Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
144,890
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

14

SERONOK tak mandi tadi, Dwan?” Shazlynn bertanya kepada anak kecil yang duduk di sisinya dalam teksi. Ketika itu mereka dalam perjalanan pulang setelah puas berada di taman Suria KLCC.

“Seronok! Nanti kita pergi lagi ya, Kak Lynn.”

“Boleh. Kalau Kak Lynn ada masa lapang nanti, kita pergi lagi ya sayang.” Janji Shazlynn.

“Yang penting, Dwan tak lari-lari lagi kat taman macam tadi. Kalau hilang nanti Kak Lynn jugak yang susah tau, nak kena menjawab dengan mama dan papa Dwan.” Sambung Shazlynn, mengingatkan kanak-kanak yang lasak dan tidak boleh duduk setempat itu.

“Ada orang nak kidnap Dwan ke, Kak Lynn?” Mata bening Dwan merenungnya.

Shazlynn tergelak kecil. Comel sungguh si Dwan ni, bisik hatinya.

“Manalah tau! Dwan ni kan comel. Ramai orang yang suka tengok Dwan tau.”

Uncle handsomekat KLCC tadi pun kata Dwan comel.”

Shazlynn mencubit manja dagu anak kecil itu.

“Iya, sayang. Dwan memang comel. Semua orang suka dan sayang sangat kat Dwan.”

“Betul ke semua orang sayang kat Dwan?”

“Hee... betullah! Semua orang sayang kat Dwan. Papa, mama, Kak Lynn... semuanya sayang sangat kat si bobot ni!” sakat Shazlynn. Dia memanggil Dwan ‘bobot’ kerana pipinya yang agak tembam.

“Jangan panggil Dwan bobotlah!” Tiba-tiba anak kecil itu meninggikan suaranya.

“Aik, marah nampak?”

“Dwan tak suka!”

“Kalau macam tu Kak Lynn panggil Dwan, Manje, boleh tak?” sakat Syazlynn lagi.

“Tak boleh!”

“Ala... kenapa tak boleh? Dwan kan manja sangat dengan Kak Lynn?”

“Dwan kata tak boleh, tak bolehlah!”

“Okey... okey, sayang. Kak Lynn minta maaf.” Shazlynn ketawa gelihati melihatkan wajah Dwan yang sudah mula memuncung. Merajuklah tu, bisik hati kecilnya.

“Kak Lynn boleh tolong Dwan tak?” Tiba-tiba anak berusia lima tahun itu memegang tangan kiri Shazlynn.

“Tolong apa?”

“Dwan letihlah. Esok Dwan tak nak pergi sekolah. Kak Lynn bagitau mama ya.” Pintanya.

“Mama suka paksa Dwan pergi sekolah.”

Shazlynn ketawa kecil.

“Kita kenalah rajin-rajin pergi sekolah, Dwan. Kalau malas ke sekolah, nanti tak pandai. Dwan tentu nak jadi anak yang pandai kan?”

“Tapi hari ni Dwan letihlah. Esok Dwan nak bangun pukul 10.00. Tak nak pergi sekolah.”

“Amboi! Sorry ya, Kak Lynn tak boleh tolong. Mama Dwan tu garang orangnya.”

“Hemmph!” Dwan menghempaskan keluhan. Wajahnya memuncung, menandakan gelodak hati yang tidak puas.

“Mama tak macam ibu!” getus Dwan perlahan namun didengari jelas oleh Shazlynn.

“Dwan, mama Dwan buat macam tu untuk kebaikan Dwan jugak. Mama Dwan nak Dwan jadi budak yang pandai. Tengok Kak Lynn ni, kenapa Kak Lynn boleh belajar sampai ke kolej? Sebab masa kecil-kecil lagi Kak Lynn rajin ke sekolah.”

“Tapi Dwan penat!” Dwan menghentakkan suaranya di dalam perut teksi itu.

“Kalau macam ni, lain kali Kak Lynn malaslah nak bawak Dwan jalan-jalan lagi.”

Emosi kanak-kanak cukup terganggu kalau diugut. Dan, ugutan yang terkeluar dari mulut Shazlynn seketika tadi membuatkan Dwan terdiam dan mematung di tempat duduknya. Shazlynn rasa bersalah kerana telah meninggikan suaranya terhadap anak kecil itu.

