6
HIDUP ini
bukanlah a bed of roses, bisik
hatinya. Kalau aku tak bahagia, tak gembira... mungkin ada orang lain di luar
sana yang lebih tak bahagia dan tak gembira daripada aku, bisik hatinya.
Mungkin ada orang di luar sana yang lebih menderita daripada aku. Dia
bermonolog lagi.
Ini pun
syukur alhamdulillah kerana aku masih mampu menyuap nasi ke mulut. Ada insan di
tempat lain yang dihurung kelaparan, langsung tidak ada apa-apa yang dapat
disuap ke mulut hatta sebutir nasi atau sekeping roti sekalipun. Mereka hidup
merempat, kurus kering bagaikan mayat hidup.
Namun,
mereka tetap juga meneruskan hidup dengan secebis harapan agar ada orang yang
sanggup menghulurkan tangan untuk membantu. Walaupun telah habis segala daya
untuk hidup tapi mereka harung juga, tempuh juga!
Mengenangkan
‘mayat-mayat hidup’ yang berlegar-legar di negara miskin yang bergolak itu, dia
menjadi insaf akan dirinya. Sekurang-kurangnya dengan wang gajinya yang tidak
seberapa itu, dia masih mampu membeli nasi ayam atau burger ayam spesial yang
dijual di pasar malam Jalan Mok Hee Kiang. Atau, sesekali menjamu selera dengan
tomyam campur serta ayam goreng kunyit di Restoran Tomyam, Kampung Suria.
Cuba
bayangkan kalau diri anda tidak mampu untuk menjamah makanan selama dua tiga
hari. Bagaimana agaknya? Sedangkan berpuasa di bulan Ramadan pun terasa letih
litaknya, inikan lagi tidak dapat menjamah walau sekeping roti selama
berhari-hari. Malah, berminggu-minggu... berbulan-bulan! Bagaimana agaknya
kalau kita diuji dengan azab kelaparan?
Tetapi,
mereka teruskan juga walau digelar mayat hidup. Walau terpaksa mengikis lumut
yang melekap di tangga untuk kelak disuap ke mulut bagi mengurangkan kelaparan.
Ketika itu tiada lagi perkataan yang boleh diungkapkan untuk hidup yang
sebegitu selain daripada hidup dalam keadaan hina!
Imej sekeping
foto di dada suratkhabar yang pernah dilihatnya suatu ketika dahulu kembali
menghantui fikiran. Foto itu memaparkan tentang seorang kanak-kanak bertubuh
kurus kering di sebuah negara miskin yang sedang leka mengikis lumut di tangga
untuk dijadikan makanan.
Pun
begitu, walau terpaksa hidup dalam kemelaratan dan kemiskinan tetapi mereka
harung juga. Walau dikatakan orang, hidup segan mati tak mahu, mereka tempuh
juga. Tidak muncul istilah mahu bunuh diri dalam kamus hidup mereka. Kalau
mereka mahu bunuh diri, takkan sanggup tunggu sampai jadi ‘mayat hidup’
sebegitu?
Tapi dia!???
Tangannya kiam ke dada yang berdegup kencang.
Suatu
ketika dahulu, dia pernah rasa keinginan untuk membunuh diri. Bukan sekali,
malah dua kali perasaan itu muncul dalam dirinya. Menghantui mindanya. Merasuk
kewarasannya!
Masya-ALLAH,
dia yang tidak pernah diuji dengan kelaparan dan kemiskinan ini pernah rasa
seperti ingin menamatkan riwayatnya sendiri. Dia yang bertubuh montok dan
berdaging pejal kerana cukup makan minum ini hampir-hampir sahaja dilaknat
ALLAH kerana mahu menamatkan riwayatnya sendiri, berbanding ‘mayat hidup’ yang
masih berlegar-legar dek kekurangan zat dan kebuluran mencengkam yang
menyelubungi mereka.
Begitu
lemahnya iman yang melekap di dadanya. Dia menarik nafas panjang. Mungkin itu
adalah ujian untuk aku, bisik hatinya.
‘Adakah mereka rasa mereka telah beriman sedangkan mereka
belum diuji?”
(Al-Ankabut:
29:2)
KETUKAN
dan ucapan salam di muka pintu membuatkan memori silamnya yang gelap gelita itu
tidak bertapak lama di ruang ingatan. Dia bersegera membuka daun pintu.
Kemudian, menyisih ke tepi untuk memberi laluan kepada Puan Suzila melangkah
masuk.
Perempuan
berusia 46 tahun itu melabuhkan punggungnya di kusyen. Beg yang berisi telekung
diletakkan di atas meja kopi di depannya.
“Ni hah,
karipap sardin, kuih kegemaran Ziha, kan?” kata Puan Suzila sambil turut
meletakkan plastik berisi lima keping karipap sardin itu di atas meja kopi,
betul-betul di sebelah beg telekungnya.
Nur Naziha
kerut keningnya yang lebat.
“Kan Ziha
dah cakap tadi, Ziha tak nak apa-apa.” Dia bersuara.
“Karipap
ni bukan acik yang beli tau. Tapi Hajah Hanis yang belanja. Katanya khas untuk
Ziha,” kata Puan Suzila sambil menyengih.
