Berkerut
dahinya melihat barisan panjang. Berbaris manusia beratur hanya untuk membeli
nasi lemak dan roti canai. Dia membelek
jam di tangan. Baharu pukul 7.30 pagi. Tidak mungkin sudah seramai ini? Zaiton yang beratur di hadapannya buat muka
selamba sahaja. Rose menoleh. Tidak ada kedai lain lagikah, sehingga ramai
yang memilih untuk makan dan beli sarapan di gerai itu. Pelik memang pelik.
“Ton, tak ada tempat lain lagi
ke? Takkan nak beratur panjang macam
ni? Pukul 9.00 pagi belum tentu dapat
makan ni?” leter Rose. Ada dalam 10 orang lagi. Jenuh juga nak tunggu.
“Sabarlah, aku selalu beli di
sini. Memang sedap nasi lemak dan roti
canainya. Malaslah pergi tempat
lain. Itu sebab aku ajak datang
awal. Pukul 9.00 pagi dah boleh
sarapan,” jawab Zaiton.
“Hah?” Rose mengetap bibir. Aduhai, boleh mati
terbakar ini, bisiknya di dalam hati. Kena tunggulah jawabnya. Rupanya sahabatnya sudah jatuh hati dengan nasi
lemak dan roti canai di sini. Sedap
sangatkah? Lebih sedap daripada masakan
emaknyakah? Dia bertanya kepada dirinya
sendiri. Sabarlah, sekejap lagi boleh rasa sendiri.
“Itu ada tempat kosong, kau pergilah
cop dulu. Aku beratur beli makanan dan
air untuk kita,” suruh Zaiton sambil menolak tubuh Rose.
“Janganlah main tolak-tolak!” Rose menjeling. Dia ikutkan sahaja kenak Zaiton. Di belakangnya sudah ada yang beratur
lagi. Dasyat sungguh penangan nasi lemak
dan roti canai pemilik gerai itu. Kedai
itu tidak jauh dari pejabatnya yang dahulu. Pelanggan silih berganti. Barisan tetap memanjang seperti tadi. Tiada
yang menyusut pun, kalau ada yang susut tentulah makanan yang dijual.
Seronok juga berniaga seperti
ini. Pendapatan pemilik gerai ini pasti
mendapat lebih daripada sepatutnya.
Mungkin beribu satu hari.
Wah! Cepat jadi jutawan kalau
begini. Rose tersenyum sendiri. Leka melayan perasaan sendiri, kehadiran
Zaiton bersama, dua biji roti canai dan dua pinggan nasi lemak berlaukkan
sotong kering kegemarannya. Teh ais dan kopi panas untuk Zaiton.
“Banyaknya kau beli? Ini makan untuk tengahari sekali ke?” tanya Rose.
Zaiton hanya menyengih dan terus
duduk menghadap rezeki yang sudah berada di hadapan mata.
“Boleh tahan sedap juga sambal nasi
lemaknya. Nasi lemak kalau sambalnya tak
sedap, memang putus seleralah!” puji Rose,
sesudu demi sesudu nasi lemak itu masuk ke dalam mulutnya. Kemudian dia menjamah roti canai pula.
“Ehmm… kuah dhalnya kurang sedaplah.
Cair saja. Rotinya pula taklah lembut
sangat. Kalau kau makan roti canai yang
mak aku buat, pasti kau makan lima
keping sekali masuk mulut.” Rose
terbayangkan roti canai yang dimasak oleh emaknya, rasa kuah dhalnya bagaikan
melekat di tekak. Memang sedap.
“Syyy… kau ni, kalau nak kritik pun,
pandanglah kiri kanan. Kalau didengari
oleh pekerja atau tuan punya gerai, tak pasal-pasal kena bambu,” tegur Zaiton.
Mulut sahabatnya itu memang laser betullah.
Tahu nak kritik dan kondem orang sahaja.
Memanglah hari ini kuah dhal itu agak cair dan tidak sesedap selalu.
“Kena komenlah, kalau nak gerai
seperti ini terus kekal sedap! Kalau
hari ini sedap, esok tak sedap. Tak ada
maknanya,” bebel Rose sambil menghabiskan sekeping roti canai. Memang melantak betul hari ini.
“Yalah, yalah…” sanggah Zaiton.
Kalau tidak dilayan, lain pula jadinya
nanti. Rose bukan mahu kalah, cakap dia
sahaja yang betul. Nasi lemak sepinggan habis dijamah, roti canai sekeping
baharu nak mula masuk ke dalam tekak.
