Air
mata yang mengalir bagaikan teman setia tidak mahu berhenti. Kenapa hatinya sakit sangat? Kenapa hatinya sedih sangat? Terasa diri tinggal sendiri. Tiada teman
tempat mengadu. Parah terlupa, hangus
terbakar. Dipadamkan dengan air telaga
tujuh pun belum pasti dapat dipadamkan.
Remuk redam hatinya. Hancur lulur
perasaannya. Jiwanya berkecai, jadi debu, berterbangan pergi ketika ditiup
angin yang lalu.
Roseyatimah duduk di tepi sungai
berhampiran rumahnya. Melihat lompatan ikan kecil di dalam sungai itu
menyejukkan seketika hatinya yang galau.
Menghilangkan rasa sakit hati yang membukit. Haikal tidak datang memujuknya. Hari ini adalah hari bersejarah buat pemuda
itu. Tanpa kehadirannya sebagai seorang
sahabat sejati. Selera makannya juga
menghilang pergi. Teruk betul keadaannya
kali ini. Sudah seperti mati suami,
sedankan belum kahwin lagi. Rasa sedih
bertimpa-timpa, itu yang teruk remuk dan hancur jadinya. Kehilangan pekerjaan dan kehilangan orang
yang tersayang.
“Rose, tak nak ikut mak ke rumah
Haikal ke? Haikal tak ajak pergi meminang Aina?” tanya Hanum tanpa mensyaki
apa-apa. Dia tahu hubungan Haikal dan
anak gadisnya itu memang rapat. Ingatkan
mereka bercinta. Jauh pangang dari api,
mana mungkin pemuda sekacak Haikal akan memilih anaknya itu. Siapapun yang sudi
mengambil anaknya menjadi isteri, pasti lelaki itu mulia hatinya.
“Tak kut mak… rasa nak demam pula,”
jawab Roseyatimah tanpa memandang wajah emaknya.
“Nak demam?” Hanum merasa dahi
Roseyatimah. Memang sedikit panas.
“Nak pergi klinik ke?” tanya Hanum
lagi.
“Tak payahlah mak… nanti makan
panadol, legalah demam ni.” Roseyatimah
menolak dengan baik. Dia tidak mahu
emaknya mengesan hatinya yang sedang sedih.
“Betul tak nak pergi?” tanya Seman
yang sudah bertengek di atas motosikalnya.
“Betul ayah, terima kasih ya.” Pandangan matanya mengerling ayahnya. Rasa sayang subur di hati terhadap kedua
orang tuanya itu.
“Adik-adik kau, emak tak bawa,
tolong tengok-tengokkan. Mereka sedang
buat kerja sekolah,” suruh Hanum sebelum
melangkah naik membonceng motosikal suaminya.
“Yalah mak…” jawab Roseyatimah. Terasa mulutnya ringan sahaja hendak menjerit
dan meraung sekuat hati, melepaskan rasa marah yang bersarang di jiwanya. Seperti hendak dilontar hatinya yang telah menahar itu jauh dari
sini. Biar tiada siapa yang tahu hatinya
sedang terluka. Rasa panas di tubuh
datangnya dari hatinya yang sedang parah itu.
Roseyatimah kembali ke rumah. Kepanasan terik mentari tidak mampu dilawan
lagi. Dia melangkah masuk ke dalam
rumah. Adik-adiknya seramai tiga orang sedang tekun menyiapkan kerja
rumah. Emak dan ayah mengajar mereka
disiplin. Selagi tidak siapkan kerja sekolah, selagi itulah tidak boleh
menonton televisyen. Bagus juga larangan
emaknya itu. Kalau hampir dengan peperiksaan, televisyen diharamkan. Setakat ini adik-adiknya tidak
membantah. Pelajaran mereka juga amat
memuaskan.
“Kak long… kenapa monyok saja?” tanya Syaida yang akan ambil PT3 tahun ini.
Jarak usianya dengan adik keduanya
itu terlalu jauh. Bagaimana dan sebab apa dia tidak pernah bertanya. Jarak yang
kedua dengan ketiga dan bongsur hanya beberapa tahun.
“Sakit kepala, sakit hati dan sakit
otak!” jawabnya dengan wajah selamba.
“Pelik betullah sakit orang dewasa,
usu tak nak jadi dewasalah, nanti semua
sakit. Taklah sakit macam along, sakit kepala, sakit hati dan sakit otak!
Bahayanya?” kata Halida yang baharu berusia lapan tahun.
“Memang sakit orang dewasa ke?”
tanya Harun, satu-satunya anak lelaki dalam keluarga itu. Berusia enam tahun
tetapi petah berkata-kata.
“Jangan nak merapu, buat kerja
sekolah tu!” Dia menjeling. Tubuhnya
terasa sakit. Agaknya, hati sedang galau
membuatkan sistem tubuh turut terasa sengalnya.
Dia terus menutup daun pintu dan masuk ke dalam bilik.
“Jangan buka pintu, kalau ada orang
ketuk, panggil kak long,” pesannya. Sekarang macam-macam kejadian berlaku,
penipuan ada di mana-mana. Keselamatan
adik-adiknya perlu di jaga. Dia ingin
berehat seketika di dalam bilik.
Perutnya masih belum terasa lapar.
Mungkin adik-adiknya sudah menjamah makan tengahari mereka. Dia ke dapur untuk mengisi tekaknya yang kehausan.
