Ain mengetap bibir. Dia tidak boleh duduk diam. Hatinya menggelegak sahaja panasnya. Rasa
terbakar seluruh tubuhnya. Kenapa perempuan buruk itu selalu sahaja berjaya?
Rasa nak ditumbuk-tumbuk sahaja muka Rose yang selamba sahaja tadi waktu
dihina. Langsung tidak menyerang atau
berganjak. Kalau perempuan itu bertindak
mudahlah untuk dia menghinanya lagi. Dia
memandang kiri dan kanan, kenapalah lelaki yang seorang ini selalu lambat kalau
diajak berjumpa. Ain memeluk tubuh. Air pesanannya semakin mencair aisnya. Rasa panas sahaja kakinya, rasa mengeletar
tubuhnya apabila mengenangkan perempuan hitam legam itu sudah menjadi pemilik
restoran. Tidak pula dia mendengar
cerita apa-apa daripada emaknya di kampung.
Emaknya pantang ada berita terbaharu pasti sampai kepadanya. Anak kucing Mak Joyah hujung kampung beranak
pun sampai kepadanya. Nak dilarang
emaknya bercerita, nanti merajuk pula.
“Maaf lambat. Jalan sesaklah!” kata
Haikal dan terus duduk di sebelah Ain. Wajah masam mencuka Ain sudah diketahui pasti
ada yang tidak kena. Kes apa pula kali ini?
Haikal mengeluh dalam hati.
“Alasan lapuk!” jawab Ain. Jelingan
tajam diberikan.
Aduh! Terbakar hatinya, detik hati
kecil Haikal. Dia tersenyum dalam hati.
“Kenapa pula awak macam nak telan
orang saja? Tak makan ke tengahari
tadi?” gurau Haikal. Tidak mahu
membiarkan wajah Ain terus masam begitu.
Langsung tak menarik dipandang.
“Memang saya nak telan orang!” luah Ain,
wajahnya semakin muram.
“Awak bergaduh dengan siapa pula
kali ni?” Haikal tahu benar perangai garang tunangnya itu.
“Sahabat lama awak tulah! Si hitam
legam!” jawab Ain kasar.
“Mana pula awak jumpa dia?”
Ain menceritakan apa yang dia nampak
dan jumpa. Paling penting mesti ada
tokok tambah, Haikal tidak akan percaya kalau cerita itu tidak meyakinkannya.
“Awak silap tengok orang kut?
Takkanlah Rose ada restoran sendiri?”
Haikal tidak percaya cerita yang didengarinya. Tidak mungkin Rose ada restoran sendiri. Jadi rakan kongsi? Banyak betul duit dia.
“Takkan saya tak kenal si hitam
tu? Saya belum buta lagi, dalam gelap
pun saya boleh kenal perempuan tu tau!’ Ain
memuncungkan bibirnya.
“Yalah, awak cukup kenal dengan
Rose, sampai bayang dia pun awak boleh cam, kan?” usik Haikal.
“Esok saya nak ajak awak tengok
sendiri, mungkin dengan awak dia boleh bercerita, macam mana dia ada duit
banyak buka restoran?”
“Laa… nak buat apa? Awak ni kenapa? Biarkanlah dia. Bukan ganggu kita pun!” Haikal tidak bersetuju. Entah hantu mana merasuk tunangnya itu. Sampai hal seperti itu pun dia nak ambil
tahu. Biarkanlah. Lantaklah Rose nak jadi apa pun, ada negara
sebuah pun dia peduli apa. Bukan ada
kena mengena dengan dirinya.
“Awak ni tetap tak nak faham
perasaan saya, kan? Sakit hati saya tengok budak hitam tu berjaya dan lebih
daripada saya tau!” luah Ain.
“Ain, tak baik tau awak bersikap
seperti ini. Biarkanlah Rose tu, bukan
dia ganggu awak pun. Kenapa awak pula
tidak mahu memahami perasaan saya.
Janganlah jadi pendengki dan cemburu dengan kejayaan orang lain. Awak sudah cukup sempurna. Pekerjaan pun
baik,” nasihat Haikal.
“Kalau awak tak nak bantu saya
siasat di mana budak hitam tu dapat duit, sampai boleh buka restoran, biar saya
buat sendiri!” kata Ain tegas. Dia
memandang ke arah lain. Sakit hati
sahaja memandang wajah Haikal yang suka membantah kenaknya.
“Hish awak ni? Takkan nak malukan diri sendiri? Perkara remeh saja tu!” Susahnya nak
menasihati orang degil seperti Ain.
Kalau tidak kerana hati sudah sayang, takkan dia sanggup menunggu.
Lebih-lebih lagi majlis perkahwinannya semakin hampir. Kalau terjadi apa-apa,
tentu malu keluarga kedua belah pihak. Mungkin dia masih berpeluang menasihati
tunangnya itu. Dia tidak boleh putus
asa. Sebagai bakal ketua keluarga, bakal
suami dia harus membimbing Ain menjadi seorang muslimah sejati dan isteri yang
solehah. Dia akan cuba membuang aura
negatif yang ada dalam diri tunanganya itu.
Biarlah dia menjadi pendidik kepada orang yang dicintainya.
“Awak! awak! awak mengelamun lagi
ya? Dengar tak cakap saya ni?”
