Home Novel Cinta PLAYBOY PALING ROMANTIK
Bab 26 - part 1

Qisha Delisa tidak berpuas hati dengan keputusan yang Dato Darwish putuskan. Memang dah jimat lima puluh ringgit tapi aku tak suka dia. Aku benci dia. Kenapa dia muncul?

“Qisha, jangan la tunjuk muka masam macam tu. Aku minta maaf ye? Kau maafkan aku kan?” Hadif Fayyadh cuba memujuk. Rasa bersalah pula wajah yang comel itu tidak mahu tersenyum.

“Aku tak kan maafkan kau.”

Dato Darwish yang mendengar perbualan mereka hanya menggelengkan kepala. Asyik bergaduh sahaja. Bercakap sahaja, mesti bergaduh.

“Encik Darwish…” panggil seorang jururawat.

“Ya, saya!”

“Dah boleh masuk. Doktor sedang menunggu.”

Dato Darwish bangun dan menuju ke pintu bilik doktor. Qisha Delisa pun turut berdiri. Dia mahu menemani Dato Darwish.

“Qisha tunggu luar ye? Kali ini biar ayah masuk seorang.”

“Tapi ayah…” Qisha Delisa mahu mengetahui perkembangan kesihatan Dato Darwish.

“Ayah tak apa-apa. Jangan risau.” Dato Darwish tersenyum. Dia yakin dengan tahap kesihatannya. Dia terus masuk. Kelihatan Doktor Sarimah dengan wajah yang serius.

“Macam mana keputusan kesihatan saya, doktor?” soal Dato Darwish. Dia yakin penyakit asma sahaja yang dihidapnya.

“Maafkan saya, Dato Darwish. Mengikut laporan kesihatan Dato Darwish, Dato ada beberapa penyakit lain seperti darah tinggi dan paling saya risau, penyakit jantung koronari. Dato Darwish merokok ke?” soal Daktor Sarimah.

“Ya, tapi dah lama saya berhenti doktor.” Memang dulu Dato Darwish seorang perokok tegar sejak mendapat pangkat Dato dan berkahwin dengan Datin Farhana tetapi sejak dia insaf dan tiada wang yang cukup untuk membeli rokok, dia telah berhenti perlahan-lahan.

“Rokok ni boleh memberi kesan pada kesihatan dalam jangka panjang. Jangan risau. Penyakit Dato masih di peringkat awal. Jika jaga pemakanan, makan ubat pada masanya, insya-Allah dipermudahkan.” Nasihat Doktor Sarimah secara positif. Dia tidak mahu pesakit terlalu memikirkan penyakitnya.

“Mari saya tunjuk secara terperinci.” Doktor Sarimah mengeluarkan gambar dalaman jantung.

Dato Darwish memandang arah gambar tersebut.

“Penyakit jantung ini hasil daripada pembentukan plak dalam saluran darah atau arteri koronari dan keadaan ini dipanggil Aterosklerosis. Ateroskelrosis ini menyebabkan saluran darah Dato, yang asalnya licin dan elastik, tetapi sekarang disebabkan oleh pembentukan plak yang menjadi sempit dan aliran darah ke jantung juga tersekat. Akibatnya, jantung Dato mengalami kekurangan bekalan oksigen dan nutrien penting yang diperlukan untuk mengepam darah dengan betul. Hal ini meningkatkan risiko untuk serangan jantung apabila jantung perlu bekerja keras.”

“Serangan jantung?” Dato Darwish menelan liur. Gerun dia mendengar perkataan itu. Kawan-kawan seangkatannya ramai yang mengalami serangan jantung.

“Ya, serangan jantung atau heart attack atau kegagalan jantung berfungsi. Ia boleh terjadi apabila saluran darah berhampiran jantung tersumbat disebabkan kolestrol yangg melekat di dinding saluran darah. Sila Dato tengok gambar ini.”

Dato Darwish melihat gambar jantung yang penuh warna kuning. Mungkin itulah kolestrol yang melekat kot. Tak dicampur lagi hitam-hitam kesan dari rokok. Ya Allah, selama ini aku tahu hisap rokok dan main bedal segala makanan tanpa memikirkan penyakit yang akan datang kepada aku. Dia insaf.

