Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,866
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 20

Bunyi hon kereta yang kedengaran di luar rumah membuatkan sesiapa sahaja yang sedang jaga atau enak dibuai mimpi pasti terkejut. Mahu luruh jantung jadinya. Siapa pula yang datang secara kasar, tidak ada budi bahasa. Main kasar nampak? Rose mengeluh kesal. Emak dan ayahnya tentu ada di dapur. Habislah mereka mengamuk nanti, siapalah punya kerja. Terpisat-pisat Rose bingkas bangun. Memaksa diri menjengah keluar. Kejadian semalam masih berbaki di hati. Dia tidak bertegur sapa dengan kedua orang tuanya. Hatinya terluka, parah dan kecewa. Sejak semalam dia tidak menjamah sebarang makanan. Hanya menelan air minuman. Putus seleranya. Masih terngiang-ngiang kata-kata Mak Limah, masih terasa sakit tamparan sulong ayahnya. Mana boleh tahan. Kalau dia pendek akal sudah pasti lari tinggalkan rumah.

Rose berdiri di sebalik tingkap, memerhati kereta yang berada di laman rumah. Dia terintai-intai. Terjengah-jengah nak melihat kelibat siapakah itu? Dia melihat kedua orang tuanya sudah pun berada di pintu depan rumah. Keluar dua manusia yang begitu dikenalinya. Matanya hampir tersembul keluar. Dia mengetap bibir. Giginya saling bertautan. Rasa nak dilapah tubuh seseorang.

“Haikal, Ain?” Hanum mengerut dahi. Wajah Ain yang berplaster dan masih kelihatan lebam membuatkan dia kehairanan. Kuat sangatkah pukulan anak perempuannya? Tubuh anaknya kecil sahaja. Tumbukan pun adalah sebesar bayi berusia setahun. Takkanlah seteruk itu? Bengkak pipi Ain, macam kena sengat tebuan.

“Rose ada Mak Hanum?” tanya Haikal lembut.

“Rose mana mak cik?” tanya Ain agak keras dan kasar.

Haikal menyiku Ain yang berada di sebelahnya. Kurang senang dengan suara kasar tunangnya itu.

“Ada di dalam? Apa hal?” Seman memandang kedua-dua rakan sekolah anak perempuannya itu tidak berkelip. Mesti sebab hal kelmarin. Apa lagilah yang mereka tidak puas hati. Puas dia memujuk Mak Limah agar tidak membuat laporan polis. Berkali-kali dia memohon maaf bagi pihak Rose. Naik tebal rasa kulit mukanya. Semua kerana seorang anak yang keras kepala.

“Apa main siku-siku? Sakit tau?” kata Ain dengan muka cemberut dan menjeling tajam. Kenapa perlu berlembut dengan keluarga musuhnya itu? Tidak kuasa nak melayan. Mana perginya musuh tradisinya itu?

“Boleh awak diam sekejap tak? Sejak dari rumah awak, awak tu membebel, sampai di sini, masih membebel. Sakit telinga saya ni tau,” kata Haikal perlahan. Dia menggeleng kesal.

“Mana boleh? Awak tak tengok dan tak nampak ke muka saya ni? Esok dah nak kerja, mana boleh pergi kerja dalam keadaan macam ni?” soal Ain geram. Masih lagi nak membela perempuan hitam legam itu.

“Nak Mak Hanum panggilkan Rose ke?” Hanum memandang pasangan itu yang saling berbisik antara satu sama lain.

“Kalau boleh,” jawab Haikal penuh hormat. Dia memang rapat dengan keluarga Rose sewaktu zaman sekolah. Setelah dia belajar di luar negara, hubungan mereka semakin rengang.

“Ro…” Hanum menoleh apabila bahunya disentuh.

Rose melemparkan senyuman.

“Rose berbincanglah baik-baik. Mak dan ayah nak ke bendang.” Malas nak mencampuri masalah orang muda. Biarlah mereka selesaikan sendiri. Jangan sampai berbunuh sudahlah. Hanum mencuit bahu suaminya dan mereka melangkah masuk ke dalam rumah, keluar semula beberapa minit kemudia. Menaiki motosikal dan menderum meninggalkan rumah.

Rose memerhatikan sahaja kedua orang tuanya berlalu sehingga menghilang daripada pandangannya. Dia memandang pula pasangan yang berdiri di hadapannya dengan wajah serius. Macam nak buat projek besar, tetapi ada masalah. Dia memeluk tubuh, menanti butir bicara dari mulut kedua manusia yang berdiri macam tiang lampu di hadapannya.

