Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
142,425
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

2

JEFFRI memberhentikan keretanya betul-betul di depan banglo yang terang-benderang dilimpahi cahaya neon. Sambil menalakan pandangan ke arah banglo mewah itu, otaknya juga sedang ligat berfikir.

Wajarkah aku turunkan si mabuk ini terus ke rumahnya? Atau...

Hemmph! Sebuah keluhan berat menghambur keluar dari mulutnya. Dia menoleh ke belakang, ke arah lelaki yang terbaring di situ. Dilihatnya tubuh Eizhan bergerak-gerak.

“Jeff, kau ke tu?” Tiba-tiba Eizhan bersuara. Parau bunyinya.

“Ya, aku ni!”

“Teruk ke aku mabuk, Jeff?”

“Kau fikirlah sendiri!” hentaknya.

“Jangan hantar aku balik rumah, Jeff. Aku tak sanggup berada kat rumah tu. Kau bawaklah aku ke mana aje, asalkan jangan bawak aku balik ke rumah tu. Tolonglah, Jeff.” Pintanya. Merayu.

Jeffry menoleh ke kanan, menghumban pandang ke arah banglo mewah yang bersimbah cahaya itu untuk kesekian kalinya. Bagi orang lain, mungkin mendiami banglo mewah sebegitu menjadi impian seumur hidup. Namun tidak begitu halnya bagi lelaki yang sudah mula sedar dari kemabukannya. Dia seolah-olah benci memijakkan kakinya ke banglo mewah itu.

“Kita balik ke rumah aku.” Cadang Jeffri.

“Jangan! Tempat pertama yang mama akan cari ialah rumah kau.” Eizhan membantah.

“Habis tu, ke mana aku nak hantar kau malam ni? Ke masjid?”

“Sudi ke masjid terima orang macam aku ni, Jeff?”

Jeffri mengeluh sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Okey, kalau macam tu kita tumpang apartmen Haris ajelah malam ni.” Jeffri memberikan kata muktamad.

Dia melirikkan pandangannya ke arah jam digital pada dashboard kereta. Jarum jam menuding ke angka 2.00 pagi. Malam sudah berangkat pergi, kini sudah dinihari, hatinya berbisik.

Kalau tak kerana si mabuk ini, aku dahpun bergelung di celah-celah selimutku. Mungkin sudah didatangi mimpi indah-indah. Tapi, argh!

“Kenapa kita tak gerak lagi, ni, Jeff? Cepat!”

“Ya... ya! Aku nak geraklah ni.” Tukas Jeffri tetapi sebelum sempat dia memijak pedal minyak, cermin keretanya diketuk dari luar.

Dia terkejut besar apabila melihat siapa yang sedang berdiri di luar keretanya. Dengan perasaan serba salah, dia segera menurunkan cermin tingkap lalu menyeringaikan giginya ke arah lelaki yang tegak memandang.

“Puan Yana yang suruh saya datang tengok! Memang betul, rupa-rupanya kereta ni milik kau, Jeff.”

Alahai... kantoi! bisik hati Jeffri.

“Pak Moin kena tolong kami kali ni.”

“Mana boleh macam ni, Jeff! Nanti Pak Moin pulak yang kena sembur dengan Puan Yana.”

“Pak Moin, saya tak boleh bawak Eiz balik dalam keadaan dia macam ni.” Dia berkeras.

Pengawal keselamatan bernama Moin yang bertugas mengawal kediaman mewah itu segera menoleh ke arah tempat duduk belakang di mana Eizhan masih terbaring.

“Kenapa dengan dia tu? Dia tidur ke?” soal Moin.

“Dia mabuk, Pak Moin. Apa perasaan mamanya kalau tengok anak kesayangannya dalam keadaan macam ni?”

Moin terdiam seketika. Mungkin otaknya sarat memikirkan tentang masalah sosial anak orang-orang kaya seperti anak majikannya ini yang lebih suka menghabiskan duit meneguk air kencing syaitan daripada membuat amal kebajikan.

“Habis tu ke mana kau nak bawak dia?”