“Dato, apabila saluran ini tersumbat, tekanan darah akan meningkat dan jantung gagal menghantar oksigen ke otak. Pesakit akan diserang serangan sakit jantung.”

“Bagaimana cara untuk saya kurangan kolestrol ini, doktor?”

“Kurangkan makan makanan yang berminyak dan berlemak. Berbalik semula kepada penyakit jantung Koronari. Gaya hidup Dato yang mungkin tidak sihat termasuk corak pemakanan yang tinggi kolesterol dan kurang bersenam adalah pemangkin utama selain faktor salasilah keluarga yang mempunyai penyakit jantung. Salasilah Dato ada yang berpenyakit jantung?” Soal Doktor Sarimah.

“Rasanya tak ada…”

“Kalau tak ada, mungkin cara pemakanan dan kurang bersenam menyebabkan penyakit ini terbentuk. Dari usia muda lagi plak kolesterol boleh berkumpul dalam dinding saluran darah. Semakin berusia, beban plak akan membina, dinding saluran darah juga akan membengkak. Akibatnya, saluran arteri koronari semakin mengecil. Apabila pesakit melakukan aktiviti yang berat atau mengalami tekanan yang meningkat, otot jantung tidak menerima bekalan darah yang mengandungi oksigen yang secukupnya disebabkan oleh saluran arteri yang sempit. Ini akan menyebabkan sesetengah pesakit akan merasa sakit di bahagian dada dan berkemungkinan mendapat serangan jantung.” Jelas Doktor Sarimah.

Barulah Dato Darwish teringat yang dia selalu rasa sakit dada. Dia ingat itu sakit biasa sahaja. “Jadi, penyakit asma tu…?”

“Dato tak ada penyakit asma. Seksa nafas dan sakit dada yang Dato alami sebelum ini berlaku disebabkan jantung Dato tidak berfungsi dengan baik. Selepas makan ubat yang diberi, sedikit sebanyak membantu melancarkan pernafasan Dato.”

“Oh…”

“Bulan depan, Dato datang semula ke sini untuk mengetahui perkembangan kesihatan Dato. Kita akan mula membuat pemeriksaan dan berbincang sama ada Dato perlu membuat pembedahan atau tidak. Saya harap Dato jaga pemakanan dan selalu bersenam dengan kadar yang sesuai dengan peringkat umur Dato. Jangan terlalu memaksa, okey?”

“Baiklah Doktor. Terima kasih Doktor. Saya harap, doktor tak beritahu anak saya. Saya tak nak dia bimbang.”

Doktor Sarimah tersentak. “Baiklah!” Terpaksa dia bersetuju.

“Terima kasih doktor…” Dato Darwish tersenyum lega. Qisha Delisa tidak perlu tahu mengenai penyakitnya. Aku tidak akan membebankan dia dengan masalah aku. Dengan kesihatan aku. Aku dah banyak susahkan dia.

Qisha Delisa menjeling pada Hadif Fayyadh. Barulah sekarang dia dapat perhatikan wajah Hadif Fayyadh yang banyak berubah. Dia tak bercukur ke? Dia perhatikan wajah lelaki itu ada sedikit jambang halus. Ala-ala gaya pelakon Hollywood punya gaya. Memang nampak bergaya tetapi selekeh jadinya jika tidak dicukur kemas.

“Qisha, kau masih marahkan aku?” Serentak soalan Hadif Fayyadh ditanya, lelaki itu memandang wajah Qisha Delisa.

Qisha Delisa yang menyedari pantas melarikan pandangannya. Dia memandang ke depan.

Giliran Hadif Fayyadh pula melihat wajah Qisha Delisa. Wajah itu nampak letih. Penat ke dia berniaga di pasar? Mana pergi kereta kesayangannya itu? Rumah sewanya? Butik! Ya butik yang dibina atas usaha sendiri? Mana pergi? Sampai dia sanggup berniaga di pasar? Terlalu banyak persoalan yang ingin dia tanya tetapi tidak terluah.

“Ya…” Sepatah Qisha Delisa berkata.

“Kau masih bencikan aku?”

“Ya…” Sepatah lagi Qisha Delisa menjawab.

“Kau masih cintakan aku?”

“Ya… Eh! Tak! Tak!” Qisha Delisa menggelabah. Dia malas mahu menjawab pertanyaan Hadif Fayyadh. Disangkanya semua jawapannya adalah ya. Jadi dia jawablah ya.

