Apartment
2.40 Petang, 1 April
2013
Guruh sedang berdetum di dada langit
menandakan bahawa hujan akan turun tidak lama lagi. Bunyi tembakan yang
dipercayai datang daripada senjata Arief tidak lagi berkumandang selepas
bergema beberapa kali.
“Kau yakin ke bunyi ni datang dari
sini?” tanya Azmir.
Ashraf mengangguk. Dia sedang
melutut di atas jalan di celah lorong yang di mana di sebelahnya berdiri sebuah
apartment setinggi tujuh tingkat. Pintu belakang yang membawa mereka ke dalam
apartment itu terbuka, seolah-olah sedang menanti kedatangan dua orang anggota
Komando 69.
“Ini ialah peluru daripada jenis 5.56×45mm
NATO. Antara senjata yang menggunakan peluru jenis ini ialah M16A2 milik Arief.
Aku yakin dia ada di sekitar sini,” tutur Ashraf.
“Dia ada di dalam apartment gelap
ini?” tanya Azmir yang tiba-tiba perasaan gerunnya menyerang.
Ashraf mengangguk.
“Kita kena masuk ke dalam atau kita
akan berdepan dengan ratusan zombi yang mungkin dalam perjalanan ke sini. Bunyi
tembakan Arief telah menarik perhatian mereka,” gumam Ashraf.
“Sekejap... maksud kau yang...
bagaimana dengan Tasha? Fera dan Danny jugak?” tanya Azmir sambil menoleh ke
arah belakangnya.
“Sebab itu kita kena cepat, kita tak
boleh lengahkan masa kita di sini. Lepas jumpa Arief, aku akan bawa kamu semua
jauh dari sini. Kita akan teruskan perjalanan ke rumah agam Ketua Menteri
Eurasia, Datuk Hazman Zakry,” kata Ashraf yang kembali berdiri.
***
Ashraf dan Azmir menyusuri koridor
apartment yang sangat gelap dengan sangat berhati-hati. Senjata masih-masih
teracu bagi melindungi keselamatan diri. Mujurlah lampu suluh Ashraf dan Azmir
menerangi jalan di hadapan mereka. Sunyi yang melanda menyebabkan bunyi air
menitik dari tingkat atas begitu jelas kedengaran.
“Ikut sini,” bisik Ashraf perlahan
sambil memberi isyarat ke arah sebuah pintu yang seterusnya membawa ke sebuah
bilik yang sangat besar.
“Ruang tamu,” kedengaran suara
Azmir.
Seperti mana di koridor di luar
sana, keadaan di dalam bilik itu sama hitamnya, gelap masih menguasai. Lampu
suluh Ashraf dan Azmir menyuluh keadaan bilik itu. Bilik itu ternyata kosong.
Tiada langsung tanda bahawa tempat itu pernah dihuni oleh manusia. Kelihatan
sebuah pintu di sudut bilik itu dan Ashraf menghampiri pintu itu. Tombol pintu
itu dipulas oleh Ashraf tetapi berkunci.
Ashraf berkira-kira mahu meninggalkan bilik itu tetapi...
“Kau dah gila ke?” bisik Ashraf
geram sambil menggengam koler Azmir. Azmir telah bertindak di luar batasan
dengan menendang pintu yang berkunci. Pintu itu terbuka.
“Ya, aku memang dah gila. Kau tahu
yang ada ratusan zombi sedang tengah ke sini dan kau, berlagak cool,” jawab Azmir membuatkan Ashraf
terdiam.
“Kau tahu tak yang tindakan kau tadi
akan menarik perhatian zombi?”
“Tak. Nyawa Tasha... Fera dan Danny
sangat penting untuk aku sehingga membuatkan aku mengabaikan semua benda itu,”
kata Azmir sambil menolak tangan Ashraf yang masih menggengam bajunya.
“Kalau aku tahu kau buat macam tu
lagi, aku tak akan teragak-agak untuk tembak kau!”
Azmir tersenyum sinis. Dia tidak
mengendahkan ancaman dan ugutan Ashraf. Azmir cuma dia tidak dapat menahan diri
melihat Ashraf yang mengangap situasi itu seperti bermain permainan polis entry.