“Baiknya
hati Hajah Hanis tu,” puji Nur Naziha. Perutnya yang belum menjamah apa-apa
walau seteguk air terus jadi lapar tatkala melihat karipap sardin di depannya.
Senyum Puan
Suzila semakin melebar. Dan, senyum yang kelihatan lain macam saja itu buat hati
Nur Naziha jadi tidak menentu.
“Baik ada
makna tu, Ziha. Yalah... Ziha ni kan muda lagi. Orangnya cantik pulak tu.
Mestilah ada yang berkenan untuk dibuat calon menantu.” Puan Suzila tersenyum
panjang.
Erkkk... Tiba-tiba
sahaja dia tersendawa sebaik mendengar kata-kata yang diluahkan Puan Suzila
itu. Perutnya yang tadi lapar, sekonyong-konyong rasa kenyang.
“Ziha tak
nak!” Dia bersuara. Keras.
“Acik
ajelah yang makan karipap tu!”
Puan
Suzila merenung lama wajah gadis di depannya. Wajah yang tadinya tenang,
setenang teratai di kolam tiba-tiba sahaja berubah rona. Tona kulit pipinya
menjadi merah padam.
Nur Naziha
memang begitu sikapnya. Setiap kali diajukan dengan persoalan jodoh, dia akan
menggelabah dan terus marah-marah. Mungkin dek memori hitam yang menghantui
semalamnya, hati Puan Suzila bermonolong.
Tapi
sampai bila gadis cantik ini harus mengelak dirinya daripada membicarakan
tentang persoalan jodoh? Seorang perempuan harus ada di sisinya seorang lelaki
yang selayaknya dipanggil suami.
“Kenapa tiba-tiba
aje mengamuk ni, Ziha?” Puan Suzila menghentak soal.
“Ziha tak
suka dengar Acik Su cakap macam tu!”
Panjang
muncungnya membuatkan Puan Suzila bagai hendak tergelak melihatnya.
“Pasal
Hajah Hanis yang berkenan nak jadikan Ziha calon menantunya tu?”
“Hmmph...
pasal tulah!”
“Ziha, ni
acik nak tanya sikit. Sampai bila Ziha nak mengelak daripada bercakap tentang
jodoh? Sampai bila? Ziha masih muda, cantik pulak tu... takkan Ziha tak pernah
terfikir untuk mendirikan rumah tangga dan membina keluarga seperti orang lain?
Hidup orang perempuan ni takkan lengkap tanpa seorang suami di sisi, Ziha.
Suami nilah yang akan melindungi hidup Ziha kelak.” Puan Suzila menarik nafas
dalam-dalam sebelum berhenti seketika.
Kemudian,
dia menyambung lagi hujahnya, “Acik tau Ziha pernah kecewa suatu ketika dulu. Sebab
tulah Ziha tak percaya pada ikatan perkahwinan tapi sampai bila, Ziha? Sampai
bila? Takkan selamanya Ziha nak hidup solo macam ni? Kalau lelaki tu pernah
kecewakan Ziha, pernah sakiti Ziha... lelaki lain tak semestinya macam dia.”
“Jangan
ikut contoh macam acik ni, Ziha. Akibat putus tunang dengan lelaki yang acik
cintai, acik terus membenci lelaki. Acik tolak setiap lelaki yang cuba
mendekati acik. Akhirnya tengoklah acik ni, sendirian membilang bilah-bilah hari
yang mendatang. Acik ni dah tak ada harapan lagi, Ziha. Hati acik ni dah
berkematu, dah tak boleh terima cinta daripada mana-mana lelaki lagi. Acik tak
nak Ziha pun jadi macam acik. Ziha harus bahagia. Ziha harus ada suami dan
anak-anak. Ziha jangan hidup sendirian membilang hari tua macam acik ni!”
“Cukup, acik!
Cukup!!!” Nur Naziha menjerit. Air matanya berjurai-jurai jatuh ke pipi.
Puan
Suzila terdiam. Dia sedar kata-katanya tadi bagai hirisan pisau belati di
telinga Nur Naziha. Dia bangkit lalu meraih tubuh Nur Naziha ke dalam
dakapannya. Terasa tubuh gadis itu terhenjut-henjut menahan tangis.
“Acik cuma
mahu Ziha bahagia,” bisiknya ke telinga Nur Naziha.
“Ziha
tahu. Ziha minta maaf kalau dah terkasar bahasa dengan acik.”
“Tak apa,
acik faham.”
“Terima
kasih.”
Nur Naziha
merungkaikan pelukannya ke tubuh Puan Suzila. Dia segera mencapai tisu lalu
mengelap air mata yang tumpah seketika tadi.
“Kalaupun Ziha
tak sudi jadi calon menantu Hajah Hanis, terima ajelah karipap sardin tu. Hajah
Hanis ikhlas nak belanja Ziha.” Puan Suzila memujuk.
Nur Naziha
senyum. Plastik berisi lima keping karipap sardin dicapainya juga sebelum
melangkah keluar untuk ke tempat kerjanya di Farmasi Nusantara pagi Ahad itu.