Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
144,959
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

20

EIZHAN sudah sedikit ceria ketika mereka bertiga pulang semula ke apartmen Haris. Dia kelihatan sibuk dengan telefon pintarnya. Entah siapalah yang sedang dilayannya? Mungkinkah gadis yang baru dikenalinya di KLCC tadi? Jeffri tertanya-tanya di dalam hati.

Chatting dengan siapa tu, Eiz?” Sebelum sempat Jeffri melontarkan soalan, Haris telah mendahuluinya.

Jeffri memasang telinga. Dia juga ingin mendengar jawapan dari mulut Eizhan.

“Yang kau sibuk-sibuk nak tahu hal aku ni, kenapa? Suka hati akulah dengan siapa aku nak sembang.” Eizhan menjawab.

“Dengan pompuan yang kita jumpa kat KLCC tadi ke?” Haris yang tidak puas hati dengan jawapan temannya itu, terus bertanya.

“Dia ada nama, tau. Nama dia Lynn. Tadi kan dia ada bagitau kita nama dia. Kau dah lupa ke?” Kasar suara yang terkeluar dari mulut Eizhan. Kedengarannya seolah-olah dia sedang mempertahankan Shazlynn pula.

“Aik, marah? Aku ada salah cakap ke?”

“Malaslah aku nak layan kau!” Eizhan mendengus.

“Suka hatilah aku nak panggil dia apa pun. Kalau aku panggil dia ‘pompuan’, apa salahnya? Yang kau nak pertahankan sangat dia tu, kenapa? Kita baru aje kenal dengan dia. Dia pun bukannya siapa-siapa dengan kau.” Haris membalas. Sengit.

“Dia ada nama. Nama dia Lynnlah, bodoh!” suara Eizhan semakin meninggi. Bahasanya juga semakin kasar.

“Aik, kenapa kau orang berdua ni, bro? Nak bergaduh pasal perempuan pulak ke?” Ketika perbalahan di antara Eizhan dengan Haris kedengaran semakin tegang, Jeffri segera masuk campur.

Kedua-dua orang lelaki yang tadinya asyik bertelagah, akhirnya mendiamkan diri. Haris mula mengalihkan tumpuannya ke kaca televisyen. Sementara itu, Eizhan menyambung chattingnya yang tadi terhenti seketika.

“Eiz, jom aku hantar kau balik.” Jeffri bersuara. Dia teringat akan janjinya kepada Dayana.

“Mama kau tentu sedang tunggu kau balik ni,” katanya lagi setelah melihat Eizhan tidak berkutik.

“Kalau kau nak balik, pergilah. Aku nak lepak kat sini dulu. Nanti bila fikiran aku dah tenang... hati aku dah riang, aku baliklah.” Eizhan menjawab sambil memaparkan imej bosan di wajahnya.

“Kau jangan banyak cikadak, Eiz! Kalau Jeff menapak keluar dari rumah ni, baik kau ikut dia. Aku malas nak tengok muka kau, menyampah. Aku tumpangkan kau malam tadi pun sebab mengenangkan Jeff tu kawan aku, kau faham tak?” Haris segera menyampuk setelah terdengar kata-kata Eizhan yang hendak melepak di apartmennya.

“Okey! Bagi aku 10 minit, aku tukar pakaian dulu.” Eizhan berkata sambil bangkit menuju ke bilik tidur Haris.

WALAUPUN mereka berada di dalam kereta yang sama tetapi mereka tetap mempunyai mood yang berbeza. Kalau Jeffri diulit rasa gembira sepanjang-panjang perjalanan pulang itu, tidak sama halnya dengan Eizhan yang mematung di sebelahnya.

“Eiz, aku ada hal nak tanya kau ni,” getus Jeffri tanpa menoleh sedikit pun ke arah lelaki di sebelahnya.

“Hmmm... apa halnya?”

“Kau ingat lagi tak kejadian semalam, kat disko tu?”

“Entahlah! Aku tak ingat langsung. Kenapa?”

