Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,891
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 21

Rose merebahkan diri di atas katil. Dia menangis semahu-mahunya. Tidak henti-henti dia dihina. Kenapalah manusia sekelilingnya? Kalau boleh dia sendiri tidak mahu dilahirkan seperti ini. Bukan benarkah dirinya. Kenapa mereka tidak mahu memahami dirinya. Sukarkah nak mengerti perasaan manusia seperti dirinya. Pandangan Haikal yang penuh kebencian membuatkan hatinya bertambah sakit. Sakit sangat. Kenapa lelaki itu berubah? Apakah persahabatan mereka sebelum ini hanya sandiwara? Berjanji akan terus membantu sukar dan senang, adakah hanya manis di bibir sahaja? Ain, kenapa masih terus membencinya? Kenapa perasaan dendam kesumat yang mekar sewaktu zaman sekolah masih tidak layu?

Habis rancangannya, apa yang harus dia lakukan untuk meneruskan hidup? Siapa yang nak menyara hidupnya? Tentu satu kampung sudah tahu, dia bergaduh dengan Ain. Mak Limah tidak akan berdiam diri, pasti dicanang satu kampung. Pasti dia menambah asam garam dalam ceritanya. Biar tampak sedap dan enak menjadi halwa telinga kaki-kaki terlajak sibuk itu. Rose mengetap bibir. Tidak pasal-pasal nama kedua orang tuanya turut terbabit. Sampainya hati Mak Limah memalukan keluarga dan dirinya. Entah apa dosanya terhadap keluarga Ain. Malah terhadap Ain sendiri. Kisah zaman sekolah biarlah menjadi kenangan sahaja. Jika perempuan itu marahkan dirinya kerana Haikal, kini… Haikal bakal jadi suami Ain, apa lagi yang perempuan itu tidak berpuas hati.

Dia sudahlah hitam, tak cantik pula. Tidak ada apa yang nak dicemburukan. Kalau dia pandai sekolah sekalipun, sekarang dia berada di mana? Ain pula di mana? Tidak sesuai langsung nak cemburu dengannya lagi. Dia papa kedana. Dia manusia yang tidak berguna. Puas hati! Dadanya berombak kuat. Bagaikan tsunami yang nak memecahkan tembok lara di hatinya.

Kalau lagi dia berlama di kampung, lagi sakit hatinya. Sekurang-kurangnya di bandar tiada siapa yang menghinanya sangat. Kalau dia terus berada di kampung, pasti Mak Limah dan sekutu-sekutunya tidak akan berhenti bercakap. Manusia gagal yang kecewa dengan hidup.

“Rose,” tegur Hanum, sejak tadi dia memerhatikan sahaja anak perempuannya termenung memandang keluar rumah. Dia menggeleng kesal. Pelbagai masalah timbul.

“Mak!” Rose membetulkan duduknya. Dia melakarkan senyuman untuk emaknya tersayang. Rasa bersalah bertahta di hati. Kenapalah dia hidup hanya tahu menyusahkan kedua orang tuanya. Kenapa dia tidak mahu berusaha menyelesaikan masalahnya sendiri.

“Nak berniaga lagi ke esok? Nak cuba sekali lagi?” Hanum duduk di birai katil. Wajah monyok anak perempuanya menjadi singahan mata. Perasaan simpati menebal di hati. Apakan dayanya. Hanya boleh meminta anaknya bersabar dengan ujian yang mendatang. Pasti ada hikmah yang terbaik buat anak perempuannya itu.

“Tak apalah mak, biar Rose fikirkan jalan lain pula.” Bukan berputus asa, dia hanya tidak mahu menyusahkan keluarganya.

“Jangan putus asa Rose, berniaga memanglah banyak dugaannya. Kalau Rose tidak boleh terima hinaan dan cacian orang, bagaimana nak berniaga dan berjaya?” nasihat Hanum.

Terkedu seketika. Penghinaan? Tidak sabar? Sudah bertahun-tahun dia bersabar. Sejak di zaman sekolah lagi. Emaknya mana tahu, dia tidak pernah mengadu. Menangis dalam hati sahajalah nampaknya, detik hati kecil Rose.

“Baik mak, Rose faham.” Hanya itu yang mampu keluar dari mulutnya. Pening memikirkan masa hadapan sendiri. Kalaulah dia memilih bidang kedoktoran, entah-entah sekarang sedang merawat pesakit. Degil, keras kepala. Padan muka sendiri.

“Macam mana hubungan Rose dan Haikal? Masih baik macam dulu?”

“Masih,” jawab Rose, tidak jujur. Malas nak memanjangkan cerita. Biarlah emaknya mengetahui luarannya sahaja. Hubungan yang tiada erti apa-apa. Dia hanya kawan Haikal sewaktu zaman sekolah sahaja. Orang sepertinya tidak sesuai bergaul dengan lelaki seperti Haikal yang serba sempurna.

“Baguslah. Kalau boleh berbaik-baiklah juga dengan Ain. Mak tak suka Rose bergaduh dengan orang. Awak tu perempuan, jagalah tatasusila seorang perempuan,” kata Hanum tegas. Dia tidak mahu anak perempuannya jadi samseng pula.

