Hatinya
berdebar-debar. Sejak dia berhenti
kerja, ini kali pertama dia menghadiri temuduga. Cuba menenangkan diri. Syarikat Maju Jaya bukanlah syarikat bertaraf
antarabangsa tetapi bolehlah, dari tiada.
Roseyatimah memakai blaus ala potongan kebaya berwarna biru laut, seluar
slack perempuan berwarna hitam. Tudung juga berwarna hitam. Dia berzikir di dalam hati, tidak lupa berdoa
juga. Semoga rezeki berpihak
kepadanya. Ada beberapa orang gadis muda
yang hampir sebayanya duduk di sebelahnya.
Mungkin hadir untuk ditemuduga juga.
“Hello, saya Murni,” sapa gadis muda
yang cantik bergaya di sebelahnya.
Tangan dihulur mereka bersalaman.
Begitu juga dengan seorang lagi gadis yang hanya menundukkan kepala serta
melakarkan senyuman. Tundukan dibalas
dengan anggukan dan senyuman juga.
“Roseyatimah,” katanya
memperkenalkan diri.
“Nak temuduga jawatan tukang cuci
ke?” tanya Murni sambil memberi senyuman paling manis.
Terkedu seketika Roseyatimah. Dia memandang penampilan dirinya. Puas dia mencium bau badan sendiri. Di mana
yang tidak kena? Nak tersenyum atau bambu minah seorang ini. Adakah dia dikatakan nak temuduga jawatan tukang cuci? Buruk sangkah dirinya. Mahu sahaja dia menjerit sekuat hati. Hanya senyuman dilakarkan. Malas nak
bersoal jawab. Nanti ada pula yang kena bom atom yang ada di dalam
hatinya itu. Mampu menahan geram di hati sahaja.
Hampir setengah jam menunggu
akhirnya namanya di panggil. Roseyatimah melangkah masuk dengan penuh
yakin. Segala sijil semuanya
dibawa. Ini untuk meyakinkan penemuduga,
dia seorang yang aktif dan kreatif.
Biarlah paras rupa buruk asalkan mutu kerja terjamin bagus. Pujilah diri sendiri, tiada siapa yang nak
memujinya. Sedar kekurangan diri
sendiri.
Daun pintu diketuk perlahan. Setelah
mendengar arahan menyuruhnya masuk, baharulah daun pintu dibuka perlahan dan
penuh sopan. Bukan hipokrit, itulah cara untuk menampilkan diri ketika bertemu
penemuduga. Sopan santun aspek yang
dipandang juga. Langkah dengan yakin,
senyuman terukir di bibir. Tunduk hormat, mendekati kerusi yang diletakkkan di
tengah-tengah antara tiga orang
penemuduga yang setia menanti.
Sedang bercakap sesama sendiri.
Dua orang lelaki dan seorang wanita.
Berketrampilan menarik. Mungkin
mereka dari bahagian HR.
Mereka memandangnya serentak. Dia menunduk hormat sekali lagi. Pandangan mereka seperti kehairanan. Dia sudah biasa dengan pandangan itu. Mungkin kehairanan melihat kulitnya atau
dirinya sendiri. Lantaklah! Tiada kuasa
untuk menolak pandangan buruk orang terhadap dirinya.
“Awak Roseyatimah bt Seman?” tanya lelaki yang berkaca mata, tubuhnya
sedikit berisi. Misai tebal ular
sawa. Roseyatimah tersenyum dalam hati,
sempat pula menilai rupa orang lain, sedangkan diri sendiri… kalau orang tengok
boleh pengsan.
“Ya tuan,” jawab Roseyatimah. Dia menghulurkan fail yang berisi
sijil-sijilnya.
Ketiga-tiganya meneliti seorang demi
seorang. Mereka terangguk-angguk seperti
burung belatuk. Entah apa yang
dianggukkan, dia sendiri malas nak ambil tahu.