“Okeylah, Dwan punya pasal Kak Lynn akan cuba pujuk mama Dwan. Tapi kalau mama Dwan nak jugak Dwan ke sekolah esok, Kak Lynn tak boleh buat apa-apa.” Akhirnya gadis itu bersuara.

Dwan masih diam.

ZAIRA menyambut kepulangan Shazlynn dan Dwan di muka pintu. Anak kecil yang masih terasa hati dengan ugutan Shazlynn di dalam teksi tadi menonong masuk ke rumah dengan wajah yang masam mencuka. Kemudian, dia terus masuk ke biliknya dan mengunci pintu dari dalam.

“Kenapa dengan Dwan tu, Lynn?” soal Zaira yang pelik melihatkan tingkah laku Dwan.

Shazlynn segera menceritakan perbualannya bersama Dwan di dalam teksi tadi.

“Cantik muka dia tak nak pergi sekolah!” Zaira mendengus.

“Ala aunty, biarkanlah dia berehat sehari kat rumah.”

“Masalahnya Lynn, siapa yang nak jaga dia kat rumah? Esok auntyada pitching kat RTM jam 10.00 pagi.”

“Oh, iya ke? Semakin hebatlah aunty ni, ya.” Shazlynn memuji.

Zaira tersenyum lebar. “Alhamdulillah, Lynn. Lynn tengok tak slot Cerekarama TV3 minggu lepas?”

“Cerita Langit Senja tu? Aunty ke yang tulis skripnya?”

Zaira mengangguk. Jelas ada riak bangga terpapar pada wajahnya.

“Lynn ada tengok, tapi dah separuh. Tak perasan pulak yang aunty penulis skripnya. Esok pulak ada pitcing kat RTM. Slot apa?”

“Sitkom remaja. Entahlah Lynn, sejak akhir-akhir ni banyak pulak rezeki yang datang.”

“Rezeki anak tu, aunty. Rezeki Dwan! Ucapkanlah syukur alhamdulillah pada Allah yang dah berikan rezeki melimpah ruah pada auntydan uncle. Sejak Dwan hadir di rumah ni, kehidupan auntydan uncleberubah sangat. Makin meriah. Rezeki pulak datang dari segenap arah. Ni bukan Lynn yang cakap tau, aunty, tapi ibu Lynn yang cakap.”

“Macam nilah aunty, apa kata kalau esok aunty bawa aje Dwan ke RTM. Dwan pun dah besar. Takkan dia nak buat hal pulak.” Shazlynn memberikan cadangannya.

“Kau tak boleh ke jaga Dwan sementara auntyke RTM, Lynn?”

“Tak boleh, aunty. Esok Lynn ada kelas jam 8.30 pagi. Takkan Lynn nak tuang kelas pulak.”

“Hai, susahlah budak Dwan ni!” hempuk Zaira.

Aunty tak kira, esok dia mesti ke tadika. Kalau dia degil jugak, kena rotanlah dia nanti!”

“Err...”

“Dah! Dah tu, Lynn!” Zaira menggawang-gawangkan tangannya ke arah Syazlynn.

Aunty tak nak dengar apa-apa pun dari mulut kau lagi. Dia tu budak lasak, kau tau tak. Tak boleh duduk diam. Susah nak kawal. Minggu lepas masa aunty bawak dia ke The Curve, nyaris-nyaris dia hilang tau masa aunty tengah cuba baju. Mustahil aunty akan bawak dia ke RTM esok.” Panjang bebelan Zaira.

“Janganlah sampai merotan, aunty. Rosak emosi Dwan nanti. Dia kecil lagi.” Shazlynn cuba menasihati.

Dia membayangkan wajah sedih Dwan. Dan, dia teringat kata-kata yang terlontar dari mulut anak itu ketika mereka masih di dalam teksi tadi; - “...mama tak macam ibu!” Tiba-tiba dia rasa kasihan pada anak kecil itu.

