Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
142,432
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

13

WOI! Bangunlah, woi!” Haris menjerit kuat ke telinga Eizhan.

“Hmmm...”

“Woi!”

Bro, aku ngantuklah. Kau jangan ganggu aku, boleh tak?”

“Dah tengah hari ni. Woi, sampai pukul berapa kau nak membuta ni? Aku dengan Jeff nak keluar ni.”

“Heeiii... bisinglah! Orang nak layan mata pun tak senang. Hoi, kalau kau orang nak keluar, pergi ajelah. Just leave me alone! Mata aku ni tak boleh bukak. Macam dah kena gam UHU kau tau tak!” Eizhan menggumam.

“Dah... dah! Jangan banyak cakap. Lepas aje Jeff keluar dari bilik air, giliran kau pulak. Aku dengan Jeff dah plan nak ronda KL hari ni. Takkan nak tinggalkan kau sorang-sorang kat apartmen ni. Kat dapur tu sekeping roti pun tarak untuk kau makan, tau tak!”

“Aku boleh orderpiza.”

“Dah, jangan banyak songel. Bangun cepat!” Haris menggesa sambil menarik-narik tangan kanan Eizhan memaksanya bangkit dari kusyen panjang itu.

Dalam kemalasan, terpaksa juga dia bangkit dan menyandarkan belakangnya ke kusyen. Kepalanya masih berdenyut-denyut bahana air kencing syaitan yang diteguknya malam tadi. Matanya berpinar-pinar tatkala menentang cahaya matahari yang menujah masuk ke ruang apartmen itu melalui tingkap.

“Aku ingatkan kau dah berhenti teguk air mabuk tu.” Komen Haris. “Tengoklah keadaan kau ni, teruk!”

“Aku tak perlukan sebarang komen kau!” Kasar bunyinya.

Memang hancus mamat ni, gerutu Haris dalam hati.

“Jeff kata kau pernah cuba berhenti minum?”

“Memang pernah cuba berhenti, tapi tak berjaya. Kau ingat senang ke? Susah! Macam orang nak berhenti merokok ataupun hisap dadah, senang ke mereka nak tinggalkan benda tu?”

“Bila kau nak insaf? Nak taubat? Togok minuman keras tu hukumnya haram!”

Mata semerah saga Eizhan membuntang ke arah Haris.

“Kau ni siapa nak menasihatkan aku? Ustaz... pak imam? Bilal?”

“Kau tu kawan aku. Salahkah aku nasihatkan kau?”

“Wei, kau tu 100 peratus sempurna ke? Nak menasihatkan orang konon!”

“Ah, sudahlah! Kalau kau tak makan nasihat orang, suka hati kaulah.” Haris menempelak.

“Ya, tulah yang sebaiknya. Jaga kubur masing-masing.” Eizhan membalas. Sengit. Tidak mahu mengaku kalah di depan Haris.

Haris menarik nafas dalam-dalam walau hatinya mula menggelegak dengan putik-putik pertengkaran mereka pagi itu. Dia tidak mahu terus bertengkar dengan manusia yang sudah berkarat hatinya seperti Eizhan. Biarlah orang lain yang menasihati Eiz, bisik hatinya. Mungkin Jeffri lebih sesuai untuk menasihatinya.

Beberapa ketika kemudian, Jeffri keluar dari bilik air dengan hanya bertuala.

“Pergilah mandi, Eiz. Kita orang dah nak keluar ni.” Kata Jeffri.

“Kepala aku peninglah, Jeff. Rasa malas pulak nak keluar.” Eizhan cuba memberi alasan.

“Ah, nanti lepas pekena kopi dan roti canai, okeylah tu. Cepatlah! Kita orang dah lapar ni.” Gesa Jeffri.

Eizhan mengalah. Dia bingkas bangun dari kusyen lalu menuju ke bilik air. Haris hanya memandang. Betullah tekaannya, hanya Jeffri sahaja yang boleh menasihati Eizhan.