Di atas meja terdapat sebekas adunan yang sudah dibulat-bulatkan. Apa ke bendanya ini? Kelihatan seperti tepung
roti canai? Emaknya nak buat roti canai
bila? Malam ini ke? Mungkin untuk makan malam mereka. Emaknya memang pandai memasak. Itu sebab
ayahnya jarang menjamah makanan di kedai.
Kalau ada teman sekampung atau
kenalan yang hendak belanja baharulah ayahnya pergi. Kalau tidak di
rumahlah tempat ayahnya mengisi perut.
Lagipun jimat belanja.
Kedua orang tuanya memang pandai berjimat cermat. Dia juga jadi terikut-ikut dengan perangai
mereka. Sejak di bangku sekolah dia dan
adik-adiknya sudah diajar berjimat cermat.
Duit belanja sekolah yang diberi akan disimpan sedikit untuk
menabung. Kata emak, sedikit demi
sedikit, lama-lama jadi bukit. Buktinya,
duit simpanannya ada berbelas ribu ringgit.
Kedua orang tuanya tidak pernah mengacau duit simpanan mereka
adik-beradik. Untuk masa hadapan, kata ayah.
Sakit demam tidak tahu bila akan berlaku, jadi beringatlah sebelum
berlaku apa-apa.
Usai meneguk dua belas air kosong, Roseyatimah
melangkah masuk ke dalam biliknya. Dia
merebahkan tubuh di katil. Cuba untuk melelapkan mata. Fikirannya yang sedang kacau membuatkan dia
sukar melelapkan mata. Wajah ceria
Haikal dan Aina bermain di mata. Sakit
pula hatinya. Menyucuk-yucuk di
hati. Rasa geram dan marah sudah
bercampur baur. Mahu sahaja dia
mengambil senapang patah dan menembak kedua pasangan itu. Biar bertabutan serpihan tubuh mereka. Eee…! Tidak suka perasaan ini! Buat dia tidak tenang dan tenteram. Kenapa
ada sakit di hati? Kenapa ada perasaan yang tidak tenang di jiwa? Kenapalah dia balik kampung? Akhirnya dia menangis juga. Terasa dia ditinggalkan keseorangan. Sepi dan sunyi. Inikah agaknya nasib orang buruk sepertinya? Kalaulah dia pendek akal sudah pasti dia
hilang pedoman. Ya ALLAH, Kau berilah
aku kekuatan, doanya dalam hati. Cuba
membina kekuatan untuk diri sendiri.
Roseyatimah mengelap air mata yang
membasahi pipinya. Dia mencari kekuatan
untuk membina kembali kehidupannya. Dia
tidak boleh kalah dengan ujian.
Keburukan rupa paras bukan penyebab untuk dia mengalah.
Masih ada ruang untuk orang sepertinya. Apa yang penting harus berani
dan yakin dengan diri sendiri. Ramai
lagi yang lebih buruk paras rupa mereka jika hendak dibandingkan dirinya. Sepatutnya dia bersyukur kerana masih
dilahirkan dengan sifat fizikal yang sempurna, tiada cacat cela. Bagaimana dengan mereka yang tidak dapat
melihat, mendengar dan berjalan. Dia
cukup semuanya. Masalah dirinya adalah kulitnya yang gelap. Itu sahaja. Kenapa dia perlu menangisi orang yang tidak
menghargai dirinya? Bukankah dia ada ALLAH yang menyayangi dirinya? Jangan jadi bodoh, Roseyatimah! Bisik hati
kecilnya.
Kau perlu kuat! Kau perlu bangun!
Jeritnya dalam hati. Membina kekuatan untuk diri sendiri. Kalau bukan diri
sendiri, siapa lagi yang boleh membantunya?
Tidak ada orang lain yang mampu mengubah kehidupannya! Hanya dirinya
sendiri. Roseyatimah menarik nafas
panjang. Dia perlu mengubah
hidupnya. Tidak mahu lagi ditindas dan
dihina. ALLAH SWT tidak akan menjadikan
dirinya sia-sia. Pasti ada hikmah kenapa
dia dilahirkan dengan kulit seperti
ini. Dia tidak boleh menyalahkan
takdir. Dia perlu kuat menghadapi takdir
hidupnya.
Menangis air mata darah sekalipun,
kulitnya tidak akan putih. Meraung dan merayu kepada kedua orang tuanya pun
mereka tidak mampu mengubah dirinya.
Buruk sangatkah dia? Tidak? Ramai lagi manusia yang berkulit gelap di
luar sana. Dari Afrika, India, Sudan di
mana lagi? Carilah! Kenapa dia dihina? Kenapa dia dianggap tidak cantik? Tidak sesuai jadi seorang setiausaha hanya
kerana kulitnya. Kenapa mereka tidak
menilai mutu kerjanya? Kenapa mereka
pandang sebelah mata sahaja? Persoalan
yang tidak mampu dijawab oleh dirinya sendiri.
Makan atau pakai produk yang jual di luar sana? Tidak berani.
Apa kata ketika dia sedang memakannya, terjadi sesuatu, produk tersebut
tidak sesuai dengannya. Pasti keadaan
menjadi lebih teruk lagi. Manalah tahu
jadi kanser kulitkah? Oh, tidak
sanggup! Kerana hendak cantik untuk
mendapat pujian orang lain, diri sendiri menjadi mangsa. Memanglah kecantikan itu penting untuk
keyakinan diri. Tetapi kalau ALLAH
jadikan diri seseorang itu sebegitu, pasti ada sebab. Tidak mungkin kejadian
itu satu yang sia-sia. Roseyatimah
tersenyum. Dia perlu kuat dan yakin
dengan dirinya sendiri.