Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
144,947
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

21

SEBAIK sahaja sampai di bilik, Eizhan segera menghempaskan tubuhnya ke tilam empuk. Hatinya panas membahang. Suhu sejuk daripada pendingin hawa yang sudah sedia terpasang juga masih belum mampu mengenyahkan walau sedarjah kepanasan hatinya.

Dia sedar, adalah kurang wajar untuk dia melontarkan kata-kata kesat ke arah mamanya sendiri seperti yang telah dilakukannya di laman banglo tadi. Secara tidak langsung situasi itu telah meletakkan dia dalam kategori anak yang kurang ajar. Dalam hatinya, dia tidak mahu menjadi anak yang kurang ajar. Dia mahu menjadi seperti Jeffri. Pemuda itu adalah anak yang sangat hormat kepada orang tua.

Tapi, situasi dirinya dengan Jeffri jauh berbeza. Bezanya umpama langit dengan bumi. Ibu bapa Jeffri menyayangi Jeffri sepenuh hati. Sedangkan mamanya yang bernama Dayana itu hanya tahu mengongkong dirinya. Hanya ingin melihat dia menjadi anak yang menurut kata. Semua itu membuatkan jiwa mudanya berkocak, memberontak.

Apakah dia membenci mamanya? Tidak! Dia tidak pernah membenci mamanya. Mereka cuma anak beranak yang tidak pernah sebulu dan sependapat.

Dia bangkit dari katil lalu menuju ke tingkap. Langsir tebal dikuak. Pandangannya dihalakan keluar. Dari jendela tingkap itu, dia nampak mamanya sedang berbual-bual dengan Jeffri di atas bangku batu, di laman.

Dari kejauhan, dia menjilati wajah mamanya.

“Mama cantik. Eiz sayang mama!” Dia masih ingat lagi tatkala dia seringkali menuturkan kata-kata itu. Kata-kata bernada pujian yang diungkapkan oleh seorang anak yang mengagumi kecantikan mamanya.

Mungkin semua anak juga begitu. Walaupun wajah ibunya biasa-biasa sahaja, tetapi tetap mahu memuji ibunya cantik. Kerana kata-kata bernada pujian itu sebenarnya lebih berupa sebuah ungkapan penghargaan yang ditujukan untuk orang yang disayangi.

Cuma, sejak dia memasuki alam sekolah menengah, ungkapan itu sudah jarang-jarang muncul dari bibirnya. Pun dalam hati, dia masih tetap memuji Dayana. Kerana mamanya memang cantik. Dan, perempuan berwajah cantik memang harus dikagumi.

“You cantik, Yana.” Itulah juga ungkapan yang selalu diucapkan oleh arwah papa terhadap mamanya sewaktu hayatnya dahulu.

Mamanya berkahwin ketika berusia 22 tahun, masih terlalu muda. Sementara itu arwah papanya pula sudah berusia 35 tahun. Usia perkenalan dan percintaan mereka singkat sahaja. Dalam masa tiga bulan setelah mengenali hati budi masing-masing, kedua-duanya terus menuju ke fasa perkahwinan.

“Nak buat apa bercinta lama-lama, takut tak jadi. Kalau hati dah suka dan jiwa dah terpaut, baiklah papa cepat-cepat masuk meminang mama. Itukan lebih baik daripada membiarkan mama kamu dirampas lelaki lain. Hmmm... lagipun, papa tak tahan sebab mama kamu ni cantik sangat dan boleh tahan jugak, ramai peminatnya.” Begitulah yang pernah diluahkan oleh arwah papanya semasa ada hayatnya dahulu.

Mamanya pula akan hanya ketawa mersik setiap kali arwah papa mengusik atau memujinya cantik. Kini, semua itu hanya tinggal memori indah untuk dikenang. Tiada siapa yang menduga, usia papanya tidak panjang. Dia meninggal dunia kerana mengidap serangan jantung secara tiba-tiba, 9 tahun lalu. Ketika itu, papanya baru sahaja berusia 49 tahun, masih amat muda dan mungkin juga belum puas menikmati hidup. Dalam usia 36 tahun, mamanya sudah bergelar ibu tunggal. Dan, dalam usia 14 tahun, Eizhan sudah belajar untuk hidup tanpa seorang ayah di sisinya.

