Home Novel Thriller/Aksi Epidemik T
Bab 10 Kesedihan

8.00 pagi, 1 April 2013

Ruftup SMKDO

Rancangan Azim yang mahu meninggalkan ruftup itu ranap. Ratusan pelajar SMK Dato’ Onn yang sudah bertukar menjadi zombi sedang membanjiri setiap anak tangga.

“Tutup pintu tu Azim!” teriak Syamir memberi arahan. Azim mengangguk lalu kembali mengunci pintu yang membawa mereka ke ruftup.

“Syamir! Cari benda yang boleh digunakan untuk menahan pintu ni,” teriak Azim pula.

Syamir melilau melihat sekelilingnya. Ada timbunan meja yang tidak lagi digunakan tidak jauh darinya. Kemudian, Syamir memasukan tapak tangannya ke dalam poketnya lalu menemui Sellotape yang masih belum digunakan.

Tiba-tiba sahaja Syamir mendapat satu akal. Matanya ditalakan ke arah pagar besi yang di bina mengelilingi kawasan ruftup itu kemudian kembali ke arah pintu yang sedang ditahan oleh Azim. Tanpa membuang masa, Syamir berlari ke arah timbunan meja tadi lalu mengangkatnya.

“Kau buat apa tu?” tanya Azim.

“Kau tengok aje,” kata Syamir yang meletakkan sebuah meja di hadapan Azim. Kemudian, Syamir menyusun meja itu beberapa tingkat. Sellotape digunakan untuk membalut bahagian meja yang bercantum antara satu sama lain. Kemudian, sisa sellotape yang tingal digunakan oleh Syamir untuk melekatkan meja tadi dengan bahagian sisi pintu yang menghubungkan ke kawasan ruftup. Syamir kelihatan membentuk sebahagian sellotape yang ada seperti tali lalu menyambungkan meja tadi dengan pagar besi yang mengelilingi kawasan ruftup itu bagi menguatkan meja yang dijadikan penghadang.

“Beres!” kata Syamir sambil menepuk-nepuk tangannya. Azim pula terduduk keletihan.

“Boleh tahan ke rancangan kau ni?” tanya Azim. “Sellotape? Kenapa tak benda lain?” tanya Azim.

Syamir menggelengkan kepalanya mendengarkan pertanyaan Azim. Dia menumbuk lengan Azim.

“Auchh.. sakitlah,” rungut Azim sambil mengusap-ngusap lengannya yang dibaluti baju kemeja lengan panjang. Ada tompokan darah yang kelihatan dari luar baju putih itu.

“Tangan kau okey ke?” tanya Syamir prihatin.

“Tangan aku okey. Kembali kepada pertanyaan aku, kenapa kau gunakan sellotape?”

Syamir tidak terus menjawab sebaliknya berjalan meninggalkan Azim. Dia sedang menghampiri Jiwon yang sedang memeluk Izara yang sedang ketakutan berhampiran dengan tangki air.

“Izara, awak tak apa-apa?” tanya Syamir.

Izara yang sedang menekapkan wajahnya sambil duduk bersandar mendongak, memandang Syamir. Senyuman terukir di wajah Izara. Dia kenal benar jejaka yang sedang berdiri di hadapannya. Rakan sepermainan sejak kecil lagi...

“Awak...” gumam Izara. Azim menyertai dari belakang.

“Kau jangan nak menggatal dengan buah hati aku,” seloroh Azim sambil menepuk bahu Syamir dari belakang. “Jawab soalan aku dulu Syamir.”

Syamir, Azim dan Izara merupakan tiga sahabat. Mereka selalu bersama sejak dari tadika sehinggalah pada saat genting itu. Namun, pada ketika mereka menginjak zaman sekolah menengah, hubungan mereka sedikit renggang apabila Izara lebih rapat dengan Azim. Sebenarnya, Syamir sudah lama menyimpan perasaan pada Izara. Azim, jejaka yang dilabelkan sebagai serba sempurna oleh Izara itulah yang mematikan niat Syamir mahu meluahkan perasaan.

