Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
144,904
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

3

Milik siapakah gadis ini,

Wajah lembut bagaikan sutera,

Ingin hatinya kumiliki,

Apakan terdaya,

Apakah kan terdaya...

SEDARI tadi Lokman Azad memerhatikan gadis itu dari kejauhan dengan penuh minat. Kalau dulu jarang benar dia singgah di Farmasi Nusantara yang menjadi milik ayahnya itu tetapi kini entah mengapa, dia bagaikan didorong satu kuasa untuk singgah ke situ saban hari, saban ketika.

Apakah kerana dia?

Dilihatnya Nur Naziha lesu sahaja, tidak selincah biasa. Nur Naziha seolah-olah orang yang sedang menderita sakit. Dia ingin sekali menunjukkan keprihatinannya yang mendalam terhadap gadis yang diminatinya dalam diam itu. Tetapi menyedari dirinya sebagai anak kepada majikan tempat gadis itu mencari rezeki, dia cuba sedaya upaya untuk mengawal tingkah laku dan tutur katanya. Dia enggan memutikkan rasa tidak selesa di hati Nur Naziha terhadap dirinya.

Apatah lagi dilihatnya Nur Naziha bukanlah seperti gadis-gadis muda lain, yang bebas culas tingkahlaku mereka. Tidak kisah bergurau senda atau bertepuk tampar dengan lelaki yang bukan muhrim. Malah ada juga yang lebih berani daripada si lelaki itu sendiri.

Nur Naziha amat halus adabnya. Kata-kata yang terlontar dari bibirnya juga sopan dan memikat hati. Begitu juga ketika dia melayan pelanggan yang bertali arus ke farmasi tersebut, dengan penuh hormat dan bersopan.

Bukan dia seorang sahaja yang memuji Nur Naziha. Malah dia pernah dengar ayahnya yang jarang sekali memuji sesiapa turut menghamburkan pujian ke atas gadis itu. Lokman Azad masih ingat dengan jelas kata-kata Tuan Haji Saadun ketika mereka sekeluarga sedang mengadap hidangan minum petang di halaman rumah.

“Budak Ziha tu rajin orangnya. Dah empat bulan dia bekerja di farmasi kita tu, tak pernah sehari pun dia mintak cuti. Jauh bandingannya dengan si Murni, sebulan paling kurang dua hari mesti nak isi borang cuti. Lagi satu, kalau kita ajar... dia cepat tangkap.” Begitulah hamburan pujian yang pernah terlontar dari mulut Tuan Haji Saadun.

Dia nampak bagaimana ibunya, Hajah Hawa, merenung tajam ke arah ayahnya. Geli hatinya melihatkan renungan berbaur cemburu yang dilemparkan ibunya itu. Dalam usia senja begitupun ibunya masih sarat dengan cemburu terhadap si suami.

“Bukan main lagi abang aji memuji-muji budak baru tu! Ada apa-apa ke?” sembur Hajah Hawa, penuh sinis.

“Isy, awak ni Hawa! Tak habis-habis dengan sikap cemburu dan buruk sangka awak tu. Saya puji ni, ikhlas. Salahkah saya memuji pekerja saya yang dedikasi macam Ziha tu? Betulkan sikit fikiran awak yang senget tu. Hawa, awak tu dah dua kali ke Mekah mengerjakan ibadah Haji. Dah tiga kali pulak buat umrah tapi masih ada karat di sudut hati awak tu. Sikap buruk sangka tu cuba buang sikit!” Tuan Haji Saadun membidas, sengit.

“Bang aji oi, orang perempuan ni kalau sekali hatinya terluka, dia akan ingat sampai bila-bila tau! Mulut ni bolehlah memaafkan tapi hati... hati ni, belum tau lagi, bang aji oi!” Suara Hajah Hawa yang mula meninggi itu membuatkan selera Tuan Haji Saadun mahupun Lokman Azad yang sedang menjamah hidangan laksa pada petang itu, terasa berpasir.