Setelah kematian suami, sikap Dayana terhadap dirinya mula berubah. Kalau dahulu Dayana seorang yang mama yang penyayang serta prihatin, sikapnya mula bertukar menjadi seorang mama yang terlalu kuat mengongkong. Kenapa mama perlu berubah sikap setelah papa meninggal dunia? Kenapa?

Susahkah mendidik anak yang seorang ini? Atau, apakah sikap aku juga telah berubah setelah papa tiada lagi di sisi kami?

Dia menghempas keluh lalu tertanya-tanya dalam hati bilakah hubungannya dengan perempuan cantik yang sedang duduk berbual di laman itu akan menjadi mesra dan hangat seperti dahulu, iaitu seperti sebelum papanya meninggal dunia.

Dalam pada itu, mata Eizhan masih ralit merenung Dayana. Dia lihat Jeffri berkata sesuatu, dan mamanya tergelak besar. Entah apa yang lucu sangat? Kemudian dia nampak Jeffri menyebak rambut mamanya ke celah telinga. Dayana kelihatannya tidak kisah, hanya membiarkan.

Hati Eizhan bergetar melihat panorama itu. Isy, drama sebabak apa yang sedang mereka lakonkan tu?

Oleh sebab tidak mahu terus-terusan melihat drama yang sedang dilakonkan oleh Dayana dan Jeffri itu, dia segera menarik langsir tebal dengan kasar.

Hatinya yang tadi panas, terasa semakin membahang. Sikit masa lagi akan rentung dan hangit di dalam dadanya. Dia menuju ke arah katilnya semula. Dia melangkah sambil melucutkan pakaiannya... satu persatu, dimulai dengan t-shirt yang menyarung tubuhnya. Kemudian, diikuti pula dengan seluar jeans hitamnya. Tetapi, sebelum sempat dia melucutkan seluar dalamnya, terdengar satu jeritan memenuhi ruang bilik.

Wajah pucat pembantu rumah warga Indonesia yang entah bila masanya muncul di bilik itu, membuatkan dia terkejut besar.

“Apa kau buat kat dalam bilik aku ni, hah?” Dia menyergah.

“Errr... maaf, tuan. Saya hanya mahu... saya mahu tutup air-con.” Tergagap-gagap pembantu rumah itu bersuara.

“Dah, berambus kau dari bilik aku! Berambus!!!” Eizhan menjerit sekuat-kuat hatinya membuatkan perempuan yang baru tiga bulan bekerja di situ, mencicit laju meninggalkan ruang bilik.

“Grrrrr....” Eizhan menderam bagaikan harimau yang sedang naik minyak.

“MALAM ni kita dinner kat luar, nak tak?” Dayana melirik manja ke arah pemuda di sisinya.

Jeffri sebaya dengan Eizhan tetapi Jeffri adalah seorang lelaki yang matang dan penyabar. Tidak seperti Eizhan yang kadangkala bersikap banas baran serta sedikit kebudak-budakan. Mungkin kerana Jeffri adalah anak sulung dalam keluarganya, berbanding Eizhan yang merupakan anak tunggal.

“You dan I dinner kat luar?” soal Jeffri, seolah-olah meminta kepastian.

Dayana mengangguk laju. Matanya menjilati wajah segar pemuda di sisinya itu dan mengharapkan persetujuan terkeluar dari mulut Jeffri. Dia tidak mahu bersendirian malam itu. Dia mahu keluar seketika dari banglo itu, berseronok. Dan dia mahu ditemani Jeffri.

Walaupun mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain tetapi dia sendiri tidak sedar bilakah kemesraan mula muncul di antaranya dengan pemuda itu. Bukannya dia tidak pernah terfikir tentang perbezaan umur mereka berdua. Dayana, seorang ibu tunggal berusia empat puluhan menjalinkan hubungan mesra dengan pemuda berumur dua puluhan. Sementelahan lagi, Jeffri adalah kawan baik Eizhan.

