Hati Zaiton sudah berdebar-debar. Seram sejuk seluruh tubuhnya. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya
perlahan-lahan untuk menghilangkan rasa gugup di hati. Kalau tidak kerana Roseyatimah hari-hari
merayu mendayu-dayu, sakit telinga dia mendengarnya. Mahu atau tidak,
terpaksalah dia bertemu juga dengan CEO Syarikat Milinium itu.
“Kau baca apa Ton?” June dengan
wajah kehairanan.
“Baca ayat penunduk Kak June,” jawab Zaiton sambil menyengih.
“Macam-macamlah perangai kau Ton!”
June menggeleng laju. Hendak ketawa pun ada.
Takut benar hendak bertemu Tuan Nizam, sedangkan lelaki itu seorang yang
baik. Bukan garang mana pun. Hanya tegas
kena pada tempatnya.
“Boleh masuk ke Kak June?” Zaiton masih tidak keruan. Hatinya masih lagi berdebar-debar, kenapalah
dia takut sangat. Bukan hendak jumpa Malaikat
Maut. Baharu dengan jumpa CEO syarikat
tempat dia bekerja, takutnya mengalahkan jumpa hantu. Belum lagi jumpa Yang DiPertuan Agung. Kalau disuruh berjumpa Perdana Menteri pula
entah bagaimanalah keadaan dirinya, entah-entah pengsang agaknya.
“Masuklah!” suruh June.
“Terima kasih kak!” Zaiton mengetuk daun pintu yang dibuat dari
kayu cengal. Berukiran daun kacang. Setelah mendapatkan jawapan daripada orang di
dalam, baharulah dia berani melangkah masuk.
Tertunduk-tunduk dia memberi
hormat. Matanya sempat meneliti hiasan
dalaman bilik CEO itu. Cantiknya, serba
mewah. Terpegun dia seketika.
Seronoklah Kak June dapat bekerja dengan CEO Syarikat Milinium. Dia tersenyum sendiri.
“Ya Zaiton, ada apa-apa ang boleh
saya bantu?” Tanya Nizam yang sejak
daripada tadi memerhatikan sahaja tingkahlaku pekerjanya itu. Macam rusa masuk
kampung. Bukanlah cantik sangat hiasan dalaman pejabatnya, biasa sahaja. Tiada
yang istimewa.
“Maaf Tuan Nizam.” Zaiton terkejut. Dia alpa seketika. Dia mendekati CEOnya yang masih kelihatan
muda bagi dirinyalah. Memang muda pun.
Dia memandang wajah Tuan Nizam tidak berkelip.
“Duduklah…” suruh Nizam.
“Terima kasih.” Zaiton terus melabuhkan punggungnya di kerusi
yang ada. Dia menarik nafas
seketika. Cuba mencari kekuatan dalam
diri untuk bersuara.
“Erk… boleh saya ambil gambar dengan
Tuan Nizam sekejap. Takut ada orang yang
tak percaya, saya jumpa tuan.”
“Hah?” Nizam terkedu
mendengarnya. Baharu pertama kali dia
mendengar ada pekerja yang ingin mengambil gambar bersamanya kerana nak
dijadikan bukti.
“Baiklah.” Nizam memberi izin.
Zaiton bingkas bangun dan berdiri di sebelah majikannya. Telefon bimbit
jenama ASUS dikeluarkan. Dia menekan gambar kamera. Mencari posisi yang sesuai, dia terus menekan
untuk mengambil gambar dia dan majikannya itu.
Alahai, ini semua idea
Roseyatimah yang tidak percaya dia akan berjumpa dengan Tuan Nizam. Apalah punya teruk sahabatnya itu. Usai
mengambil gambar dia kembali ke kerusi dan duduk menghadap majikannya. Dia tersenyum
malu.
“Apa tujuan awak datang jumpa
saya?” Nizam memandang wajah Zaiton yang
seperti orang bersalah.