“Dahlah tu, mak.” Lokman Azad cuba memujuk ibunya yang sudah masam mencuka.

“Tulah awak, hal yang dah 20 tahun lepas pun awak nak ungkit-ungkit balik!” Tuan Haji Saadun menghempaskan keluhannya. Kecewa dengan sikap si isteri yang asyik mengungkit kecurangannya yang lalu setiap kali mereka berbalah, terutamanya hal yang berkaitan dengan perempuan.

“Betul cakap ayah tu. Perkara yang dah lepas tu janganlah asyik diungkit-ungkit.” Lokman Azad bangkit lalu memicit-micit bahu Hajah Hawa untuk mengendurkan segala ketegangan yang menguasai diri perempuan itu.

“Benda yang dah lepas-lepas tulah yang kita jadikan panduan, jadikan iktibar supaya tak berulang lagi!” suara Hajah Hawa masih kasar dan garang.

Tuan Haji Saadun tergeleng-geleng.

“Saya ni dah tua. Dah tak minat lagi hal-hal tentang perempuan ni. Sekarang ni saya nak tumpukan pada amal ibadat dan farmasi kita tu aje. Awak janganlah bimbang, ya sayang,” getusnya dengan nada sinis untuk memujuk hati isterinya.

Usikannya itu disambut dengan gelak ketawa Lokman Azad. Sementara itu, Hajah Hawa terus memuncung.

Nak tanya ke tak ni, getus hati Lokman Azad setelah fikirannya beralih kepada kelibat Nur Naziha semula. Kalau dituduhnya aku penyibuk macam mana? Malu aku nanti, hatinya berbelah bahagi. Ah, tanya ajelah, putus hatinya.

“ZIHA!”

Panggilan itu membuatkan gadis yang sedang membelakangkan kaunter bayaran segera berpaling. Matanya bersabung pandang dengan sepasang mata galak milik jejaka bernama Lokman Azad. Dia tersenyum nipis ke arah si jejaka, cukup sekadar untuk menghormati Lokman Azad sebagai seorang lelaki yang lebih berusia daripada dirinya juga merangkap anak majikannya.

“Dari tadi lagi abang perhatikan Ziha. Abang tengok Ziha lesu aje. Ziha tak sihat ke?” soal Lokman Azad dengan penuh prihatin ke arah gadis bertudung rona biru lembut yang tegak memandangnya.

Nur Naziha menggeleng. “Tak adalah, bang! Ziha sihat.”

“Kalau sihat, maknanya Ziha penatlah tu. Ziha nak balik awal ke? Kalau Ziha rasa penat sangat pergilah balik, abang izinkan. Lagipun Murni kan ada. Dia boleh tolong abang kat sini. Sementara tu, abang boleh jaga kaunter.” Usul Lokman Azad dengan kadar segera.

“Betul tak, Murni?” getus jejaka itu lagi sebelum sempat Nur Naziha membuka mulut untuk menjawab.

“Ya, betul!” sahut Murni yang berada di belakang rak yang menempatkan pelbagai alat solek berjenama, tidak jauh daripada mereka berdua bersembang.

Mata Lokman Azad yang tajam menikam kembali ke wajahnya membuatkan Nur Naziha penasaran. Jauh di sudut hatinya, dia dapat rasa pada renungan yang tajam menikam itu; ada maksud yang dalam, terpendam... juga tersembunyi!

Hati kecilnya dapat rasa bahawa jejaka itu mula menaruh minat terhadap dirinya sejak kebelakangan ini. Lokman Azad yang pada mulanya tidak pernah berminat dengan segala urusan di Farmasi Nusantara tiba-tiba sahaja sering mencuri-curi secebis daripada masanya yang sentiasa padat dan berharga untuk berada di farmasi itu.

Untuk apa lagi kalau bukan untuk berada hampir dengan Nur Naziha?