“Baik mak.” Menunduk tanda setuju. Apa lagi yang harus dia katakan. Terima sahajalah nasihat yang diberi. Buka mulut itu tandanya membantah.

“Esok cubalah berniaga lagi, manalah tahu makin ramai yang datang,” pujuk Hanum.

Rose hanya menyengih. Dia sendiri sudah hilang semangat untuk mencuba. Dia perlu balik ke Kuala Lumpur. Biarlah dia berusaha dari sana sahaja. Tidak mahu menyusahkan kedua orang tuanya. Modal yang digunakan masih belum menampakkan hasilnya. Tidak mengapa. Semua ini hanya ujianNYA sahaja. Dia perlu bersabar.

“Rose ingat nak ke Kuala Lumpur semulalah mak. Lagipun kasihan Ton tinggal seorang diri. Nanti disewakan pula bilik Rose tu.” Dia tenang sahaja menyampaikan keinginan hati. Harap sangat emaknya tidak membantah.

“Laa… kenapa pula? Kata nak belajar memasak sampai pandai?” kata Hanum, suaranya sedikit keras. Terkejut sebenarnya. Lagipun anak perempuannya nak buat apa di sana? Bukankah anaknya tidak lagi bekerja?

“Peluang berniaga di sana lebih besar, mak. Biarlah Rose fikir-fikirkan apa yang sesuai,” terus memujuk.

“Nanti bising pula ayah kau!” Hanum risau. Kalaulah suaminya tahu, pasti berjela pula leterannya. Orang lelakinya kalau berleter kalah orang perempuan.

“Kalau duduk di rumah pun ayah bising juga, baik Rose keluar, sekurang-kurangnya telinga Rose tak dengar suara ayah,” jelas Rose. Penat mendengar nasihat berapi ayahnya itu. Mahu terbakar cuping telinganya. Setiap kali nampak sahaja mukanya, ada sahaja ayat membunuh yang keluar dari mulut masin ayahnya itu. Lama-lama boleh gila kalau dia terus menunggu. Ayahnya tidak henti-henti mengungkit. Penat mendengar dan penat berfikir akan masa hadapannya. Kalau terpaksa jadi tukang cuci bangunan atau tukang basuh pinggan di restoran pun dia rela. Daripada hidup mengganggur mengharapkan ehsan orang tua. Sudahlah mereka menjagakan sejak dilahirkan, takkanlah sudah besar panjang seperti ini masih lagi nak bergantung hidup dengan mereka. Tidak boleh! Dia bukan manusia seperti itu. Dia ada cita-cita dan impian.

“Rose!” satu tamparan hinggap di peha Rose. Hanum menggeleng laju. Asyik mengelamun sahaja anak perempuannya itu.

“Ya mak!” Rose terkejut. Dia mengurut dada.

“Jangan ikut hati, jangan ikut rasa. Cakap emak dan ayah, Rose tak nak terima. Sekarang siapa yang susah, diri Rose juga.”

Sekali lagi leteran dan ayat yang sama berlagu riang di telingannya. Dia sedar dia yang salah. Dia yang kononnya mampu mengubah keadaan. Kalau semua orang berfikiran sepertinya, bolehlah berubah, ini tidak… hanya dia yang mengharap manusia tidak hanya memandang paras rupa. Hancurlah segala impiannya.

“Pergilah sambung belajar, ambil bidang kedoktoran. Kalau daripada dulu Rose belajar bidang ini, kan ke mudah dah sekarang. Kelulusan Rose melayakkan anak mak ni belajar bidang tu. Takkan nak jadi macam ni saja,” cadang Hanum.

Belajar? Kena hutang lagi PTPTN. Memanglah pinjaman yang sebelum ini sudah hapus kira sebab dia mendapat kelulusan cemerlang. Tetapi memilih bidang kedoktoran tentulah tinggi belanjanya.

“Hish, banyak pakai duitlah mak… Rose tak nak menyusahkan mak dan ayah, adik-adikkan sedang belajar lagi. Duit belajar memanglah boleh pinjam PTPTN, tapi duit saku, duit makan dan pelbagai jenis duit lagi tu, mana Rose nak cekau? Takkan nak minta mak dan ayah juga?” Rose memandang wajah emaknya yang berkerut dahi dan mukanya. Tentu penat memikirkan kerenah anak perempuan sulongnya itu. Aduhai, adakah diri ini telah menyusahkan kedua orang tuanya?

“Habis tu? Rose nak buat apa?” Hanum sendiri pening memikirkannya.

“Mak jangan risau ya. Biar Rose fikir sendiri,” pujuk Rose. Dia tidak mahu emaknya susah hati kerana dirinya. Tahulah dia mengatur hidupnya. Dia sudah cukup dewasa untuk menentukan jalan hidup sendiri. Sambung belajar tidak mungkin dalam waktu terdekat ini. Dia tidak boleh terlalu mementingkan diri sendiri. Dia perlu memikirkan adik-adiknya juga. Mereka lebih memerlukan berbanding dirinya. Tidak perlu ada rasa kecewa, tidak perlu ada rasa duka di hati. Jalan itu yang dipilih. Kalau gagal, pandai-pandailah selesaikan sendiri.

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.