21
SEBAIK
sahaja sampai di bilik, Eizhan segera menghempaskan tubuhnya ke tilam empuk.
Hatinya panas membahang. Suhu sejuk daripada pendingin hawa yang sudah sedia terpasang
juga masih belum mampu mengenyahkan walau sedarjah kepanasan hatinya.
Dia sedar,
adalah kurang wajar untuk dia melontarkan kata-kata kesat ke arah mamanya
sendiri seperti yang telah dilakukannya di laman banglo tadi. Secara tidak
langsung situasi itu telah meletakkan dia dalam kategori anak yang kurang ajar.
Dalam hatinya, dia tidak mahu menjadi anak yang kurang ajar. Dia mahu menjadi
seperti Jeffri. Pemuda itu adalah anak yang sangat hormat kepada orang tua.
Tapi,
situasi dirinya dengan Jeffri jauh berbeza. Bezanya umpama langit dengan bumi. Ibu
bapa Jeffri menyayangi Jeffri sepenuh hati. Sedangkan mamanya yang bernama
Dayana itu hanya tahu mengongkong dirinya. Hanya ingin melihat dia menjadi anak
yang menurut kata. Semua itu membuatkan jiwa mudanya berkocak, memberontak.
Apakah dia
membenci mamanya? Tidak! Dia tidak pernah membenci mamanya. Mereka cuma anak
beranak yang tidak pernah sebulu dan sependapat.
Dia
bangkit dari katil lalu menuju ke tingkap. Langsir tebal dikuak. Pandangannya
dihalakan keluar. Dari jendela tingkap itu, dia nampak mamanya sedang
berbual-bual dengan Jeffri di atas bangku batu, di laman.
Dari
kejauhan, dia menjilati wajah mamanya.
“Mama
cantik. Eiz sayang mama!” Dia masih ingat lagi tatkala dia seringkali
menuturkan kata-kata itu. Kata-kata bernada pujian yang diungkapkan oleh
seorang anak yang mengagumi kecantikan mamanya.
Mungkin semua
anak juga begitu. Walaupun wajah ibunya biasa-biasa sahaja, tetapi tetap mahu
memuji ibunya cantik. Kerana kata-kata bernada pujian itu sebenarnya lebih
berupa sebuah ungkapan penghargaan yang ditujukan untuk orang yang disayangi.
Cuma,
sejak dia memasuki alam sekolah menengah, ungkapan itu sudah jarang-jarang
muncul dari bibirnya. Pun dalam hati, dia masih tetap memuji Dayana. Kerana
mamanya memang cantik. Dan, perempuan berwajah cantik memang harus dikagumi.
“You
cantik, Yana.” Itulah juga ungkapan yang selalu diucapkan oleh arwah papa
terhadap mamanya sewaktu hayatnya dahulu.
Mamanya berkahwin
ketika berusia 22 tahun, masih terlalu muda. Sementara itu arwah papanya pula sudah
berusia 35 tahun. Usia perkenalan dan percintaan mereka singkat sahaja. Dalam
masa tiga bulan setelah mengenali hati budi masing-masing, kedua-duanya terus
menuju ke fasa perkahwinan.
“Nak buat
apa bercinta lama-lama, takut tak jadi. Kalau hati dah suka dan jiwa dah
terpaut, baiklah papa cepat-cepat masuk meminang mama. Itukan lebih baik
daripada membiarkan mama kamu dirampas lelaki lain. Hmmm... lagipun, papa tak
tahan sebab mama kamu ni cantik sangat dan boleh tahan jugak, ramai
peminatnya.” Begitulah yang pernah diluahkan oleh arwah papanya semasa ada
hayatnya dahulu.
Mamanya
pula akan hanya ketawa mersik setiap kali arwah papa mengusik atau memujinya
cantik. Kini, semua itu hanya tinggal memori indah untuk dikenang. Tiada siapa
yang menduga, usia papanya tidak panjang. Dia meninggal dunia kerana mengidap
serangan jantung secara tiba-tiba, 9 tahun lalu. Ketika itu, papanya baru
sahaja berusia 49 tahun, masih amat muda dan mungkin juga belum puas menikmati
hidup. Dalam usia 36 tahun, mamanya sudah bergelar ibu tunggal. Dan, dalam usia
14 tahun, Eizhan sudah belajar untuk hidup tanpa seorang ayah di sisinya.