“Masa kecil nilah kita nak didik dia, Lynn. Nak disiplinkan anak nilah masa dia masih rebung. Bila dah jadi buluh nanti, nak lentur pun dah susah. Patah terus adalah!” Zaira menegakkan pendapatnya.

“Terpulanglah pada aunty. Diakan anak aunty.” Sahut Shazlynn yang sudah malas hendak bertekak panjang dengan Zaira. Nampak sangat kedegilan perempuan itu.

“Ibu Lynn nak datang jemput Lynn pukul berapa?” Zaira mengalihkan topik perbualan mereka.

“Ibu janji nak datang lepas Asar. Lynn tumpang mandi dan solat Asar kat sinilah ya, aunty.

Zaira ketawa. “Macam tak biasa pulak Lynn ni. Masa kau orang berdua berseronok di KLCC tadi, aunty sempat masak spageti. Nanti aunty bungkuskan untuk Lynn bawa balik.”

“Yeah, spageti memang kegemaran Lynn!” Shazlynn berteriak.

DWAN ke mana, Lynn? Dia langsung tak jengah muka pun masa kita nak balik tadi?” Ibu Hartini menghentakkan pertanyaan kepada anak perempuannya.

“Dwan merajuk. Dia kunci dirinya dalam bilik.”

Ibu Hartini yang sedang memandu menoleh sekilas ke arah Shazlynn di sisinya. Berkerut keningnya.

“Apa halnya Dwan merajuk sampai macam tu sekali?”

“Dia merajuk dengan Lynn.” Lalu gadis itu menceritakan tentang helah Dwan yang awal-awal sudah merancang untuk ponteng ke sekolah esok lalu meminta pertolongannya untuk memujuk mamanya.

“Dia merajuk sebab Lynn ugut dia. Lynn cakap lain kali Lynn tak nak bawa dia jalan-jalan lagi kalau dia jadikan alasan penat berjalan sebagai penyebab untuk ponteng ke tadika.”

Ibu Hartini ketawa kecil. “Budak-budak sekarang, kecil-kecil lagi dah pandai buat helah. Tapi tindakan Lynn yang ugut dia tu kurang wajar. Emosi kanak-kanak ni cukup sensitif apabila diugut oleh orang yang disayanginya. Habis tu, apa Lynn cakap pada AuntyZaira?”

“Lynn cakaplah dengan aunty yang Dwan penat dan esok tak nak ke tadika. Tapi macam-macam pulak alasan Aunty Zaira. Dia kata pagi esok dia kena ke RTM, ada pitchinglah. Lynn cadangkan supaya dia bawa Dwan bersama tapi katanya tak boleh. Dia kata Dwan lasak, takut tak boleh kawal masa dia sibuk pitching tu nanti. Lepas tu aunty suruh Lynn pulak jadi babysitter untuk Dwan. Of courselah Lynn cakap tak boleh sebab esok Lynn ada kelas pagi.”

Ibu Hartini angguk. “Memang wajarlah Lynn tolak. Takkan nak tuang kelas pulak.”

“Kesian pulak Lynn pada Dwan tu, ibu. Mungkin dia betul-betul penat. Kadang-kadang kalau kita nak demam, badan kita memang rasa penat kan?” Adu Shazlynn. Matanya lurus ke hadapan ke arah jalan raya yang terbentang.

“Lepas Lynn tolak cadangan Aunty Zaira untuk babysitDwan tu, apa katanya?”

Aunty Zaira kata, dia nak paksa jugak Dwan ke tadika.”

“Hmm... tak apalah. Malam nanti ibu nak telefon Aunty Zaira. Kalau dia benarkan, esok pagi-pagi ibu boleh jemput dan bawa Dwan kemari.”

“Iya ke, bu? Mesti Dwan seronok.” Shazlynn berkata.

Ibu Hartini tersenyum nipis.

“Tapi tak boleh dibuat selalu. Nanti Dwan terbiasa pulak dan asyik nak ponteng sekolah aje. Hmm... mungkin betul agaknya apa yang Lynn cakap tadi, Dwan tu sebenarnya kurang sihat.”

Shazlynn mengangguk laju.

“Dia lasak betul masa kat taman Suria KLCC tadi. Teruk jugaklah Lynn jaga dia.”