“Orang kata kau genius, tapi tak akan benda sekecil ni pun kau tak tahu? Sellotape merupakan antara benda yang paling kuat di dalam dunia. Ianya mampu menarik sebuah kapal terbang. Jadi, aku rasa benda itu boleh digunakan untuk kita menahan pintu itu sementara kita mencari idea untuk keluar dari sini,” jelas Syamir.

Azim tersenyum kemudian menghadiahkan tepukan.

“Sahaja aku menguji kau. Tak sia-sia aku jadi guru tuisyen kau,” balas Azim sinis yang kemudiannya mengundang renungan bodoh daripada Syamir. Jiwon tiba-tiba bangkit lalu menghampiri sudut ruftup, untuk mendapatkan pemandangan yang lebih jelas mengenai situasi yang sedang melanda.

“Eurasia sudah hancur,” ujar Jiwon. Izara menghampirinya dari belakang kemudian diikuti oleh Azim dan Syamir. Mereka bertiga juga seperti Jiwon, menunjukkan reaksi terkejut.

Asap hitam kelihatan merata-rata di seluruh bandar itu. Manakala beberapa pesawat sedang meluncur di atas pulau yang merupakan salah satu daripada sumber rezeki negara Malaysia. Di dataran sekolah pula, kelihatan ratusan pelajar yang sudah bertukar zombi.

“Lihat tu...” tutur Jiwon sambil menundingkan jarinya ke arah dua orang pelajar perempuan yang sedang dikelilingi oleh ratusan zombi. Tajam mata Jiwon... perhatian teralih pada dua orang gadis itu.

Khaleeda dan Memey, dua orang sahabat itu sedang berpegang tangan. Di tangan mereka terdapat sebatang kayu yang mungkin dijadikan sebagai senjata pertahankan diri. Satu zombi cuba menyerang Khaleeda tetapi Memey sempat membantu dengan menghadiahkan sebuah hayunan mengenai kepala zombi.

“Saya akan sentiasa menolong awak,” gumam Memey sambil mengeratkan lagi pegangan tangannya.

“Terima kasih awak,” balas Khaleeda.

Seakan-akan kedua-dua orang sahabat itu sudah berjanji sehidup semati. Ratusan zombi masih menunggu untuk menjadikan mereka sebagai sarapan. Kedua-duanya hebat bertarung namun.... mereka masih wanita. Kudrat mereka lemah.

Kayu yang dihayunkan oleh Memey tercampak jauh apabila tangannya disambar oleh zombi yang sedang mengganas. Memey kelihatan sedang berusaha untuk melepaskan diri.

“Memey, tolong saya!” teriak Khaleeda apabila kakinya pula yang menjadi mangsa sambaran tangan zombi. Memey kelihatan serba-salah. Ada jalan keluar sedang terbentang di hadapannya dan dalam masa yang sama, rakannya sedang bergelut menghadapi maut. Dia dalam dilemma...

Kaki Memey tiba-tiba dicapai oleh Khaleeda yang terbaring di lantai.

“Tolong aku...” rintih Memey. Air mata sudah melimpah dari kelopak matanya dan Khaleeda masih kaku berdiri sambil memandang ruang kosong yang terbentang dihadapan matanya.

“Lepaskan aku!” kata Khaleeda sambil memijak tangan Memey. Dia membuka langkah seribu, cuba melarikan diri. Khaleeda langsung tidak menoleh ke belakang manakala raungan Memey semakin bergema meminta tolong.

Destinati Khaleeda ialah pintu pagar yang sedang terbentang luas, dia semakin laju berlari sementara Memey sudah tenggelam dalam lautan zombi yang sedang mengelilinginya. Sayup-sayup suara Memey hilang.

Serentak itu, Khaleeda tersadung batu yang terdapat di tanah. Dia jatuh tersembam. Mukanya yang cantik calar balar kerana terkena jalan yang berturap di dalam sekolah itu. Khaleeda cuba bangkit dan....

Zombi sudah mengelilingnya. Sepantas itu dan... lehernya digigit oleh zombi. Darah merembes di udara dan jeritan Khaleeda bergema di angkasa. Izara yang sedang berada di atas ruftup spontan memeluk Azim, sambil menyembamkan wajah di lengan sasa jejaka itu, tidak sanggup melihat adegan ngeri yang sedang berlaku.