JEFFRI sedang bersiap-siap ketika telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan daripada Dayana. Dia membiarkannya beberapa ketika sebelum memekapkan telefon itu ke telinganya.

“Assalamualaikum.” Ucapnya.

“Waalaikumussalam. Jeff, you kat mana? Jumpa Eiz tak?”

“Ada. Dia tengah mandi tu. You janganlah risau.”

“Syukurlah. Thank you so much,Jeff. Bila you dan Eiz nak balik sini?”

“Kenapa? You dah rindukan anak you tu ke?” Jeffri menyoal.

Di hujung talian, Dayana tergelak panjang. Mersik suaranya.

“Dua-duanya I rindu. Bukan Eiz aje yang I rindu tau!” balas perempuan itu dengan suara sedikit manja.

“Hmmm... you jangan risau. Nanti I hantarlah Eiz balik ke pangkuan you. Sebenarnya kita orang nak meronda satu KL hari ni. Lagipun untuk apa memerap aje kat rumah hari Ahad ni? Kita orang ni kan masih bujang trang tang tang.” Jeffri sengaja mengusik perempuan di hujung talian. Dia tersenyum nipis tatkala terdengar dengusan Dayana.

“Hmmm... pergilah berseronok. Tapi you mesti janji dengan I, malam ni bawa Eiz balik ke rumah.” Dayana sempat berpesan.

“Insya-ALLAH. Tupun kalau anak you nak balik. Kalau dia tak nak, takkan I nak paksa.” Getus Jeffri sambil menamatkan perbualannya dengan Dayana.

Eizhan melangkah masuk ke bilik itu beberapa ketika kemudian. Dengan bersahaja dia membuka almari baju milik Haris lalu mengeluarkan sehelai t-shirt merah yang kelihatannya baru dibeli kerana tanda harganya masih belum ditanggalkan. Dia menoleh ke arah Jeffri yang duduk di birai katil. Mereka hanya berbalas senyum.

“Wei... aku belum pun rasmikan baju tu lagi!” jerkah Haris yang tiba-tiba masuk ke bilik itu.

“Biarlah aku yang rasmikan t-shirt kau ni. Kat pasar malam mana kau beli? Okey jugak garmentdia. Lembut!” tingkah Eizhan sambil segera menyarung t-shirt itu ke tubuhnya.

“Hampehlah kau ni, Eiz!” gumam Haris tatkala melihat Eizhan dengan wajah selamba menyarung t-shirt merah itu ke tubuhnya.

“Aku memang hampeh. Hidup pun dah tak guna! Dah tak serupa orang lain lagi. Orang macam aku ni, mati lagi baik daripada hidup melambakkan dosa di dunia ni. Tapi, TUHAN aje yang belum nak ambik nyawa aku.” Tiba-tiba terpantul luahan itu dari mulut Eizhan.

“Eiz! Apa yang kau melalut ni?” Jeffri menyergah.

“Kau ni cakap tak guna otaklah. Macamlah kau tu dah bersedia sangat nak mengadap maut. Apa amal ibadat kau dah cukup ke?”

Eizhan terdiam apabila disembur oleh Jeffri. Haris pula hanya tegak memandang. Dia juga tidak menyangka Eizhan sanggup menuturkan kata-kata yang amat negatif itu.

“Okey, kalau semuanya dah siap, jomlah kita keluar. Kereta kau ke, kereta aku, Jeff?” Haris segera bersuara.

“Kereta kaulah. Kereta kau besar sikit.”

“Wokey, jom!”

PEMANDUAN Haris ke Suria KLCC berjalan lancar kerana jalan raya tidak sesak walaupun kenderaan agak banyak juga. Mungkin kerana hari itu adalah Hari Minggu. Warga kota mungkin lebih suka berada di rumah berehat bersama keluarga.

