15
OLEH kerana jumlah pelanggan yang agak ramai di Farmasi
Nusantara, jam 2.30 barulah mereka bertiga dapat melangkah keluar dari perut
farmasi itu untuk mengisi perut yang sudah mula berkeroncong. Itupun setelah
ketibaan pekerja sambilan bernama Hanim.
Mereka
mengatur langkah ke restoran yang terhampir untuk menjimatkan masa. Sesekali
mata Lokman Azad tumpah ke wajah Nur Naziha yang jelas kelihatan lesu.
Kepenatan mungkin. Kalau ditakdirkan ada jodoh aku dengan Ziha nanti, aku
takkan izin dia bekerja. Aku mahu dia berada di rumah dan melayan aku saja. Aku
tak sanggup lihat dia kepenatan begini. Hati kecilnya sudah mula merancang.
“You tau
kan, sayang, isteri you ni macam mana orangnya? Melissa Ong Swee Lan ialah
sejenis manusia yang tak boleh duduk diam di rumah. Jadi jangan sesekali you
cuba memingit perempuan di depan you ni.” Suara itu bergaung semula lalu
merasuk jiwanya.
Wajah
perempuan bermata sepet itu mengepung seluruh ruang ingatannya. Membuatkan dia
jadi nanar digasak oleh kenangan.
“Tapi sayang,
you kan sedang berbadan dua? I tak nak bebankan you dengan segala urusan di
restoran ni. I tak nak you dan baby
kesayangan kita yang sedang berehat di dalam perut ni rasa penat. I rasa
bersalah kalau buat macam tu. Apa kata kalau you suruh adik you aje yang handle restoran ni?” Dia memberikan
cadangan kepada isterinya yang pada pandangannya terlalu kuat bekerja itu.
“Jangan
haraplah Kelvin boleh jaga restoran ni. Dia tu budak tak guna!”
“Lisa, tak
baik you tuduh adik you macam tu. Kalau you tak nak bagi peluang pada dia
mencuba, sampai bila pun dia takkan dapat tonjolkan kebolehannya.”
“Restoran
kopitiam ni hasil titik peluh I. Walaupun papa dan mama I yang menjadi
pengasasnya, tapi I yang modenkan konsepnya hingga terkenal macam sekarang.
Dulu, semasa mama dan papa I... restoran ni hanya dikunjungi oleh kaum Cina dan
India aje, tapi you tengoklah keadaannya sekarang. Pelanggan-pelanggan kita
terdiri daripada pelbagai kaum. I bukan macam Kelvin, dia tak kisah hukum halal
haram sebab dia pun bukannya kuat beragama pun. I lain!” Melissa menegakkan
pendapatnya.
Dia
terkapa-kapa melihat Melissa yang sudah mula naik minyak itu. Dia menyuarakan
hasrat itu kerana risau melihatkan keadaan isterinya yang terlalu sibuk di
restoran walaupun kini sudah berbadan dua. Dia mahu Melissa berehat sementara,
memanjakan dirinya sepanjang tempoh kehamilannya. Tapi, niatnya yang baik itu
disalahertikan pula oleh Melissa dan kini ianya mencetuskan rintik-rintik
pertengkaran di antara mereka berdua.
“Okeylah
kalau you nak terus handle restoran
ni. Tapi kalau apa-apa terjadi pada you atau baby kita nanti, jangan salahkah I pulak!”
Entah
mengapa mulutnya lancar sahaja menuturkan kata-kata yang bakal menusuk perasaan
isterinya itu. Apatah lagi perempuan yang senang berbadan dua memang senang
terguris hatinya. Tetapi kata-kata yang telah meluncur keluar dari mulut, tidak
mungkin ditarik kembali.
Mata
Melissa membuntang merenungnya. Dia semakin serba salah.
“Lisa,
I... I minta maaf. I tak bermaksud...”
“Cukup,
Azad... cukup! I tak nak dengar sepatah perkataan pun dari mulut you lagi. I
tak sangka you sanggup cakap macam tu!” tengking Melissa. Wajahnya yang cerah,
merintik merah. Jelas dia cukup marah dan geram mendengar kata-kata yang
dilontarkan suaminya seketika tadi.
“Kenapalah
you ni degil sangat, Lisa? I bagi cadangan nipun sebab I sayangkan you.”
“Kalau you
betul-betul sayangkan I, you akan sokong I!” Melissa menjawab. Sengit.
Jawapannya
itu membuatkan Lokman Azad mengangkat tangan tanda menyerah kalah.
“Up to you, dear. I tak nak bergaduh
dengan you disebabkan hal ni, tapi pastikan you jaga diri dan kandungan you
dengan baik.”
Seulas
senyuman tersungging di bibir Melissa. “Terima kasih, sayang. I janji... I akan
jaga diri dan baby kita dalam perut I
ni dengan baik. You jangan risau, okey.”
Lokman
Azad terasa lesu badannya tatkala digasak kenangan bersama arwah Melissa. Dia
segera menghempaskan punggungnya di kerusi sebaik tiba di perut restoran.