Setelah
kematian suami, sikap Dayana terhadap dirinya mula berubah. Kalau dahulu Dayana
seorang yang mama yang penyayang serta prihatin, sikapnya mula bertukar menjadi
seorang mama yang terlalu kuat mengongkong. Kenapa mama perlu berubah sikap
setelah papa meninggal dunia? Kenapa?
Susahkah
mendidik anak yang seorang ini? Atau, apakah sikap aku juga telah berubah
setelah papa tiada lagi di sisi kami?
Dia
menghempas keluh lalu tertanya-tanya dalam hati bilakah hubungannya dengan
perempuan cantik yang sedang duduk berbual di laman itu akan menjadi mesra dan
hangat seperti dahulu, iaitu seperti sebelum papanya meninggal dunia.
Dalam pada
itu, mata Eizhan masih ralit merenung Dayana. Dia lihat Jeffri berkata sesuatu,
dan mamanya tergelak besar. Entah apa yang lucu sangat? Kemudian dia nampak
Jeffri menyebak rambut mamanya ke celah telinga. Dayana kelihatannya tidak
kisah, hanya membiarkan.
Hati Eizhan
bergetar melihat panorama itu. Isy, drama sebabak apa yang sedang mereka
lakonkan tu?
Oleh sebab
tidak mahu terus-terusan melihat drama yang sedang dilakonkan oleh Dayana dan
Jeffri itu, dia segera menarik langsir tebal dengan kasar.
Hatinya
yang tadi panas, terasa semakin membahang. Sikit masa lagi akan rentung dan
hangit di dalam dadanya. Dia menuju ke arah katilnya semula. Dia melangkah sambil
melucutkan pakaiannya... satu persatu, dimulai dengan t-shirt yang menyarung
tubuhnya. Kemudian, diikuti pula dengan seluar jeans hitamnya. Tetapi, sebelum
sempat dia melucutkan seluar dalamnya, terdengar satu jeritan memenuhi ruang
bilik.
Wajah
pucat pembantu rumah warga Indonesia yang entah bila masanya muncul di bilik
itu, membuatkan dia terkejut besar.
“Apa kau
buat kat dalam bilik aku ni, hah?” Dia menyergah.
“Errr...
maaf, tuan. Saya hanya mahu... saya mahu tutup air-con.” Tergagap-gagap pembantu rumah itu bersuara.
“Dah,
berambus kau dari bilik aku! Berambus!!!” Eizhan menjerit sekuat-kuat hatinya
membuatkan perempuan yang baru tiga bulan bekerja di situ, mencicit laju
meninggalkan ruang bilik.
“Grrrrr....”
Eizhan menderam bagaikan harimau yang sedang naik minyak.
“MALAM ni
kita dinner kat luar, nak tak?” Dayana
melirik manja ke arah pemuda di sisinya.
Jeffri
sebaya dengan Eizhan tetapi Jeffri adalah seorang lelaki yang matang dan
penyabar. Tidak seperti Eizhan yang kadangkala bersikap banas baran serta sedikit
kebudak-budakan. Mungkin kerana Jeffri adalah anak sulung dalam keluarganya,
berbanding Eizhan yang merupakan anak tunggal.
“You dan I
dinner kat luar?” soal Jeffri,
seolah-olah meminta kepastian.
Dayana
mengangguk laju. Matanya menjilati wajah segar pemuda di sisinya itu dan
mengharapkan persetujuan terkeluar dari mulut Jeffri. Dia tidak mahu
bersendirian malam itu. Dia mahu keluar seketika dari banglo itu, berseronok. Dan
dia mahu ditemani Jeffri.
Walaupun
mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain tetapi dia sendiri tidak
sedar bilakah kemesraan mula muncul di antaranya dengan pemuda itu. Bukannya
dia tidak pernah terfikir tentang perbezaan umur mereka berdua. Dayana, seorang
ibu tunggal berusia empat puluhan menjalinkan hubungan mesra dengan pemuda
berumur dua puluhan. Sementelahan lagi, Jeffri adalah kawan baik Eizhan.
