Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
144,890
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 25

25

SENJA mula menyerkup. Eizhan mendaki tangga menuju ke biliknya. Sementara menunggu masa untuk turun makan, dia duduk di depan tv terlebih dahulu. Siaran tv yang entah apa-apa itu langsung tidak menarik minatnya.

Fikirannya menerawang. Kemesraan sebabak di antara mamanya dengan Jeffri petang tadi menerbak semula ke ruang ingatan. Langsung dia tidak menduga yang mamanya kini sedang berpacaran dengan Jeffri. Pengakuan itu muncul dari mulut mamanya sendiri. Hanya pengakuan Jeffri sahaja yang masih belum diperolehinya.

Argh, kenapa aku perlu pening-pening kepala memikirkan tentang mereka? Bisik hatinya. Biarlah kalau mereka nak bercinta pun. Itu hak mereka. Yang membuatkan aku sakit hati ialah sikap mama yang seringkali masuk campur urusan peribadiku.

Dia merebahkan kepalanya ke bantal. Wajah Jasmina pula terbayang di ruang mata. Mereka cukup gembira ketika menapak masuk ke perut disko yang bingit itu. Beberapa orang teman rapat Jasmina juga ikut serta kerana kebetulan malam itu birthday Jasmina. Dia tidak kisah walaupun ada di antaranya yang dia langsung tidak kenal nama. Mereka ke situ dengan satu tujuan, ingin meraikan birthday Jasmina bersama-sama.

Baby, lain macam aje you malam ni?” soal Jasmina.

“Pandai you baca fikiran I. I memang tengah serabut ni. Krisis dengan mama.” Adunya kepada kekasih hati sambil merebahkan kepalanya ke bahu Jasmina.

“You ni, asyik perang aje dengan mama you. Dahlah, jangan fikirkan sangat pasal mama you tu. Malam ni kita enjoy. Tapi make sure you jangan minum banyak sangat.” Jasmina awal-awal lagi sudah memberikan amaran.

“Okey, sayang. Don’t worry.” Dia memberikan jaminannya.

Dia menarik Jasmina ke dewan dansa, dan mereka menari mengikut irama rancak bagai tidak ingat dunia. Selepas penat dan berpeluh-peluh, mereka menuju ke meja. Ketika itulah salah seorang teman Jasmina menghulurkan minuman berbuih ke arahnya. Dia meneguknya, rakus.

“Boleh I pinjam Jas kejap?” kata lelaki yang masih tidak diketahui namanya itu.

Dan tanpa menunggu dia memberikan keizinannya, lelaki itu terus menarik tangan Jasmina ke dewan dansa. Dia memerhatikan sahaja kelibat Jasmina bersesak-sesak dengan pengunjung lain di tengah-tengah dewan. Mereka kelihatan sungguh gembira, meliuk-lentukkan badan mengikut irama lagu rancak. Jasmina kelihatannya tidak kisah kalau sesekali pasangan tarinya itu memeluk pinggangnya.

Sendirian di meja dengan hanya ditemani sebotol minuman beralkohol membuatkan dia terlupa pesanan Jasmina. Habis segelas, dituangnya segelas lagi. Digogoknya dengan rakus seolah-olah minuman itu adalah minuman berkarbonat. Dia yang memang menghadapi masalah ketagihan alkohol mula lupa dunia.

Kata Jeffri, Jasmina naik angin kerana aku ada terpanggil nama seorang perempuan ketika aku sedang mabuk. Siapakah perempuan tu? Mana ada perempuan lain selain Jas, bisik hatinya. Dia cuba mengingati satu per satu bekas teman wanitanya sebelum kemunculan Jasmina dalam hidupnya. Kesemuanya tidak memberikan kesan yang mendalam di hatinya. Kehadiran mereka di sisinya hanyalah untuk berseronok-seronok sahaja, tidak lebih daripada itu.

Apa kata kalau aku telefon Jas dan tanya dia sendiri? Isy, nak mati ke? Jasmina tu garang macam singa. Hmmm... tak boleh jadi ni! Fikirannya yang bekerja keras membuatkan kepalanya terasa pening. Dia mengambil keputusan untuk melupakan sahaja perkara itu. Buat masa ini dia malas hendak ambil tahu tentang Jasmina.

Kalau betullah seperti kata Jeff yang Jasmina sanggup melibas muka dan menendang aku bagaikan aku ni nangka busuk ketika aku dalam keadaan tak berdaya, dia tak layak untuk terus berada di sampingku.

