Tasik Gergasi
10.30 pagi, 1 April 2013
Harish
terpisat-pisat membuka matanya. Kepalanya masih tersisa pening. Dia mengambil
masa beberapa saat untuk kembali mendapat memorinya. Peristiwa setengah jam
tadi kembali berputar di layar mindanya.
“Aulia...”
panggil Harish lemah sambil memegang kepalanya. Harish sedang duduk di atas
lantai rumah kayu itu. Mata Haris liar memandang sekeliling. Bayang Aulia, Yusoff
mahupun lelaki gergasi yang setinggi lebih dua meter itu tidak kelihatan. Fon
telinga masih tertenggek kemas di lubang telinga Harish. Pantas Harish mencapai
radionya untuk menghubungi Emma.
“Hello Emma.
Sesuatu yang buruk terjadi pada aku,” gumam Harish.
Namun,
tiada langsung balasan daripada Emma membuatkan Harish kecewa. Harish kemudian
bangkit. Dia mahu mencari Aulia dan Yusoff mungkin bagi membantunya menyudahkan
misi mencari anak perdana menteri Malaysia, Datuk Shahrin Ruslan sekaligus
menyelamatkan Pulau Eurasia.
Langkah
kaki diatur oleh Harish keluar daripada rumah kayu itu. Mungkin dia akan menuju
ke arah menara di mana punca bunyi loceng yang telah menyelamatkannya
berdendang. Mungkin di situ terdapat sesuatu yang boleh membantunya menjejak lokasi
Shila.
“Tolong!”
teriak satu suara yang mengejutkan Harish. Harish mencari punca jeritan itu dan
Aulia sedang diikat pada sebatang kayu yang sedang berdiri di tengah-tengah
tasik gergasi yang berdekatan dengan rumah kayu itu.
“Aulia?”
panggil Harish.
“Tolong
Aulia...” rayu Aulia yang sudah teresak-esak menangis. Air di sekeliling Aulia
berkocak sedikit. “Ada raksasa dalam tasik ni!”
Pengakuan
Aulia itu membuatkan Harish terkejut besar. Kalau benar dakwaan itu, pastinya
nyawa Aulia berada dalam bahaya. Harish harus berbuat sesuatu untuk
menyelamatkan Aulia.
Mata
Harish pantas menangkap kelibat sebuah bot kecil yang sedang tenang terapung
berhampiran dengan jeti. Harish tersenyum. Dia hanya perlu menghidupkan bot itu
lalu memecut laju dan menyelamatkan Aulia.
Harish berlari
ke arah bot itu. Terdapat ratusan lembing yang tidak digunakan terdampar di
dalam bot itu. Harish tidak pedulikannya. Dia menghidupkan enjin bot lalu
memecut laju ke arah Aulia.
Tetapi...
Air yang
tadi tenang tiba-tiba berkocak sedikit membuatkan Harish memberhentikan botnya.
Sebatang lembing yang terdapat di dalam bot itu dicapai spontan oleh Harish.
Apakah itu tanda-tanda bahawa raksasa yang dikatakan oleh Aulia sedang
memerhatikan Harish?
Tiba-tiba,
dari arah hadapan, seekor salamander gergasi bewarna kelabu timbul dari dalam air, sambil mengangakan mulutnya
yang mampu memuatkan bot Harish. Ketika bot Harish hanya seinci sahaja daripada
dibaham, lembing yang berada di tangan Harish tepat mengenai lelangit raksasa
itu. Salamender gergasi itu kembali ke dalam air. Kelihatan darah merah
terapung perlahan-lahan ke atas permukaan.
Harish
mengambil sebatang lagi lembing yang terbaring di dalam botnya. Dia sempat
membaca basmalah lalu menghembuskannya pada mata lembing yang tajam itu. Aulia
yang terikat pada batang kayu mati yang berdiri di tengah-tengah tasik gergasi
itu hanya mampu terkumat-kamit membaca ayat Al-Quran, memohon pertolongan
tuhan.
Tiba-tiba
sahaja kaki Harish disambar tali yang entah bila terjatuh ke dalam air. Tali
tersebut membelit pergelengan kaki Harish. Tali tersebut terikat pada sebatang
sauh dan sauh itu telah tertanam pada belakang badan salamender, penunggu tasik
gergasi itu. Harish ditarik oleh tali itu... dan dia perlu berbuat sesuatu
sebelum dirinya masuk ke dalam tasik.
Sebuah
pisau rambo yang diikat pada kakinya dicapai oleh Harish. Kemudian, menggunakan
sekuat tenaganya Harish cuba menebas tali yang melingkari kakinya. Sekali...
dua kali.. tiga kali. Masuk kali ketiga barulah tali itu putus.
“Alhamdulilah...”
tutur Harish sambil mengurut dadanya.