“Saat begini, mereka tidak lagi mementingkan persahabatan...” gumam Jiwon.

Tiba-tiba sahaja bunyi hon dibunyikan. Baru Syamir teringat sesuatu... kakaknya. Dia tinggalkan kakaknya keseorangan di dalam kereta. Mata Syamir pantas mencari kereta yang diparkir di hadapan pagar sekolah.

Kereta itu sedang dikelilingi oleh ratusan zombi yang cuba memecah masuk ke dalam kereta. Ada zombi yang menghentak-hentakkan kepala di cermin, cuba memecahkan cermin kereta.

“Kakak!” teriak Syamir.

“Kau bawa kakak kau sekali ke?” tanya Azim.

Syamir mengangguk sambil melihat sekelilingnya. Kalau tidak silap, terdapat stor di atas ruftup dan dari situlah Syamir menjumpai timbunan meja yang tidak terpakai. Dia berlari ke arah stor.

Terdapai sehelai kain putih yang agak panjang. Kain itu tergulung kemas di sebatang kayu. Azim dan Izara muncul dari belakang.

“Ini kain yang akan digunakan untuk hari sukan nanti,” kata Izara.

“Peduli apa aku. Yang penting kakak aku selamat. Aku boleh jadikan kain ini sebagai tali yang akan aku gunakan untuk turun dari ruftup,” balas Syamir dingin sambil meninggalkan Azim dan Izara.

“Kau tolong aku,” arah Syamir kepada Jiwon ketika mengikat kain putih itu di pagar besi.

“Kau nak aku tolong pegangkan kain ini sementara kau turun ke bawah, selamatkan kakak kau?” tanya Jiwon. Kali ini, senyuman terukir pada wajah polos Syamir.

“Bijak. Aku nak turun dari sini,” kata Syamir sambil menguji kekuatan ikatannya. Selepas berpuas hati, Syamir mula menuruni banggunan itu sambil berpaut pada kain putih. Namun, kain itu tidak cukup panjang. Ia hanya mampu sampai ke tingkat satu. Dari situ, Syamir menghayunkan dirinya ke belakang sebelum menceroboh masuk ke dalam sebuah kelas. Kedengaran bunyi kaca pecah memenuhi kelas itu dan Syamir tidak apa-apa.

***

“Budak lelaki tu memang hebat,” komen Jiwon yang terduduk keletihan. “Kepala dia memang gila-gila.” Azim dan Izara turut duduk.

Azim dan Izara saling berkongsi pandangan.

“Dia sebenarnya dah gila,” kata Azim. “Dia buat semua kerja gila. Ada ke dia berpaut pada kain putih untuk turun dari ruftup ni. Tak patut...tak patut.” Azim menggelengkan kepalanya.

“Perasan sayang pada kakanya, Leen mengatasi perasaan takut. Dia dah tak pedulikan nyawanya, yang penting kakaknya selamat,” ulas Jiwon.

Azim sekadar mengangkat bahunya sekali dua lalu mengeluarkan sekotak rokok. Dia mengambil sebatang rokok lalu menyalakannya untuk dihisap. Tiba-tiba sahaja Izara mengambil rokok yang sedang bertenggek di mulut Azim lalu mencampakannya ke lantai.

“Ke...napa?” tanya Azim yang kelihatan sangat tidak berpuas hati.

“Rokok membahayakan kesihatan!” ujar Izara sambil tersenyum. Azim sekadar mengangkat bahunya sekali dua sambil membuat muka tidak bersalah apabila ditegur secara sinis oleh Izara.

***

Syamir membersihkan tubuhnya daripada serpihan kaca. Selepas itu, dia mengambil kayu hoki yang terlepas dari pegangan tangannya ketika memecah masuk ke dalam kelas tingkatan 1B itu.

Syamir melangkah penuh hati-hati ketika meninggalkan kelas itu sambil berjaga-jaga. Takut-takut ada zombi yang akan menyerang curi. Terdapat dua tiga orang zombi yang sedang berkeliaran tanpa tujuan di koridor sekolah namun mereka semua tidak sedikitpun menggoyahkan tekad Syamir.

