Home Novel Thriller/Aksi Epidemik T
Bab 18 Pemburu

Bawah Jambatan

11.10 pagi, 1 April 2013

Kereta perisai yang membawa ahli kumpulan Ashraf berhenti berehat kembali di bawah jambatan yang pernah menjadi tempat mereka melepaskan lelah beberapa jam tadi. Proses evolusi telah mengambil alih di dalam zombi-zombi yang bergelandangan.

“Kita kembali...” gumam Arief sambil memberhentikan kereta perisai itu. Ashraf membuka pintu perisai sambil memandang jijik tangannya yang berlumuran darah dengan darah zombi.

Azmir sekadar tersenyum melihat tingkah Ashraf yang sedang erat membasuh tangannya yang berlumuran darah. Terima kasih kepada Ashraf yang telah menyelamatkannya ketika bahaya sedang melingkari lehernya.

Pasar Raya Mydin

10. 45 Pagi, 1 April 2013

Arief sedang mengisi peluru ke dalam M16 yang diambilnya dari bonet kereta perisai itu. Ketika itu Azmir kekurangan perlindungan. Dia tidak menyedari yang seorang zombi sedang berlari deras lalu melompat ke arah belakangnya. Lidah yang keluar dari zombi itu menjulur panjang lalu membelit leher Azmir.

Azmir ditarik oleh zombi itu. Jauh ke dalam lorong yang terletak di antara banggunan pasar raya tempat Ashraf dan Fera selesai membeli belah. Ashraf tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian itu berlaku dalam sekelip mata sahaja. Sebaik sahaja leher Azmir telah dibelit, zombi tadi membuka langkah seribu ke arah lorong gelap yang sunyi itu.

“Ashraf, kau ke sana sementara aku lindungi kau dari jauh!” teriak Arief.

Ashraf masih tidak berganjak sebaliknya menoleh ke arah bonet kereta perisai. Dia memerlukan benda yang tajam... untuk memotong lidah zombi itu seperti... dapat! Sebilah kapak terbaring di atas selaras SMG. Ashraf sempat mengambil SMG dan kapak merah itu.

“Aku pergi selamatkan dia!” kata Ashraf sambil mengangguk serius.

Tetapi sebelum itu, Ashraf telah melontarkan Shotgun Benelli M60 kepada Tasha yang hanya duduk bercangkung di dalam kereta, ketakutan. Ashraf sempat menyuruh Tasha supaya berjuang untuk menolong Arief yang keseorangan.

***

Ashraf melangkah penuh hati-hati ketika menyusuri lorong gelap itu. Dia mengikut kesan darah yang mengalir di atas jalan. Dia berjaya menyusup keluar dari lautan zombi. Arief dan Tasha berjaya mencuri perhatian lautan zombi itu.

Bau busuk menyelubungi udara di keliling Ashraf. Bau yang sangat sebati dengan Ashraf ketika terperangkap di tengah-tengah Racoon City dahulu. Bau yang biasanya akan datang dari sebatang tubuh yang telah mati. Itu ialah bau mayat mereput!

Ashraf terundur ke belakang apabila melihat sekujur tubuh yang kepalanya berlubang aneh. Lalat pula sedang menghurung wajah mayat yang hancur itu. Kelihatan otak tidak lagi berada di dalam tempurung kepala mayat itu.

“Astagfirullah...” ucap Ashraf sambil memegang dadanya. Dia kembali berjalan untuk mendapatkan kekuatan baru. Semakin dalam lorong itu dijejaki oleh Ashraf, suasana semakin menggigit keberanian Ashraf.

Tiba-tiba... satu benda merah dari kegelapan menjalar dengan sangat laju ke arah Ashraf. Mujurlah Ashraf sempat mengelak. Itu ialah... lidah! Lidah zombi yang Ashraf ingat memakai hood hitam.

Ashraf berlari ke arah punca lidah itu. Kelihatan Azmir sedang pengsan di sebelah zombi itu. Aneh, zombi itu mencangkung. Matanya yang merah kelihatan di sebalik penutup kepala yang dipakainya.

“Lepaskan kawan aku!” teriak Ashraf sambil melepaskan beberapa tembakan menggunakan SMG.

Hebat! Zombi tadi melompat ke udara lalu melekat di dinding lorong yang sedang berdiri di kiri dan kanan Ashraf. Seperti spiderman, zombi itu melekat lalu bergerak pantas di dinding lorong. Lidahnya yang panjang itu cuba mencari Ashraf tetapi Ashraf juga sama lincahnya, berguling di atas lantai.

“Teruk! Benda itu hebat,” gumam Ashraf yang sedang melutut di sebelah Azmir yang maish belum sedar dari pengsan. Mata Ashraf sedang melihat sekelilingnya ketika zombi itu menghilang dalam kegelapan lorong. Bila-bila masa sahaja, lidah merah itu akan menyambar Ashraf mahupun Azmir.

“Itu dia!” tutur Ashraf sambil tersenyum apabila satu benda merah sedang bergerak ke arahnya. Kapak merah yang tersimpan rapi di poket seluar Ashraf pantas dikeluarkan, dan lidah itu terputus. Darah merembes membasahi tubuh Ashraf. Kedengaran suara raungan dari balik kegelapan.