“Tumpang tidur kat rumah kawan. Nanti esok saya hantarlah dia balik kemari. Pandai-pandailah Pak Moin reka alasan ya.” Pinta Jeffri lagi.

Moin mengangguk. “Pak Moin taulah nak cakap macam mana kat Puan Yana nanti. Baik kau pergi cepat.”

“Terima kasih, Pak Moin.” Ucap Jeffri lalu segera memijak pedal minyak dan memecut pergi dari situ.

“Jeff, terima kasih sebab tak hantar aku balik ke rumah tu.” Getus Eizhan tidak lama kemudian.

“Sama-sama. Tapi sampai bila aku harus menjadi penyelamat kau macam ni, Eiz?” Jeffri membidas.

“Bila kau nak ubah cara hidup kau, Eiz?”

“Malam ni aku tak perlukan khutbah kau, Jeff. Cukuplah!”

“Nilah susahnya jadi manusia. Ego, sombong... bongkak! Kita nasihatkan dia ke arah kebaikan, seringnya dipandang sepi. Tapi bila buah hati ajak ke tempat yang tak bermoral, ke disko, pantas aje kaki melangkah ke sana.”

“Cukup, Jeff! Cukup!!!” Suara Eizhan melengking di ruang kereta.

Dia memekup kedua-dua belah telinganya dengan telapak tangan. Seolah-olah terlalu benci mendengar nasihat Jeffri walaupun orang yang sedang menasihatinya itulah sahaja yang sudi menolongnya di saat-saat sebegitu.

Jeffri mengintai segala perlakuan temannya itu melalui cermin pandang belakang. Dia mengambil keputusan untuk tutup mulut sahaja. Tiada gunanya memberi nasihat kepada Eizhan dalam kondisinya yang sebegitu rupa. Biarlah Eiz bertenang dulu, hatinya berbisik.

Untuk menghilangkan kebosanan, dia segera memasang radio. Suara M. Nasir memenuhi ruang kereta.

KepadaMU KEKASIH

Aku bertanya

Apakah KAU akan

Menerimaku kembali

Atau harus menghitung lagi

Segala jasa dan bakti

Atau harus mencampakku ke sisi

Tanpa harga diri...

“Cukup... cukup!!! Tutup radio tu!” Eizhan membentak lagi.

Jeffri segera menurunkan volume radionya.

“Kenapa pulak ni?”

“Tak cukup ke kau berdakwah dengan aku, hah? Lagu pun nak berdakwah dengan aku jugak? Kenapa, hina sangat ke aku ni? Hina sangat ke, hah?”

Laa... ke situ pulak fikiran si mabuk ni melalut, bisik hati Jeffri. Dia tergelak sendiri. Tetapi hanya berani tergelak dalam hati sahaja.

“Kau ni, Eiz, semuanya tak boleh. Aku dengar lagu sebab nak hiburkan hati pun kau marah. Hey, Eiz, aku ni yang tolong kau tadi tau tak. Sekurang-kurangnya kau hormatlah sikit pada orang yang sanggup menolong kau ni. Ni tak, asyik nak mengaruk aje. Nanti aku tinggalkan kau kat tepi jalan ni, baru padan muka kau!” Dia menggertak.

“Err... maafkan aku, Jeff.” Eizhan mengendurkan suaranya. Ugutan yang terkeluar dari mulut Jeffri itu benar-benar membuatkan dia gerun. Bagaimana kalau Jeffri benar-benar mengotakan kata-katanya?

Melalui cermin pandang belakang, Jeffri nampak Eizhan menengkurkan kepalanya. Dia tergelak dalam hati. Tangannya segera memulas tombol volume untuk menguatkan semula bunyi radio.

KepadaMU KEKASIH

Aku serahkan

Jiwa dan raga

Jua segalanya

Apakah KAU akan menerima

Penyerahan ini

Apakah KAU akan menerimaku

Dalam keadaan begini...

Dia nampak bagaimana Eizhan menggeleng-gelengkan kepalanya seolah-olah dendangan lagu yang didengarinya dari corong radio itu, bagai pisau belati yang sedang menghiris-hiris sekepal hatinya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.