Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
143,591
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

7

JARUM jam menuding ke angka 6.45 pagi. Jeffri yang sudah selesai menunaikan solat Subuh duduk tercongol di depan peti tv. Mujurlah hari ini Ahad, cuti. Hari untuk relaks, bersantai dan bermalas-malasan. Lagipun dia sudah menanam hajat untuk kada’ waktu tidurnya yang terganggu malam tadi dek melaksanakan misi menyelamat seorang rakan daripada teruk dibelasah teman wanita sendiri. Itulah Eizhan, bisik hatinya sambil melemparkan sekilas pandangan ke arah lelaki yang sedang tertidur pulas di atas kusyen panjang di ruang tamu.

Sampai bila aku harus jadi penyelamat kau macam ni, Eiz? Bisik hatinya. Sampai bila aku harus jadi Superman untuk datang menyelamatkan kau setiap kali kau ditimpa masalah? Kalau kau tu perempuan macam Lois Lane, heroin dalam filem Superman tu, bersemangatlah sikit rasanya. Tapi kau tu ‘jantan’ sama spesies macam aku jugak!

Hmmph! Dia mendengus dalam hati.

Haris melangkah keluar dari bilik tidurnya tidak berapa lama kemudian. Anak muda itu tidak menegurnya sebaliknya terus ke dapur. Kedengaran bunyi kelentang-kelentung sudu berlaga dengan mug.

“Woi Jeff, kau nak Nescafe tak?” Haris menyoal dari arah dapur.

“Boleh jugak. Kalau kau rajin buatlah nasi goreng ke, maggi goreng ke. Aku dah lapar tahap gaban ni.”

“Cantiklah kau punya muka!” Haris mencemuh.

Jeffri tergelak kuat.

“Ada orang kata muka aku ni iras-iras Aaron Aziz!” jawab Jeffri, tidak mahu kalah.

“Aaron Aziz?” Haris berdekah. “Siapalah gamaknya perempuan rabun yang sanggup cakap macam tu?” Ejeknya.

“Menghina nampak?”

“Kalau kau macam Aaron Aziz mestilah ramai awek kau kan? Boleh aku tahu siapa awek kau sekarang?”

“Yang kau sibuk-sibuk nak tahu ni, kenapa? Aku bukan jenis jantan yang suka tayang-tayang awek depan orang lain tau.”

“Hmm... yalah tu!” tingkah Haris sambil membawa dua mug berisi Nescafe panas. Satu mug dihulurkannya ke arah Jeffri. Kemudian, dia membawa diri ke meja makan.

“Apartmen kau ni apa pun tak ada, Ris. Roti sekeping pun tarak!” gerutu Jeffri.

“Normallah tu, rumah orang bujang. Lainlah kalau aku dah ada isteri nanti. Lagipun pertengahan bulan macam ni poket dah makin kontang. Duit gaji sebahagian besarnya habis buat bayar hutang. Ni adalah sikit saki-baki yang tinggal, cukup sekadar nak beli mi segera.” Haris tergelak kecil pula. Seolah-olah poket yang mengering dan duit gaji yang sudah hampir habis, satu persoalan yang lucu untuk diperkatakan.

“Gaji RM3000 lebih pun tak cukup jugak?”

“Hey kawan, ini Kuala Lumpur, kota Metropolitan. Kalau setakat RM3000 lebih sebulan manalah cukup? Dengan hutang keretanya, sewa apartmen... makan minum, belanja aweks lagi, eeiii.. tarak cukuplah, bro. Lainlah kau, menumpang rumah emak bapak! Kurang-kurangnya jimat budget sikit. Ataupun anak orang kaya macam si Eiz, ni!” ujar Haris sambil melontar pandang ke arah lelaki yang sedang menumpang tidur di atas kusyen panjangnya.

Lena sungguh Eizhan tidur, bagaikan seorang putera raja yang sedang beradu. Cinderella manakah yang menyapa mimpimu, Eiz? Hati Haris menyoal dengan rasa iri.

“Menghina nampak?” terjah Jeffri.

“Aku bukan menghina. Ni realiti, kebobrokan hidup di kota!”

Jeffri terdiam. Ada betulnya kata-kata yang baru terlontar dari mulut Haris seketika tadi. Dia yang tinggal dengan ibu dan ayahnya dapat berjimat terutamanya dalam soal makan minum. Ibu bapa mana yang sanggup berkira dengan anak-anak? Pun begitu, dia tetap pastikan sebahagian kecil gajinya diasingkan untuk si ibu setiap kali selepas mendapat gaji.

“Eh, Jeff, siapa girlfriend Eiz sekarang?” soal Haris setelah menyisip Nescafenya yang mula menyejuk.

Jeffri jungkit bahu.

“Manalah aku tahu!”

“Kau kan kawan baik dia. Penyelamat merangkap Superman si Eiz!” Haris menyindir. Sinis.

“Hampeh kau, Ris!”

Haris berdekah.

“Takkan kau tak kenal siapa girlfriend Eiz sekarang? Masih lagi Jasmina yang seksi tu ke?”