“Tak ada apa-apa pun kat sini,”
gumam Azmir apabila memeriksa bilik tersebut.
Kemudian, dua orang lelaki itu
kembali ke koridor. Mereka menyusuri koridor tersebut yang di kiri dan kanan
mereka terdapat bilik-bilik yang berkunci dengan mangga dan rantai. Akhirnya
mereka berjumpa dengan sebatang tangga yang membawa mereka ke tingkat dua.
Kedengaran bunyi tapak kaki orang
berlari memanjat tangga hinga ke tingkat dua membuatkan Ashraf dan Azmir
spontan menyuluh lampu suluh mereka. Namun, tiada apa yang dapat dikesan oleh
mata mereka.
“Kau dengar apa yang aku dengar?”
soal Azmir.
“Ya, suara orang berlari,” kata
Ashraf.
“Hantu?” Celupar mulut Azmir.
“Kita kejar dia,” jawab Ashraf
sambil tersenyum sinis.
***
Ashraf menyusuri koridor di tingkat
dua sambil lampu suluhnya memeriksa setiap pintu-pintu yang berkunci di
apartment tersebut. Bayang Arief atau petanda bahawa jejaka itu pernah berada
di dalam apartment tersebut masih belum kelihatan.
Terdapat sebuah pintu yang terbuka
di sebelah Ashraf. Ashraf masuk dengan berhati-hati. Sebuah bilik air yang
berlumuran darah mencuri perhatian Ashraf. Di situ, Ashraf menjumpai sisa
tinggalan peluru Arief.
“Tak syak lagi, dia ada dalam
apartment ini. Betul tak Azmir?”
Namun tiada balasan daripada Azmir.
Ashsraf menoleh belakang dan Azmir sudah tiada.
“Tak guna punya budak. Dia buat hal
lagi,” gerutu Ashraf bengang.
***
Hujung mata Azmir dapat menangkap
kelibat seorang wanita yang berlari ke arah yang bertentangan dengan arah yang
dituju oleh mereka berdua. Tanpa disedari oleh Ashraf, Azmir telah mengekori
wanita tersebut.
Azmir membelok pada selekoh tajam
itu. Kali ini, cuping telinganya dapat menangkap bunyi tapak kaki di
belakangnya. Azmir menoleh tetapi tiada apa. Dia kembali berjalan dan bunyi
tapak kaki itu meniru tapak kakinya.
“Sial kau...” Azmir menoleh ke
belakang dan seorang wanita yang kurus kering, dalam keadaan pakaian yang
compang-camping dan koyak rabak menolak Azmir sehingga terjatuh di atas lantai.
Mereka berdua bergelut.
“Kau rupanya...” tutur Azmir sambil
mengacukan mata Shotgunnya ke dalam mulut zombi perempuan itu. Tembakan
dilepaskan dan kepala zombi itu bersepai.
“Bagus,” tutur Azmir sambil menolak
tubuh zombi itu ke tepi lalu kembali berdiri. Dia kelihatan membersihkan
bajunya yang kotor dengan kesan darah. Tiba-tiba, dia jatuh terlentang buat
kali kedua. Wanita kurus kering itu bukan satu-satunya zombi di tingkat dua.
Malangnya kali ini, senjata Azmir bergolek jatuh di atas lantai.
“Tolong!” teriak Azmir yang sedang
menolak kepala lelaki yang cuba membaham lehernya.
***
“Itu suara Azmir?” gumam Ashraf.
“Tolong aku Ashraf!” suara Azmir
menyapa telinganya buat kali kedua.
Ashraf tidak lagi tercegat berdiri
di situ. Dia membuka langkah seribu ke arah punca jeritan Azmir itu.
“Roarr!” sesuatu meraung dari
belakang Ashraf.
Sebaik sahaja Ashraf menoleh,
dirinya pula terlentang.
“Sial!” bentak Ashraf.
***
Kedengaran tapak kaki sedang
menghampiri tempat pergelutan Azmir dan zombi tadi. Tapak kaki itu bukan milik
Ashraf kerana pada waktu itu, Ashraf menerima nasib yang sama dengan Azmir.
