22
Dayana
melangkah masuk ke ruang banglo dengan hati yang lebih lega dan sedikit riang.
Dia lega setelah Eizhan kini berada di rumah. Dia riang kerana baru seketika
tadi dia menghabiskan masanya yang berharga bersama jejaka yang sudah mula
menambat hatinya.
Hatinya
yang dahulu sunyi, kini telah mula terisi. Walaupun mungkin hubungan di antara
seorang perempuan dengan lelaki yang jauh lebih muda usianya masih lagi
dianggap luar biasa dalam masyarakat Melayu tetapi dia bertekad untuk
mengakhiri hubungan itu dengan menyerahkan dirinya sebagai isteri Jeffri suatu
hari kelak. Lagipun jejaka itu sudah banyak menolong dirinya selama ini dalam
hal yang berkaitan dengan Eizhan.
Langkahnya
terhenti ketika melihat kelibat Eizhan di tangga. Renungan mata jejaka itu
dirasakannya begitu tajam menikam ke wajahnya. Dia gelisah kerana gagal
mentafsir renungan seumpama itu. Apakah Eizhan masih marah pada dirinya yang
dianggap sebagai seorang mama yang suka mengongkong anaknya? Atau, Eizhan telah
terlihat sebabak kemesraannya dengan Jeffri di laman seketika tadi? Dia lebih
ngeri memikirkan situasi yang kedua daripada yang pertama. Dia masih belum
bersedia untuk berterus-terang dengan Eizhan tentang hubungannya yang sedang
terjalin dengan Jeffri.
Dengan
segala susah payah dia melebarkan senyuman ke arah Eizhan. Langsung tidak
berbalas.
“Eiz masih
marah dengan mama?” Dia cuba untuk berkomunikasi dengan Eizhan walaupun belum
tentu lagi jejaka itu mahu melayannya.
“Mama
minta maaf, okey. Lepas ni, mama janji mama akan ubah sikap. Mama akan cuba
untuk lebih memahami Eiz.” Dia menuturkannya walaupun belum tentu lagi dia akan
mempraktikkannya.
Eizhan
tidak menjawab. Dia melangkah turun lalu duduk di kusyen tenggelam punggung. Dayana
mengekorinya lalu duduk di sisi Eizhan.
“Eiz, apa
kata kalau kita berdua lebih memahami antara satu sama lain? Selama ni kita
selalu bertengkar. Tapi kalau kita sama-sama mencuba, tentu hubungan kita akan bertambah
baik. Cuma Eiz kenalah ubah sikap.”
“Apa aje
yang Eiz buat tak kena di mata mama kan? Tapi apa yang mama buat semuanya
betul!” sergah Eizhan sambil menuding jari ke arah Dayana.
“Eiz!”
“Apa
hubungan mama dengan Jeff? Terangkan pada Eiz sekarang!” Eizhan menghentak
soal.
“Err...
hmm...” Dayana tergagap-gagap.
“Kat luar
tadi, bukan main mesra lagi Eiz tengok? Dah pupus ke jantan yang usianya sebaya
mama sampaikan dengan Jeff pun mama nak bermesra?”
“Eiz
jangan salah sangka. Mama dengan Jeff tak ada apa-apa.”
“Macamlah
mata Eiz ni dah buta. Oh, mama boleh bercinta dengan sesiapa aje yang mama suka
walaupun lelaki tu sebaya usianya dengan anak mama ni? Eiz pulak dinafikan hak
untuk mencintai perempuan yang Eiz suka?” Tinggi nada suara yang terlontar dari
mulut Eizhan terhadap mamanya.
“Mama tak
pernah halang hubungan Eiz dengan Jas. Go
ahead, kalau Eiz dah ready sangat
nak jadikan Jas isteri Eiz, bila-bila masa aje mama boleh masuk meminang dia!”
Suara Dayana juga sudah mula meninggi. Sudah tidak tahan dia diherdik-herdik
anaknya sendiri. Kalau diikutkan marahnya mahu sahaja disumbat masuk semula
anak kurang ajar itu ke dalam rahimnya. Biar padan muka!
“Bukan Jas
yang Eiz maksudkanlah!”
“Habis,
kalau bukan Jas, siapa lagi? Ada perempuan lain ke selain Jas? Oh, begitu
rupanya. Mama tak kisah, Eiz. Dengan siapa pun Eiz nak bercinta, mama tak
kisah. Mama sanggup pinangkan kalau memang Eiz serius dengan dia.” Dayana
memberikan jaminannya. Ternyata dia sudah penat bertelagah dengan anaknya
sendiri.
Eizhan
menarik nafas panjang. Dia malas hendak memanjangkan perbualan tentang hal
dirinya. Ternyata itu taktik mamanya yang hendak mengelakkan dirinya daripada menjawab
soalan tentang hubungannya dengan Jeffri.
“Mama
jangan cuba nak mengelak lagi. Apa hubungan mama dengan Jeff?” soal Eizhan
sambil memaparkan imej bosan pada wajahnya.
