JARUM jam berbentuk bulat yang melekap di ruang tamu rumah
menuding ke angka 10.30 malam. Dia dan ayahnya, Encik Alwi, sedang leka berada
di depan peti tv, menonton perlawanan bolasepak di antara pasukan Johor Darul
Takzim menentang Pasukan Pahang Darul Makmur. Ibunya, Puan Habibah pula berada
di dapur, menyediakan secangkir kopi untuk mereka dua beranak.
Keseronokan
mereka menonton perlawanan bolasepak itu diganggu oleh bunyi dentuman pintu.
Mata keduanya melolot ke arah sesusuk tubuh milik seorang perempuan yang
tiba-tiba sahaja menerjah masuk tanpa peduli untuk mengetuk daun pintu apatah
lagi memberi ucapan salam.
“Errr... maafkan
saya sebab masuk ke rumah Pak Alwi macam ni. Tapi, saya ada masalah besar.”
Mata perempuan itu kemudian melekap ke wajahnya pula.
“Jeff, you
kena tolong I!”
“Errr...
tolong? Tolong apa?”
“Puan
Yana, apa masalahnya ni? Saya tengok macam rumit sangat?” Encik Alwi segera
menyampuk.
“Anak
saya, si Eiz tu! Entah apa yang dah rasuk dia sekarang ni agaknya. Pantang saya
tegur, cepat sangat melentingnya. Tadi berlaku sedikit berbalahan antara saya
dengan dia. Dia terus naik angin dan meluru keluar dari rumah. Dia cakap, saya
tak usah risaukan dia kalau dia mati sekalipun. Risau saya, Pak Alwi, risau!” Dayana
mengadu hal.
Encik Alwi
hanya menggeleng-gelengkan kepala mendengar cerita Dayana itu. Dia kenal benar
dengan anak lelaki tunggal perempuan di depannya. Eizhan seolah-olah seorang
jagoan apabila bercakap tentang kematian. Dia seolah-olah sudah sedia berdepan
dengan kematian sedangkan ilmu agama di dadanya setipis sehelai tisu. Mungkin
lebih nipis daripada itu!
“Tak elok
kalau jadikan perkataan ‘mati’ ni berlegar-legar di bibir. Kata orang, setiap
kata-kata yang kita luahkan tu, merupakan satu doa.” Encik Alwi sempat
memberikan serangkap ceramah agama.
“Tulah
yang merisaukan saya sekarang ni.” Dan mata Dayana melekap semula ke wajah
Jeffri.
“Jeff, dia
kawan baik you kan? Takkan you tak tahu dia ke mana? You kena tolong I, Jeff!”
suaranya kedengaran seolah-olah mendesak.
“I tak tau
dia ke mana.” Sahut Jeffri sambil membelingas ke arah ayahnya yang tercengang
mendengar dia dan Dayana saling membahasakan diri ‘I’ dan ‘you’ sahaja.
“Takkan
you tak tau? You kan kawan baik dia!” Dayana menghentak suara.
“Ya, betul,
dulu kami memang kawan baik. Tapi tu time
sekolah dulu. Dah jadi ancient history.”
“Tipu!”
“Nak buat
apa I tipu you? Satu sen pun I tak untung dengan menipu you, Yana!” Jawab
Jeffri, berani.
“Ehem...
izinkan saya menyampuk,” tergagap-gagap Encik Alwi bersuara. Dia menujah
pandangan yang penuh tanda soal ke arah anak bujangnya dan juga Dayana.
Pertelingkahan di ruang tamu itu bagaikan drama Melayu pula lagaknya.
“Pak Alwi,
tolonglah saya. Suruh Jeff cari anak saya sekarang jugak!” Suara Dayana masih
meninggi.
“Mustahil
Jeff tak tahu ke mana Eiz pergi? Mana port
Eiz selalu lepak? Mesti dia tahu tapi dia sengaja tak nak tolong saya. Saya
tengah buntu ni, Pak Alwi!”