Jeffri duduk di sebelahnya. Sementara Eizhan menyandar di tempat duduk belakang, asyik melayan lagu-lagu dendangan allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad yang diputarkan melalui CD kereta Haris.

“Kau bila nak kahwin, Jeff?” Haris menyoal teman di sisinya.

“Sampai masanya nanti aku kahwinlah.” Jeffri menjawab. Ringkas.

“Makwe kau sekarang siapa, hah? Kau masih on lagi ke dengan Syarifah Mastura tu?” ujar Haris yang tiba-tiba teringatkan gadis bertubuh langsing yang pernah bekerja satu pejabat dengan Jeffri. Suatu ketika dahulu Jeffri dan Syarifah Mastura agak rapat.

“Aku dah lama break dengan dia. Sekarang ni kami kawan biasa aje. Dia tu dah jadi isteri orang. Suami dia berketurunan Syed. Mereka kahwin atas pilihan keluarga.” Jeffri menerangkan.

Haris tergelak besar. “Aku ingatkan di zaman langit terbuka ni dah tak ada lagi orang yang kahwin atas pilihan keluarga.”

“Syarifah lawannya Syedlah. Orang macam aku ni manalah layak!” Merajuk bunyinya.

Dekahan Haris semakin besar. Seolah-olah tiada simpati langsung mendengar luahan hati teman di sisinya.

“Kat Padang Mahsyar nanti kau rasa TUHAN pandang ke gelaran Syed dan Syarifah yang nak mereka banggakan sangat tu? Kat sana nanti semuanya sama!”

“Engkau bolehlah cakap macam tu. Tapi keluarga Syarifah Mastura lain! Ah, lupakanlah pasal tu. Hubungan aku dengan dia pun bukannya serius sangat sampai nak bawa ke jinjang pelamin. Kami hanya kawan baik aje.”

“Betul ke?” Haris menduga.

“Terpulanglah pada kau sama ada nak percaya ataupun tak.”

“Sebelum dia kahwin dulu kenapa kau tak pujuk-pujuk aje, bawa lari Syarifah Mastura tu?”

“Minta maaflah, ya. Aku bukannya terdesak sangat sampai terpaksa kidnap anak dara orang untuk dibuat isteri. Buat apa cari masalah?”

Haris menganggukkan kepalanya.

“Ya, buat apa cari masalah. Ramai lagi perempuan di dunia ni. Bukan hanya Syarifah Mastura seorang aje.”

“Tau tak apa!”

Mereka berdekah. Kemudian, mata Haris mengintai Eizhan yang sedari tadi hanya berdiam diri melalui cermin pandang belakang.

“Eiz, apa pandangan kau dengan orang yang terlalu membanggakan pangkat dan keturunan ni?” Haris melontarkan soalan.

“Terpulanglah pada selera masing-masing. Aku tak kisah dengan semua tu. Janji aku cintakan dia dan dia cintakan aku.”

“Siapa girl kau sekarang ni? Jasmina ke?”

“Yang kau sibuk-sibuk nak tahu ni, kenapa?” jerkah Eizhan yang mula jengkel mendengar pertanyaan Haris yang macam-macam.

Haris ketawa kecil. “Tanya aje pun tak boleh?”

“Dahlah tu, Ris.” Jeffri mengingatkan.

PROTON Perdana hitam yang dipandu Haris sampai ke destinasinya dengan selamat. Selepas mengisi perut dengan nasi ayam di restoran yang terletak di tingkat tiga, mereka bergerak turun dan bersidai pula di Chinoz on the Park yang mengadap taman dan air pancut Suria KLCC. Kelihatan ramai orang berkeliaran di situ, mengadap kehijauan yang terbentang di depan mata setelah selesai urusan membeli belah di dalam bangunan.

“Macam mana kau boleh cari aku malam tadi, Jeff?” Eizhan menyoal. Fikirannya beransur-ansur tenang. Sakit kepalanya juga telah mula reda setelah dia menelan dua butir Panadol.