Kelakuannya yang agak pelik itu membuatkan Nur Naziha dan Murni saling berpandangan.
“Kenapa,
Bang Azad?” soal Murni.
Lokman
Azad tidak menjawab. Memori bersama arwah isterinya bagaikan baru semalam
sahaja berlabuh dalam hidupnya.
Nur Naziha
segera menarik kerusi lalu merenung jejaka itu dengan penuh prihatin. Kelihatan
peluh dingin merenik pada dahi dan hidung Lokman Azad.
“Abang tak
sihat ke?” soal Nur Naziha pula.
Lokman
Azad menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia masih beku tanpa sepatah perkataan pun
meluncur keluar dari mulutnya.
“Abang nak
minum apa? Biar Ziha orderkan.”
“Orderkan abang teh-O ais ajelah.”
Akhirnya Lokman Azad bersuara.
Nur Naziha
segera berkalih pandang ke arah Murni. “Tolong orderkan teh O ais dan teh O panas.” Pintanya ke arah Murni.
“Okey.”
Sahut Murni lalu segera berlalu untuk memesan minuman yang dipinta.
“Ziha
tengok abang lain macam aje tadi. Kenapa bang, tak sihat ke?” soal Nur Naziha
lagi.
Lokman
Azad tersenyum nipis. Dia tidak menyangka gadis yang biasanya dingin kaku di
depannya itu, kini bertukar menjadi prihatin dan agak mesra pula.
“Abang
ingat Ziha langsung tak pedulikan abang,” getusnya.
“Err...”
Nur Naziha terkaku semula. Wajahnya yang cerah itu mula merintik merah. Malu
mungkin dengan kata-kata yang baru terluah dari mulut Lokman Azad. Atau, serba
salah sebenarnya.
“Apa kata
kalau Ziha order makanan. Ziha nak
makan apa? Abang teringin nak makan ikan patin masak tempoyak.” Lokman Azad
segera mencari topik lain untuk diperbualkan supaya tidak terus-terusan
memerangkap Nur Naziha dalam keadaan serba salah.
“Patin masak
tempoyak pun okey jugak. Ziha suka.” Nur Naziha menjawab. Sejak dia menjadi
warga Pahang, patin masak tempoyak sudah menjadi antara menu kegemarannya.
“Bagus!
Nanti Ziha ambil tiga keping ikan, ya. Bawakan abang sambal belacan dan ulam-ulaman
sikit. Abang nak nasi separuh aje.”
“Okey.”
Sahut Nur Naziha lalu segera bangun meninggalkan Lokman Azad.
SEBAIK
sahaja Nur Naziha menjauh, bayangan seseorang pula mendekatinya. Wajah arwah
Melissa terpampang jelas di ruang mata. Wajah itu kelihatan sayu dan sedih,
seolah-olah menyimpul persoalan yang tali-temali dalam arus pemikirannya.
“Lisa, aku
takkan sesekali melupaimu. Kau yang pertama muncul dalam hidupku. Kau yang
pertama menebarkan cinta yang mendalam di sudut hatiku. Masakan mungkin aku
memadamkan dirimu daripada memoriku. Lisa, di sini aku meminta izinmu untuk
membuka pintu hatiku supaya seorang wanita lain dapat bertapak di situ.
Berikanlah aku keizinanmu.”
Lokman
Azad seolah-olah sedang bermonolog dengan bayangan arwah Melissa yang masih
berdiri tegak di depannya. Namun, arwah Melissa masih tidak mahu berganjak.
Masih merenungnya dengan seribu persoalan.
“Tolonglah,
Lisa. Lepaskanlah abang.” Lokman Azad terus bermonolog.
Dari jauh,
dia nampak Nur Naziha dan Murni sedang mendekat. Dan, ketika Nur Naziha
meletakkan dulang berisi hidangan tengah hari di atas meja, wajah arwah Melissa
tiba-tiba sahaja ghaib daripada pandangan matanya.
Dia
menarik nafas dalam-dalam lalu melemparkan senyum ke arah Nur Naziha dan juga
Murni.
“Abang
Azad dah okey ke?” soal Murni ketika menghenyak punggungnya ke kerusi.
Lokman
Azad mengangguk.
“Abang dah
okey. Prihatin jugak Murni dan Ziha pada abang, ya?”
“Eh, dah
tentulah! Kalau abang terbongkang kat sini, kita orang jugak yang susah tau!”
sahut Murni selamba.
“Murni!”
suara Nur Naziha kedengaran.
Lokman
Azad hanya ketawa kecil.
“Apa
susahnya? Kalau apa-apa terjadi pada abang, telefon ajelah ambulans.
Berdesuplah ambulans datang nanti.”
“Kenapa
asyik cakap benda-benda yang tak elok aje depan hidangan ni?” bidas Nur Naziha.
Mata
Lokman Azad dan Murni menujah ke arahnya.