Hadif Fayyadh tersenyum. Wajah gelabah Qisha Delisa mencuit hatinya. Gadis itu tetap macam dulu. Aku! Akulah yang menolak kehadiran dia dalam hidup aku! Aku memang tak guna! Menyesal tak sudah!

“Apa senyum-senyum? Kau jangan nak salah faham. Aku sikit pun tak cintakan kau. Kau jangan berangan nak kembali semula pada aku…” Qisha Delisa cuba mengawal nada suaranya. Dia tahu yang dia sudah tersalah kata.

“Aku tak cakap pun aku nak kembali semula pada kau…” Sengaja Hadif Fayyadh mengusik seperti itu. Sedangkan hatinya tidak sabar mahu menunggu Qisha Delisa menerimanya semula.

“Kau ni…” Makin geram Qisha Delisa. Selamba mainkan hatinya!

Dato Darwish keluar dari bilik doktor. Wajahnya ceria. Dia harus menyembunyikan segala-galanya. Qisha Delisa tidak perlu tahu mengenai penyakitnya.

“Apa kata doktor, ayah?” Soal Qisha Delisa yang berdiri sebaik sahaja melihat Dato Darwish keluar dari bilik doktor. Hadif Fayyadh juga mengikut je.

“Ayah ada asma je. Doktor suruh beli ubat ni. Ini ubat baru katanya. Tak perlu sangat pam. Pam pun ada, cuma dia bagi ubat pil sahaja.”

“Alhamdulillah. Bimbang juga ayah ada penyakit lain. Risau Qisha.” Qisha Delisa tersenyum gembira.

“Encik Darwish!” panggil jururawat yang ingin memberi ubat.

Pantas Dato Darwish yang pergi ke kaunter terlebih dahulu. “Mana ubat sakit jantung? Jangan bagi tahu anak saya ye?” bisiknya. Harap dia sempat.

“Yang dalam kotak ini. Ini untuk sebulan.” Kata jururawat.

Laju sahaja tangan Dato Darwish mengambilnya dan meletakkan dalam poketnya. Dia tidak mahu Qisha Delisa tahu.

“Ayah, apa yang ayah sorokan tu?” soal Qisha Delisa. Dia nampak Dato Darwish masukkan sesuatu dalam poket.

“Tak ada apa-apa, resit sahaja.”

“Ooo… Berapa semuanya?” tanya Qisha Delisa.

“Ubat pam, ubat lapang dada, ubat darah tinggi dan bayaran untuk pemeriksaan semuanya adalah tiga ratus tiga puluh ringgit.” Jururawat itu hanya mengikut arahan Dato Darwish tanpa menyebut ubat penyakit jantung. Ubat tersebut yang paling mahal.

“Mahalnya…”hampir tercekik Qisha Delisa mendengar jumlahnya.

“Tak apa Qisha, biar aku yang bayar?” Hadif Fayyadh menghampiri mereka.

“Kau siapa nak tolong bayar? Aku ada duit aku sendiri. Kau tak payah nak sibuk!” marah Qisha Delisa. Dia mengeluarkan duitnya. “Ini dia tiga ratus tiga puluh ringgit. Cukup?” soalnya.

“Ya, cukup.” Jururawat tersebut memberi resit pada Dato Darwish.

“Terima kasih. Ayah, bagi Qisha tengok…” Qisha Delisa ingin melihat resit tersebut. Manalah tahu tersalah kira.

“Tak apa. Ayah dah tengok tadi. Betul semua. Jangan risau!” Dato Darwish jalan dahulu keluar dari klinik swasta tersebut.

“Ayah ni!” Qisha Delisa rasa pelik dengan perubahan Dato Darwish. Seperti menyembunyikan sesuatu sahaja.


p/s: Assalamualaikum dan salam sejahtera...terima kasih masih setia dengan enovel ini...sedikit kisah mereka...semoga terhibur membacanya...mengenai penyakit jantung ni, jika ada yang salah saya tulis, boleh terus menegur saya...saya tulis berdasarkan pengalaman arwah ayah saya meninggal dunia dan sedikit maklumat di internet...harap sudi yang tegur saya jika salah...terima kasih...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.