“Begini tuan. Ini fail kawan saya.
Dia pernah bekerja di sini. Tetapi kontraknya tidak diperbaharui oleh bahagian
HR. Kalau boleh kawan saya tu, naklah
bekerja di sini lagi. Jadi, saya datang ini, ingin meminta pertimbangan daripada
pihak syarikat agar menerima kembali
kawan saya tu,” jelas Zaiton akan kedatangannya ke situ.
Fail yang diserahkan oleh Zaiton
diteliti oleh Nizam. Dia mengeluh. Fail
tersebut ditutup semula. Dia menyandar di kerusi. Dia
berfikir sejenak.
Zaiton yang menanti, berasa tidak
sabar. Wajah majikannya yang persis pelakon Syukri Yahaya ditatap lama. Boleh tahan kacak juga Tuan Nizam ini, detik
hati kecilnya.
“Beginilah Zaiton.
Sebenarnya tiada pengurus yang
mahu menjadikan Roseyatimah sebagai setiausaha mereka. Biarpun kawan awak ini, cekap melakukan
kerjanya. Sebagai seorang setiausaha
perlu ada pakej yang dikehendaki oleh syarikat.
Saya sendiri tidak tahu hendak letak dia di mana? Suruhlah dia cari kerja di tempat lain. Mungkin bukan rezeki dia bekerja di
sini,” terang Nizam panjang lebar.
“Saya pun tak tahu nak cakap apa
dengan dia tuan. Erk… saya rakam tau apa
yang tuan cakap tadi. Bukan nak masukkan dalam youtube tetapi nak dijadikan
saksi kepada Roseyatimah, agar dia percaya.
Semuanya kena ada bukti tuan,” cerita Zaiton tentang perangai
Roseyatimah.
Nizam tersenyum. Nasib baiklah dapat
kawan yang penyabar dan sudi membantu, kalau tidak, entahlah.
“Kiranya tiada peluanglah tuan?”
tanya Zaiton lagi. Masih mengharap.
“Maafkan saya Zaiton. Ini etika syarikat. Kita nak jaga nama baik syarikat. Bukan saya
kata, kerana fizikal Roseyatimah akan memburukkan syarikat. Tetapi ketrampilan
itu penting.” Bukanlah syarikatnya
terlalu memilih pekerja. Tetapi tiada
siapa yang mahu mengambil Roseyatimah sebagai setiausaha mereka. Dia tidak
mampu berbuat apa-apa.
“Kalau begitu, tak apalah tuan.
Terima kasih kerana sudi bertemu dengan saya.” Akhirnya Zaiton mengalah. Dia segera bangun dan meninggalkan bilik Tuan Nizam, CEO syarikat tempat dia bekerja.
“Habislah saya!” keluh Zaiton. Dia duduk menghadap June yang leka membuat
kerjanya.
“Kenapa? Tuan Nizam tak terima?” tanya June. Wajah monyok Zaiton sudah mampu
menjawab pertanyaannya tadi. Roseyatimah
diberi peluang bekerja di situ kerana ketika
itu mereka memerlukan setiausaha untuk Pengurus Bahagian Pemasaran, Tuan
Kamal. Terpaksa ditamatkan kontraknya
kerana Tuan Kamal sudah mendapat seorang setiausaha yang dia inginkan.
“Terima kasih Kak June. Terpaksalah saya beritahu Rose keputusan syarikat. Semua bahan bukti sudah saya rakan di telefon
saya. Tak perlulah dia marah-marahkan
saya nanti,” jelas Zaiton.
“Suruhlah dia cari kerja di tempat
lain,” kata June.
“Yalah kak… terima kasih ya.” Zaiton melangkah lemah. Simpati dengan nasib
sahabatnya itu, tetapi apakan daya. Setakat
itu sahajalah dia mampu membantu. Hanya
keluhan terlahir di bibirnya.