Keprihatinan dan kemesraan dalam tutur bicara yang dilontarkan ke arah Nur Naziha juga membuatkan sesiapa sahaja dapat menerbak apa yang bersarang di sudut hati Lokman Azad terhadap gadis itu. Sudah tentulah minatnya yang mendalam terhadap Nur Naziha.

Malah, Nur Naziha sendiri dapat rasakan bahawa renungan yang sering dilontarkan Lokman Azad terhadap dirinya berlainan benar daripada lirikan jejaka itu terhadap Murni ataupun mana-mana wanita lain yang sering berurusan di farmasi itu. Nur Naziha tahu bahawa renungan yang dilemparkan ke arahnya penuh dengan rasa minat yang mendalam serta membawa maksud yang tersembunyi. Sedangkan lirikan yang sering dilemparkan pada Murni ataupun mana-mana perempuan lain yang pernah berurusan di farmasi itu, lebih berupa pada sebuah lirikan yang tidak mempunyai maksud apa-apa.

Sebagai seorang perempuan yang semakin matang berdepan dengan pancaroba di dunia ini, Nur Naziha cukup arif dengan renungan yang sebegitu rupa. Kerana suatu ketika dahulu dirinya juga pernah direnung sebegitu; dengan sebuah renungan yang tajam dan cukup bermakna!

“Ziha? Kenapa diam aje? Macam mana? Nak balik awal ke tak?” Lokman Azad menyoal ketika dilihatnya Nur Naziha hanya tertegak di belakang kaunter bayaran.

“Errr... tak apalah, bang. Lagipun susah nak dapat teksi waktu-waktu macam ni.” Sahut Nur Naziha sambil pura-pura merenung jam yang tersarung di lengan kanannya yang mengkal, mulus lagi cantik.

Tidak hairanlah segala-galanya yang terpamer pada sekujur diri Nur Naziha itu kelihatan cantik dan mengkal belaka kerana usianya yang masih lagi muda belia.

Jawapan yang meluncur dari bibir Nur Naziha membuatkan Lokman Azad terdiam seketika. Hatinya dibasahi rasa belas kasihan yang teramat pada Nur Naziha tetapi dia tidak berani meninggalkan Murni keseorangan di farmasi. Kalau tidak sudah lama dia menawarkan diri untuk menghantar gadis itu pulang ke rumah.

“Kalau Ziha tak larat, rehat ajelah kat surau. Nanti apa pulak kata pelanggan kita bila tengok Ziha lesu aje macam tu!” usul Lokman Azad. ‘Surau’ di Farmasi Nusantara bermaksud sebuah bilik kecil di bahagian belakang premis itu yang digunakan sebagai bilik untuk solat dan juga stor.

“Dia orang nak cakap apa pulak?”

“Yalah... Ziha kan bekerja di farmasi yang dipenuhi segala macam ubat-ubatan dan vitamin. Sepatutnya orang yang bekerja di farmasi ni sihat dan cergas. Apa agaknya mereka akan fikir bila tengok muka Ziha yang macam orang sakit tu?”

“Ziha bukannya sakit!” Tanpa diduga Nur Naziha mengangkat suaranya. Kemudian dia termalu sendiri kerana selama ini tidak pernah sekalipun dia meninggikan suaranya pada Lokman Azad.

“Hmm... kalau Abang Azad benarkan, Ziha nak rehat sebentar kat surau.” Akhirnya dia mengalah.

Memang sekujur tubuhnya lesu. Bukan kerana demam ataupun diserang penyakit, cuma penanggungan biasa yang dialami oleh kebanyakan kaum wanita setiap bulan.

“Pergilah rehat, Kak Ziha. Jangan risau, Murni dan Abang Azad ada ni.” Murni yang sejak tadi hanya berdiam diri tiba-tiba menyampuk.

Nur Naziha mengorak senyum nipisnya ke arah Lokman Azad sebelum meninggalkan kaunter menuju ke surau.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.