“Mana ada budak yang tak lasak, Lynn. Entah-entah anak Lynn nanti lebih lasak daripada si Dwan tu.” Ibu Hartini sempat mengusik.

“Isy, ibu ni!”

“Kenapa marah pulak? Itu kan lumrah hidup bagi seorang perempuan. Bila sampai masanya, akan disunting orang dan mempunyai anak-anaknya sendiri. Betul tak?” getus Ibu Hartini ke arah anak gadisnya.

Shazlynn senyum mengulum. Tanpa diketahui oleh ibunya, dia membayangkan wajah seorang jejaka kacak yang ditemuinya pagi tadi.

Apakah hati sang arjuna itu masih kosong, masih belum terisi seperti hatinya sekarang? Dan, jika hati sang arjuna itu masih belum diisi dengan sebuah cinta, apakah dirinya akan dipilih untuk mengisi kekosongan itu?

“Siapa jejaka malang tu? Satu course dengan Lynn ke?” Senyuman yang masih bersisa di bibirnya itu bisa diterbak oleh ibunya yang terlebih dahulu makan garam dari dirinya.

“Err...” Shazlynn tergagap.

Ibu Hartini ketawa kecil.

“Lynn tau kan ibu tak pernah halang Lynn berkawan dengan sesiapa aje yang Lynn suka. Asalkan Lynn pandai jaga diri. Satu aje ibu nak pesan, maruah itu amat penting nilainya bagi seorang gadis. Sekali tergadai, takkan dapat ditebus kembali walau dengan air mata darah sekalipun. Lynn faham kan?” tekan Ibu Hartini.

“Insya-ALLAH, Lynn akan sentiasa ingat pesan ibu.”

“Ibu rasa tak perlulah ibu bicarakan panjang-panjang hal ni dengan Lynn. Lynn sendiri dah saksikan keadaan gadis-gadis yang hamil luar nikah kat Teratak Damai tu. Mereka dipinggirkan keluarga sendiri. Dituduh menconteng arang ke muka keluarga. Disebabkan malu, anak-anak gadis yang dah memboyot perutnya tanpa suami ini dihantar ke Teratak Damai hingga mereka selamat melahirkan.”

“Ada yang bernasib baik, diterima pulang ke pangkuan keluarga lepas selamat melahirkan anak. Dan ada pulak yang dibuang terus oleh keluarga. Yang paling menyedihkan ialah apabila ada keluarga yang sanggup pisahkan bayi yang baru dilahirkan tu daripada ibu kandungnya sendiri.” Ibu Hartini yang juga pengasas rumah perlindungan untuk wanita yang dinamakan Teratak Damai, mengeluh perlahan selepas menuturkan kata-kata itu.

Sebagai seorang ibu, dia dapat menyelami kebimbangan yang bertapak di hati setiap ibubapa yang mempunyai anak-anak gadis di rumah mereka. Sedikit sahaja alpa, anak-anak gadis mereka mungkin tergelincir daripada landasan yang lurus. Seterusnya, menconteng arang ke muka orang tua.

Sememangnya dunia remaja kini banyak sekali pancarobanya. Penuh dengan dugaannya. Budaya songsang yang kebanyakannya diimport dari Barat ini disalurkan secara meluas melalui media cetak juga elektronik. Remaja yang lemah imannya akan mudah terpengaruh dengan budaya negatif ini. Malah sejak akhir-akhir ini, kes buang bayi, remaja melahirkan anak luar nikah atau terlibat dengan dadah dan merempit kelihatan amat berleluasa seterusnya menambahkan kebimbangan ibu bapa ke tahap yang hakiki.

“Ibu janganlah risau. Lynn takkan buat benda-benda yang ibu tak suka. Lynn janji!” tegas Shazlynn sambil melirik manja ke arah ibunya.

Ibu Hartini tersenyum. Senang hatinya mendengar ikrar yang terluah dari mulut anak gadisnya itu. Shazlynn anak yang baik. Semoga Shazlynn tak mungkir janji, bisik hatinya.

Namun, tiada siapa yang dapat menerbak kebimbangan yang melayut di sudut hati seorang ibu sepertinya.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.