Tiba-tiba sahaja telefon bimbitnya berdering sekaligus menarik perhatian tiga zombi tadi. Syamir melihat nama kakaknya tertera di atas skrin telefon bimbit Blackberry 8320 Curve itu.

“Adik, tolong kakak, mayat hidup tu dah makin ganas...” Prank! Kedengaran bunyi kaca pecah dan panggilan mati begitu sahaja. Jeritan kakaknya sempat bergema... Syamir sudah tidak mempunyai banyak masa. Bila-bila masa sahaja ajal akan menjemput kakaknya.

Tiga orang zombi tadi menghampiri Syamir. Mereka berjalan terhuyung-hayang sambil meraung-raung. Salah seorang daripada zombi itu merupakan guru disiplin yang sememangnya dibenci oleh seisi kelas, Encik Ravi.

Syamir tersenyum apabila menyedarinya. Dia menyimpan kembali telefon bimbitnya ke dalam poket seluar jeansnya. Kemudian, Syamir menarik nafas yang panjang lalu menghayunkan kayu hokinya. Serentak itu, tiga kepala sedang merembeskan darah apabila menjadi mangsa hayunan kayu hoki Syamir. Tanpa membuang masa, Syamir kembali meneruskan lariannya.

Dia tersempak dengan lebih banyak zombi yang merupakan rakan sekolahnya ketika dalam perjalanan mencari tangga untuk menuruni ke tingkat paling bawah banggunan sekolah. Syamir tidak memukul mereka sebaliknya sekadar menolak keras agar zombi itu tidak menghalang jalannya.

Lama Syamir berlari dalam keadaan yang berlumuran darah. Dia bertempur untuk beberapa saat ketika berada di dataran sekolah, tetapi sekadar untuk membuka ruang dan jalan.

“Kakak!” teriak Syamir tidak percaya apabila melihat kakaknya sedang rakus di ratah oleh ratusan zombi. Syamir melihat sendiri bagaimana kaca kereta dipecah lalu kakaknya ditarik keluar, kemudian...

“Lepaskan dia!” teriak Syamir bengang sambil menghayunkan kayu hoki tanpa tujuan bagi menghalau zombi-zombi yang mengelilingi Leen.

Tubuh Leen berlumuran darah. Leen masih hidup ketika Syamir menghampirinya. Leen sempat juga menghadiahkan seulas senyuman untuk adik kesayangannya itu.

Syamir meriba tubuh kakaknya. Rambut kakaknya dibelai lembut.

“Adik... kakak sayangkan adik,” tutur Leen sambil cuba menyentuh pipi adiknya.

Syamir terangguk-angguk. Air mata sudah lebat membasahi pipinya. Tangannya pula sedang menggigil apabila melihat kakaknya tercungap-cungap ketika nyawa sedang keluar dari tubuhnya. Zombi yang sedang menanti untuk membaham dirinya serta Leen sudah tidak dipedulikan oleh Syamir lagi.

Seeorang zombi cuba membaham leher Syamir dan...

Kepala zombi itu tergolek di atas lantai selepas dibaham oleh pedang samurai milik Azim. Izara dan Jiwon kelihatan menyusul dari belakang. Izara menggunakan batang paip yang mungkin dijumpainya di ruftup sebagai senjata manakala Jiwon masih setia dengan selaras shotgun versi Browningnya itu.

“Bangkit Syamir!” kata Azim sambil menyentuh bahu Syamir. Namun, Syamir masih memeluk jasad Leen yang sudah tidak bernyawa lagi. Kedengaran Syamir menggumam seperti “salah aku.”

“Kau tolong pertahankan aku dari jauh. Aku ada nampak bas kat sana. Sementara aku berlari ke arah sana, kau tolong pujuk si Syamir ni,” ujar Azim sambil Jiwon dan Izara sedang kusyuk berlawan.

“Okey,” jawab Jiwon pendek ketika sedang mengisi peluru Shotgun.

“Kakak....” kedengaran Syamir menggumam sendirian.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.