Apa kau ingat aku ni tak laku ke Jas? Bisik hatinya, geram.

Selepas puas membayangkan wajah Jasmina, muncul satu wajah yang lain pula di ruang fikirnya. Dan wajah itu mampu membuat dia tersenyum.

Telefon pintar dicapainya. Dia menghubungi gadis itu. Panggilan pertamanya terbiar, tidak berjawab. Dia tidak cepat putus asa. Dicubanya sekali lagi. Akhirnya, terdengar suara gadis itu menuturkan salam di hujung talian.

“Pergi mana? Lambat jawab telefon?” Gerutunya.

“Uih, macam tu ke caranya awak jawab telefon?”

“Kenapa? Apanya yang tak betul?”

“Saya bagi salam tadi kan? Kalau iya pun jawablah salam saya tu dulu.”

“Oh, waalaikumussalam.”

“Macam tulah...” Gadis di hujung talian ketawa. Mersik.

Terhibur hati Eizhan mendengarnya. Mersik tawa itu bagaikan mengimbau nostalgia silam.

“Tadi masa first time awak call, saya baru habis solat Maghrib. Tu yang tak sempat nak jawab. Awak dah solat?”

“Solat? Errr... okey.”

“Apanya yang okey?”

“Yalah, okeylah tu... awak rajin solat Maghrib. Bagus, dapat pahala.” Tingkah Eizhan.

“Solat lima waktu kan tiang agama. Itu kewajipan yang harus kita tunaikan. Kalau tak buat, berdosa.” Shazlynn berhujah.

“Betullah apa yang saya cakap tadi kan, kalau buat dapat pahala?” sahut Eizhan.

Shazlynn ketawa lagi.

“Hmm... okeylah. Kenapa awak telefon saya ni?” soal gadis itu setelah tawanya terhenti.

“Kenapa? Tak boleh ke?”

“Err... bukan macam tu.”

“Lynn, sebenarnya saya teringin nak jumpa awak lagi tapi malangnya malam ni saya ada dinner dengan orang lain,” tingkah Eizhan. Dia semakin seronok berbual dengan gadis yang baru dikenalinya itu.

“Iya? Beruntunglah perempuan tu.”

Eizhan ketawa.

“Malam esok awak free? Saya nak belanja awak dinner.

“Malam ni awak dinner dengan orang lain, malam esok awak nak dinner dengan saya pulak?”

“Kenapa? Tak boleh ke?” duganya.

“Saya tak nak buat girlfriend awak jealous.” Shazlynn menjawab, kasar dan terdengar dengusan di hujung kata-katanya.

Eizhan tergelak besar dengan kepolosan gadis itu.

“Ada saya cakap nak dinner dengan girlfriend? Cik Lynn, malam ni saya dinner dengan mama sayalah.” Akhirnya, dia berterus-terang.

“Oh!”

So, malam esok kita dinner berdua pulak, nak tak?” Dia mencuba nasib sekali lagi.

“Err... tengoklah dulu. Kalau saya tak ada kerja sekolah dan dapat kebenaran ibu untuk keluar dengan awak, hmmm... mungkin pelawaan awak akan dipertimbangkan.”

“Eh, awak sekolah lagi ke? Tingkatan berapa? Enam?” Eizhan terkejut apabila mendengar Shazlynn berkata hendak menyiapkan kerja sekolah.

“Takut ke berkawan dengan budak sekolah?” Shazlynn menduga.

“Awak janganlah main-mainkan saya. Betul ke awak ni sekolah lagi? Saya sebenarnya malas nak ganggu budak sekolah ni, faham-faham ajelah.” Dia bertanya, ingin mendapatkan kepastian daripada gadis yang sedang galak mentertawakannya itu.

“Eh, ibu saya panggil tu. Nanti kita berbual lagi ya. Okeylah, bye.” Shazlynn sengaja mencari alasan untuk segera menamatkan perbualan.

So, esok macam mana? Jadi tak keluar dinner dengan saya? Lynn... Lynn!” dia terpanggil-panggil tetapi gadis di hujung talian sudah pun menamatkan perbualan mereka.

Dia mendengus. Telefon pintar dicampakkannya ke atas tilam. Betul ke Lynn tu budak sekolah, hatinya tertanya-tanya.

