Kehadiran Haikal malam itu memang
mengejutkannya. Apa pula kisahnya kali
ini, takkan nak beri amaran agar tidak mendekati Ain. Eee… siapa dekat dengan siapa? Siapa terjah
siapa? Kalau Haikal ajak berlawan, dia
sedia berperang. Ingat si hitam ini
tidak berani berpencak silat? Tengok kakilah!
Erk… sudah tentulah telapak kakinya terang sedikit dari kulitnya. Rose membawa
segelas the ais yang dipesan oleh Haikal. Seram sejuk pula berhadapan dengan Haikal,
bukan takut dengan Haikal tetapi takut dengan tunangan Haikal yang macam singa
lapar itu. Agaknya Haikal lupa bagi
makan, Rose tersenyum sendiri. Kebetulan
pengunjung tidak ramai di restoran, almaklumlah pertengahan bulan. Masing-masing berjimat cermat sementara
menunggu hujung bulan.
Maznah bersedia menjaga kaunter sementara dia
berbual dengan Haikal. Baik betul hati majikannya. Susah nak dapat majikan sebaik Maznah.
Biarlah dia bekerja di situ sahaja, selagi diperlukan. Manalah tahu masin mulut Maznah dia mampu
menjadi rakan kongsi, amboi! Tingginya angan-angan. Banyak duit kau, Rose,
bisik hati kecilnya sendiri.
“Awak nak makan apa? Takkan nak
minum saja?” tanya Rose setelah meletakkan teh ais yang dipesan oleh Haikal.
“Tak apa, saya dah makan. Cuma, nak berbual dengan awak saja,” terang Haikal dengan wajah manis. Lebih manis daripada gula-gula Hudson yang
sering dimakan oleh Rose, walaupun ada pahitnya tetap dia suka.
“Kenapa tiba-tiba cari saya? Ain
suruh ya?” Rose duduk menghadap
Haikal. Sebelum itu dia sempat
memandang kiri dan kanan. Manalah tahu tiba-tiba muncul Ain dengan parang ke,
pisau ke, lebih takut kalau dia bawa M16, mahu berkecai tubuhnya yang cantik
menawan ini, omel Rose dalam hati.
“Tak perlu takut, Ain tak ada,”
beritahu Haikal. Dia menyengih.
“Macam-macam tau saja saya cari
tunang awak yang macam singa tu!” Rose
mendengus kasar.
“Saya datang nak minta maaf bagi
pihak dia. Harap awak tak berasa
hati,” jelas Haikal. Dia tidak mahu mereka tinggal se kampung
tetapi bagaikan orang asing bila di luar.
Padahal sekolah sama, satu kelas lagi.
“Kenapa pula awak yang datang minta
maaf? Sah-sah tunang awak tu yang serang
saya? Dialah yang salah!” Rose memandang ke arah lain. Dahulu mereka
amat rapat, begitu akrab, bagaikan aur dengan tebing. Kenapa perlu berubah? Kenapa perlu berpisah?
Adakah hati Haikal tidak lagi sudi berkawan dan menjadikan dia sahabat sejati sehingga ke akhir hayat.
“Awak sendiri tahukan sikap Ain. Jangan haraplah dia akan tunduk pada
awak.” Haikal mencuri pandang wajah
polos Rose. Simpati menggunung tinggi.
“Kenapa dia benci sangat dengan
saya? tak fahamlah!” Semakin difikir,
semakin dia tidak memahami apa yang berlaku.
Kenapa harus cemburu kepada dirinya yang bak Dayang Senandung itu. Sekurang-kurangnya nak cemburu pun dengan
Dayang Senandung, ada juga logiknya, sebab bertukar jadi pelakon Saadiah yang
cantik menawan, tubuh bak kerengga, ini… dia, Rose tapi tidaklah secantik
pelakon itu. Lihatlah tubunya, kulitnya,
langsung tidak menawan. Tiada ertinya nak cemburu buta dengan dirinya. Kalaulah dia secantik Erra Fazira atau
Neelofa. Hah! Baharulah boleh nak cemburu.