“Dengarlah, saya sedang berfikirlah
ni.” Haikal menjeling. Penat sungguh kepala otaknya terpaksa
memikirkan perkara yang bukan ada kena mengena dengan kehidupan hariannya.
“Kalau dia boleh buka restoran, kita
pun boleh, kan?” Akal Ain terus berjalan.
“Awak dah gila ke? Awak ingat senang
nak buka restoran? Kedai tepi jalan pun
kita belum tentu mampu, tahu tak?” tempelak Haikal. Memang sudah sawan
tunangnya itu. Ingat mereka masih dalam dunia persekolahan? Semua ikut nafsu dan ikut rasa. Memang sengaja cari pasal.
“Mak saya ada duitlah! Setakat nak
melabur seratus, dua tidak jadi hal punya,” kata Ain bangga.
“Berapa? Seratus ringgit maksud awak?” Haikal sudah
mula nak naik angin.
“Yalah!” Ain buat muka selamba. Dia tahulah, bukan kecil modal untuk membuka
sebuah restoran, itu sebab berasa hairan… mana Rose dapat duit untuk berkongsi
buka restoran? Orang tua perempuan hitam
itu bukan seorang yang berada. Mereka
hidup biasa-biasa sahaja.
“Awak ni ikutkan sangat perasaan
cemburu awak terhadap Rose, berapa kali saya nak bagi tahu, antara awak dengan
dia macam langit dengan bumi. Takkan tak faham-faham lagi?” bentak Haikal. Mahu sahaja tangannya belangkong kepala yang
degil itu.
“Awak takkan faham!”
“Memang saya tak faham? Cuba awak fahamkan saya?” marah Haikal.
“Saya tak suka tengok dia berjaya!
Dia tak layak berjaya pun!’ tengking Ain tanpa memperdulikan orang sekeliling
yang memenuhi taman selera itu.
“Buanglah hati awak yang busuk tu Ain,”
pujuk Haikal.
“Kalau awak tak nak juga menyiasat,
biar saya buat sendiri. Jangan halang
apa yang saya nak lakukan, faham!”
“Awak memang degil!” marah Haikal lagi.
“Ah! Persetan semuanya. Keputusan saya, biar saya tentukan!” Ain tidak mahu kalah.
Haikal hanya mampu menggeleng
kesal. Hatinya turut mengeleng menolak
perbuatan Ain yang tidak boleh diterima
akal yang sihat. Untuk apa menyibukkan diri dengan hal orang lain.
“Kenapa awak sukar sangat nak
ditegur? Kenapa awak sukar sangat nak
berubah?” marah Haikal, kadang-kadang hilang juga sabarnya dengan sikap
pendengki yang ada dalam diri Ain. Kenapalah tunangnya mempunyai hati sehitam
ini. Agak-agaknya lebih hitam daripada
kulit Rose. Harapkan kulit putih bersih, tapi hati kotor. Erk… sedap sahaja dia mengutuk tunang
sendiri. Kalau ikut ketidaksabaran dirinya, mahu sahaja dia tinggalkan Ain.
“Awak pula kenapa? Asyik nak bela
budak hitam tu?” tengking Ain. Manalah
hatinya tidak panas. Dia harapkan
sokongan padu daripada tunangnya itu, alih-alih lain pula yang berlaku.
“Budak hitam tu, kawan kita
jugalah Ain… lupakan sengketa lama,
alahai. Bercakap dengan awak ni macam bercakap dengan tunggul, tak ada
perasaan!” Semakin sakit pula
hatinya. Semakin keras kepala dan degil. Apalah nasib dirinya.
“Itu kawan awak! bukan saya!” bentak Ain, bibirnya muncung ke hadapan.
Haikal mendengus kasar.
Penat sungguh melayan kerenah orang
perempuan kalau cemburu dan iri hati.
Terutama ada busuk hati. Hitam
buntut kuali, hitam lagi hati Ain agaknya.
Hitam Rose, mungkin hitam lagi jiwa Ain.
Simpati terhadap sahabat lamanya itu datang menyinggah. Haikal mengeluh kesal dengan sikapnya
sendiri. Sepatutnya dia terus menjadi
sahabat kepada Rose sehingga ke mati. Bukan seperti hari ini. Dia seolah-olah mementingkan diri sendiri.
Sudah dapat gading bertuah, rotan tidak berguna lagi. Buruk benar perangainya, entah-entah
hatinya juga sama hitam dengan Ain.
Hatinya terusik memikirkan Rose. Adakah sahabat lamanya itu sudah tidak lagi
bekerja sebagai setiausaha? Bekerja pula
di restoran? Dia mesti berjumpa dengan Rose. Buruk atau baik, perempuan itu tetap kawan
sekampung dan satu sekolahnya. Kenalah
dia ambil tahu juga. Lagipun mereka
sudah lama kenal. Sudah mengenali
keluarga masing-masing. Kalaulah emak
dan ayah Rose bertanyakan tentang sahabatnya itu, malulah kalau dia jawab,
tidak tahu. Jangan mereka syaki apa-apa
sudahlah. Nanti, yang malu adalah dirinya sendiri. Soal Ain perlahan-lahan dia akan cuba
mengubah hati perempuan itu dan menukarkannya kepada keputihan.
Erk… takkan kena makan ubat bagi putih kut? Haikal tersenyum dalam hati. Kalau senyum
seorang diri, tidak pasal-pasal kena sergah dengan tunangannya yang masih masam
mencuka.