan duit
niaganya yang semalam.
“Empat ratus bungkus kali seringgit lima puluh sen…
Berapa ye? Aku ni memang lemah math. Kalau Hadif ada, pasti laju je dia kira…”
Pantas tangannya menutup mulut yang lancar berkata-kata.
“Kenapa aku asyik sebut namanya? Ini mesti kes
terserempak dengan dia semalam. Lupakan dia! Lupakan dia!” Qisha Delisa
menyambung mengira. Dia mengeluarkan telefon cikainya dan mencari bahagian
kalkulator.
“Empat ratus bungkus kali seringgit lima puluh sen…
Jawapannya… Enam ratus ringgit. Modal dalam dua ratus. Dua ratus ni simpan
untuk niaga minggu depan pula. Jadi tinggallah empat ratus. Cukup ke?” Otaknya
cuba berfikir. Mencongak secara kasar dalam fikirannya.
“Tambang pergi balik, ubat ayah, nak beli lauk lagi.
Cukup ke?”
Runsing Qisha Delisa memikirkannya. Duit simpan dia
tidak mahu guna. Itu betul-betul kecemasan barulah dia guna.
“Cukup. Harap-harap ubat ayah tak sampai dua ratus.
Tambang pun dekat lima puluh pergi balik. Ya Allah, permudahkan urusan aku hari
ni.”
Qisha Delisa bangun lalu menyimpan duit-duit tersebut
dalam beg tangannya. Dia segera memakai tudung. Selepas lengkap bertudung, dia
menanti ayahnya bersiap.
“Ayah, kad
pengenalan jangan lupa. Hah! Surat temu janji pun jangan lupa… Lagi…” kata
Qisha Delisa sambil mengintai keluar rumah. Terbeliak matanya melihat
seseorang. Hatinya berdebar-debar.
p/s: Assalamualaikum, salam Jumaat dan selamat pagi.....kali ini kisah ayah dan anak...hihihi harap tak la bosan sangat.... semoga hubungan anda dengan ayah anda baik2 sahaja...kepada anak yatim seperti saya(tak ada ayah) kita sedekah kan Al-Fatihah untuk mereka. semoga mereka ditempatkan di tempat yang di Muliakan Allah...amin...