“Betul kau tak ingat ni?”

“Yang aku ingat, aku pergi ke sana dengan Jas sebab nak enjoy. Nak lepas tension.”

“Kau bergaduh dengan mama kau, kan?”

“Argh! Aku malas nak ingat-ingat balik hal tu. Aku rasa dah sampai masanya aku keluar dari rumah tu dan hidup berdikari. Selama ni aku asyik ikut telunjuk mama aje. Kau nak tinggal dengan aku tak, Jeff?”

Jeffri segera menggelengkan kepalanya. “Aku selesa tinggal dengan keluarga aku. Kenapa pulak aku nak pindah?”

“Sampai bila kau nak duduk bawah ketiak emak bapak kau, hah, Jeff?” sembur Eizhan sambil berdekah.

“Apa salahnya kalau aku tinggal dengan mereka? Sekurang-kurangnya makan pakai aku terjaga. Lagipun aku masih bujang. Kalau dah kahwin nanti, lain ceritalah pulak.” Jeffri segera menjawab.

“Eiz, selain daripada kau keluar nak berseronok dengan Jas, ada tak benda-benda lain yang kau ingat?”

“Kenapa kau asyik tanya soalan ni, Jeff? Apa yang penting sangat tentang hal malam tadi, tu?”

“Kau tak ingat apa yang Jas dah buat pada kau semasa kau tengah mabuk tu?”

Eizhan menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Apa yang Jas buat kat aku? Dia cium aku ke?” tingkahnya sambil tersengih panjang.

“Jadi, kau tak ingatlah Jas belasah muka kau dengan beg tangannya? Kau tak ingatlah dia tendang kau, macam kau ni nangka busuk?”

Spontan Eizhan meraba-raba pipinya yang terasa lain macam. Patutlah ada kesan bilur di pipi kanan aku, bisik hatinya. Tapi kenapa kekasih yang aku cintai, orang yang aku sayang... sanggup belasah aku ketika aku dalam keadaan tak berdaya?

Dia menahan keluh dalam hati. Jas... Jas!

“Kau bohonglah, Jeff. Kenapa Jas nak buat macam tu pulak kat aku? Aku ni kan teman lelaki kesayangan dia?” Selepas melontarkan kata-kata itu, dia tergelak kecil. Gelak yang sengaja direka-reka untuk menyedapkan hatinya sendiri.

“Jadi, kau tak ingatlah siapa nama perempuan yang kau sebut depan Jas sampaikan makwe kau tu naik hantu?” tekan Jeffri. Ditolehnya sekilas wajah lelaki di sebelahnya.

“Perempuan? Mana ada perempuan lain selain Jas?” Dia kebingungan.

“Iya! Jas sendiri cakap, dia dengar kau terpanggil-panggil nama perempuan lain malam tu. Dahlah, tak guna diingat-ingat lagi hal tu. Aku harap lepas ni, kau insaflah diri tu sikit, Eiz. Tolonglah buang tabiat yang tak mendatangkan faedah pada diri sendiri. Berhentilah togok minuman keras tu!”

“Dah mula nak berkhutbah? Cukup-cukuplah tu, Jeff!” Eizhan menghentakkan suaranya di dalam ruang kereta membuatkan Jeffry terdiam.

DIA menghalakan kereta kecil yang dipandunya ke porch lalu diparkir bersebelahan BMW sport milik Dayana. Walaupun fungsinya sama, bertujuan untuk membawa tuannya dari satu destinasi ke satu destinasi tetapi apabila sebuah kereta kecil buatan dalam negara digandingkan dengan kereta mewah buatan luar negara, persepsi setiap yang memandangnya tetap berbeza.

Begitulah yang sering dirasakan oleh hati kecil Jeffry. Dia dan pemilik kereta mewah itu tetap memegang status yang berbeza. Dia dan pemuda yang sedang berjalan beriringan di sebelahnya juga berbeza walaupun mungkin mereka dibesarkan dan bersekolah di sekolah yang sama. Dia hanyalah anak seorang tukang kebun yang tinggal menumpang di sebuah rumah kecil di belakang banglo milik Dayana. Ayahnya pernah menyatakan hasrat untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung di Sabak Bernam tetapi Dayana bersungguh-sungguh memujuk agar mereka sekeluarga terus tinggal di belakang banglonya.