“Hai, kena tumbuk pun mengadu kat tunang ke? Macam tak boleh nak selesaikan sendiri!” sindir Rose dengan wajah cemberut. Menyampah pun ada juga. Dia menjeling.

“Mestilah! Kau main kasar, takkan aku nak diamkan diri! Perempuan buruk macam kau memang harus diajar, tak sedar diri!” lengking Ain, tidak serik-serik.

“Siapa main kasar? Kau yang mulakan dulu! Kalau tak tak menyibuk, aku pun tak kuasa nak kotorkan tangan aku ni tumbuk muka kau tu!” Rose tidak mahu kalah. Orang hina seperti Ain seharusnya diajar. Waktu di zaman sekolah bolehlah dia dibuli, sekarang dunia sudah berbeza. Begitu juga dirinya.

“Hish, kalian berdua ni, macam budak-budaklah. Hey, kita dah dewasalah. Bukan budak sekolah lagi. Tak boleh ke berdamai? Asyik nak bercakaran saja. Kucing dan anjing pun dah berbaik. Tapi kalian berdua?” Haikal sendiri tidak faham, apalah yang tidak kena lagi? Kenapa masih nak bermusuh?

“Mana boleh!” kata kedua mereka serentak. Masing-masing masih berkeras.

“Bawalah tunang kau ni balik, Haikal! Sakit mata aku ni!” marah Rose. Benci sungguh dia dengan Ain. Dendam di hati tidak pernah padam. Rasa marah masih berbuku, keras dan tidak mungkin pecah walaupun menggunakan jentera berat.

“Hey, perempuan hitam! Kau kena sujud kepada aku, baharu masalah ini selesai!” Ain mencebik. Ingat senang-senang nak lepaskan diri? Uhuh… tidak mungkin. Ini Ainlah. Siapa tidak kenal Ain waktu zaman sekolah rendah dan menengah. Pelajar perempuan paling berpengaruh di sekolah ketika itu. Dia sering mendapat tempat pertama di sekolah, mahupun di dalam kelas. Tiada siapa mampu melawan kepandaiannya. Menjadi harapan sekolah untuk mendapatkan keputusan yang baik.

Rose telah membuat dirinya menjadi orang kedua di sekolah itu. Sebut apa sahaja aktiviti di sekolah, semuanya dimonopoli oleh gadis hitam legam itu. Siapa yang tidak sakit hati. Sejak itu dia menyimpan dendam di hati. Walaupun Rose tidak cantik, tetapi dia serba boleh. Pandai berpantun dan berseloka. Pandai menari, pandai segala-galanya. Cuma tak cerdik memilih bidang usai STPM. Bukan tidak mendapat keputusan yang baik. Entah apa yang ingin dibuktikan, melawan arus. Kan sudah tenggelam. Dia tersenyum sinis. Kini, dia berjawatan besar, Rose menjual nasi lemak di tepi jalan, ironinya. Hatinya bertambah sakit apabila Haikal, pelajar lelaki yang diminati menjadi pelindung Rose yang sering dibuli olehnya dan kawan-kawan. Semakinlah dia sakit hati.

“Awak ni kenapa? Tak baik gelar Rose macam tu!” tegur Haikal. Walaupun dia tidak lagi rapat dan berkawan baik dengan Rose, tetapi dia tidak suka perempuan itu dihina atau dicaci.

“Awak pula kenapa? Sanggup bela dia? Awak suka dengan dia ke?” Ain menolak tubuh Haikal dengan kasar. Sakit hatinya bila Haikal mempertahankan Rose.

“Ke situlah pula!” Rasa mendidih darah di hati Haikal. Memang harulah, sudah berumur dewasa pun masih tidak mahu berhenti bergaduh. Memang menyusahkan dirinya juga. Tidak pasal-pasal terpaksa balik ke kampung usai mendengar aduan Ain yang menangis-nangis sewaktu menelefonnya. Dia tidak menyangka sama sekali yang Ain bergaduh dengan Rose. Kalau macam ini, boleh sakit jiwa jadinya.