DIA melangkah turun setengah jam kemudian. Seperti yang dijanjikan, Dayana menyediakan sendiri hidangan untuk malam itu. Hidangannya ringkas sahaja, mi kari ayam. Mi kari adalah hidangan kegemaran mereka dua beranak.

Jam 8.30 malam mereka telah berada di meja makan. Pembantu rumah warga Indonesia sudah berkurung di biliknya dan hanya akan keluar pada pukul 10.00 malam nanti untuk mengemaskan meja serta membasuh pinggan-mangkuk.

Selain daripada bunyi pendingin hawa yang menderu perlahan serta alunan muzik lembut, selebihnya sunyi sepi. Ruang banglo itu bagaikan diserkup kesepian yang tidak bertepi. Banglo itu harapkan sahaja besar tetapi penghuninya tidak ramai. Walaupun dilahirkan sebagai anak tunggal kepada pasangan Muhammad Imran dan Dayana, erti sunyi tidak pernah hadir dalam hidup Eizhan. Ini kerana ada Jeffri yang membesar bersama-samanya di rumah itu.

Sejak dari kecil lagi mereka telah berkawan baik dan jarang sekali berenggang. Cuma hubungan mereka mula renggang sejak masing-masing meningkat dewasa.

“Bila mama nak nikah dengan Jeff?” Terlontar soalan itu dari mulutnya sebaik-baik sahaja mereka selesai makan.

“Kami belum bincang lagi tentang tu.” Dayana menjawab.

“Hubungan Eiz dengan Jas pulak macama mana?”

“Macam tulah! Kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.”

Dayana tersenyum. Nampaknya komunikasi mereka malam itu berjalan dengan lancar tanpa ada adegan serang-menyerang antara satu sama lain.

“Mama dengan Jeff pun macam tu jugak. Kami baru nak kenal hati budi masing-masing. Mama tak kisah, mama serahkan semuanya pada jodoh. Kalau ada jodoh kami nanti, kami nikahlah. Tapi kalau boleh, mama nak tengok Eiz kahwin dulu. Mama dah lama tak jumpa Jas. Dia apa khabar?” tanya Dayana.

Walaupun tidak berapa menyukai Jasmina tetapi dia sanggup berlebih-kurang kalau benarlah gadis itu dicintai anaknya. Dia tidak mahu bertelagah dengan Eizhan lagi dalam hal-hal yang melibatkan girlfriend anaknya itu.

Eizhan membayangkan sekilas wajah Jasmina. Gadis berambut perang dan berwajah pan-asian itu memang cantik, seksi serta menawan tetapi kalau naik angin sikapnya berubah sama sekali.

“Dia okey.” Sahutnya ringkas.

“Katakan padanya yang mama nak jumpa dia. Ataupun, Eiz boleh jemput dia kemari.”

Eizhan mengerut kening.

“Mama nak jumpa Jas? Untuk apa?”

“Eh, kan dia girlfriend Eiz? Dah tentulah mama nak berbaik-baik dengan bakal menantu mama.” Dayana kelihatan amat bersungguh-sungguh.

“Hmm... tengoklah nanti. Jas pun asyik sibuk memanjang.”

Melihatkan reaksi Eizhan yang acuh tak acuh itu, Dayana mengambil keputusan untuk menamatkan perbualan mereka tentang Jasmina.

“Eiz, kalau boleh mama mahu hubungan kita mesra macam dulu balik. Mama sedar, dulu mama memang selalu marah-marah Eiz tapi semuanya untuk kepentingan Eiz jugak. Tak terniat langsung di hati mama untuk kongkong Eiz.” Akhirnya terluah juga kata-kata itu dari mulut Dayana.

Sesungguhnya masa yang telah berlalu tidak boleh diundur kembali. Begitu juga dengan peristiwa yang pernah mereka lakukan, tidak mungkin diperbetulkan lagi kerana apa yang berlaku ketika itu sangat mengaibkan. Yang paling diutamakan sekarang ialah masa kini dan masa hadapan. Mereka dua beranak harus berfikiran positif dan mengatur hidup dengan lebih teratur.

Eizhan tunduk merenung alas meja rona putih yang bercorak-corak.

“Ma, boleh tak mama aturkan semula appointment Eiz dengan rehab centre tu?” Pintanya beberapa ketika kemudian. Rehabilitation centre yang dimaksudkannya ialah pusat pemulihan bagi mereka yang ketagih alkohol.