“Errr...macam
ni ajelah, puan. Apa kata kalau puan balik dulu. Biar kami fikirkan macam mana
caranya nak cari Eiz.” Tukas Encik Alwi untuk menyedapkan hati Dayana.
“Baiklah,
Pak Alwi. Saya ucapkan terima kasih kerana sudi tolong saya cari anak setan tu!”
Dayana terlepas cakap.
“Puan! Tak
baik panggil anak sendiri dengan panggilan sebegitu. Kalau kita nak panggil
anak, eloklah gunakan panggilan yang baik-baik. Begitu jugak kalau kita nak
namakan anak-anak kita, seharusnya kita letak nama yang baik-baik.” Tegur Encik
Alwi.
Dayana
segera menutup mulutnya. Baru sedar akan keceloparannya.
“Err... saya...
saya tak sengaja.” Kemudian matanya melekap semula ke wajah Jeffri.
“Jeff, you
kena tolong I cari Eiz. I berharap sangat dengan you ni.” Pintanya.
Sekali
lagi mata Encik Alwi membelingas ke arah anak bujangnya. Lain macam benar
mereka berdua ni, bisik hatinya dengan rasa curiga.
“Insya-ALLAH,
Puan Yana.” Jeffri bersuara.
Dayana
tersenyum nipis. Tanpa banyak bicara dia terus meminta diri lalu keluar dari
kediaman Encik Alwi sekeluarga.
“Ayah,
kenapa pandang saya macam tu?” soal Jeffri.
“Lain
macam aje kamu dengan Puan Yana tadi tu? Siap ber ‘I’, ber ‘you’! Apa maknanya
tu?” Encik Alwi meluahkan apa yang bersipongang di hatinya sejak tadi.
Pandangan curiga dilontarkan ke arah anak bujangnya.
Jeffri
tersenyum kelat.
“Ala, ayah
janganlah risau. Tak ada apa-apa.”
Encik Alwi
menggeleng-gelengkan kepalanya. Sebagai seorang ayah, sudah tentulah dia berhak
curiga. Daripada pemerhatiannya, sikap di antara anaknya dengan Dayana seketika
tadi menunjukkan seolah-olah mereka berdua mempunyai hubungan yang istimewa.
Tetapi malam ini, dia malas hendak memanjangkan cerita itu.
“Kamu rasa
ke mana Eiz pergi?”
Jeffri
mengeluh. Dalam dan pekat.
“Saya pun tak
pasti kat mana Eiz berada sekarang ni, ayah. Tapi saya boleh cuba cari dia.
Mungkin dia ada kat sana.” Jawabnya.
Dan Jeffri
sendiri tidak sangka tekaannya tepat sekali. Hiba hatinya tatkala melihat
keadaan Eizhan yang pernah suatu ketika dahulu menjadi sahabat karibnya.
Dilihatnya Eizhan sedang tenggelam dalam kemabukannya. Tubuhnya
terhoyong-hayang. Maruah dirinya sudah dilemparkan entah ke daerah mana.
Tiba-tiba dia
lihat Eizhan diserang Jasmina. Mulanya dia hanya memandang dengan rasa tidak
percaya. Dia tertanya-tanya kenapakah Jasmina tega memukul Eizhan dengan tas
tangannya serta menendang-nendang tubuh lelaki itu tanpa sekelumitpun rasa
kasihan? Pertunjukan percuma itu disaksikan oleh puluhan pengunjung disko itu.
Sebelum Eizhan
dicederakan lebih teruk oleh girlfriendnya
sendiri, Jeffri harus segera tampil untuk menyelamatkannya. Kemudian, dia
terpaksa pula memapah tubuh sasa lelaki Eizhan ke keretanya seorang diri tanpa
sesiapapun sudi membantunya.
Waduh,
beratnya bukan main! Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia meninggalkan Eizhan
di luar disko itu. Tetapi naluri kemanusiaan serta wajah sugul Dayana
menghalangnya daripada berbuat demikian.