Rose sudah pun selesai makan,
matanya memerhatikan para pekerja gerai itu bekerja. Sepantas kilat. Bangun sahaja pelanggan di satu-satu meja,
cepat mereka bersihkan. Pelanggan pula
sanggup menunggu dengan sabar. Tidak merunggut jika terpaksa berdiri menanti
meja kosong. Hebat gerai ini, detik hati kecil Rose. Kalau nak dikatakan sedap sangat masakannya,
boleh tahanlah. Sudah seperti jurunilai
makananlah pula. Dia tersenyum
sendiri. Inilah kerja pengganggur,
memikirkan hal orang lain, sedangkan hal sendiri masih belum selesai.
“Kau nak buat apa lepas ni? Nak cari kerja lagi ke?’ Zaiton memandang wajah Rose yang sedang leka
memerhatikan pekerja gerai itu bekerja.
“Tak tahu lagi. Rasanya aku nak cuba berniagalah. Jadi majikan sendiri, kuli sendiri,” jawab Rose. Dia menyengih.
“Berniaga? Kau nak jual apa?”
“Makananlah! Sebabnya makanan orang
selalu makan, dapat duit tunai,” kata Rose penuh yakin.
“Hello, kau pandai memasak ke?” Zaiton kurang percaya dengan kebolehan sahabatnya itu. Kalau setakat masak untuk makan sendiri,
lepaslah. Ini nak memasak untuk
restoran, orang lain makan.
“Erk… nak buka restoran, kena pandai
memasak ke?” soal Rose.
“Yalah cik kak!” Zaiton mencebik. Kalau dibuatnya tukang masak lari, tutup
kedailah.
“Aku akan belajar memasak. Aku akan berusaha Ton! Aku tak nak
diperkecilkan lagi. Biar kulitku bagaikan arang terbakar. Aku harus teruskan hidup!” kata Rose penuh
semangat.
Zaiton menelan kunyahan
terakhirnya. Dia mengangkat kening. Wajah
Rose yang penuh yakin itu ditatap lama.
Biar betul? Nak belajar memasak
dan buka restoran? Memang sudah tidak
betul sahabatnya itu. Meneruskan hidup memang perlu, ialah selagi ALLAH tidak
mencabut nyawa mereka berdua, selagi
itulah kena teruskan juga hidup ini, biarpun payah.
“Kau ni serius atau main-main Rose? Rezeki kita dengan orang, bukannya sama. Bukan mudahlah nak berniaga, terutama
makanan. Kau tak ada pengalaman. Aku
takut kau gagal nanti.” Zaiton berasa
was-was. Kawannya itu mana pernah
berniaga, jual suratkhabar pun belum pernah, inikan pula nak membuka
restoran. Mahu lingkup pada hari
pertama.
“Aku seriuslah!” jawab Rose serius.
“Aduh! Jangan cari masalahlah kawan…” Zaiton menepuk dahinya sendiri. Perutnya yang terasa mengah bagaikan nak
memuntahkan segala isi perut yang ada.
Seram sejuk memikirkan cadangan Rose.
Suka buat perkara lain dari yang lain.
Kalaulah sahahatnya tidak memilih untuk menjadi seorang setiausaha,
tentu sekarang ini sudah menjawat jawatan jauh lebih baik. Memilih bidang yang
tidak mungkin orang sepertinya pilih.
“Masalah apanya pula?” Rose mengerut dahi. Bukan nak memberi sokongan malah membantah
pula.
“Hish!” Zaiton mencebik. Kalau dia menghalang dan tidak setuju, kejap
lagi adalah khutbah panjang berjela-jela keluar daripada mulut Rose. Baiklah dia diamkan sahaja. Tengok dan lihat. Bukan samakah maksudnya? Zaiton menggaru kepala sendiri. Apa sahajalah Labu, detik hati kecilnya.
“Jom balik! Aku dah kenyang sangat ni,” ajak Rose.
Mereka melangkah kembali ke
kereta. Masing-masing mula
berfikir. Rose berkira-kira perniagaan
yang bagaimana harus dimulakan. Kalau nak
buka restoran, restoran yang bagaimana, makanan apa dan berkongsepkan apa?
Zaiton pula sedang memikirkan idea
gila kawannya itu. Cuma, dia berharap
apa sahaja yang diceburi oleh Rose semuanya akan berjaya, aamin, doanya di
dalam hati. Biar apa sahaja anggapan
orang terhadap teman serumahnya itu, dia tetap suka berkawan dengan Rose. Mulut memanglah tiada insuran, cakap lepas
sahaja tetapi hatinya baik.