Dalam tempoh sembilan tahun melewati dunia yang kosong tanpa seorang suami di sisinya, bukan tidak ada lelaki yang kepingin untuk mendekatinya, ada. Malah, terlalu ramai yang telah mencuba nasib. Ada di antaranya merupakan rakan-rakan allahyarham suaminya sendiri. Status mereka pula berbagai-bagai. Ada yang bergelar duda. Malah, ada juga yang bergelar suami orang.

Namun, baik duda apatah lagi suami orang; hatinya langsung tidak terpikat. Dia lebih rela tidak bersuami daripada merampas suami perempuan lain.

Dia rasa ada baiknya kalau dia menumpukan sepenuh perhatiannya kepada satu-satunya waris yang dia ada, Eizhan. Mungkin ketika itulah dia sudah mula belajar untuk mengongkong kehidupan peribadi anak tunggalnya itu.

Bukannya dia sengaja hendak berbuat begitu, bukan! Mama mana yang mahu memenjarakan kehidupan anaknya sendiri? Tentu tidak ada seorang mama pun di dunia ini yang sengaja berniat hendak mengongkong anaknya.

Kalaulah Eizhan tidak berubah sikap setelah kematian papanya, pasti perkara ini tidak akan terjadi. Kalaulah Eizhan tidak berubah menjadi seorang anak yang membebankannya dengan satu demi satu masalah...

Dayana menarik nafas panjang-panjang. Kemudian menghempaskannya semula sebagai sebuah keluhan.

“Iyalah, kita berdua keluar dinner sama-sama. You setuju ke tak? Ke... you tak sudi? Ala, siapalah I ni kan?” Dia membuang pandang ke arah lain, seolah-olah berkecil hati dengan Jeffri.

Pemuda di sisinya tergelak kecil.

“Bukannya I tak sudi. Tapi malam ni I nak rehatlah, nak tidur awal. I rasa you pun patut luangkan masa you dengan Eiz. Lain kali ajelah kita keluar dinner, ya.”

“I tau... you malu keluar dengan I, kan?” Suara Dayana sedikit kasar. Wajahnya bertukar muram.

“Isy, kenapa pulak I harus rasa malu keluar dengan you? You cantik apa!”

“Ah, sudahlah! You malu nak keluar dengan I sebab I ni dah tua kan?”

“Isy, janganlah cakap macam ni. Tengok I,” Jeffri meraih dagu Dayana sehingga mereka berada dalam keadaan bertatapan.

“Yana, Eiz baru aje balik ke rumah tu. Elok kalau you temankan dia malam ni. Makan malam dengan dia. Ajak dia berbual-bual. Manalah tahu kalau-kalau dia boleh luahkan isi hatinya pada you?”

“Kadang-kadang I rasa give up dengan sikap dia! Contohnya macam tadi tu.” Dayana meluahkan isi hatinya.

“Tak baik you berputus asa dengan anak you sendiri. Buruk macam mana pun perangainya, dia tetap anak you. Pasal makan malam tu, bila-bila pun kita boleh pergi.” Jeffri memujuk.

“I ingatkan you tak sudi keluar dengan I?” Nada suara yang terlontar keluar dari bibir Dayana kedengaran amat manja.

“Siapa cakap?”

Seulas senyuman tersungging di bibir perempuan itu.

So, minggu depan agak-agaknya hari apa?”

“Malam Minggu, okey tak?”

Dayana tergelak riang. “Malam minggu? Lambat lagilah...” Nada suaranya semakin leweh.

“Janganlah miang sangat. Tak boleh bersabar sikit ke?” balas Jeffri dengan nada perli.

“Apa you panggil I? Miang?” Melengking suara Dayana.

“Tak baik tau, you ni!”

Jeffri segera mengangkat tangannya.

“Okey... okey! I minta maaf. Sebagai permulaan, apa kata kalau esok kita lunch sama. Nanti you jemput I kat office,ya. Tupun kalau I tak ada kerja urgent.

Senyuman bertapak semula di wajah Dayana.

“Okeylah, apa-apa nanti you call I tau. Jangan buat-buat lupa pulak.” Dia berpesan sebelum bingkas bangun lalu melangkah laju menuju ke arah banglonya yang tersergam.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.