“Awak pernah jadi setiausaha di
Syarikat Milinium? Hebat! Kenapa
berhenti?” tanya wanita yang berambut
perang, bibirnya merah menyala. Solekannya
sedikit tebal. Nak berlakon drama atau
filemkah? Biasanya hanya pelakon atau
artis yang buat persembahan akan solek setebal itu.
“Ya puan, saya diberhentikan kerana
kontrak saya sudah tamat,” jawab Roseyatimah jujur. Memang benarlah. Bukan dia menipu. Walaupun tahu apa
alasannya, biarlah mereka menilai sendiri.
Mereka terus bertanyakan beberapa
soalan tentang bidang kerja sebagai setiausaha.
Dia menjawabnya dengan mudah, kerana dia memang minat dengan kerjaya
itu. Sehinggalah…
“Awak perasan tak, kulit awak begitu
gelap sekali, kalah India di Malaysia.
Tak pasti saya warna kulit awak yang sebenar? Dah seperti punggung kuali,” kata seorang
lagi penemuduga yang duduk santai memandangnya.
Sinis sekali renungannya. Wajahnya serius, langsung tidak senyum.
Hidungnya punyalah mancung, kalau Hitrik Roshan. Tubuhnya langsing. Mungkin juga tinggi. Mana nak nampak, diakan sedang duduk. Roseyatimah mengeluh. Terasa pula hatinya, adakah kulitnya
disamakan dengan punggung kuali?
Penghinaan yang mampu membuatkan dia menyerang lelaki itu sekarang
juga. Namun, dia bertahan, tarik nafas
perlahan-lahan dan lepaskan juga perlahan-lahan. Penemuduga itu sengaja nak
menduganya. Nak lihat sama ada dia
seorang yang penyabar atau tidak.
Roseyatimah hanya tersenyum.
Penghinaan adalah satu latihan untuk menjadi manusia penyabar.
“Melihat fizikal diri awak, rasanya
tak sesuai jadi setiausaha, tukang cuci bolehlah,” kata seorang lagi.
Roseyatimah masih tersenyum.
“Yalah, kenapa awak pilih kerjaya
ni? Tak sesuai langsung. Setiauasaha
seorang yang putih, cantik dan bergaya.
Awak langsung tiada pakej seperti itu,”
sampuk wanita itu pula.
“Kerana minatlah saya pilih kerjaya
ini!” jawab Roseyatimah agak kasar sedikit.
Sakit telinganya dihina begitu. Tidak perlulah mengulang-ulang perkataan
tentang keadaan fizikalnya. Dia sudah
mengenali dirinya, sejak lahir lagi, warna kulit itu sahajalah yang ada di
tubuhnya.
“Orang Afrika lagi gelap, tuan,
puan!” ujar Roseyatimah dengan muka selamba.
“Itu orang Afrika, awak pula orang
Melayu,” kata wanita itu dengan muka
cemberut.
Apa hal nak marah pula? Kalau tidak
suka kepadanya, tidak mengapa. Tetapi jangan menghina.
“Terima kasihlah tuan-tuan dan
puan.” Roseyatimah mengambil semula fail
berisi maklumat dirinya, resumenya. Dia
mengetap bibir. Menahan marah. Dia memusingkan tubuhnya dan melangkah
keluar. Dia juga ada maruah diri. Bukan boleh sesuka hati diperkecilkan. Dia tidak menghiraukan panggilan mereka.
Langkahnya semakin laju. Semakin parah
hatinya disakiti. Susahlah hidup di
dunia ini jika hanya memandang kecantikan dan rupa paras yang sempurna. Tiada tempatkah untuk orang seperti dirinya?