“Sorrylah, Kak Ziha. Jangan marah, ya,”
getus Murni sambil tersengih panjang. “Jom... jom, kita makan. Terliurlah
tengok patin masak tempoyak, ni!”
“Ya, jom
kita makan! Jemput makan, Ziha.” Tukas Lokman Azad sambil matanya redup merenung
gadis manis itu.
Nur Naziha
tersenyum. Dia mengangguk perlahan. Perutnya yang lapar seakan merayu agar
segera diisi apatah lagi setelah aroma tempoyak, daun kesum dan bunga kantan
yang menemani tiga ketul ikan patin di dalam sebuah mangkuk besar,
berlegar-legar di udara. Patin sungai memang terkenal dengan isinya yang halus,
lemak dan manis. Dengan segala senang hati dia mencapai sudu untuk menceduk
kuah tempoyak yang pekat itu ke dalam pinggannya.
“KAK Ziha nampak tak cara Anim pandang
sewaktu kita bertiga nak keluar dari farmasi tadi?” Murni berbisik ke arah Nur
Naziha setelah Lokman Azad bangkit meninggalkan mereka menuju ke kaunter
pembayaran.
Nur Naziha
geleng kepala.
“Tak
perasanlah pulak. Kenapa?”
“Dia macam
jealous aje tengok kita keluar makan
dengan Abang Azad.” Murni menyambung.
Nur Naziha
ketawa kecil.
“Kenapa
pulak Anim nak jealous?”
“Eh, Kak Ziha
ni! Akak tu aje yang buta mata, buta hati tau!”
“Sampainya
hati tuduh akak macam tu!”
“Yalah...
Abang Azad tu umpama lelaki Melayu terakhir di dunia ni. Mesti si Anim tu ada
menaruh perasaan yang mendalam pada dia. Kak Ziha tu aje yang asyik jual mahal.
Nanti Abang Azad dirembat dek Anim, padanlah dengan muka Kak Ziha.”
“Biarlah
kalau memang Anim berminat dengan Abang Azad tu.” Nur Naziha selamba menjawab.
“Terus
terang akak katakan yang buat masa ni akak tak berminat nak menjalinkan
hubungan dengan mana-mana lelaki termasuklah Abang Azad.” Dia bersuara,
menyatakan ketegasan hatinya.
“Kenapa
Kak Ziha cakap macam tu? Akak pernah kecewa dengan lelaki ke?” Murni mengambil
kesempatan itu untuk menerbak ke sudut hati Nur Naziha.
Nur Naziha
menjungkit bahunya. Memberikan petanda bahawa dia sudah tidak berminat untuk
menyambung perbualan tentang isu itu.
“Murni,
Ziha... jom kita balik!” suara Lokman Azad kedengaran memanggil mereka dari
kejauhan.
“Jom!” Nur
Naziha menyahut pantas.
LOKMAN AZAD melangkah masuk ke bilik
Tuan Haji Saadun. Bilik kecil itu sengaja dijadikan pejabat oleh ayahnya. Dia
meletakkan plastik berisi nasi bungkus yang dikirim ayahnya di atas meja.
Tuan Haji
Saadun mengintai seketika isi bekas polisterina itu sebelum menutupnya kembali.
Matanya kemudian menujah pandang ke arah anak lelakinya.
“Tadi kamu
keluar makan dengan Ziha dan Murni ke?”
Lokman
Azad senyum dan angguk.
“Baguslah!
Cubalah ambil hati si Ziha tu. Ayah sokong 100 peratus kalau kamu nak jadikan
dia calon isteri.”
“Tapi mak
macam tak setuju aje?”
“Kamu ke,
emak kamu yang nak kahwin, ni? Sewaktu kamu mula-mula kenalkan arwah Lisa pada
dia dulu, ada dia setuju? Tapi bila Lisa dah selamat jadi isteri kamu dan
pandai pula mengambil hatinya, bukan main sayang lagi dia pada Lisa.” Tuan Haji
Saadun bersuara.
Lokman
Azad mengangguk. Memang betul apa yang dikatakan oleh ayahnya. Sewaktu dia
memperkenalkan arwah Melissa kepada ibunya, Hajah Hawa membangkang penuh.
Pelbagai spekulasi negatif terkeluar dari mulutnya terhadap Melissa. Apatah
lagi dengan status Melissa sebagai seorang mualaf. Tetapi, setelah beberapa
lama Melissa menjadi isterinya ditambah pula dengan kebijaksaan perempuan itu
mengambil hatinya, akhirnya Hajah Hawa mula menyayangi Melissa. Malah, Melissa
mula menjadi menantu pujaannya.
Dia segera
membayangkan wajah Nur Naziha sewaktu mereka makan bersama tadi. Pada
keprihatinan gadis itu terhadap dirinya. Dan pada rintik-rintik kemesraan yang
mula wujud di antara mereka berdua. Kalau macam ni, nampak gayanya hari-harilah
aku kena berlakon jadi orang sakit. Hatinya menggerutu sendiri.
Alahai,
kenapalah susah sangat nak memikat hatimu duhai gadis?