“Harap awak bersabar ya,” pujuk
Haikal.
“Awak pula kenapa datang cari saya?
Kitakan dah lama tak jadi kawan?” Macam budak-budak pula, sekejap kawan,
sekejap tidak. Apa kes? Rose menjeling tajam. Kalau mata dia ini ada laser sudah lama dia laserkan
Haikal. Biar terbakar, biar putih mata Ain
tidak berlaki.
“Nak minta maaf juga!” luah Haikal.
“Besar sangat ke kesalahan awak pada
saya?” Rose memandang ke arah lain
sekali lagi, tidak sanggup mengadap muka atau bertentang mata dengan Haikal
Sakitnya di sini nun jauh di lubuk hati yang paling dalam. Haikal buat dia macam sampah sahaja, kalau
tak suka buang, kalau suka, kutip balik.
Hey! Dia pun ada maruah tau! Bebelnya dalam hati.
“Awak rasa?” Haikal memandang wajah
yang sentiasa menunduk dan kadangkala memandang ke arah lain, langsung tidak
mahu bertentang mata dengannya.
“Saya tak pernah makan orang, tak
tahu rasanya macam mana,” jawab Rose selamba.
Toing! Haikal menyengih. Nak tergelak pun ada, namun
ditahannya semahu mungkin.
“Awak masih marah saya?” Haikal sengaja ingin menguji hati sahabatnya
itu. Masih berertikah persahabatan mereka selama ini.
“Kenapa saya nak marah awak?” Kali
ini Rose memberanikan diri memandang wajah Haikal. Mata bertentang mata, lidah kelu untuk
berkata.
“Yalah, saya menyepi dan tinggalkan
awak sendirian, tanpa berita, tanpa khabar, alih-alih balik saya bertunang
dengan Ain, musuh tradisi awak tu,” ulas
Haikal dengan mata redup menikam sukma.
Hoi! Tiada cinta antara kami okey, sekadar rasa sayang seorang sahabat
kepada sahabatnya. Dia sudah menganggap
Haikal sebahagian daripada keluarganya. Nak
dianggap abang, mereka sebaya, adik lagilah tidak sesuai.
“Ada saya kisah?” Rose mencebik.
“Saya kisah!” jawab Haikal dengan mata penuh mengharap,
agar hubungan mereka kembali bertaut.
“Tunang awak kisah, kan? Awak tak takut ke dia serang awak dengan
mesin gun?”
“Nak takut apanya? Saya pakai
penangkis kapal terbang.” Haikal tersenyum.
“Konon!” Rose mencebik. Belakang beranilah. Kalau berdepan, mahu Haikal lari berbatu-batu
dikejar Ain.
“Eh, awak ingat saya takut dengan Ain
ke? Tolong sikit! Saya malas nak cari gaduh saja,” jelas Haikal.
Apa kes, nak takut dengan perempuan.
Dia bukan lelaki dayus. Dia ada
maruah diri. Dia malas nak bertekak dan
bertegang urat dengan Ain, nanti lain jadinya.
Ain seorang perempuan yang manja, manis tetapi agak pendendam. Terlajak sudah bercinta, terpaksalah dia
meneruskannya.
“Yalah tu! Kononnya, tak takut.
Sekali Ain sergah, menggigil kaki tangan,” sindir Rose.
“Jangan nak sindir saya pula
ya? Awak ingat saya lelaki dayus? Tak
ada maruah dan harga diri? Tengok
kakilah!” Haikal tidak mahu kalah.
Rose menunduk, sambil melihat kaki
Haikal yang berkasut.
“Mana nampak?” kata Rose dengan wajah selambanya.