Dia menyandar di sofa sambil
menonton televisyen, kisah pagi tadi kalau boleh nak dilupakan. Wajah-wajah mereka yang telah
menemudugakannya itu, kalau boleh juga tidak mahu diingati. Buat sakit hati sahaja. Dia mendengus kasar. Kalau naik angin meroyan dia, mahu dia serang
mereka tadi. Masih ada akal yang
waras. Masih sihat dan segar. Jangan jadi manusia yang tidak bertamadun. Kesabaran itukan separuh daripada iman. Sabar
Rose, sabar! Itulah ayat yang sedang berlagu di hati.
Bunyi daun pintu ditolak orang
membuatkan dia menoleh pantas. Terpacul
Zaiton dengan senyuman terukir di
bibir. Dia menapak mendekati Roseyatimah.
“Macam mana temuduga tadi?” tanyanya
riang.
“Hampeh!” jawab Roseyatimah.
“Kenapa pula? Kau buat hal ke?”
“Jangan nak tuduh! Mereka perli dan
hina warna kulit aku. Aku tak tunggu, terus angkat kaki. Kalau aku tunggu
rasanya ada yang mati di tali gantung,” luah Roseyatimah. Dia menyengih.
Zaiton cemberut, simpati pun ada
juga. Kasihan sahabatnya itu. Semoga sahabatnya itu mampu bersabar dengan
ujian ini. Kalau dia sambung belajar
lagi baik. Tinggalkan bidang
kesetiausahaan. Nak minta kerja apa
lagi? Mungkin boleh cuba kerja
sebagai gadis tol, tiada siapa yang
nampak paras rupa, hanya tangan yang bekerja tetapi memakain sarung
tangan. Dia tersenyum sendiri.
“Apa senyum sorang-sorang?” tempik
Roseyatimah.
“Apalah kau ni Rose? Buat terkejut saja.” Zaiton menayangkan wajah cemberutnya.
“Kau bersabar ya Rose,” nasihat
Zaiton. Hanya itu yang mampu dilakukan ketika ini. Apalah dayanya. Kalau dia ada syarikat sendiri, boleh juga
ajak Roseyatimah bekerja dengannya. Jadi
setiausahanya, tidak perlu cari orang lain. Ini, dia pun bekerja dengan
orang.
“Tengah bersabarlah ni…” Roseyatimah
mengangkat kening.
“Kau kuat, itu sebab ALLAH uji kau
dengan ujian seperti ini,” pujuk Zaiton.
“Mungkin.” Roseyatimah memandang ke
arah lain. Matanya mula berkaca. Melihat
dirinya sendiri membuatkan hatinya pedih dan sedih. Dia tidak meminta dilahirkan begini, bukan
salah kedua orang tuanya juga. Bukan
salah sesiapa. Takdir, inilah takdir
dirinya. Kenapa mereka tidak mahu
menerima?
“Aku mandi dulu, nanti kita keluar
makan bersama. Aku dah dapat gaji. Malam ini aku belanja kau makan, ya
Rose?” Zaiton bingkas bangun. Dia tidak mahu memandang wajah duka
sahabatnya itu. Hatinya akan diulit
pilu. Dia tidak mahu menangisi nasib
Roseyatimah. Dia akan terus
membantu. Dia akan cuba mendapatkan
pekerjaan yang sesuai untuk teman serumahnya itu. Tentu Roseyatimah tidak mahu
pulang ke kampung. Dalam keadaan begini,
pasti hatinya akan kecewa dileterkan pula kedua orang tuanya nanti.
“Okey,” wajahnya dimaniskan. Dia juga tidak mahu Zaiton susah hati dengan
keadaannya. Biarlah dia tanggung sendiri
masalahnya. Zaiton sudah banyak
membantunya. Memberi sokongan sahaja
sudah cukup baginya. Hanya Zaiton kawan
baiknya setelah dia kehilangan Haikal di tangan musuh ketatnya. Apapun masalahnya dengan Haikal, dia tetap
mendoakan kebahagian bekas sahabatnya itu.
Erk… sahabat boleh jadi bekas tak? Dia tersenyum dalam hati.