“Kenapa Pak Alwi nak tinggalkan kami? Saya dah anggap Pak Alwi dan Mak Bibah macam ahli keluarga sendiri. Lagipun sebelum arwah suami saya meninggal dulu, dia pernah berpesan supaya membenarkan Pak Alwi sekeluarga terus tinggal di sini sebagai membalas jasa baik Pak Alwi yang pernah menyelamatkan arwah ketika kejadian samun dulu tu. Kalau Pak Alwi tinggalkan kami, siapa yang nak tengok-tengokkan saya dan anak saya? Saya tak pernah percayakan orang lain sepertimana saya percayakan Pak Alwi dan Mak Bibah.” Begitulah Dayana pernah merayu ketika ayahnya berhajat untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung, beberapa tahun lalu.

Rayuan Dayana itulah yang membantutkan hasrat ayahnya untuk membawa mereka sekeluarga pulang ke kampung. Mengenangkan hubungan baik yang pernah terjalin di antaranya dengan arwah suami perempuan itu ketika hayatnya juga membuatkan Encik Alwi serba-salah hendak menghampakan harapan janda muda tersebut.

Dari jauh dia nampak kelibat Dayana bergegas menghampiri mereka. Dia sengaja membiarkan Eizhan berjalan di hadapannya.

“Eiz! Ke mana Eiz pergi, hah? Mama risau tau tak. Lain kali janganlah tinggalkan mama macam tu.” Tingkah Dayana sambil memeluk erat anak lelaki tunggalnya itu.

“Ma, boleh tak jangan peluk-peluk Eiz macam ni? Eiz bukannya budak-budak kecil lagi mama nak peluk-peluk.” Suara Eizhan perlahan sahaja tetapi jelas menyelar hati seorang ibu yang mendengarnya.

Malahan, Jeffri yang turut menelinga perbualan kedua-dua beranak itu juga hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia lihat Dayana terkesima mendengar selaran yang terkeluar dari bibir Eizhan itu. Pelukan eratnya seketika tadi segera dirungkaikan.

“Lagi satu, mama tak usahlah risau sangat tentang Eiz. Eiz ni dah besar panjang, ma. Eiz tahulah jaga diri Eiz. Tak perlulah mama nak ambil tahu setiap apa yang Eiz perbuat. Eiz lemaslah kalau asyik kena kongkong aje!” Suara Eizhan yang tadinya perlahan sudah mula meninggi.

“Eiz, tak baik kau tinggikan suara pada mama kau macam tu!” Jeffri segera menegur.

“Hey, kau jangan masuk campur hal akulah! Itu tak boleh, ini tak boleh. Bosanlah! Ma, badan Eiz ni tengah letih sekarang. Otak pun dah lesu. Mama benarkan tak Eiz naik ke bilik?” Eizhan memicingkan mata ke arah mamanya. Sungguh biadab sikap yang ditonjolkannya kepada perempuan yang telah mengandungkannya selama 9 bulan 10 hari dan melahirkannya ke dunia ini dengan segala susah payah pula.

Seolah-olah pengorbanan perempuan itu langsung tiada makna di matanya.

“Kenapa pulak mama nak halang Eiz naik ke bilik? Kalau Eiz nak berehat di bilik, pergi ajelah. Mama tanya ke mana Eiz pergi sebab mama risaukan Eiz aje. Tak boleh ke?” Dayana bersuara.

“Argh! Apa-apa ajelah, ma!” Kasar sungguh kata-kata yang terlontar dari mulut jejaka itu. Tanpa menunggu reaksi balas daripada mamanya, dia menonong meninggalkan Dayana dan Jeffri yang hanya mampu tertegak memandang.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.