“Aku main agak aje tempat-tempat yang kau selalu lepak. Tak sangka pulak betul.” Jeffri menjawab.

“Eiz, lain kali hidup jangan menyusahkan orang! Nasib baik tekaan Jeff tu tepat. Kalau tak teruk dia kena melilau satu KL semata-mata nak cari kau.” Haris tiba-tiba menyampuk, menyelar Eizhan tanpa belas kasihan.

“Thanks.” Sepatah perkataan terlontar dari mulut Eizhan.

“Maaf cakaplah tapi lain kali aku takkan cari kau lagi. Kalau tak kerana aku kesiankan mama kau yang datang merayu-rayu minta aku cari kau, tak sudi aku menyusahkan diri sendiri.” Jeffri mengungkit.

Lelaki yang diselar teman-temannya itu hanya diam. Tidak berkutik. Dia seolah-olah menyedari kesilapan yang telah dilakukannya.

Dia mengalih posisi kerusinya lalu duduk mengadap ke arah air pancut sambil menyisip ekspressonya perlahan-lahan. Beberapa pasangan suami isteri kelihatan sibuk melayan keletah anak-anak mereka di depan air pancut tersebut. Matanya terpaku ke arah mereka.

Betapa riangnya! Betapa gembiranya!

Dan, memori itu berlabuh lagi di ruang ingatannya. Pada rayuan seseorang yang tidak diendahkan. Pada lelehan airmata yang dipandang sepi. Ketika itu, dia hanya ingin muncul sebagai seorang lelaki yang mementingkan dirinya sendiri.

Matanya beralih pula ke arah kelibat perempuan bersama seorang kanak-kanak lelaki yang berjalan agak hampir dengan tempat dia dan kawan-kawannya sedang duduk. Mungkin mereka hendak menuju ke tempat mandi-manda yang disediakan untuk kanak-kanak di taman Suria KLCC. Tiba-tiba belon yang dipegang kanak-kanak itu terlepas dari pelukannya lalu meleret ke kakinya.

Dia melihat sahaja kanak-kanak itu terkedek-kedek menghampirinya. Matanya terpaku memandang. Kanak-kanak itu membongkok untuk mengambil belon tersebut. Kemudian, ketika dia tegak semula dia melemparkan senyuman manisnya untuk Eizhan. Amat comel. Mereka berbalas senyum.

“Siapa nama adik?”

“Dwan.”

“Dwan. Sedap nama tu. Nama penuh?”

Anak yang bernama Dwan hanya jungkit bahu. Eizhan tergelak kecil. Dalam sekelip mata sahaja dia mula menyenangi kanak-kanak yang comel dan keletah itu. Kemudian, matanya menoleh pula ke arah perempuan yang menemani Dwan. Perempuan itu sedang menuju ke arahnya.

“Anak ke? Comel.” Pujinya.

Perempuan itu ketawa kecil.

“Dia bukan anak sayalah. Saya solo lagi tau.” Dengan gaya selamba si gadis mendedahkan status dirinya.

“Saya ni macam kakak aje pada Dwan.”

“Oh...”

Dan mata yang saling bertentangan tiba-tiba menitipkan keinginan untuk menyambung sebuah kemesraan. Eizhan mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Tadi saya tanya Dwan nama penuh dia.”

“Oh, nama penuh Dwan ialah Ridzwan Hakeem.” Gadis itu menjawab.

Mata Eizhan menujah sekali lagi ke wajah kanak-kanak yang bernama Ridzwan Hakeem. Entah mengapa, terasa sukar baginya untuk melepaskan anak itu daripada dibawa pergi.

“Saya Eizhan. Panggil Eiz aje. Nama awak pulak?”

Gadis itu senyum. Matanya meliar pula ke arah dua orang pemuda kacak yang turut berada di meja yang sama. Tiga pasang mata yang merenung tepat ke arahnya benar-benar membuatkan dia mengelabah.