“Habislah... bunyi bising! Zombi-zombi yang lain pasti akan datang ke mari!” bisik Ashraf. Dia melihat Azmir yang sedang terbaring lemah. Jejaka itu kelihatan terkejut akibat dari raungan zombi berlidah panjang.

“Kau tak apa-apa?” tanya Ashraf sambil memandang ke arah Azmir yang sedang memegang kepalanya.

“Kepala aku berdarah...” gumam Azmir sakit. “Aku tak boleh berdiri. Pening sangat ni...”

“Tak apa. Biar aku bantu kau untuk berdiri,” kata Ashraf yang melingkarkan tangannya di lengan Azmir. Terhuyung-hayang Azmir cuba mendapatkan keseimbangan badan.

“Terima kasih,” ucap Azmir. Namun belum sempat mereka meraikan pertemuan itu, zombi yang menarik Azmir telah melompat dari kegelapan, sambil menjulurkan lidahnya.

Brepp! Brepp! Brepp! Peluru SMG dimuntahkan oleh Ashraf. Semuanya tepat membaham kepala makhluk itu. Akhirnya... makhluk itu rebah ke lantai. Lidahnya terjulur di atas lantai, kelihatan longlai.

“Hunter...” tutur Azmir tiba-tiba.

“Maksud kau?” tanya Ashraf.

“Benda ini mengingatkan aku pada game Left For Dead. Ada zombi yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengan zombi ini. Namanya Hunter,” jelas Azmir.

“Hunter ya?” tutur Ashraf perlahan.

Di bawah jambatan

11.10 Pagi, 1 April 2013

Kelihatan Arief sedang membahagi-bahagikan senjata kepada semua ahli kumpulannya. Terdapat belasan senjata api yang tersimpan dan tidak terusik di belakang bonet kereta perisai itu.

Arief setia memilih M16 jenis A2. Senjata itulah yang telah menyelamatkan mereka daripada serangan besar-besaran zombi di hadapan pasar raya Mydin. Ashraf telah memilih SMG, sejenis sub mesingun yang telah menyelamatkan nyawa Azmir daripada Hunter. Manakala Tasha dengan Shotgun Benneli M9 dan Fera, hanya memilih sepucuk pistol M1911.

“Aku suka pistol ini. M1911, sejenis pistol buatan Amerika. Sepanjang 210 mm. Menggunakan peluru jenis .45 ACP. Sangat-sangat berkesan untuk pertempuran di tengah-tengah kota,” komen Fera ketika membelek pistol tersebut. Danny sedang lena tidur dalam baby carrieryang sempat digapai oleh Fera ketika membeli belah.

“Jadi, senjata lain yang ada di bonet ini ialah sebagai persedian. Sekiranya peluru atau situasi tidak menginzinkan kita menggunakan senjata yang kita pilih ini, di sini ialah sumbernya,” jelas Arief lalu menutup bonet belakang kereta perisai itu.

“Terima kasih kawan,” ucap Azmir ketika melintasi Ashraf. Bahu Ashraf sempat di tepuk oleh Azmir. Ashraf sekadar tersenyum sambil menundukkan sedikit kepalanya.

Jalan Raya

11.30 Pagi, 1 April 2013

Kereta perisai yang dipandu oleh Arief berhenti di tengah-tengah jalan raya ketika mereka mendaki jalan yang curam itu yang sedang menuju ke tempat tertinggi Pulau Eurasia, Bukit Harapan.

Bunyi pesanan yang sering berlegar-legar di radio yang dipasang semakin jelas, menandakan mereka semakin hampir dengan rumah Datuk Hazman.

“Kepada... kepada semua penduduk Pulau Eurasia. Saya.. sa..ya Da..tuk Ha..zman bercakap daripada rumah agam di atas puncak Bukit Harapan. Saya..ya menyeru kepada semua penduduk Eurasia agar datang ke sini... kami menyediakan perlindungan...”

Kemudian, pesanan itu akan berulang kembali. Sepertinya ia sudah dirakam. Arief tiba-tiba sahaja membuka pintu kereta, mendahului yang lainnya. Dia kemudian mendongak memandang ke arah puncak yang kelihatan masih jauh.

Ashraf dan Azmir menyusul dari belakang.

“Tinggi...” gumam Ashraf.

“Jauh,” kata Azmir pula, pendek.

Arief menoleh ke arah dalam kereta perisai. Tiba-tiba terasa sayang untuk meninggalkan kereta itu. Mereka tiada pilihan... ratusan kereta yang tidak berpemandu sedang tersusun di hadapan mata mereka. Jalan raya yang menghala ke rumah agam Datuk Hazman sangat sesak... dengan kereta yang tidak mungkin akan bergerak.

Tasha menghampiri mereka dari belakang sambil sedang sarat membimbit plastik di mana terdapat makanan yang mereka ambil dari pasar raya tadi. Kemudian, Fera menghampiri sambil menyusukan Danny.

“Apa ni?’ tanya Arief.

“Fera yang suruh bawa,” kata Tasha sambil tersengih ke arah Fera.

“Kenapa ni?” Ashraf menyoal pula.

“Persedian. Buat penat aje kita ambil dan bertarung nyawa kat Mydin tu kalau kita tinggalkan makanan-makanan ni. Lagi pun kita perlukan tenaga untuk kekal hidup di tengah-tengah kota yang dah berubah menjadi neraka ini,” bebel Fera.

Ashraf mengeluh berat manakala Azmir dan Arief saling berkongsi pandangan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.