Haikal menggeleng. Sahabatnya itu tetap kelakar sama seperti
dahulu, walaupun mulutnya agak laser dan garang orangnya. Memang sesuailah jadi seteru Ain. Nasib baiklah tidak duduk sekampung, kalau
tidak hari-hari berperang dan berparang agaknya.
“Perumpamaanlah!” Haikal menepuk meja.
Rose tetap serius seperti tadi. Langsung tidak tersenyum.
“Awak kerja kat sini dah lama ke?”
Haikal menukar topik.
“Baharu saja, kenapa? Ada berita
lain yang sampai kat awak ke?” soal Rose,
sudah pastilah Ain memberitahu bahawa dia menjadi rakan kongsi restoran
ini. Perempuan itu bukan boleh tengok
dia senang, ada sahaja yang buat dia sakit hati. Kenapalah ada manusia sebusuk itu hatinya,
tidak boleh tengok orang lain gembira atau senang. Ada sahaja cara nak memusnahkannya. Kalau Ain main kasar, dia tidak teragak-agak
main kasar juga. Mana boleh tahan, asyik
kena buli, bukan baharu sekarang, tetapi sejak sekolah. Ingat dia anak patung agaknya. Atau tunggul yang tidak bernyawa. Tolong sikitlah, dia manusia, ada kaki dan
tangan. Kalau nak rasa penampar sulong atau tendangan padunya, dipersilakanlah.
“Taklah, bukan ke sebelum ini awak
kerja sebagai seorang setiausaha, itukan dulu cita-cita awak, kenapa tiba-tiba
tukar profesion pula?” tegur Haikal dan dia
ingin tahu sangat. Apa masalah sahabatnya itu.
“Memang saya cuba melawan arus,
Haikal. Saya nak jadi setiausaha, sebab
saya nak buktikan orang tak cantik pun boleh bekerja sebagai setiausaha. Boleh
bekerja dengan baik. Saya lupa
bahawa manusia suka sesuatu yang indah dan sedap mata memandang. Kalau sudah
hari-hari bos saya tengok muka saya asyik terkejut saja, mana dia boleh
tahan. Akhirnya selepas setahun, kontrak
saya pun ditamatkan. Tidak tahu nak buat
apa, saya kerjalah di sini. Majikan saya
pun baik. Suka pula saya bekerja dengan
orang ramai seperti ini. Taklah sunyi
sangat, walaupun orang pandang saya berkali-kali,” cerita Rose jujur.
“Kasihan kat awak, kan?” Haikal mengeluh. Malang sungguh nasib
sahabatnya itu. Kalaulah Rose memilih bidang lain, taklah ada sikap prejudis
terhadapnya.
“Tak payah nak simpati! Baharu sekarang awak nak simpati? Waktu Ain
ganyang saya, awak siap marah saya lagi! Apa hal? Hari ni datang nak simpatilah, nak berkawan
baliklah, awak tersalah makan ubat ya?” sergah Rose. Dia tidak suka orang
simpati atau kasihan terhadap dirinya. Sejak kecil sampai sekarang sudah
terbiasa dikotak-katikkan. Ada dia
kisah? Dia tetap boleh hidup pun.
“Saya tahu salah saya, saya
ketepikan perasaan awak. Kita
berdamailah? Ya?” pujuk Haikal dan masih mengharap.
“Tengkorak awak! bertahun-tahun awak putuskan hubungan dengan
saya! Awak pergi bertunang dengan hantu
raya tu! Awak datang ke rumah saya, serang saya! Hari ini awak datang jumpa
saya, ajak berdamai? Hey… buruk-buruk saya, saya tetap ada perasaan tau! Ada
hati! Walaupun hati saya ni berderai, berkecai oleh sebab sikap awak! tapi saya
bersabar saja. Awak ingat saya ni
manusia buta hati ke apa?” herdik Rose.
Agak tinggi nada suara Rose sehingga mampu didengari oleh pelanggan
restoran itu.