“Saya Lynn.”

“Hai, Lynn.”

“Hai semua.”

Mereka saling tertawa. Mesra.

“Nama penuh siapa? Takkan Lynn aje?” Haris menyampuk.

“Shazlynn.”

“Hmm... sweet nama tu. Lynn, kenalkan ni kawan-kawan saya... Haris dan Jeffri.”

“Hai semua.”

“Hai, Lynn.” Jawab Haris dan Jeffri hampir serentak.

“Hmm... okeylah, saya nak bawa Dwan pergi mandi-manda kat taman tu. Bye.

“Bye.” Sahut Haris. Jeffri hanya diam memerhati.

“Jom, Dwan.” Shazlynn mencapai tangan kanan Dwan dan berpaling hendak meninggalkan ketiga-tiga orang pemuda itu.

“Lynn, awak pergi dulu. Kejap lagi saya menyusul.” Tiba-tiba Eizhan bersuara sebelum sempat gadis itu menjauh.

Gadis itu tidak menjawab. Namun daripada senyuman yang meleret di bibirnya, jelas menunjukkan yang dia tidak membantah.

“Yes!” getus Eizhan gembira. Dia membetulkan posisi kerusinya lalu duduk mengadap teman-temannya semula.

“Bukan main lagi kau, Eiz. Dah mula nak mengail ke?” perli Haris. Dia sebenarnya cemburu melihatkan kemesraan yang ditaburkan temannya terhadap gadis manis itu tadi.

Malah, ketika belon milik Dwan meleret ke kaki Eizhan, dia sudah mula menyumpah-nyumpah dalam hati. Kenapalah belon tu tak meleret ke kaki aku aje, bisik hatinya.

“Apa yang kau cakap ni, Ris? Aku cuma nak berkawan ajelah. Okey you guys, aku nak temankan gadis cantik dan seorang anak kecil yang comel di taman tu kejap. 20 minit aje untuk aku dapatkan nombor telefon Lynn. Korang tunggu aku kat sini, okey. Jangan tinggalkan aku pulak tau!” Tanpa menunggu sebarang komen baik daripada Haris mahupun Jeffri, Eizhan melangkah pantas mengekori laluan yang tadinya disusuri oleh Shazlynn dan Dwan.

NAMPAK aje perempuan cantik terus hilang mabuk si Eiz tu!” gerutu Haris. Dia tidak puas hati kerana Eizhan sentiasa mendahuluinya dalam hal memikat wanita.

Jeffri hanya mendiamkan diri. Air mukanya tenang. Tanpa diketahui oleh Haris, dia turut membayangkan wajah gadis bernama Shazlynn seketika tadi. Wajahnya sederhana. Sedap mata memandang. Dalam hatinya, dia berharap agar gadis itu akan tertarik pada dirinya dan bukannya pada Eizhan. Namun Shazlynn ternyata lebih tertarik kepada temannya.

Ah, tak apalah! Apa yang nak dirajukkan sangat? Kan Eiz tu lebih kacak dan bergaya daripada aku? Jadi sudah tentulah mana-mana gadis lebih mudah terpikat dengan lelaki sebegitu. Ini hanya pada pandangan yang pertama, Lynn. Kalau kau mengetahui siapakah sebenarnya lelaki bernama Eizhan itu... hmmm...

20 minit kemudian...

Kelibat Eizhan terpapar semula di mata mereka berdua. Wajahnya kelihatan ceria menandakan misinya yang telah berjaya. Haris mendengus kasar. Jeffri pula hanya ketawa kecil sambil menepuk-nepuk bahu Haris.

“Dapat ke contact number dia?” Haris segera bertanya.

“Mestilah dapat. Kalau tak, kau jangan panggil aku Eizhanlah!” Lelaki itu mendabik dada menunjukkan kejagoannya memikat wanita di depan teman-temannya.

“Hmmmph!” Dengusan nafas Haris semakin kuat!

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.