“Sebenarnya
kami... kami sedang bercinta.” Akhirnya terburai juga sebuah pengakuan dari
mulut Dayana. Wajahnya kemerah-merahan menahan malu.
“Eiz! Eiz
nak ke mana tu?” Dia terpanggil-panggil tatkala melihat Eizhan bingkas bangun
lalu melangkah pantas ke arah pintu.
Walaupun
tahu ke mana hala tuju anaknya tetapi Dayana tidak mampu berbuat apa-apa. Dia hanya
menanti kepulangan Eizhan dengan dada yang bergemuruh dek debaran.
“JEFF!!!” Eizhan
melaungkan nama itu. Tanpa peduli untuk mengucapkan salam kepada tuan rumah,
dia melangkah masuk.
Di ruang
tamu, dia lihat Jeffri sedang enak-enak mengadap kopi pekat dan bihun goreng
dengan ibu serta adik perempuannya.
“Abang Eiz,
marilah minum dengan kita orang.” Umaira bersuara.
“Ya, Eiz.
Marilah minum.” Puan Habibah pula mempelawa. Sedangkan Jeffri hanya mendiamkan
dirinya.
Melihatkan
ibu dan adik Jeffri turut berada di situ, Eizhan cuba sedaya upaya untuk
menenangkan hatinya. Dia tidak mahu bikin kecoh di depan mereka. Biarlah dia
menyelesaikan hal itu dengan Jeffri sahaja.
Dia
sengaja duduk di depan Jeffri. Tajam matanya merenung jejaka itu, jejaka yang
kini sedang menjalin hubungan cinta dengan mamanya yang jauh lebih berusia. Dia
seolah-olah tidak percaya akan pengakuan mamanya seketika tadi. Pelik pun ada!
Macam mana mama sanggup bercinta dengan lelaki yang sebaya dengan aku?
Dia datang
ke rumah itu untuk mendapatkan kepastian daripada Jeffri sendiri. Jeffri itu
dulu merupakan kawan baiknya. Mereka pernah belajar satu sekolah dan dalam satu
kelas. Macam manalah dia hendak menerima hakikat bahawa lelaki itu bakal
menjadi bapa tirinya?
“Jemput makan, Eiz.” Pelawa Puan Habibah
sambil menghulurkan pinggan kecil berisi bihun ke arahnya.
“Terima
kasih, Mak Bibah.” Sahutnya sambil mencapai bihun yang dihulurkan itu.
“Sama-sama.”
“Abang Eiz
nak rasa sambal bilis ni tak?” soal Umaira pula. Terlebih mesra.
Dia
menoleh ke arah pinggan berisi sambal ikan bilis yang kelihatan merah
menyelerakan itu. Tetapi seleranya terbantut sebaik sahaja melihat
ketulan-ketulan petai di dalamnya. Dia tidak makan petai, busuk!
“Tak
naklah.” Katanya.
“Abang tak
suka petai, ya? Sedap tau sambal bilis campur petai ni.” Umaira galak bersuara.
“Maira,
orang tak suka kita jangan paksa-paksa.” Puan Habibah menyampuk.
“Eh,
kenapa tengok aje bihun tu, Eiz? Makanlah.”
“Yalah.”
Sahut Eizhan sambil mengharapkan kedua-dua orang perempuan penyibuk itu segera
berlalu dari situ dan meninggalkannya bersendirian dengan Jeffri.
Setelah
lama menunggu, barulah Puan Habibah dan Umaira meninggalkan mereka untuk menuju
ke dapur. Itulah saat yang ditunggu-tunggunya.
“Jeff, aku
ada hal nak tanya kau ni,” katanya. Pinggan yang telah licin isinya diletakkan
di atas meja kopi.
Jeffri
menoleh ke arahnya.
“Apa
halnya?”
“Assalamualaikum.
Eh, Eiz pun ada kat sini?” Suara Encik Alwi kedengaran di muka pintu.
Eizhan
mengeluh. Hajatnya untuk bertanya kebenaran hubungan di antara mamanya dengan
Jeffri terbantut lagi.
“Ya, Pak
Alwi. Eiz dah lama kat sini. Dah habis pun sepinggan bihun dan secawan kopi
pekat. Eiz minta diri dululah, ya.”
“Eh,
kenapa pulak cepat-cepat nak balik, ni? Pak Alwi baru aje sampai. Belumpun
sempat berborak dengan Eiz lagi.” Sanggah Encik Alwi.
Jeffri
melontar pandangan ke arah Eizhan. Dia juga naik pelik melihatkan kelakuan
pemuda itu.
“Apa yang
kau nak tanyakan pada aku, Eiz?” soal Jeffri.
“Ah, lain
kali ajelah. Dinner malam ni mama
yang masak. Kalau kau nak joinkami,
datanglah.” Getusnya sambil tersenyum sinis ke arah Jeffri.
Usai
mengucapkan kata-kata itu, dia melangkah pantas meninggalkan ruang tamu rumah
keluarga Encik Alwi.