Mata Dayana tajam merenung anak tunggalnya. Terkejut dia. Bukankah baru dua bulan lepas Eizhan menamatkan rawatannya di pusat penagihan alkohol yang terletak di Cheras itu? Apakah semua rawatan yang telah dijalaninya di pusat itu selama ini hanya sia-sia? Kalau rawatan itu gagal, bermakna duit beribu-ribu yang aku laburkan untuk mempastikan anak aku bebas daripada pengaruh alkohol, lebur begitu sahaja.

Dia menggigit bibirnya. Kesal!

“Eiz mula minum balik?” Dia bertanya. Suaranya kedengaran bergetar.

Eizhan terus tunduk merenung alas meja rona putih yang bercorak-corak.

“Kan mama dah kata, Jas tu cuba pengaruhi Eiz ke jalan yang negatif. Sejak daripada mula lagi mama dah tak setuju Eiz rapat dengan dia. Kenapa Eiz sayang sangat pada dia, hah? Bukan tak ada perempuan lain lagi di KL ni, Eiz!” Dayana mula melepaskan peluru berpandunya.

Suasana di meja makan yang tadinya tenang-tenang sahaja, kini berkocak semula. Sebagai seorang ibu, Dayana sukar hendak menerima hakikat bahawa anak tunggalnya menghidapi masalah ketagihan alkohol. Alkohol juga sama bahayanya seperti dadah. Jika diambil dalam kuantiti yang berlebihan, ianya bukan sahaja boleh memudaratkan kesihatan tetapi mampu meragut nyawa peminumnya.

Dia mengimbas ke masa silam dan mencari-cari bilamanakah hidup Eizhan mula kucar-kacir. Dia teringatkan dirinya yang pernah kematian suami tersayang. Sendu hatinya melihat anak tunggalnya yang terpaksa kehilangan kasih sayang seorang ayah yang menjadi idolanya dalam usia yang masih terlalu mentah; 14 tahun.

Sayang, kenapa terlalu cepat kau pergi dan meninggalkan aku sendiri untuk menghadapi segala masalah ini? Dia bermonolog, seolah-olah sedang berbicara dengan arwah suaminya.

“Ma, jangan sesekali salahkan Jas. Anak mama ni yang lemah. Anak mama ni yang gagal mengawal dirinya!” Eizhan menjawab.

“Eiz hanya minta pertolongan mama untuk daftarkan Eiz ke rehab centre tu balik. Susah sangat ke permintan Eiz, ni?”

Dayana ingin menjawab begini: Kau tahu tak berapa banyak duit yang aku dah habiskan untuk mengubati tabiat ketagihan kau tu, Eiz, dengan harapan sebaik-baik sahaja kau keluar dari pusat tu, diri kau akan pulih 100 peratus? Tapi, belum pun sampai setahun keluar dari pusat tu, kau dah sentuh balik benda haram jadah tu! Aku benar-benar kecewa dengan kau, Eiz. Kecewa!

Tetapi dia segera mengurut-ngurut dadanya yang rasa sebu.

“Mama kecewa dengan anak mama ni kan?” getus Eizhan perlahan, seolah-olah dapat membaca fikiran mamanya.

Dayana menarik nafas panjang dan kemudian menghempaskannya perlahan-lahan. Akhirnya, ketenangan dapat dirasainya.

“Duit bukanlah segala-galanya di dunia ni, Eiz. Mama sanggup buat apa aje untuk memulihkan tabiat ketagihan Eiz tu. Eiz kan anak mama. Esok mama akan telefon Doktor Wong untuk set temujanji yang baru.” Dia memberikan kata putusnya.

Thank you, ma.” Ucap Eizhan. Dayana hanya tersenyum nipis.

Bunyi loceng pintu membuatkan mereka dua beranak berpandangan seketika. Siapa pula yang bertandang malam-malam begitu?

“Mungkin Jeff agaknya, ma. Biar Eiz bukak pintu.” Kata Eizhan. Dayana hanya mengangguk.

Eizhan melangkah ke muka pintu. Pintu kayu itu dikuaknya.

Hello, Eiz!” tegur lelaki di depannya itu ketika melihat Eizhan hanya tercegat memandang.

“Siapa yang datang tu, Eiz?” Suara Dayana kedengaran dari jauh.

“Takkan tak nak jemput aku masuk?”

Eizhan menyisih ke tepi untuk membenarkan tetamu mereka itu melangkah masuk ke ruang tamu.

Previous: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.