Harish
pantas berdiri lalu mengambil batang lembing tadi. Dia harus berjaga-jaga kali
ini. Dia memasang telinga dan mengasah ketajaman pandangannya. Kabus yang
menyelubungi kawasan tasik itu membataskan pengelihatan Harish.
Tiba-tiba
kedengaran bunyi sesuatu meredah air. Datangnya daripada arah kiri Harish.
Harish melemparkan lembing tersebut sambil memusingkan badannya seratus lapan
puluh darjah. Lembing itu tersasar dan makhluk tadi kembali menyelam.
“Cis,
main sorok-sorok ya kau?” tutur Harish sambil tersenyum. Ketakutan yang menyelubunginya
kini beransur-ansur bertukar keseronokan. Misi kali ini memang menyeronokkan.
Pertempuran itu bagaikan permainan video dalam fikiran Harish dan Harish kini
ialah heronya.
Sebatang
lembing lagi dicapai oleh Harish. Dia sempat membaca surah Al-Ikhsan sambil
memanjatkan doa kepada ALLAH. Moga-moga rejaman lembing kali ini akan mengena
makhluk penghuni dasar tasik gergasi.
Tiba-tiba
makhluk tersebut datang dari belakang sambil mengangakan mulutnya. Harish
memutarkan tubuhnya lalu melemparkan lembing tersebut sambil berteriak sekuat
hatinya. Kali ini, lembing tersebut masuk ke dalam mulut besar makhluk
salamender itu. Kedengaran raungan salamender itu. Darah merembes ke udara lalu
salamender itu kembali menyelam.
“Kau
belum mati lagi ya?” teriak Harish bengang. “Kau salah orang nak cari gaduh.
Aku ialah Mejar Adam Harish, antara ejen rahsia terhebat yang pernah dimiliki
oleh Malaysia.”
Sebuah
lagi lembing dicari oleh Harish. Dia menatap mata lembing itu sambil memasang
doa di dalam hatinya. Kemudian, Harish menatap dada langitnya seolah-olah
sedang berharap ALLAH mengirimkan malaikat terbaiknya dalam berdepan dengan
raksasa tasik itu.
“Itu
kau!” bisik Harish apabila melihat ada penggerakan dalam air yang sedang menuju
ke arah Aulia yang sedang memejamkan matanya. Harish berundur mencari jarak.
Matanya pula dikecilkan agar dia dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap
subjek.
Tanpa
diduga salamender itu melompat dari dalam air, cuba membaham Aulia dan...
sebilah lembing menikam belakangnya. Salamender tersebut terjatuh ke dalam air.
Darah merah membuak-buak memenuhi permukaan air tasik. Menggelupur lalu perlahan-lahan,
jasad salamender itu ditarik graviti bumi menghampiri dasar tasik.
“Alhamdulilah...”
tutur Harish sambil sujud syukur di atas bot.
“Alhamdulilah...”
tutur Aulia yang masih lagi menangis kerana ketakutan.
Harish
memandu bot tersebut mendekati Aulia. Dia membuka ikatan yang membelenggu Aulia
dan... tubuhnya terjatuh apabila Aulia menyambar batang tubuhnya. Harish sedang
dipeluk erat oleh Aulia.
“Terima
kasih awak...” tutur Aulia yang sedang teresak-esak menangis. Harish tergamam
dalam dakapan Aulia. Dia sedang terbaring di atas lantai bot sambil merenung
kosong dada langit.
Tiba-tiba
sahaja, kepala Harish dilanda pening. Jantungnya berdegup aneh, bukan kerana
dirinya sedang dipeluk oleh Aulia tetapi... dia pengsan.
Rumah
Kayu Tepi Tasik
11.00
pagi, 1 April 2013
Harish
membuka matanya. Hari ini, sudah dua kali dia pengsan. Dan semuanya berlaku
dalam masa lebih kurang satu jam. Sedar-sedar sahaja Harish sedang terbaring di
aats katil yang terdapat di dalam rumah kayu di pinggir tasik. Aulia sedang
duduk di sebelahnya.
“Awak
tak apa-apa?” soal Harish. Tangan Harish sedang erat digenggam oleh Aulia.
“Sepatutnya
saya yang tanya awak. Terima kasih tau sebab selamatkan saya,” gumam Aulia
sambil menundukkan wajahnya.
Harish
cuba bangkit. Tetapi, tubuhnya terasa kejang tiba-tiba. Dadanya pula terasa
seperti dicakar dan matanya bertukar merah tiba-tiba. Harish seperti orang yang
diserang histeria. Dia menjerit sekuat hatinya menahan kesakitan. Urat-rat
hijau tersembul keluar pada tangan dan lengan sasanya. Aulia pula kelihatan
serba salah, tidak tahu apa yang dilakukannya.
Ya ALLAH, kau selamatkanlah heroku ini...