Dalam
tempoh sembilan tahun melewati dunia yang kosong tanpa seorang suami di sisinya,
bukan tidak ada lelaki yang kepingin untuk mendekatinya, ada. Malah, terlalu
ramai yang telah mencuba nasib. Ada di antaranya merupakan rakan-rakan
allahyarham suaminya sendiri. Status mereka pula berbagai-bagai. Ada yang
bergelar duda. Malah, ada juga yang bergelar suami orang.
Namun,
baik duda apatah lagi suami orang; hatinya langsung tidak terpikat. Dia lebih
rela tidak bersuami daripada merampas suami perempuan lain.
Dia rasa
ada baiknya kalau dia menumpukan sepenuh perhatiannya kepada satu-satunya waris
yang dia ada, Eizhan. Mungkin ketika itulah dia sudah mula belajar untuk
mengongkong kehidupan peribadi anak tunggalnya itu.
Bukannya
dia sengaja hendak berbuat begitu, bukan! Mama mana yang mahu memenjarakan
kehidupan anaknya sendiri? Tentu tidak ada seorang mama pun di dunia ini yang
sengaja berniat hendak mengongkong anaknya.
Kalaulah Eizhan
tidak berubah sikap setelah kematian papanya, pasti perkara ini tidak akan
terjadi. Kalaulah Eizhan tidak berubah menjadi seorang anak yang membebankannya
dengan satu demi satu masalah...
Dayana menarik
nafas panjang-panjang. Kemudian menghempaskannya semula sebagai sebuah keluhan.
“Iyalah,
kita berdua keluar dinner sama-sama. You
setuju ke tak? Ke... you tak sudi? Ala, siapalah I ni kan?” Dia membuang
pandang ke arah lain, seolah-olah berkecil hati dengan Jeffri.
Pemuda di
sisinya tergelak kecil.
“Bukannya
I tak sudi. Tapi malam ni I nak rehatlah, nak tidur awal. I rasa you pun patut
luangkan masa you dengan Eiz. Lain kali ajelah kita keluar dinner, ya.”
“I tau...
you malu keluar dengan I, kan?” Suara Dayana sedikit kasar. Wajahnya bertukar
muram.
“Isy,
kenapa pulak I harus rasa malu keluar dengan you? You cantik apa!”
“Ah,
sudahlah! You malu nak keluar dengan I sebab I ni dah tua kan?”
“Isy,
janganlah cakap macam ni. Tengok I,” Jeffri meraih dagu Dayana sehingga mereka
berada dalam keadaan bertatapan.
“Yana, Eiz
baru aje balik ke rumah tu. Elok kalau you temankan dia malam ni. Makan malam dengan
dia. Ajak dia berbual-bual. Manalah tahu kalau-kalau dia boleh luahkan isi
hatinya pada you?”
“Kadang-kadang
I rasa give up dengan sikap dia!
Contohnya macam tadi tu.” Dayana meluahkan isi hatinya.
“Tak baik
you berputus asa dengan anak you sendiri. Buruk macam mana pun perangainya, dia
tetap anak you. Pasal makan malam tu, bila-bila pun kita boleh pergi.” Jeffri
memujuk.
“I
ingatkan you tak sudi keluar dengan I?” Nada suara yang terlontar keluar dari
bibir Dayana kedengaran amat manja.
“Siapa
cakap?”
Seulas
senyuman tersungging di bibir perempuan itu.
“So, minggu depan agak-agaknya hari apa?”
“Malam
Minggu, okey tak?”
Dayana
tergelak riang. “Malam minggu? Lambat lagilah...” Nada suaranya semakin leweh.
“Janganlah
miang sangat. Tak boleh bersabar sikit ke?” balas Jeffri dengan nada perli.
“Apa you panggil
I? Miang?” Melengking suara Dayana.
“Tak baik
tau, you ni!”
Jeffri
segera mengangkat tangannya.
“Okey...
okey! I minta maaf. Sebagai permulaan, apa kata kalau esok kita lunch sama. Nanti you jemput I kat office,ya. Tupun kalau I tak ada kerja urgent.”
Senyuman
bertapak semula di wajah Dayana.
“Okeylah,
apa-apa nanti you call I tau. Jangan
buat-buat lupa pulak.” Dia berpesan sebelum bingkas bangun lalu melangkah laju
menuju ke arah banglonya yang tersergam.