“Siapa sahaja yang datang, cepat
tolong aku,” teriak Azmir yang seperti sudah hilang tenaga ketika beradu
kekuatan dengan zombi yang sedang menimpanya.
Tembakan dilepaskan bertubi-tubi
membaham kepala zombi sekaligus menyelamatkan Azmir. Tasha... Tasha sedang
berdiri sambil menghulurkan tangannya untuk membantu Azmir berdiri.
“Awak?” soal Azmir tidak percaya. “Apa
yang awak buat kat sini?”
Belum sempat soalan itu dijawab oleh
Tasha, Ashraf muncul dari belakang. Dia juga diserang perasaan terkejut melihat
kehadiran Tasha di dalam apartment. Selepas berjaya membuang lelah, barulah
Ashraf bersuara.
“Tasha, awak buat apa kat sini?”
tanya Ashraf.
Serentak itu, kedengaran bunyi orang
memanjat tangga yang tidak jauh dari mereka. Seperti biasa, soalan Tasha masih
tidak berjawapan. Kelihatan Fera sedang menghampiri mereka sambil mendukung Danny.
Wajahnya penuh dengan keresahan.
“Tempat ni dah dikepung oleh ratusan
mayat hidup!”
“Mana mereka?” tanya Azmir.
Fera mengajak mereka menghampiri
tingkap di hujung koridor aparment di tingkat dua itu. Dia mahu menunjukkan
sesuatu.
“Ramainya...” gumam Tasha.
“Tapi, kenapa mereka semua datang ke
sini?” tanya Azmir sambil mengerutkan dahinya memerhatikan jalan raya yang
dipenuhi oleh ribuan zombi.
“Bunyi tembakan Arief,” jawab
Ashraf. “Fera, awak dah kunci pintu masuk ?”
“Dah. Tapi saya tak tahu berapa lama
pintu besi itu mampu bertahan,” balas Fera.
“Tasha, ikut aku ke tingkat bawah.
Kita kena cari benda yang boleh tahan pintu besi itu, sekurang-kurangnya untuk
sehari untuk kita fikirkan cara keluar dari tempat ini.”
Tasha memegang M16 ditangannya. Dia
sekadar mengikut arahan Ashraf yang secara tidak langsung menjadi ketua mereka.
Selepas Ashraf dan Tasha menghilang dari pandangan mata, Azmir terduduk di
hujung koridor itu.
“Kau rasa kita akan selamat?” tanya
Azmir tiba-tiba.
Fera sekadar mengangkat bahunya. Dia
kini sedang menyusukan Danny dengan sebotol susu.
“Kau tahu yang Kerajaan Malaysia tak
akan bawa kita keluar dari pulau ini selagi Shila tak diselamatkan?”
Fera mengangguk.
“Shila tu ialah bekas teman wanita
aku. Tiga hari sebelum dia datang ke sini, mungkin sebab aku, aku dah buat
benda yang paling bodoh untuk dia. Aku tinggalkan dia,” tutur Azmir sambil
menundukkan wajahnya.
“Kenapa awak buat macam tu?” tanya
Fera.
“Tapi aku bukan sengaja buat semua
tu. Aku terpaksa... aku cuma ada tiga bulan untuk hidup. Aku tak nak dia terus
berharap pada lelaki yang mempunyai jangka hayat yang pendek... aku tak boleh
bahagiakan dia,” luah Azmir tiba-tiba.
“Azmir...”
“Fera, kalaulah sesuatu terjadi pada
kita nanti, aku nak kau tinggalkan aku. Tiada gunanya kamu selamatkan orang
macam aku. Aku tak punya banyak masa lagi,” tambah Azmir sambil mengesat air
matanya yang menitis tiba-tiba.
“Mungkin ini ialah hiburan terakhir
aku sebelum aku mati. Sekurang-kurangnya aku ada benda yang boleh dikenangkan
bila aku masuk kubur nanti,” seloroh Azmir lalu bangkit dan meninggalkan Fera
dan Danny di situ.
Langkah kaki Azmir diperhatikan
dengan sayu oleh Fera.
Ketahuilah
kalian bahawa semua yang masih hidup di Eurasia menyimpan kisah hidup
masing-masing...