“Pergilah balik! Malas aku nak layan kalian berdua!” Rose tidak kuasa memanjangkan cerita. Nampak sangat Ain sengaja nak mencari gaduh dengannya. Tidak pernah berpuas hati. Kalau dahulu bolehlah cemburukan dirinya, sekarang nak cemburukan apa lagi? Dia sudah jatuh terduduk, kalau orang berniaga sudah dikira jatuh muflis. Bukannya dia cantik macam musuhnya itu? Apa masalahnya lagi? Yang lepas, biarlah lepas! Kenapa masih simpan dendam di hati? Kalau dia berdendam memanglah patut, sebabnya, dia sudah kehilangan segala-galanya. Malah dia kehilangan sahabat baik juga. Wajah Haikal yang masam mencuka dan sedang memujuk Ain ditatap seketika. Bernanah kecewa rasanya. Dia rindukan zaman sewaktu dia masih bersekolah. Dia ada teman berbicara, meluahkan apa yang dirasa. Kini, dia sunyi, sesunyi-sunyinya. Hutan yang tebal itu pun masih ada teman yang sudi menemankan. Tetapi, dia tiada sesiapa. Terasa malangnya nasib dirinya.

“Kau tak minta maaf lagi kat aku!” marah Ain. Dia sudah mencekak pinggang.

“Aku tak salah, kenapa nak minta maaf?” soal Rose. Kirim salamlah. Dia menjeling, bukan tajam malah tahap laser tajamnya jelingan itu. Mahu putus leher Ain nanti.

“Sudahlah! Tak boleh ke kalian berdua berdamai?” soal Haikal, panas hati. Masih lagi nak bertekak? Suruh berdamai tidak mahu.

“Jangan harap!” Ain menolak lengan Haikal. Tadi waktu sebelum datang, bukan main lagi tunangnya itu. Bila sudah berhadapan, sudah macam tikus jumpa kucing, tidak berani.

“Hoi! Berambuslah! Semak mata aku tengok!” jerkah Rose. Di tangannya sudah ada parang panjang. Dia tidak kira, kalau mereka masih berdegil tidak mahu pergi, biar dia amuk, macam Jebat mengamuk marahkan Sultan.

“Rose? Apa awak nak buat ni?” Haikal terkejut. Parang panjang yang berkilat itu menyeramkan tengkoknya. Mahu putus kepala kalau masih tunggu di situ. Hilang waras Rose apa pun boleh berlaku.

“Kau memang perempuan gila!” jerit Ain, turut berasa seram melihat parang panjang yang berada di tangan Rose. Perempuan itu memang sudah tidak waras lagi. Bertindak ikut rasa hatinya sahaja.

“Gila tak gila, aku tak peduli! Kalian berdua jangan datang sini lagi!” arah Rose hilang sabar. Mencungap nafasnya, terasa penat melayan kedua manusia yang dikenali dan tidak pernah mesra itu. Seorang pernah baik dan rapat dengannya. Yang seorang lagi entah bila akan berdamai dengannya. Rose menghentak-hentak parang itu ke tanah. Dia mengetap bibir, berwajah garang. Biar mereka berdua takut.

“Rose, kenapa jadi macam ni?” Haikal masih nak memujuk.

“Kau peduli apa? Ini soal aku! Kau tak perlu tahu!” Rose mencebik. Pura-pura ingin ambil tahu, pergi jalanlah, detik hati kecilnya.

“Haikal! Tak payah nak bermanis muka, perempuan ni memang gila!” Ain menampar bahu Haikal, bukan main lembut lagi bertanya. Menyampah pula dilihatnya. Menanah telinganya.

“Pergi baliklah! Berambus!” jerkah Rose lagi. Dadanya sebak.

“Hey, perempuan hitam legam. Kami pun tak sudi berlama di sini. Kau memang tak layak berlawan dengan aku! Sudahlah buruk, gila pula tu!” hina Ain. Terlupa dia akan kesan tumbukan yang diterima kelmarin. Sakit hati punya pasal, semuanya dilupakan.

“Hey, hitam-hitam aku, tak menyusahkan sesiapa!” Mendidih darahnya. Manusia yang tidak tahu erti bahasa. Sudah dihalau masih membebel di situ. Memang nak kena parang panjang agaknya, baharu nak berambus.

“Jomlah Ain!” ajak Haikal. Wajah garang Rose membuatkan dia sendiri meremang bulu roma. Dahulu Rose tidak begini, kalau dibuli pun, dia tidak melawan, hanya menangis dan berlari balik ke rumah. Kerana rasa simpati itulah dia rapat dan menjadi pelindung kepada teman sekolahnya itu. Kini, keadaan sudah berubah. Mereka tidak lagi seperti dahulu, apatah lagi dia bertunang dengan musuh Rose sejak di bangku sekolah. Haikal terus masuk ke dalam keretanya. Niat di hati nak menegur dan memberi peringatan kepada Rose agar tidak berkasar dengan Ain, namun hati kecilnya tidak sampai hati nak bertindak begitu. Mungkin mereka berdua boleh selesaikan sendiri masalah yang sedang mereka hadapi.

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.