“Hmmm... agaknyalah, kut. Entah!” Ragu-ragu Jeffri menjawab.

Kalau benarlah Jasmina kekasih Eizhan, takkanlah perempuan tu sanggup membantai Eiz sebegitu rupa? Hatinya berkata-kata sambil mempertikaikan betapa ganasnya perempuan bernama Jasmina Jasman.

Luarannya nampak lembut, tapi bila naik ‘hantu’ macam malam tadi, teruk betul kelakuannya. Mujurlah aku ni belum ada teman wanita yang serius lagi. Yang ada sekarang setakat teman biasa saja.

Aduan daripada Jasmina lewat malam tadi yang mengadu bahawa Eizhan ada menyebut nama perempuan lain, menerpa semula ke ruang ingatan Jeffri. Siapakah nama perempuan yang disebut Eizhan sehingga mencetuskan rasa cemburu Jasmina?

Dia tahu lelaki yang terkedang lena di kusyen empuk itu mempunyai teman wanita keliling pinggang. Ramai juga perempuan yang telah dilukai hatinya oleh Eizhan. Dipergunakan sekadar teman untuk berseronok-seronok sahaja.

Tapi siapakah agaknya perempuan yang disebut-sebut namanya ketika Eizhan sedang meracau mabuk itu? Tentu perempuan itu amat bermakna dalam hidup Eiz, hatinya berbisik.

Tanpa diminta, memorinya mengimbas kembali senarai teman-teman wanita Eizhan yang pernah dikenalinya. Tiba-tiba satu wajah terpamer di ruang ingatannya. Diakah? Tidak! Tak mungkin dia, getus hatinya sambil segera berusaha memadamkan wajah yang terpamer di ruang ingatannya itu.

Tapi... argh!!! Kenapa sukar benar untuk dia mengenyahkan wajah yang tiba-tiba muncul itu? Dia nampak perempuan itu tersenyum ke arahnya. Seketika cuma. Sebentar kemudian, wajah perempuan itu berubah, marah. Membuntang matanya merenung ke arah Jeffri.

“Aku percayakan kau, Jeff. Tapi sanggup kau aniaya aku demi kawan baik kau tu? Kau dan jugak dia akan terima balasannya, Jeff. Tunggulah Jeff, balasan untuk kau orang berdua akan tiba tak lama lagi. Tunggu!!!”

Dia seolah-olah terdengar ugutan dan cemuhan perempuan itu. Perempuan yang pernah dia aniaya demi menyelamatkan teman baiknya.

Maafkan aku duhai gadis.

Maafkan aku!

KENAPA kau ni, Jeff?” soal Haris. Dia dapat melihat perubahan yang ketara pada wajah Jeffri.

“Errr... tak ada apa-apalah.”

“Aku tengok kau lain macam aje?”

Banyak tanya pulak balak ni, gerutu hati Jeffri.

“Aku tengah menahan ni!” Jeffri mengerutkan dahinya.

“Kau tahan apa?”

“Tahan hajat nak ke tandas.”

Haris berdekah.

“Hampehlah kau ni, Jeff! Kalau kau nak ke tandas, pergi ajelah. Tak payahlan nak tahan-tahan. Tandas aku bersih tau. Muntah kawan baik kau aje yang mengotorkannya. Kau pergilah cuci!”

“Hisy, dia bukan kawan baik akulah. Masa sekolah-sekolah dulu, ya. Sekarang ni kami bawa haluan masing-masing. Sorrylah aku nak ada kawan baik yang spoil macam dia!” Jeffri membela dirinya.

“Habis tu, yang kau sentiasa ada semasa dia dalam kesusahan?” perli Haris.

“Aku tolong dia kerana tu adalah tanggungjawab sosial aku. Menolong sesama insan kan suatu sikap yang murni.”

“Jeff, aku tengah susah ni. Aku nak mintak tolong sikit, boleh ke?”

“Kalau pasal duit, sorry!

“Basket!” sumpah Haris sambil berdekah.

“Baru kejap tadi telinga aku ni dengar kau kata menolong sesama insan suatu sikap yang murni. Apa aku salah dengar ke? Rasa-rasa akulah telinga aku ni belum pekak badak lagi!”

“Kau sendiri tau kan, income aku macam kau jugak, cukup-cukup makan aje. Kalau kau nak ‘paw’ kau ‘paw’lah pada tu, hah, Mat Romeo yang tengah tidur mati tu!” getus Jeffri sambil menuding jari telunjuknya ke arah Eizhan yang masih tertidur pulas.

“Haah, betul kata kau tu! Nanti bila dia dah bangkit dari kuburnya, aku akan ‘paw’ dia.” Balas Haris.

Mereka berdua berdekah. Kuat.

“Eh Jeff, apa yang kau buat kat disko tu malam tadi? Kau pun berseronok kat sana ke?” soal Haris setelah tawa mereka berdua reda.

Jeffri terdiam. Peristiwa di ruang tamu rumah keluarganya malam tadi menerbak semula ke ruang fikir.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.