“Syyy!” Haikal memandang kiri kanan,
berasa malu diri menjadi perhatian.
Apalah perempuan ini, kalau nak
mengamuk pun tengok tempatlah, bukan main lepas sahaja, macam peluru tak
bermata. Silap tembak kena batang hidung
sendirilah nampaknya.
“Apa syyy?” kata Rose, tangan sudah di pinggang. Dia
mencekak pinggang, matanya membulat memandang wajah Haikal. Rasa nak
ditelan-telan lelaki itu hidup-hidup. Ini baharu nak makan orang!
“Awak ni kenapa? Kenapa nak marah-marah! Saya datang nak
berdamai tau.” Haikal menjeling.
“Tak payah nak menjeling kat saya,
awak tu bukannya perempuan! Apa hal?
Kena cucuk hidung dengan Ain sudah hilang kejantanan awak?” bebel Rose.
Bila lagi dia nak marah lelaki itu, yang telah begitu lama menyakitkan hatinya.
Inilah masanya dia memuntahkan peluru mesin gun sepuas hati. Biar Haikal tahu siapa dirinya. Jangan
senang sahaja nak permainkan persahabatan mereka. Sahabat itu tinggi nilainya. Mana boleh main sebut sahaja. Lepas itu ikut suka pula nak putuskan! Putus
tunang atau bercerai bolehlah. Sahabat mana ada putus-memutus.
“Amboi mulut!” Haikal
mendengus. Memang salah dia. Rose berhak marahkan dirinya. Dia patut
terima. Biarlah Roseyaimah nak membebel
atau marah padanya sehingga keluar anak tekak sekalipun, dia redha. Selayaknya
dia menerima kata-kata nista daripada mulut sahabatnya itu.
“Pergilah balik Haikal, saya ada
kerja lagi ni. Tak payahlah awak
bersusah payah cari saya atau ingin berkawan dengan saya semula. Hidup saya dah cukup bahagia. Saya tak mahu ada masalah dengan tunang awak
tu. Cukup-cukuplah hidupnya hanya tahu
buat masalah dengan saya. Saya tak nak
menyusahkan dan buat awak serba
salah. Pergilah balik!” halau Rose. Kalaulah
Ain tahu, Haikal datang ke mari, mahu diamuknya. Dia tidak mahu menambah garam dalam luka di
hati Ain. Biarlah perempuan itu terus
membencinya. Malas nak fikirkan lagi.
“Saya cuma nak minta kemaafan
daripada awak, Rose. Maafkan saya dan
terimalah saya kembali sebagai sahabat awak. Sama seperti zaman persekolahan
kita dulu,” rayu Haikal tidak mahu putus asa.
“Biarlah saya fikirkan dulu. Tak boleh bagi jawapan segera.” Rose tidak mahu bagi muka dengan Haikal.
Lelaki itu sudah menyakitkan hatinya.
Cukup, cukup sudah, cukup sampai di sini saja, dia bernyanyi dalam hati.
Kalau hatinya terbuka untuk menerima Haikal, dia akan menerima dengan hati
terbuka, tetapi yang pasti bukan sekarang.
Hatinya masih bernanah luka.
Tambah parah bila Haikal bertunang dan bakal mengahwini Ain. Dia tidak boleh menghalang, mungkin sudah
jodoh mereka.
“Saya tagih jawapan awak! Erk… saya
bayar duit air dulu,” kata Haikal sambil bangun dari tempat duduknya.
“Tak apa, saya belanja.” Rose mengangguk.
“Terima kasih, saya tunggu jawapan
daripada awak,” ucap Haikal sebelum melangkah pergi.
Rose memandang langkah Haikal
sehingga hilang daripada pandangannya.
Dia mengeluh dalam hati. Dia
kembali membersihkan meja yang digunakannya tadi dan Haikal. Ada ruangkah untuk
dia dan Haikal bersahabat semula. Biarlah masa menentukannya.